KULIAH USUL AL-FIQH ( siri 2 )

19 May

Skop / bidang perbahasan ilmu usul al-fiqh

2.1 Jika diteliti secara umumnya , bidang atau skop perbahasan dalam ilmu usul al-fiqh ialah mengenai kaedah-kaedah yang digunakan oleh ulama untuk mengeluarkan sesuatu hukum daripada sesuatu sumber hukum , samada sumber hukum yang disepakati atau dari sumber hukum yang tidak disepakati.Ianya juga membahaskan perkara-perkara yang berkaitan dengan Ijtihad , syarat-syarat dan kriteria serta ciri-ciri mujtahid.Begitu juga dengan al-Ta’arud dan al-Tarjih serta al-Dilalat atau al-Dalalat , iaitu perbahasan khusus tentang cara-cara menentukan madlul dan hukum dari Al-Quran serta Hadith dan kategorinya.

2.2 Bidang-bidang yang menjadi perbahasan dalam ilmu usul al-fiqh seperti di atas adalah merupakan perkara asas yang wajib diketahui oleh setiap individu yang ingin mempelajari Ilmu Usul al-fiqh.Ini disebabkan supaya ianya selari dengan kehendak dan matlamat ilmu usul al-fiqh itu sendiri dan tidak tersasar daripada perbahasan yang sepatutnya.Perlu diingat , bidang perbahasan ilmu usul al-fiqh adalah berbeza dengan bidang perbahasan ilmu al-Fiqh.

2.3 Sebagai contoh , untuk membezakan skop atau bidang perbahasan antara ilmu al-fiqh dengan ilmu usul al-fiqh adalah seperti berikut :

Dalam ilmu al-fiqh , kita diberitahu bahawa hukum menunaikan sembahyang adalah wajib.Begitu juga dengan hukum bagi yang meninggalkan sembahyang.Kita juga mengetahui apakah hukum puasa ramadhan , mengeluarkan zakat , menunaikan haji dan banyak lagi perkara-perkara syariat yang disuruh untuk kita samada melakukannya atau pun meninggalkannya.Pendek kata , apa sahaja perbuatan yang kita lakukan dimuka bumi ini hanya akan dikategorikan kepada 2 pembahagian yang paling utama iaitu , boleh atau tidak boleh , Halal atau haram. Maka , menjadi tugas dan tanggungjawab para sarjana dan fuqaha Islam lah untuk mencari dan membahas serta meletakkan hukum pada setiap perbuatan mukallaf tersebut.

Ini berbeza dengan bidang tugas Ulama usul.Sebagai contoh , Al-Quran adalah merupakan sumber perundangan Islam yang paling Agong dan menjadi keutamaan dalam penetapan hukum.Nas-nas perundangan yang terdapat dalam al-Quran tidak hanya berkisar pada satu atau dua perkara sahaja.Bahkan padanya terdapat nas-nas yang bersifat perintah , bersifat larangan , umum atau yang bersifat mutlak.Maka al-Usuli (ulama Usul) akan membahaskan setiap nas dan dalil tersebut menggunakan kaedah-kaedah yang tertentu dengan berpandukan kepada penyelidikan terhadap uslub bahasa arab dan penggunaannya dalam syariat.Misalnya , dalam al-Quran terdapat nas-nas yang bersifat perintah ( الأمر ).Maka berdasarkan pengkajian atau penyelidikan terhadap uslub bahasa Arab , para ulama usul dapat menetapkan bahawa , ayat yang bersifat perintah ( الامــر ) tersebut , menunjukkan kepada hukum wajib dalam melaksanakan perintah tersebut.Begitu juga dengan nas atau ayat al-Quran yang bersifat larangan ( النــهي ) yang mana menurut uslub bahasa Arab ianya menunjukkan kepada hukum haram dalam melakukan larangan tersebut dan begitulah seterusnya.

2.4 Maka kesimpulannya , dapatlah kita fahami , bahawa para fuqaha tugasnya adalah untuk membahaskan serta memperincikan hukum pada setiap amalan perbuatan bagi mukallaf berdasarkan kepada dalil-dalil yang terdapat dalam al-Quran dan al-Sunnah Rasulullah saw.Manakala tugas dan peranan para ulama usul (al-Usuli) pula ialah melakukan perbahasan dan kajian terhadap dalil-dalil syarak dari sudut penggunaannya yang menjadi sandaran para fuqaha.

al-FUQAHA ( ulama Fiqh ) : Skop perbahasannya ialah pada hukum amalan perbuatan mukallaf

al-USULI ( ulama Usul ) : Skop perbahasannya ialah pada dalil dan nas-nas syara’ yang menjadi sandaran fuqaha.

2.5 Berdasarkan kepada penerangan di atas , maka kesemua skop perbahasan dalam ilmu Usul al-Fiqh sebagaimana yang dilakukan oleh ulama usul adalah seperti berikut :

  1. Dalil-dalil syarak yang umum: merangkumi dalil-dalil yang disepakati dan dalil-dalil yang tidak disepakati.
  2. Dilalah atau dalalat (دلالة): Perbahasan khusus tentang cara-cara dalam menentukan petunjuk hukum (madlul) yang merangkumi kaedah-kaedah istinbat hukum dari nas-nas al-Quran dan as-Sunnah.
  3. Ta’arudh dan Tarjih (تعارض وترجيح): perbahasan tantang percanggahan antara dalil-dalil syarak serta jalan penyelesaiannya.
  4. Ijtihad dan Mujtahid: merangkumi persoalan taqlid dan muqallid, syarat-syarat serta kriterianya
  5. Hukum-hukum syarak yang umum: merangkumi hukum-hukum taklifi dan hukum wad’ie.

Kesemua skop atau bidang perbahasan tersebut , insya Allah akan dibahaskan satu persatu mengikut perbahasan yang telah dibuat oleh para Ulama Usul.

Tujuan atau maksud

Sebagaimana yang kita semua maklumi , bahawa tidak ada satu perkara pun dalam dunia ini yang wujud atau dicipta oleh Allah swt tanpa sebarang tujuan dan maksud di atas penciptaan tersebut.Ini juga termasuklah apa yang dilakukan oleh para ulama usul dalam membuat pengkajian dan penelitian terhadap segala kaedah yang terdapat dalam ilmu Usul al-Fiqh.Mereka (al-Usuli) tidak akan melakukan suatu perkara secara sia-sia dan tanpa tujuan.Malah , secara umumnya segala apa yang dilakukan oleh mereka adalah untuk memberikan kemudahan dalam meng’intinbat’kan hukum fiqh yang dipraktikkan (amali) oleh umat Islam.

2.6 Sebelum kita melihat apakah dia maksud dan tujuan ilmu usul al-fiqh , kita lihat dulu maksud dan tujuan ilmu al-fiqh itu dahulu.

Ilmu al-fiqh : “Maksud dan tujuan ilmu al-fiqh ialah perlaksanaan hukum hakam syar’iyyah ke atas amal perbuatan dan pertuturan mukallaf.Maka dengan itu , ilmu al-fiqh adalah tempat rujukan para al-Qadhi dalam sebarang perkara yang berkaitan dengan al-Qadho.Begitu juga ianya menjadi rujukan para Mufti dalam fatwanya dan juga menjadi rujukan setiap mukkallaf dalam mengetahui hukum hakam syarak yang berkaitan dengan amal perbuatan dan pertuturannya.” [1]

Inilah dia maksud dan tujuan ilmu al-fiqh , malah ianya juga menjadi matlamat dan tujuan semua undang-undang yang ada dalam dunia ini.Ini kerana secara dasarnya , matlamat dan tujuan undang-undang adalah untuk dilaksanakan ( تطبيق ) segala apa yang terkandung dalam undang-undang tersebut kepada kehidupan manusia serta setiap individu juga akan mengetahui apakah dia bentuk perbuatan yang dibolehkan dan yang diharamkan (dilarang).

Adapun maksud dan tujuan ilmu usul al-fiqh pula ialah :

“Perlaksanaan segala bentuk kaedah dan pandangan ilmu usul al-fiqh ke atas dalil-dalil yang tafsili dengan menghubungkannya kepada hukum-hakam syar ‘iyyah yang ditunjukkan oleh dalil-dalil tersebut.Melalui ilmu usul al-fiqh ini , pemahaman terhadap nas-nas syarak dapat dilakukan serta mampu mengetahui apakah hukum yang terkandung dalam nas tersebut dan dapat menyingkap segala bentuk perkara yang tersirat daripadanya.

Selain daripada itu , tujuan dan maksud ilmu usul al-fiqh ini juga ialah dapat meng’istinbat’kan hukum samada dengan kaedah Qiyas , atau Istihsan atau Istishab dan sebagainya terhadap perkara-perkara yang tidak terdapat nas atau dalil dalam menerangkan hukumnya.

Begitu juga dengan kaedah-kaedah dan perbahasan ilmu usul al-fiqh ini ,kita dapat mengetahui setiap peng’istinbat’an hukum oleh para ulama mujtahid yang berbeza-beza mengikut kaedah pemahaman mereka dengan melakukan perbandingan terhadap perbezaan hukum tersebut dalam satu masalah.(satu masalah , hukum yang berbeza).Ini kerana kita tidak boleh memahami dan mengetahui sesuatu hukum serta perbezaan-perbezaan pendapat terhadap hukum tersebut melainkan dengan jalan melihat dan meneliti dalil hukum tersebut serta membahaskan bentuk pengambilan dan pengeluaran hukum daripada dalil tersebut.Maka , inilah yang dikatakan maksud dan tujuan ilmu usul al-fiqh yang juga menjadi tunggak kepada al-fiqh al-Muqaran. [2]

2.7 Berdasarkan kepada perbahasan di atas , maka bolehlah disimpulkan bahawa , maksud dan tujuan ilmu al-fiqh adalah untuk kemanfaatan dan kemudahan setiap mukallaf dalam mengetahui setiap hukum hakam amal perbuatan mereka , manakala maksud dan tujuan ilmu usul al-fiqh pula adalah untuk kemanfaatan dan kemudahan para ulama , fuqaha dan para mujtahid dalam membuat sebarang penentuan dan penetapan hukum terhadap sesuatu masalah.

WA

Bersambung di siri yang akan datang ( siri 3 )……..


[1] Ilmu usul al-Fiqh , As-Syaikh Dr. Abd Wahab khallaf , 2003 , Dar al-Hadis , al-Kaherah , ms.14

[2] Kulliah Ilmu Usul al-Fiqh , As-Syaikh Muhamad Ali al-Qumashi , Usul al-Fiqh Al-Islami , As-Syaikh Dr. Muhammad Sinan Saiful Jalal , Pensyarah Kulliah Syari’ah wa al-Qanun , Universiti Sana’a , Republik Yaman.

8 Responses to “KULIAH USUL AL-FIQH ( siri 2 )”

  1. sya 14/01/2009 at 4:20 pm #

    tolong kongsi tentang hukum wadh’i n taklifi dr segi pandangan *fuqaha n usuliyiin

    • aljawhar 16/01/2009 at 11:44 pm #

      Salam buat saudara/i……

      In sya Allah….sebenarnya kuliah usul al-fiqh ini akan diteruskan sedikit masa lagi….cuma buat masa sekarang penulis tidak dapat meng’update’kan blog ini lantaran tugasan yang terlalu sibuk dan padat…..

      WA

  2. Ahmad Abu Bakar 08/02/2009 at 4:46 pm #

    assalamualaikum ust ana Ahmad daripada UM nak tanya ust boleh ust berikan kepada ana apakah sumbangan usul fiqh dan bagaimana nak jawab tohmahan Jaringan Islam Liberal mereka dakwa bahawa usul fiqh perlu diubah mengikut peredaran zaman….syukran …..

  3. hidayat 01/10/2009 at 10:08 am #

    alhamdulillah.,.,
    thanks 4 this blog..
    byk mmberi pemgajarn pd sy,.,

  4. peasgreen 25/06/2011 at 12:19 pm #

    terima kasih kerana berkongsi ilmu…

  5. nurul izzah 04/02/2014 at 3:33 pm #

    syukran ustazz

  6. nur sarah mohammad 12/07/2014 at 10:49 am #

    Assalamualaikum..peranan ulama’ dalam kaedah fiqh ada ke huraian dia??

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 60 other followers

%d bloggers like this: