MU’AMALAT MENURUT ISLAM

19 May

BAB 1

TEORI / ASAS DAN KAEDAH DALAM MU’AMALAH ISLAM

1.1 PENDAHULUAN.

Islam adalah agama yang syumul.Allah swt tidak pernah membiarkan umat-Nya hidup dalam keadaan yang terumbang ambing tanpa arah dan tujuan.Bermula dari bab ibadah sehinggalah kepada bab pergaulan sesama manusia , kesemuanya telah ditetapkan oleh Allah swt dan Rasul-Nya.Tujuannya adalah untuk memperkemaskan dan melancarkan urusan kehidupan supaya dengan itu manusia dapat menghindarkan segala kesusahan dan kesulitan-kesulitan yang timbul dalam kehidupan manusia.Maka dengan ini , Allah swt telah menetapkan beberapa dasar atau asas serta kaedah yang dapat dijadikan panduan dan bimbingan oleh umat manusia

Ketika Nabi Muhammad saw dibangkitkan , umumnya kaum arab sudah mempunyai berbagai-bagai cara jual beli dan pertukaran barang-barang perniagaan.Nabi saw telah menbenarkan sesetengah cara jual beli yang lama , iaitu yang mana tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip perniagaan yang diletakkan oleh syariat yang dibawanya.Sesetengah cara yang lain pula ditegah , iaitu yang mana tidak sesuai dengan tujuan-tujuan syariat Islam dan petunjuk-petunjuknya.

Dalam mucamalah atau kira bicara Islam yang merangkumi tukar-menukar antara barang atau sesuatu yang memberi manfaat dengan cara yang ditentukan seperti jual beli , sewa menyewa , upah mengupah , pinjam meminjam , perkongsian dan sebagainya , telah ditetapkan segala dasar dan panduan serta bimbingan supaya dengan itu dapatlah manusia mengatur cara hidup menurut lunas-lunas yang baik agar dapat menjalani dan melaksanakan corak kehidupan dan aliran tamadun yang diredhai Allah swt dan Rasul-Nya.

Kajian ringkas ini akan menumpukan kepada asas dan kaedah yang diguna pakai dalam menilai sesuatu amalan yang selari atau bercanggah dalam transaksi mucamalah.

1.2 DEFINISI KAJIAN

Sebelum penulis membahaskan dengan panjang lebar berkenaan dengan kajian ini elok rasanya penulis mengutarakan pengertian atau definisi secara umum tentang kajian ini.

“Asas dan kaedah menilai amalan yang selari dan bercanggah dalam transaksi mucamalah” adalah tajuk kajian yang dijalankan oleh penulis , yang mana antara lainnya membawa maksud , bahawa segala transaksi yang dijalankan dalam mucamalah dinilai dan dikira kesahihannya apabila tidak bercanggah dengan asas atau kaedah yang ditetapkan oleh syariat , manakala transaksi mucamalah yang bercanggah dengan asas atau kaedah tersebut akan dikira tertolak dan terbatal disisi Islam.

Firman Allh swt dalam Al-Quran :

Dan kepada Allah jualah tertentunya urusan memberi panduan yang menerangkan jalan yang lurus; dan di antara jalan-jalan yang dituju ada yang terpesong dari kebenaran……….[1]

1.3 ASAS / KAEDAH DALAM MU’AMALAH ISLAM

Dalam hal ini , penulis akan cuba mengemukakan beberapa asas atau kaedah yang diguna pakai dalam sistem mu’amalah Islam yang mana ianya menjadi asas sebagai menilai sesuatu amalan atau aktiviti transaksi mu’amalah itu samada selari atau bercanggah dengan prinsip mua’amalah Islam.Maka,apa sahaja aktiviti mucamalah yang bercanggah dengan asas atau kaedaha syariat ini akan dikira terbatal dan ditolak oleh Islam , manakala aktiviti mucamalah yang bertepatan dan mengikut landasan syarac dibenarkan untuk terus beroperasi.

Kajian ini akan tertumpu kepada 4 bahagian seperti berikut :

1.3.1 Falsafah ekonomi / mucamalah Islam

1.3.2 Larangan dalam mucamalah perekonomian Islam.

1.3.3 Aqad jual beli yang diharamkan dalam Islam

1.3.4 Ciri-ciri mucamalah yang dibenarkan dalam Islam

Ke empat-empat aspek di atas adalah perkara-perkara yang perlu diketahui semasa kita membuat penilaian terhadap amalan-amalan atau aktiviti mu’amalah yang selari atau bercanggah dengan transaksi mucamalah / ekonomi Islam

1.3.1 Falsafah Ekonomi / Mucamalah Islam.

Falsafah ekonomi / mucamalah Islam itu sebagaimana yang digariskan oleh para ulama ialah merangkumi kepada 5 perkara yang mana At-Tauhid menjadi tunggak kepada 5 perkara tersebut.[2]

Pertama

“AT-TAUHID” merupakan suatu konsep yang meletakkan Allah swt di tempat yang paling teratas dalam semua aspek kehidupan.Ianya juga merupakan suatu penegasan dan keyakinan bahawa Allah swt sahajalah yang Maha Esa dan berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu.

Dalam permucamalahan Islam , kita wajib meletakkan Allah swt dalam semua keadaan dan situasi.Jika ini berlaku , maka sudah tentulah segala aktiviti yang kita lakukan bermula dari bab ibadah hinggalah kepada aktiviti mucamalah akan bertunjang dan berasaskan kepada syarak serta berjalan mengikut landasan yang dibenarkan oleh Islam.

Firman Allah swt :

“Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” [3]

Kedua

“ISTIKHLAF” merujuk kepada peranan manusia untuk memanfaatkan, mengembangkan , menginfaqkan dan mengguna harta milik Allah swt yang mana segala perlakuan manusia dalam memakmurkan bumi mestilah tertakluk sepenuhnya kepada kehendak Allah swt.[4]

Firman Allah swt :

“Berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian dari harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil ( mustakhlafina ). Maka orang-orang yang beriman di antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah); mereka tetap beroleh pahala yang besar.” [5]

Salah satu nilai Rabbani yang paling utama dalam ekonomi / muamalah Islam ialah yang menetapkan bahawa manusia bukanlah pemilik kepada harta , tetapi dia hanya diberikan kuasa untuk memanfaatkan harta Allah swt.Nilai inilah yang memastikan adanya unsur Rabbaniyyah ( ketuhanan ) dalam sistem ekonomi.

Seorang Muslim meyakini bahawa dia adalah makhluk ciptaan Allah swt bekerja di tanah yang merupakan bumi dan harta Allah swt dengan kemampuan yang diberikan oleh Allah ta’ala dan dengan peralatan yang merupakan kurniaan Allah swt.Dia melakukan pekerjaannya mengikut kaedah-kaedah alam semula jadi yang diciptakan Allah swt.Sekiranya dia memperoleh hasil , maka hasil itu adalah harta Allah swt.Allah lah yang telah menciptakannya dan Allah lah yang memilikinya.Manusia hanyalah pemegang amanah yang diberikan kuasa untuk memanfaatkannya.[6]


Ketiga

“AMANAH” pul merupakan suatu istilah yang mempunyai pengertian khusus dan umum.Pengertian khusus merujuk kepada pengembalian harta benda atau lainnya kepada orang yang mengamanahkan atau mempercayakan benda tersebut.Orang yang diberi kepercayaan dan amanah itu harus memelihara dan bertanggungjawab terhadap barang itu serta tidak berhak bertindak sesuka hati terhadap barang berkenaan.Jika pemilik barang tersebut meminta kembali barang tersebut , dia harus segera mengembalikannya.[7]

Amanah dalam pengertiannya yang umum pula meliputi skop yang amat luas yang merangkumi semua bidang kehidupan samada dari sudut menyembunyikan rahsia,ikhlas dalam memberikan nasihat kepada orang yang memintanya , melaksanakan segala tugas yang diberikan dengan penuh tanggungjawab dan sebagainya.

Firman Allah swt :

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)”. [8]

Keempat

Asas yang seterusnya dalam falsafah ekonomi / muamalah Islam ialah Ukhuwwah. “UKHUWWAH” adalah suatu konsep persaudaraan yang terjalin lantaran beberapa ikatan seperti kekeluargaan , keagamaan atau ikatan atas paksi kemanusiaan.Penghayatan murni terhadap konsep ini berkecenderungan mencetuskan suasana yang harmonis dalam pelbagai interaksi kehidupan sesama anggota masyarakat.

Firman Allah swt :

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu) [9]

Kelima

“TAZKIYYAH” pula merupakan konsep yang memberi perhatian dan penekanan terhadap penyucian dan pembersihan jiwa dan diri dari segala dosa dan kesalahan atau kemaksiatan kepada Allah swt dan sesama makhluk yang lain.

Firman Allah swt :

“Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). [10]

Gabungan kelima-lima elemen ini membentuk satu falsafah yang diaplikasikan kepada sistem ekonomi / muamalah Islam agar ianya dapat memandu umat Islam ke arah pengamalan sistem ekonomi yang bersih dan bebas daripada unsur-unsur yang bercanggah dengan Islam dan supaya sistem perekonomian Islam ini juga akan menjadi suatu sistem yang kamil dan mutakammil.

1.3.2 Larangan-larangan dalam Muamalah Perekonomian Islam

Larangan-larangan yang terdapat dalam mua’malah perekonomian Islam adalah merupakan asas dan kaedah yang digunakan dalam menilai sesuatu amalan atau aktiviti mua’malah samada selari atau bercanggah dengan transaksi mua’malah Islam.

Larangan-larangan tersebut ialah seperti berikut [11]:

1.3.2.1 Riba

1.3.2.2 Penipuan

1.3.2.3 Gharar

1.3.2.4 Rasuah

Sekiranya dalam sesuatu amalan / aktiviti mua’malah tersebut mengandungi salah satu atau kesemua larangan-larangan yang di atas , maka secara dasar dan kaedah ianya tidak selari dan bercanggah dengan kehendak transaksi mua’malah Islam.Begitulah sebaliknya.

Insya Allah , penulis akan membincangkan larangan-larangan tersebut secara ringkas agar ianya menepati kehendak dan maksud serta tujuan penulisan kajian ini.

Riba :

Islam membuka jalan seluas-luasnya terhadap usaha pengembangan harta melalui cara perniagaan yang dihalalkan oleh Islam , sepertimana firman Allah swt dalam Al-Quran Al-Karim :

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu” [12]

Setelah Allah swt membuka jalan pengembangan harta yang halal dengan cara perniagaan , maka Allah swt menutup pula jalan pengembangan harta melalui jalan riba dengan mengharamkannya baik yang sedikit mahupun yang banyak.Islam juga mencela dan mengancam kaum yahudi yang mempraktikkan serta menghalalkan riba , sedangkan riba itu telah diharamkan ke atas mereka.

Firman Allah swt :

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman.

Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa. [13]

Penipuan :

Islam melarang keras sebarang jual beli atau amalan dan aktiviti mua’malah Islam yang didalamnya terdapat unsur-unsur penipuan samada dari pembeli , penjual atau terhadap barangan jualan dari sudut sukatan atau ukurannya.

Sabda Rasulullah saw dalam sebuah hadis yang membicarkan tentang penipuan dalam aktiviti mua’malah :

و حَدَّثَنِي يَحْيَى بْنُ أَيُّوبَ وَقُتَيْبَةُ وَابْنُ حُجْرٍ جَمِيعًا عَنْ إِسْمَعِيلَ بْنِ جَعْفَرٍ قَالَ ابْنُ أَيُّوبَ حَدَّثَنَا إِسْمَعِيلُ قَالَ أَخْبَرَنِي الْعَلَاءُ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّ عَلَى صُبْرَةِ طَعَامٍ فَأَدْخَلَ يَدَهُ فِيهَا فَنَالَتْ أَصَابِعُهُ بَلَلًا فَقَالَ مَا هَذَا يَا صَاحِبَ الطَّعَامِ قَالَ أَصَابَتْهُ السَّمَاءُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ أَفَلَا جَعَلْتَهُ فَوْقَ الطَّعَامِ كَيْ يَرَاهُ النَّاسُ مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي

Diriwayatkan dari Abu Hurairah ra katanya : Bahawa Rasulullah saw telah bersua dengan satu longgokan (timbunan) makanan yang hendak dijual , lalu baginda memasukkan tangannya ke dalam longgokan tersebut , tiba-tiba jarinya terasa basah lalu berkata : Apakah ini wahai penjual makanan?Maka jawabnya : Ianya basah terkena hujan wahai Rasulullah saw.Baginda bersabda : Mengapakah engkau tidak meletakkannya di atas supaya dapat dilihat orang ?Barang siapa yang menipu , maka dia bukan dari umatku. [14]

Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa dalam amalan mucamalah Islam , sebarang bentuk penipuan adalah haram dan merupakan dosa besar serta perbuatan yang sangat dicela kerana menyalahi dasar-dasar agama dan lunas-lunas kesusilaan serta perikemanusiaan.

Tersebut dalam kitab ( الحلال والحرام في الاســـــــلام ) oleh Dr Yusof Al-Qardhawi , bahawa suatu hari Ibnu Sirin ingin menjual seekor kambingnya , lalu ia memberitahu kepada si pembeli kambingnya akan kecacatan kambingnya iaitu tabiat si kambing yang suka menendang-nendang makanannya , sebelum ia menjual kambing tersebut kepada pembelinya.Malah Al-Hassan bin Saleh pula telah memberitahu kepada pembeli jariahnya tentang kecacatan jariahnya yang pernah keluar darah dari hidungnya sebelum menjualnya kepada pembeli.[15]

Antara contoh lain yang menggambarkan penipuan dalam perniagaan ialah , tidak memerah susu lembu selama beberapa hari sebelum dijual agar si penjual akan mendapat harga yang tinggi.Hasil tanaman juga tidak boleh dibungkus terlebih dahulu sebelum sampai tempohnya yang sesuai , kerana ianya akan menimbulkan pertikaian.Begitu juga seseorang tidak boleh menjual barang yang tidak dimilikinya , dan sebagainya.Maka , perbuatan ini adalah diharamkan oleh Islam kerana ianya berunsurkan penipuan.

Contoh aktiviti muamalah yang mempunyai unsur penipuan di zaman sekarang pula ialah terdapatnya amalan muamalah yang dilakukan dengan cara menyembunyikan bayaran-bayaran lain yang tidak diterangkan atau dijelaskan kepada pelanggan semasa melakukan transaksi muamalah.Pelanggan hanya diberitahu jumlah harga yang perlu dibayar semasa transaksi dibuat , sedangkan pada bulan-bulan yang berikutnya , mereka dibebani dengan bayaran-bayaran lain yang terpaksa dijelaskan disebabkan perkhidmatan yang mereka langgani.

Segala bentuk perniagaan atau perdagangan mestilah dijalankan dengan jujur.Jika seseorang menjalankan perniagaan menurut panduan Al-Quran dan Sunnah , dia akan mendapat rahmat Allah swt walaupun dia tidak memperolehi keuntungan yang besar.

Gharar :

Seterusnya ialah jual beli atau aktiviti muamalah yang mempunyai unsur-unsur Gharar juga adalah dilarang dalam Islam.Jualan secara gharar merupakan sejenis jualan yang melibatkan ketidakpastian.Misalnya , jualan ikan atau burung yang belum ditangkap atau ditunjukkan kepada pembeli oleh penjual.Setiap akad yang terdapat padanya unsur gharar ( pengeliruan ) yang akan mendatangkan perselisihan , pergaduhan atau permusuhan dan rasa tidak puas hati di antara kedua-dua pihak adalah satu transaksi muamalah yang tidak dibenarkan oleh Islam.

Di antara contoh-contoh jual beli yang ada gharar ialah seperti perkara yang berlaku di zaman Nabi saw yang mana masyarakat di zaman tersebut melakukan penjualan buah-buahan yang masih berada di atas pokok atau di dalam kebun yang belum jelas masaknya (matang).Kemudian selepas diadakan akad jual-beli tersebut , tiba-tiba datang bencana alam yang merosakkan kebun dan buah-buahan itu.Maka di sebabkan itu , berlakulah pertengkaran dan pergaduhan antara penjual dan si pembeli.Si penjual berkeras tidak mahu memulangkan semula bayaran yang telah dibuat oleh pembeli , manakala si pembeli pula menuntut buah-buahan yang dibelinya yang masih lagi belum diterimanya.

Satu perkara yang perlu diketahui ialah jualan secara gharar menyamai jualan barangan masa hadapan yang diamalkan masa kini dan diakui oleh Akta Jualan Barang dalam negara-negara Common Law. [16]

Rasuah :

Rasuah merupakan perbuatan yang amat dilarang dalam Islam.Ini kerana rasuah akan mengakibat permusuhan dan pergaduhan sesama kita dalam mendapatkan sesuatu perkhidmatan yang ditawarkan oleh suatu pihak yang memerlukan.

Rasuah juga akan menyebabkan suatu pihak lain yang gagal mendapatkan sesuatu perkhidmatan merasa dizalimi atau dianiaya.Malah , kesan utama rasuah ialah , yang kaya akan bertambah kaya dan yang miskin bertambah miskin.

Secara ringkasnya , rasuah ialah sesuatu habuan yang ditawarkan kepada seseorang untuk mempengaruhinya atau memujuknya melakukan sesuatu yang salah dalam urusan mua’malah untuk kebaikan orang yang memberi rasuah.Pada kebiasaannya, rasuah dilakukan dengan tujuan untuk menahan hak seseorang.[17]

Rasulullah saw pernah bersabda dalam menggambarkan betapa besarnya dosa orang yang melakukan rasuah dengan suatu ancaman yang keras melalui hadisnya :

لعن الله الراشـــــي والمــــرتشي والـــرائـــشي بينهمــــا

“Allah swt melaknat orang yang memberi rasuah , dan orang yang menerima rasuah serta orang tengahnya” [18]

1.3.3 Jenis-jenis aqad jual beli dalam urusan mu’amalah yang diharamkan :

Di bawah ini adalah jenis-jenis aqad jual beli yang diharamkan dalam Islam.Hal ini dengan jelas disebutkan oleh Rasulullah saw dalam hadis-hadis baginda :

1) Dua urus niaga dalam satu jualan.

نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن بيعتين في بيعه

“Rasulullah saw mengharamkan aqad jualan dibuat dalam dua urusniaga. [19]

2) Syarat tambahan disertakan bersama jualan.

نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن بيع وشـــــرط

“Rasulullah saw mengharamkan syarat tambahan disertakan bersama dengan urusniaga.[20]

Dalam hal ini aqad jual beli atau urus niaga tidak boleh disatukan bersama-sama dengan perjanjian bersyarat.

3) Penjualan sesuatu barang yang tidak dimiliki oleh seseorang.

نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم ان ابيع ما ليس عندي


“Rasulullah saw mengharamkan aku menjual sesuatu barang yang bukan milikku.” [21]

4) Penjualan al-Mulamisah dan al-Munabizhoh.

نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن الملامسة والمنــــابذة

“Rasulullah saw mengharamkan aku menjual sesuatu yang bukan milikku atau menjual sesuatu barang yang tidak jelas dan tidak boleh dilihat dengan nyata.” [22]

5) Perlakuan an-Najash

نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن النجش

“Rasulullah saw mengharamkan ketidak jujuran dan perlakuan buruk dalam urusan jual beli.” [23]

6) Talaqa Rukban

نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن تـــلق الركبان

“Rasulullah saw mengharamkan keluar daripada Bandar dan bertemu dengan rombongan perniagaan bagi melakukan urusniaga dengan mereka secara menipu.” [24]

Perniagaan begini boleh membawa kepada penipuan dan penindasan.Mereka akan membeli barang-barang tersebut diluar kawasan perniagaan dengan harga yang murah dan menjualnyua kembali kepada orang-orang di Bandar dengan harga yang jauh lebih tinggi , kerana orang di Bandar tidak mengetahui harga sebenar barang tersebut.Dalam hal ini , rombongan perniagaan yang telah menjual barang-barang tersebut kepada mereka ini juga akan merasa tertipu dan dizalimi kerana apabila mereka sampai dibandar , mereka dapati harga barang-barang yang telah dijualnya dengan harga yang murah tadi adalah jauh lebih mahal dan menguntungkan.Begitu juga , peniaga mungkin akan pergi ke kampong-kampung lain untuk membeli barang makanan daripada orang kampong tersebut dengan harga yang murah tanpa memberitahu orang kampong harga sebenar barang itu semasa dijual di Bandar.

7) Bai’ Hadhir Libaadi

نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم ان يبيع حاضر لباد

“Rasulullah saw mengharamkan penduduk Bandar melakukan penipuan dengan bertindak sebagai ejen jualan bagi orang kampung.” [25]

Kesemua aqad jual beli yang disebutkan di atas adalah haram dan dilarang oleh Islam.Maka dalam hal ini , sebarang transaksi mua’malah yang mengandungi salah satu daripada perkara-perkara atau jenis-jenis aqad di atas , adalah terbatal dan tidak diterima dengan sendirinya.

1.3.4 Ciri-ciri mucamalah yang dibenarkan dalam Islam.

Sikap atau cara mua’malah yang dibenarkan dalam Islam adalah terkandung dalam ayat Al-Quran seperti dibawah ini :

‘Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.” [26]

Ayat al-Quran di atas dengan jelas menggariskan kepada kita prinsip asas dan yang paling penting dalam menjalankan apa saja amalan transaksi dalam muamalah / perekonomian Islam.Setiap orang Islam hendaklah menjalani kehidupannya seolah-olah Allah swt sentiasa berada disisinya.Kita hendaklah ingat bahawa semua harta yang kita pegang adalah amanah dan hak Allah swt , tidak kira sama ada harta itu kepunyaan kita sendiri , kepunyaan orang lain atau kepunyaan seluruh komuniti.

Kalimah ‘bil batil’ dalam ayat di atas bermaksud , amalan yang bertentangan dengan syari’ah dan prinsip moral.Perniagaan adalah proses pertukaran manfaat sebagai keuntungan tanpa melakukan apa-apa bebanan yang tidak sah atau penipuan terhadap pihak lain.Dalam perniagaan atau sebarang aktiviti atau transaksi mua’malah , segala bentuk aktiviti yang bertentangan dengan prinsip syari’ah seperti yang telah dijelaskan sebelum ini adalah dilarang dan hendaklah dijauhi.

Asas utama dalam menjalankan perniagaan atau sebarang aktiviti mua’malah yang berteraskan kepada prinsip syari’ah ialah , setiap transaksi mua’malah itu mestilah berpaksi dan bertunjangkan kepada kejujuran dan keadilan.

Al-Quran al-Karim menekankan tentang kejujuran dan keadilan dalam sebarang bentuk perniagaan atau transaksi mua’malah yang dijalankan.Ini adalah supaya rasa tidak puas hati atau pertentangan di antara pihak-pihak yang menjalankan urus niaga tersebut dapat dihindarkan.Kelemahan manusia yang amat susah untuk diselesaikan ialah sikap tamak terutama terhadap harta dan kekayaan.Menurut sebuah hadis , apabila manusia meningkat tua , terdapat 2 perkara yang masih muda dalam dirinya – keinginan untuk mengumpul lebih banyak harta dan kekayaan dan keinginan untuk hidup lebih lama.Biasanya orang jujur dan orang yang benar-benar beriman kepada Allah swt akan berpuas hati dengan apa yang mereka peroleh.Dalam perniagaan dan perdagangan mereka akan bersifat jujur dan menjalankan hak dengan adil seperti yang diperintahkan oleh Allah swt :

“Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang.” [27]

Setiap orang Islam mesti jujur dalam semua hal dan urusan seperti menimbang sesuatu benda yang hendak dijual dan semasa menjalankan segala bentuk amalan transaksi mua’malah atau urus niaga dengan orang lain.Dia hendaklah menjauhi perbuatan menipu seperti dengan menunjukkan barangan contoh yang bermutu tinggi semasa promosi , tetapi yang dijual pula tidak bermutu atau kurang timbangan daripada apa yang dipersetujui.

Al-Quran menekankan tentang kejujuran dan keadilan dalam segala bentuk jual beli atau urusniaga antara satu sama lain.Perintah dan saranan ini terkandung dalam firman Allah swt :

“Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.” [28]

Malah Allah swt telah memerintahkan kepada sesiapa sahaja yang terlibat dengan sebarang bentuk urus niaga agar menjalankan urusan tersebut dengan penuh kejujuran dan keadilan terhadap semua pihak yang terlibat.Jika seseorang menjalankannya dengan menurut panduan al-Quran dan sunnah , dia akan mendapat rahmat Allah swt walaupun dia tidak memperolehi keuntungan yang besar .Selagi tidak wujud kezaliman , penipuan , penyorokan , perlumbaan bagi mencari keuntungan secara berlebih-lebihan atau riba dan sebagainya , maka setiap orang Islam digalakkan berniaga dan berdagang dengan mengikut segala landasan dan ketetapan syari’ah.

1.4 Kesimpulan :

Berdasarkan kepada penerangan yang telah dijelaskan di atas , segala amalan dan transaksi mu’amalah atau sebarang bentuk urus niaga yang djalankan antara 2 pihak , ianya mestilah menepati asas dan kaedah yang telah digariskan oleh syarak.

Urus niaga yang mengandungi unsur-unsur riba , penipuan , gharar , rasuah dan sebagainya adalah merupakan bentuk urus niaga yang tidak sah dan dilarang sama sekali oleh syarak.Urus niaga mu’amalah tersebut adalah tidak selari dengan prinsip syariah.

Setiap perniagaan atau urus niaga yang melibatkan transaksi jual beli dan sebagainya mestilah berlandas kepada hukum syarak.Sikap jujur dalam menjalankan sebarang urusan dalam mu’amalah adalah merupakan teras kepada pengagihan keuntungan dan manfaat perekonomian secara adil dan saksama.

Demikianlah prinsip dan kaedah asas yang perlu ada dalam setiap transaksi mu’amalah / ekonomi Islam suapaya ianya selari dengan kehendak syarak.

___________________________________________________

BAB II

APLIKASI SEMASA

2.1 PENDAHULUAN

Setelah kita mengetahui segala kaedah yang menjadi prinsip asas syariat dalam menilai sesuatu amalan atau transaksi mu’amalah / ekonomi Islam samada selari atau bercanggah dengan syarak , marilah kita mengaplikasikan segala prinsip atau kaedah tersebut dalam suatu sistem perniagaan yang terdapat di Malaysia sebagai melihat sejauh mana teori tersebut menilai kesahihan transaksi mu’amalah yang berlaku dalam perniagaan tersebut.

2.2 PERNIAGAAN MLM ( Multi-level Marketing )

Dalam bab ini , insya Allah penulis akan membuat penilaian terhadap operasi atau transaksi mu’amalah yang diguna pakai dalam perniagaan MLM samada secara asas atau kaedah , adakah ianya selari atau bercanggah dengan prinsip-prinsip syariat.

2.3 SEBAB MEMILIH INSTITUSI MLM

Dewasa ini , perniagaan MLM adalah salah satu bentuk perniagaan yang menjadi pilihan masyarakat dalam menyelesaikan masalah kewangan dengan tujuan menambah pendapatan dan tak kurang juga yang ingin mencari jalan singkat untuk cepat kaya dan sebagainya.

Malah kemunculan berbagai-bagai bentuk dan cara atau kaedah perniagaan MLM dalam pasaran tempatan yang seperti cendawan tumbuh ini juga adalah merupakan sebab utama penulis memilih institusi ini sebagai memudahkan masyarakat awam membuat penilaian yang mana satu jenis perniagaan MLM yang selari atau bercanggah dengan prinsip syarak sebelum membuat keputusan untuk menceburkan diri dalam bidang tersebut.

Amatlah penting untuk kita mengetahui jenis-jenis perniagaan MLM tersebut dari sudut halal dan haramnya kerana kita tidak mahu terjebak ke dalam dosa secara berterusan.

2.4 PENGERTIAN MLM

Secara umumnya MLM adalah suatu cara perniagaan alternatif yang berkaitan dengan pemasaran yang dilakukan melalui banyak ‘level’ yang biasa dikenali dengan istilah ‘upline’ dan ‘downline’.Ada antara syarikat MLM yang menjual barang / produk dan ada juga yang hanya mencari ahli seberapa banyak yang mungkin , kerana dengan setiap kemasukan ahli baru dbawah kita akan mendatang keuntungan yang berganda.

2.5 ANTARA HUKUM SYARAK TERHADAP PERNIAGAAN MLM

2.5.1 Kategori syarikat MLM yang menjual produk dengan harga yang lebih tinggi.

Secara umumnya , perniagaan seperti ini , iaitu menjual produk yang diperjualbelikan dalam sistem MLM dengan harga yang jauh lebih tinggi atau mahal daripada biasa adalah satu perniagaan yang tidak digalakkan dalam Islam.Jualan ini diistilahkan oleh ulama fiqh sebagai ‘Ghabnun Fahisyh’ (tipu daya yang keji ) dalam perniagaan.Para ulama meletakkan hukumnya antara yang harus , makruh dan haram.Ianya sebagai suatu kezaliman jika berlaku kepada orang yang tidak mengetahui selok belok harga barang.

2.5.2 Jualan ‘ target’ sebagai syarat komisyen.

Maksud jualan target sebagai syarat komisyen ialah , seseorang yang menjadi ahli dalam sesuatu jenis perniagaan MLM dikenakan syarat supaya menjual atau mengekalkan jualan harian atau mingguan atau bulanan produk syarikat dalam jumlah yang telah ditetapkan sebagai syarat untuk mendapatkan komisyen daripada hasil jualan orang bawahannya.Sebagai contoh , anda dikehendaki menjual setiap bulan sebanyak RM 300 , atau sebanyak 2000 pv sebagai syarat melayakkan anda mendapatkan bonus atau komisyen hasil jualan seluruh ahli kumpulan atau orang bawahan anda. Jika tidak , anda hanya akan mendapat komisyen daripada jualan peribadi anda sahaja.

Secara asasnya hukum mengambil komisyen atas usaha menjual sesuatu barangan adalah harus disisi syarak.Cuma , komisyen dalam hal MLM yang bersandarkan kepada sistem ‘piramid’ ini boleh bertukar menjadi haram apabila :

Komisyen yang akan diperolehi hasil daripada jualannya itu diikat atau bersangkut dengan komisyen jualan rangkaiannya , atau orang bawahannya.Ini kerana dari sudut syarak , ianya terdapat unsur pemaksaan , disamping syarat yang tidak sah dalam masalah perwakilan dan terdapatnya unsur-unsur perjudian.

Komisyen yang diperolehinya adalah datang daripada hasil jualan orang bawahan yang langsung tidak dikenalinya kerana rangkaian ‘downline’ nya yang telah terlalu banyak dan jauh ke bawah.Ini seolah-olah menjadikan orang atasan mendapat untung atas angin tanpa sebarang kerja dan usaha lagi.Hal ini termasuk dalam istilah atau hukum memakan harta orang lain dengan batil selain terdapat unsur judi.(surah an-Nisa’ ayat 29 )

2.5.3 Perniagaan MLM yang tidak mempunyai produk untuk dijual.

Seorang ahli yang hanya dikenakan yuran pendaftaran sebagai ahli tanpa diberikan sebarang produk untuk dijual atau diniagakan dan hanya dengan mencari orang bawahan atau ahli baru (downline) untuk sama-sama mendaftar sebagai ahli yang mana ‘pencari’ ahli baru tersebut akan mendapat ‘habuan’ atau ‘imbuhan’ segera iaitu beberapa peratus daripada yuran keahlian peserta / ahli baru tersebut adalah salah satu lagi perniagaan MLM yang diharamkan dalam Islam.Semakin banyak ahli yang mendaftar sebagai ‘downline’ kita , maka semakin banyak jugalah duit komisyen atau bonus yang akan kita perolehi hasil daripada duit yuran keahliannya.

Perniagaan seperti ini adalah berbentuk riba , kerana memperdagangkan sejumlah wang untuk mendapatkan sejumlah wang yang lebih banyak yang lain di masa hadapan.Ia merupakan satu bentuk riba Nasiah dan riba al-Fadhl.

2.5.4 Perniagaan MLM yang menjual barang / produk yang haram.

Dalam hal ini, iaitu jika terdapat syarikat-syarikat MLM yang menjual produk-produk yang terdiri daripada barangan haram , maka hukumnya juga cukup jelas dan terang , iaitu haram.Ini kerana Rasulullah saw telah melarang jual beli arak dan beberapa barang lain yang memabukkan , babi dan barang yang dibuat daripadanya , patung , gambar dan sebagainya.[29]

Maka dalam hal ini , apabila barang atau produk yang dijual itu adalah barang-barang yang diharamkan syarak , maka dari segi kaedahnya , duit yang diperolehi hasil daripada jualan barang tersebut juga adalah dikira haram juga.Rasulullah saw pernah bersabda dalam menerangkan hal tersebut :

إن الله إذا حـــــرم شيئا حـــرم ثمنه

“Sesungguhnya apabila Allah swt mengharamkan sesuatu benda , diharamkan juga harganya” [30]


2.6 KESIMPULAN DAN CADANGAN

Berdasarkan kepada apa yang telah dibentangkan di atas , maka secara kesimpulannya bolehlah dikatakan di sini bahawa hampir kebanyakan jenis-jenis perniagaan MLM yang berada dalam Malaysia kita menjurus kepada tidak sahnya perniagaan tersebut disisi syarak.Ini kerana sistem operasinya mengandungi beberapa unsur-unsur yang tidak dibenarkan oleh syarak seperti adanya unsur riba , penipuan , penindasan dan sebagainya.Malah , kalau kita lihat kepada falsafah ekonomi / mu’amalah Islam seperti yang telah dijelaskan di atas , perniagaan MLM ini tidak menjurus kepada 5 falsafah tersebut.

Dalam hal ini , para pengguna atau masyarakat hendaklah sentiasa berhati-hati dalam memilih untuk melabur atau menjadi ahli dalam mana-mana perniagaan secara MLM supaya kita tidak merasa tertipu atau dizalimi dan yang paling penting sekali ialah tidak sentiasa menanggung dosa semasa menjalankan sebarang transaksi dalam perniagaan tersebut.

Apa yang dapat penulis cadangkan dalam memastikan sesuatu perniagaan itu khususnya MLM bersih dan bebas daripada amalan-amalan yang tidak sah atau tidak selari dengan prinsip syarak ialah dengan mewujudkan sebuah badan atau institusi kajian berautoriti penuh yang berteraskan syari’ah diperingkat negeri dan pusat dalam menilai dan mengesahkan sesuatu perniagaan tersebut adalah halal dan selamat dijalankan dikalangan umat Islam.

Dengan kelahiran dan kemunculan berbagai-bagai jenis pelaburan dan perniagaan yang mempunyai sistem dan cara transaksi yang bermacam-macam , samada dalam bentuk yang jelas dan nyata atau pun dengan kaedah yang kabur dan tidak jelas semasa aqad dibuat , akan menyebabkan ramai umat Islam terjebak dalam transaksi perniagaan yang tidak sah dan haram disisi syarak lantaran ilmu yang cetek dalam memahami konsep permu’amalahan / perekonomian Islam.

Untuk itu satu institusi kajian yang mempunyai autoriti penuh dalam membuat kajian dan penyelidikan sama ada secara formal atau tidak formal terhadap segala jenis perniagaan atau pelaburan atau apa saja produk perbankan , perlu ditubuhkan. Hasil daripada kajian tersebut dapat membantu umat Islam membuat penilaian dan pemilihan yang tepat dan sesuai dengan konsep dan prinsip syarak.


PENUTUP

Sebagaimana yang telah dijelaskan bahawa Islam tidak melarang umatnya berjual beli , tetapi dengan syarat-syarat dan prinsip yang selari dan bertepatan dengan kehendak syarak.

Sesuatu amalan atau aktiviti perniagaan atau pelaburan yang tidak bercanggah dengan prinsip syarak , akan dikira sebagai suatu transaksi yang sah dan diterima dalam Islam.Manakala yang bercanggah dan tidak selari akan terbatal dan tidak sah disisi syarak serta haram diamalkan.

Semoga dengan kajian yang ringkas ini akan dapat memberikan sedikit input dan maklumat kepada kita dalam menjalani kehidupan bermu’amalah secara Islam.

Sekian.

___________________________________

RUJUKAN DAN BIBLIOGRAFI

1. Al-Quran al-Karim , mushaf rasm Uthmani.

2. Tafsir al-Quran , terjemahan Indonesia.

3. Al-Imam al-Hafiz Abi Abdullah Muahammad bin Ismail al-Bukhari , Sohih al-Bukhari , Syarah Fathu al-Bari , terbitan maktabah Riyadh al-hadisah , 2000.

4. Al-Imam al-Hafiz Muslim bin al-Hujjah al-Naisaburi , Sohih Muslim , Syarah Imam al-Nawawi , terbitan Dar al-Fikr , Beirut , 2001.

5. Al-Hafiz Abi Isa Muhammad bin Isa bin saurah al-Tirmidzi , Sunan al-Tirmidzi , terbitan Dar fikr li al-toba’ah wa al-Nasyr wa al-tauzi’ , Beirut , 1999.

6. Al-Imam Ahmad bin hanbal , Musnad , terbitan al-Maktab al-Islami , Kaherah , 1998.

7. Mohd Radzi Othman & Ghafarullahhuddin Din , Ekonomi dalam perspektif Al-Quran dan Al-Sunnah , 2005 , terbitan Universiti Sains Malaysia.

8. Dr Yusof Al-Qardhawi , 2000 , al-Halal wa al-Haram fi al-Islam , Terbitan Maktabah Wahbah , Kaherah , Mesir.

9. Abd.Rahman I.Doi , Syari’ah , the Islamic Law , , edisi terjemahan Undang-undang Syari’ah ,Rohani Abd Rahim , Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia , 1995.

10. Akhbar Harakah ., bil 1330 , 1-15 Mac 2007 , hlm.27

11. Nota kuliah , Fiqh Mu’amalat , Prof Madya Dr Hailani Muji Tahir , Universiti kebangsaan Malaysia , Bangi.

12. Himpunan Nota Kuliah , Sistem Ekonomi Islam (PA 6053) , Universiti Kebangsaan Malaysia , Bangi

13. Dr Haron Din , Manusia dan Islam , Jilid 3 , Dewan Bahasa dan Pustaka,1990.



[1] Al-quran Al-karim , surah An-Nahl 16 : 9

[2] Mohd Radzi Othman & Ghafarullahhuddin Din , Ekonomi dalam perspektif Al-Quran dan Al-Sunnah , 2005 , hlm.110.

[3] Al-Quran Al-Karim , surah Al-An’am 6 : 82

[4] Mohd Radzi Othman & Ghafarullahhuddin Din , Ekonomi dalam perspektif Al-Quran dan Al-Sunnah , 2005 , hlm.110 & 124

[5] Al-Quran Al-Karim , surah Al-Hadid 57 : 7

[6] Mohd Radzi Othman & Ghafarullahhuddin Din , Ekonomi dalam perspektif Al-Quran dan Al-Sunnah , 2005 , hlm.127

[7] Ibid , hlm. 110

[8] Al-Quran Al-Karim , surah Al-Anfal 8 : 27

[9] Al-Quran Al-karim , surah Al-Hujurat 49 : 13

[10] Al-Quran Al-karim , surah As-Shams 91 : 9 , 10

[11] الحلال والحرام في الاســـــــلام , Dr Yusof Al-Qardhawi , 2000 , hlm.228

[12] Al-Quran Al-Karim , surah An-Nisa’ 4 : 29

[13] Al-Quran Al-Karim , Surah Al-Baqarah 2 : 278 , 279

[14] Hadis Sohih Muslim , Kitab Iman , Jilid 1 no 183 , Sunan Al-Tirmidzi , Bab Buyuc , no 1331

[15] الحلال والحرام في الاســـــــلام , Dr Yusof Al-Qardhawi , 2000 , hlm.228

[16] Syari’ah , the Islamic Law , Abd.Rahman I.Doi , edisi terjemahan :Undang-undang Syari’ah ,Rohani Abd Rahim , 1995 , hlm.448

[17] Ibid , hlm.492

[18] Hadis riwayat Imam Ahmad dalam Musnad nya

[19] Hadis riwayat al-Bukhari 5372 , Muslim 2782 , al-Tirmizi 1152 , Abu Daud 2933.

[20] Hadis riwayat al-Tirmizi 1155

[21] Hadis riwayat al-Tirmizi 1154

[22] Hadis riwayat al-Bukhari 2002 , 2055 , 5372 , 5373

[23] Hadis riwayat al-Bukhari 2525 , 6448 , Muslim 2791 , 2792.

[24] Hadis riwayat Muslim 2791.

[25] Hadis riwayat al-Bukhari 1996 , 2014 , 2113 , Muslim 2791 , 2798.

[26] Al-Quran Al-Karim 4 : 29

[27] Al-Quran al-Karim , surah Ar-Rahman 55 : 9

[28] Al-Quran Al-Karim , surah Al-Mutoffifin , 83 : 1,2,3

[29] Akhbar Harakah ., bil 1330 , 1-15 Mac 2007 , hlm.27

[30] Hadis riwayat Ahmad dalam Musnad , no 2546

About these ads

2 Responses to “MU’AMALAT MENURUT ISLAM”

  1. zamani 21/11/2013 at 8:42 am #

    minta maaf. saya ada buat salinan. entri ini. minta saudara halalkan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 56 other followers

%d bloggers like this: