CATATAN AL-JAWHAR @ ABU FATHI AL-YAMANI

الـــــراجي رحمـــــة ربه الجـــواد

Archive for June, 2008

BILA SEBUT PASAL BERJUANG………

Posted by aljawhar on 28 June, 2008

Bila sebut pasal berjuang,ramai yang akan angkat tangan untuk turut serta dalam perjuangan.Tak kiralah apa jua jenis perjuangan, pasti akan ada yang merelakan diri mereka untuk berjuang.

Bila sebut pasal berdakwah , ramai juga yang seakan-akan berminat dengan ‘kerjaya’ dakwah ini. Sehinggakan ada yang sanggup berhenti kerja yang gajinya RM 3k ke atas semata-mata ingin berkecimpung secara langsung dalam arena dakwah.Alasannya , aku berdakwah bukan kerana wang ringgit atau mengejar nama,tapi kerana ingin menunaikan tanggungjawab sebagai khalifah Allah swt di muka bumi-Nya ini.

Apa yang pelik dan menjadi persoalannya , adakah berdakwah ini hanya dengan me’masuk’kan diri kedalam bidang dakwah secara formal , baru dikatakan kita telah menunaikan tanggungjawab sebaggai khalifah Allah swt.??

Apakah seseorang yang tidak mahu berhenti kerja kerana mahu berdakawah , tidak dianggap telah menunaikan tanggungjawab tersebut??…..Malah , dikatakan pula orang ini seorang yang tidak beriman kepada Allah swt dan ajaran Islam itu sendiri??….

Bagaimana pula dengan sesetengah orang yang sanggup berhenti kerja semata-mata kerana ingin berdakwah sehingga kadang-kadang terlupa atau sanggup melupakan tanggungjawab lain , terutama pada keluarga , dianggap telah berdakwah??….

Itu belum sentuh lagi soal niat dan tujuan sebenar usaha dakwah itu dilakukan…Ada orang kata , dia ikhlas berdakwah kerana Allah swt…Dia tidak mahukan ganjaran duniawi…Dia tidak mahu gelaran yang hebat-hebat….dia juga tidak mahu pada nama dan kedudukan yang selalunya akan di ‘kalung’kan oleh masyarakat kepada para pendakwah , seperti Al-Ustaz , As-Syaikh al-kabir , Al-‘Allamah , Al-….Al-…Al-…dan bermacam-macam AL lagi yang ntah apa-apa yang mana selalunya hanya indah khabar dari rupa….

Ikhlas tidak hanya dengan menyebut dibibir…Ia selalunya perlu kepada ujian yang akan menentukan sejauh mana ikhlas kita dalam berdakwah…… Allah swt tidak akan membiarkan hamba-Nya berkata-kata “,Sesungguhnya aku adalah orang beriman kepada Allah”, tanpa dirinya diuji dan dengan ujian-ujian yang dapat menilai dan membuktikan , adakah benar mereka ini beriman atau hanya sekadar ucapan yang meniti dibibir sebagai penyedap telinga yang mendengar.

Firman Allah swt dalam surah al-‘Ankabut ayat : 2

أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آَمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ

“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?”

Pada ketika inilah , iaitu pada waktu ujian dan dugaan Allah swt sampai kepadanya , mereka-mereka yang dahulunya mendakwa bahawa mereka adalah orang-orang yang beriman dan berjuang dengan penuh keikhlasan inilah yang akan mula-mula melenting , melatah dan ‘mengamuk’ dengan kata-kata yang jelek didengar , malah tak kurang juga yang akan membuat tuduhan demi tuduhan kepada siapa-siapa saja yang dirasakan menjadi penyebab ‘musibah’ itu datang kepadanya.

Mana perginya , kata-kata yang diucapkan dulu , yang kononya lahir dari hati yang suci murni bahawa perjuangannya dalam Islam dan dakwah itu adalah semata-mata ‘ikhlas’ kerana Allah swt……

Apakah hanya dengan sedikit sahaja musibah dan cubaan yang diturunkan Allah swt padanya , telah melenyapkan niat ikhlasnya dalam berjuang??…. Apakah bila terkena ujian yang sedemikian terus saja kita meletakkan kesalahan atau penyebab utama perkara itu pada bahu individu-individu tertentu??….

Mana perginya kata-kata Saidina Umar Al-Khattab yang selalu disebut-sebut dalam ceramah dan juga ketika asyik dok menasihati orang lain.

حاسبوا أنفسكم قبل أن تحاسبوا، وزنوا أنفسكم قبل أن توزنوا

“Hisab diri kamu sebelum kamu dihisab , dan timbanglah (Hitunglah) diri kamu sebelum kamu ditimbangkan (dihitungkan)”

Kenapa ?? dan Mengapa ??……Sebab apa jadi begitu??…..Kalau pun benar sekali , ada individu tertentu yang menjadi penyebab kita diitimpa musibah dan ‘petaka’ , tak bolehkah kita maafkan dan biarkan saja mereka itu dengan rancangan jahat dan keji mereka itu dengan menyerahkan sepenuhnya pembalasan dan pengadilan kepada Allah ‘Azza Wa jalla…..Seperti mana sebuah hadis Rasulullah saw :

أفضل الفضائل أن تصل من قطعك وتعطي من حرمك وتصفح عمن ظلمك

Sebaik-baik kelebihan ialah kamu menyambung silaturrahim kepada orang yang ingin memutuskannya , dan kamu memberi kepada mereka yang tak pernah memberi (kepada kamu) , dan kamu memaafkan terhadap sesiapa yang menzalimi kamu.

(HR Muaz bin Anas , dinilai DHOIF oleh Al-Albani dalam Silsilah Ad-Dho’ifah : 2856)

Fikir….fikirkan lah….renunglah kembali , apakah betul kita ni benar-benar ikhlas dalam berjuang untuk agama Allah ini??….Apakah benar kita ni berdakwah bukan kerana ingin mengejar populariti atau nama dan kedudukan di mata masyarakat ??…..

DIMANAKAH KITA SEBENARNYA???……

Posted in FIKRAH KU | 2 Comments »

BAGAIMANA KEMUNGKINAN UNDANG-UNDANG ISLAM DAPAT DILAKSANAKAN DI ZAMAN MODEN – Bahagian 6

Posted by aljawhar on 28 June, 2008

6.2 Keadaan zaman yang sentiasa berubah dengan syariat yang lama.

Islam yang wujud 1400 tahun dahulu , tidak sama dengan Islam yang wujud sekarang.Zaman Rasulullah saw, para sahabat dan tabicin menggunakan unta sebagai pengangkutan , tetapi di zaman sekarang kita ada kereta , kapal terbang , keretapi , komuter dan sebagainya.Di sudut ekonomi , terdapat bank-bank yang menyediakan berbagai-bagai jenis perkhidmatan yang menggunakan prinsip dan kaedah yang berbeza-beza , terdapat juga pengeluaran produk secara meluas untuk dieksport , diagih-agihkan serta kemunculan program insurans nyawa dan harta benda.

Wanita di zaman Rasulullah tidak bekerjaya , tetapi di zaman ini wanita dan lelaki berlumba-lumba dalam pekerjaaan samada sektor swasta mahupun kerajaan , kilang-kilang , pejabat-pejabat , sekolah , kolej hinggalah kepada sektor pembinaan.Masing-masing bersesak-sesak ditempat kerja.

Perubahan juga berlaku dari sudut politik kenegaraan , dengan tertubuhnya sistem berparlimen , demokrasi, pemisahan dan pembahagian kuasa , pilihanraya sebagai medan memilih pemimpin dan kerajaan kebebasan mengkritik , bersuara dan meluahkan pendapat terhadap kerajaan dan banyak lagi perubahan-perubahan dari masa ke semasa.

Inilah di antara kenyataan yang berlaku dan menjadi salah satu halangan terbesar dalam pelaksanaan undang-undang Islam.Perubahan-perubahan ini akan mengakibatkan umat Islam berasa kurang yakin dan percaya dengan kemampuan undang-undang Islam yang dianggap oleh mereka sebagai undang-undang zaman unta atau undang-undang padang pasir.Secara rngkasnya penulis akan menjawab permasalahan ini dengan hujah dan pendapat seorang ulama dan cendikiawan Islam terulung abad ini iaitu As-Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi.Sebenarnya persoalan tersebut memerlukan kepada perbahasan yang agak panjang , tetapi memandangkan ini adalah kajian ringkas dan penulis tidak mahu memanjangkannya , maka cukuplah jawapan dari As-Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi ini sebagai jawapan yang terbaik dari penulis.

As-Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi memberikan jawapan sebagai berikut :

Syarat pertama dan paling penting ialah dengan membuka pintu ijtihad semula bagi yang mampu melakukannya dan kembali kepada apa yang telah dipegang oleh golongan salaf umat ini iaitu membebaskan diri daripada taksub mazhab khususnya yang berkaitan dengan perundangan untuk masyarakat keseluruhannya.Tidak terdapat pada kita nas daripada Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah saw yang mewajibkan kita bertaqlid dengan mereka dalam apa yang telah mereka ijtihadkan dan mengambilnya sebagai agama dan syarak hingga ke hari kiamat.[1]

Maknanya ialah dengan membuka kembali pintu ijtihad akan membolehkan para ilmuan dan sarjana Islam mencari penyelesaian terhadap segala masalah atau perkara baru yang muncul di zaman moden yang tidak ada hukum atau yang tidak pernah berlaku di zaman Rasulullah saw.

Seterusnya Dr Yusuf menjelaskan tentang perkara-perkara yang perlu diambil kira oleh para ilmuan dan sarjana Islam dalam melakukan ijtihad :

Pertama , ialah mengkaji semula warisan fiqh kita yang agung dengan pelbagai alirannya ,mazhabnya dan pendapat-pendapatnya yang diterima pakai, khususnya pendapat para sahabat , tabiin , dan murid-murid mereka pada pelbagai zaman dan tempat untuk memilih pendapat yang paling rajih padanya dan kesesuaiannya untuk memenuhi maqasid-maqasid syaricah dan untuk mewujudkan kepentingan umat pada zaman kita berdasarkan apa yang wujud daripada keadaan dan suasana.

Kedua , kembali kepada sumber asal iaitu Al-Quran dan As-Sunnah yang sahih dan yang ketiga , berijtihadlah dalam pelbagai masalah dan keadaan yang baru yang tidak diketahui oleh para fuqaha kita yang lalu dan mereka tidak pernah mengeluarkan hukum dalam perkara yang seperti itu.Ini adalah untuk mengeluarkan hukum yang sesuai dengannya berdasarkan dalil-dalil syarak. [2]

Inilah yang dikatakan kesyumulan atau kesempurnaan Islam. Memang sesungguhnya syariat Islam mampu untuk menghadapi perubahan dan menyelesaikan semua masalah-masalah moden yang mendatang serta memimpin kehidupan manusia berdasarkan petunjuk Allah dan Rasul-Nya.

7. LANGKAH-LANGKAH KE ARAH PERLAKSANAAN SYARIcAH

Memandangkan undang-undang Islam telah lama terpinggir dari arus perdana perundangan disebabkan angkara penjajahan , maka langkah-langkah tertentu perlu diambil dan dilaksanakan oleh kerajaan sesebuah negara Islam untuk mengembalikan semula undang-undang Islam supaya dapat dilaksanakan dalam masyarakat.

Langkah-langkah tersebut ialah :

a) Mewujudkan institusi kajian yang berautoriti.

b) Membina kesedaran masyarakat tentang kepentingan undang-undang Islam

c) Menggubal undang-undang Islam dalam bentuk akta dan statut.

d) Menguatkuasakan undang-undang Islam secara berperingkat-peringkat.

Langkah a , b dan c adalah langkah-langkah yang digariskan oleh Profesor Madya Dr Abdul Halim El-Muhammady dalam pembentangan kertas kerjanya yang bertajuk :Undang-undang Islam di beberapa negara Islam selepas Merdeka , semasa Seminar Perundangan Syariah yang telah diadakan pada 10hb Disember 2003 , anjuran bersama Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan , IKIM dan Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Manakala langkah terakhir adalah langkah atau perkara yang dapat penulis cadangkan sebagai pelengkap kepada ketiga-tiga langkah sebelumnya.

Melihat kepada undang-undang Islam yang telah lama ditinggalkan dan terhenti perkembangannya dalam aspek perlaksanaannya , maka kajian yang menyeluruh dalam semua aspek diperlukan untuk menjadikan undang-undang Islam itu relevan dan dapat dilaksanakan dalam masyarakat masa kini.Selain itu kajian terhadap undang-undang yang diamalkan dalam masyarakat juga perlu dibuat untuk menentukan kedudukan undang-undang yang dilaksanakan itu sama ada bercanggah dengan Islam atau tidak.Maka dengan kajian ini akan jelas kepada kita antara undang-undang yang tidak bercanggah dengan syariah yang perlu dikekalkan dengan undang-undang yang bertentangan dengan syariah yang perlu dihapuskan.[3]

Untuk itu satu institusi kajian yang mempunyai autoriti penuh dalam membuat kajian dan penyelidikan sama ada secara formal atau tidak formal perlu ditubuhkan. Hasil daripada kajian tersebut hendaklah dijadikan sebagai kayu pengukur dalam melaksanakan perundangan Islam.

Seterusnya kesedaran dikalangan masyarakat hendaklah dipupuk dengan menyalurkan bahan-bahan dan maklumat mengenai kepentingan undang-undang Islam melalui pengedaran risalah-risalah dan penerbitan majalah atau makalah secara berkala atau tidak berkala , akhbar-akhbar , radio , televisyen , seminar-seminar , wacana-wacana ilmiah , khutbah jumaat dan sebagainya.Selain daripada itu salah satu cara yang berkesan dalam menjadikan seseorang individu dalam masyarakat itu celik undang-undang ialah dengan menjadikan undang-undang Islam sebagai salah satu subjek wajib dalam kurikulum pendidikan terutama di peringkat menengah dan pengajian tinggi.Bila ini dapat dilakukan , maka sebahagian besar masyarakat akan dapat memahami dan menghayati undang-undang Islam secara lebih berkesan dan sempurna.

Umum mengetahui bahawa khazanah perbendaharaan ilmu-ilmu Islam itu cukup banyak dan tidak dapat dihitung bilangannya.Dalam ilmu fiqh sahaja ianya berkembang dengan begitu pesat sehingga terbentuk mazhab fiqh yang empat.Kesemuanya memperlihatkan kepada kita bahawa ilmu Islam itu sudah cukup meliputi semua aspek dalam kehidupan.Justeru itu satu cadangan bagi menjadikan atau menyusun undang-undang Islam dalam bentuk akta dan kanun atau statut supaya ianya lebih baik dengan sistemnya yang tersusun dan memudahkan para pengamal undang-undang sama ada hakim , peguam atau pihak-pihak lain yang terlibat merujuk kepadanya .

Langkah terakhir yang perlu dilaksanakan ialah dengan menguatkuasakan undang-undang Islam yang telah digazetkan dalam perlembagaan negara secara berperingkat-peringkat atau beransur-ansur.Ini bertujuan supaya masyarakat Islam yang telah sebati dengan dunia moden dapat menerima undang-undang Islam dengan baik tanpa sebarang masalah.Ia juga bagi menjamin kestabilan dan kepentingan umum (maslahah umum) semua rakyat sesebuah negara.Masyarakat Islam sekarang telah lama meninggalkan perundangan Islam.Mereka kemudiannya telah menjadikan segala tasawur dan budaya masyarakat barat sebagai ikutan.Berbagai-bagai kemajuaan dan hiburan yang menjurus kepada perbuatan keji dan hina yang diamalkan oleh masyarakat Islam lantaran tidak ada penguatkuasaan undang-undang Islam yang melarang mereka daripada melakukannya serta hukuman atau siksaan yang wajib dikenakan kepada individu muslim yang melanggar undang-undang.Maka dalam hal ini , penguatkuasaan undang-undang dibuat secara beransur-ansur dalam menjadikan ianya perundangan yang diterima pakai oleh setiap individu dalam sesebuah negara.

Perlaksanaan undang-undang Islam ini juga boleh dimulakan dengan mengambil kira kadar jenayah yang paling tinggi dilakukan dalam masyarakat , seperti mencuri / merompak dan kesalahan zina serta kesalahan meminum minuman yang memabukkan iaitu arak dan sebagainya.Sesungguhnya kaedah pelaksanaan atau penguatkuasaan undang-undang secara berperingkat-peringkat ini adalah kaedah yang Allah swt laksanakan kepada masyarakat Islam di zaman Rasulullah saw semasa mahu mengharamkan sesuatu perkara.Ini kerana Islam muncul ketika masyarakat Arab berada dalam kebebasan yang yang terlalu luas.Mereka tidak mahu kemahuan mereka yang tidak terbatas itu disekat.Jiwa mereka telah dipengaruhi oleh adat istiadat dan tradisi-tradisi yang tidak mungkin dapat dibuang dengan serentak.Maka dengan kebijaksanaan Allah swt yang Maha Mengetahui tidak mahu menakut-nakutkan mereka dengan berbagai hukum sekaligus yang mungkin membebankan dan menimbulkan perasaan benci.[4]

Ke empat-empat langkah yang telah penulis sebutkan tadi adalah perkara yang perlu diambil perhatian yang serius dalam usaha melaksanakan perundangan Islam , agar ianya lebih berkesan dan praktikal di zaman moden.

Bersambung disiri ke 7…………..


[1] Dr Yusuf Al-Qardhawi , شريعة الاسلامية صالحة للتطبيق في كل زمان ومكان , edisi terjemahan , Pelaksanaan Syariah Islamiah sesuai pada setiap tempat dan masa , Juanda Hj Jaya , 1998 , hlm.98

[2] Sama di atas , hlm.101

[3] Prof. Madya Dr Abdul Halim El-Muhammady , Undang-undang Islam di beberapa negara Islam selepas Merdeka , Kertas kerja Seminar perundangan Syariah pada 10 Dis 2003 , IKIM

[4] Dr Haron Din , Manusia dan Islam , Jilid 2 , 1991 , hlm.136

Posted in FIQH JINAYAH | 2 Comments »

PENGUMUMAN

Posted by aljawhar on 18 June, 2008

ASSALAMUALAIKUM W.T.H…..Kepada ikhwah sekalian ,

Penulis mungkin tidak dapat meng’update’ kan laman blog ini dalam suatu tempoh masa disebabkan line Celcom Broadband 3G mengalami gangguan yang menyebabkan penulis tidak dapat melayari internet. Segala kesulitan amatlah dikesali dan penulis memohon maaf atas apa yang berlaku..

Posted in ISU-ISU SEMASA | Leave a Comment »

HAD PUKUL ANAK

Posted by aljawhar on 15 June, 2008

Saya ingin tahu cara mdidik anak secara tepat. Apakah kita dibenarkan pukul anak, dan apakah had-had pukul anak. Apakah hanya dibenarkan menggunakan tangan semata-mata atau rotan juga dibenarkan. Ketika ini anak saya berumur 2 tahun lebih dan ketika ini anak sekecil itu perlukan kawalan disebabkan keaktifannya. Kawalan, kadang2 perlu juga memarahi (terkadang pukul) bagi mengawal anak dari perilaku yg kita tidak suka. persoalannya, apakah had pukul anak.

___________________________________________

Bismillahi wal hamdulillah ,

Al-Jawab :

Islam amat menitik beratkan soal pendidikan terhadap anak-anak.Ini kerana pendidikan yang betul dan menepati kehendak syarak , in sya Allah akan melahirkan anak yang beriman serta mentaati perintah Allah swt dan Rasul-Nya.Sebagaimana Firman Allah swt dalam surah al-Tahrim ayat 6 :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا

“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka”

Apa yang menjadi persoalan sekarang ini ialah , apakah dibolehkan anak itu dipukul dan apakah pula had pukulan yang dibenarkan dalam Islam , jika Islam mengizinkan pukulan semasa dalam proses pendidikan terhadap anak-anak.

Apa yang penting ialah , hukuman adalah sesuatu yang disyariatkan dan termasuk salah satu sarana

pendidikan yang mendatangkan kesan dalam diri anak-anak.Namun berlebih-lebihan dalam menggunakan pukulan semasa proses pendidikan akan mengakibatkan kesan yang sebaliknya.

Ada beberapa kaedah dalam menggunakan pukulan dalam proses pendidikan seperti :

-  Tidak dipergunakan hukuman ini kecuali jika tidak ada cara lain lagi.

-  Pendidik tidak baleh memukul ketika dalam keadaan marah , karena dibimbangi akan membahaya dan mencederakan anak.

-  Tidak memukul pada bahagian-bahagian yang menyakitkan, seperti:wajah, kepala dan dada.

-  Pukulan bukanlah bertujuan untuk menyakitkan , tetapi sebagai pengajaran.

-  Tidak boleh dipukul anak yang berumur di bawah sepuluh tahun.Sebagaimana sabda Rasulullah saw :

مُرُوا أَوْلاَدَكُمْ بِالصَّلاَةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرِ سِنِينَ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِى الْمَضَاجِعِ

“Latihlah anak-anak kamu bersolat ketika usianya 7 tahun , dan pukullah mereka (jika tidak mahu menunaikan solat) diwaktu telah berumur 10 tahun , dan pisahkanlah tempat tidur mereka (antara lelaki dan perempuan)”

(Hadis Abu Daud , dinilai HASAN SAHIH oleh Al-Albani dalam Sahih wa Dhoif Sunan Abu Daud : 495)

Perlu diingat , bahawa kaedah pukulan adalah kaeah terakhir digunakan dalam mendidik anak , setelah pendekatan secara nasihat dan teguran tidak mendatangkan kesan pada si anak.

Walaubagaimana pun , anak-anak adalah ibarat kain putih yang tidak mengerti apa pun dalam muka bumi ini…Maka , didiklah ia dengan penuh kasih sayang tanpa ada rasa putus asa dengan meminta bantuan dan pertolongan dari Allah swt….Mudah-mudahan diberikan kekuatan oleh-Nya…in sya Allah.

WA

Posted in SOAL JAWAB FIQH | Leave a Comment »

BAGAIMANA KEMUNGKINAN UNDANG-UNDANG ISLAM DAPAT DILAKSANAKAN DI ZAMAN MODEN – Bahagian 5

Posted by aljawhar on 8 June, 2008

Dalil lain ialah dari firman Allah swt :

فَإِن جَآؤُوكَ فَاحْكُم بَيْنَهُم أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْ وَإِن تُعْرِضْ عَنْهُمْ فَلَن يَضُرُّوكَ شَيْئًا وَإِنْ حَكَمْتَ فَاحْكُم بَيْنَهُمْ بِالْقِسْطِ إِنَّ اللّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

“Oleh itu kalau mereka datang kepadamu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka; dan kalau engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun; dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” [1]

Firman Allah swt di atas adalah ditujukan kepada para hakim.Maksudnya kes-kes jenayah syarciyyah yang dilakukan oleh orang yang bukan Islam , pihak hakim boleh membicarakan kes itu dalam mahkamah syariah atau menolaknya (mengenepikan) kes itu untuk dibicarakan dalam mahkamah awam dan dihakimi oleh hakim mahkamah awam.[2]

Maka dengan ini , pengecualian yang diberikan kepada orang bukan Islam yang melibatkan hukuman hudud sahaja adalah satu kaedah yang telah digariskan oleh Islam bagi menjamin keadilan dan kesejahteraan umat manusia.

Meminjam kata-kata Ibn Al-Qayyim bahawa asas kepada syaricah adalah kearifan dan kebijaksanaan serta perlindungan kepada kepentingan manusia duniawi dan ukhrawi. Keseluruhan undang-undang syaricah adalah keadilan ihsan dan kebijaksanaan.Maka terpulanglah kepada badan kehakiman dan pegawai-pegawai perundangan di Mahkamah Syaricah untuk menunjukkan kepada masyarakat bahawa perundangan Islam bukanlah hanya terbaik dari aspek teorinya sahaja , bahkan juga terbaik dalam pelaksanaannya.[3]

Mungkin nanti akan timbul pula dakwaan dari segolongan orang Islam munafiq yang masih tidak puas hati dengan pelaksanaan undang-undang Islam dengan katanya “Mana boleh macam ni , kita dihukum dengan undang-undang Islam , sedangkan orang bukan Islam dihukum dengan undang-undang lain…….

Dalam hal ini , cuba kita perhatikan satu hadis Rasulullah saw yang diriwayatkan daripada cUbadah bin As-Somit yang katanya : Pada satu ketika disatu majlis kami duduk bersama-sama Rasulullah saw ,kemudian baginda saw telah bersabda : Hendaklah kamu berjanji dan mengaku kepada ku bahawa kamu sekali-kali tidak akan menyekutukan Allah swt dan tidak akan melakukan penzinaan dan tidak akan melakukan pencurian dan juga tidak akan membunuh orang yang diharamkan membunuhnya , kecuali dengan jalan yang hak.Sesiapa dikalangan kamu yang menyempurnakan (melaksanakan janji itu dengan sepenuhnya) maka ia akan menerima pahala dari Allah swt.Dan sesiapa yang melakukan sesuatu perkara dari apa yang dijanjikannya itu lalu mereka dijatuhkan hukuman hudud , maka hukuman yang diterimanya itu adalah menghapuskan dosa yang dilakukannya itu (mereka tidak akan diazab di akhirat). [4]

Daripada hadis di atas , perbuatan jenayah hudud yang dilakukan oleh orang Islam adalah satu perbuatan yang dianggap sebagai mencabul kepentingan dan hak Allah swt.Maka dalam kontek ini, setiap kesalahan yang dihukum dengan hukum Allah swt akan menghapuskan dosanya terhadap perbuatan jenayah yang dilakukan ,dan diakhirat nanti ianya akan terlepas daripada hukuman atau azab Allah swt.

Mengenai dengan orang bukan Islam yang melakukan jenayah syariyyah , walaupun mereka dijatuhkan hukuman hudud di dunia ini,mereka tetap tidak akan terlepas daripada azab dan siksaaan di akhirat dengan sebab kesyirikan dan kekufuran mereka terhadap Allah swt.Oleh itu tidak boleh ditafsirkan atau dianggap orang-orang bukan Islam yang melakukan jenayah syariyyah dalam Negara Islam tidak dikenakan dengan hukuman hudud , dan orang Islam yang melakukan jenayah dikenakan hukuman hudud sebagai sesuatu yang bersifat kejam , zalim dan tidak adil.[5]

Sebenarnya , alasan yang mengatakan bahawa bila dijalankan undang-undang Islam akan menimbulkan rasa tidak puas hati dan kemarahan orang bukan Islam adalah satu alasan yang lebih bersifat kepada penolakan terhadap undang-undang itu sendiri yang mana ianya kebanyakannya disuarakan oleh golongan yang mengaku beriman dengan Allah swt dan Rasul-Nya , tetapi hakikatnya golongan ini adalah parasit yang merosakkkan Islam itu sendiri.Ini jelas dapat kita lihat melalui sejarah-sejarah tamadun Islam yang pernah menjadikan perundangan Islam sebagai undang-undang negara.Malah golongan bukan Islam sendiri meminta untuk diadili mengkut perundangan Islam lantaran menyedari keadilan yang dibawa oleh Islam.

Satu contoh menarik yang dapat penulis nukilkan di sini sebagai renungan kita bersama ialah apa yang berlaku semasa pemerintahan Empayar Turki apabila salah seoarang daripada pekerja dari tempat pertapaan St.George yang mencuri sejumlah wang sebanyak 40 ribu pounds dan cuba melarikan diri ke Eropah.Dia kemudiannya ditahan di Jaffa oleh pegawai-pegawai kastam Turki dan dibawa balik ke Baitul Maqdis.Si penjenayah itu merayu pihak Mutasarrif dengan linangan air mata supaya ia didakwa mengikut undang-undang Islam , kerana tidak mahu diadili dengan undang-undang kristian.Tetapi , pihak berkuasa memberitahunya “ Maaf encik , tidak ada bidang kuasa bertindak bagi kami terhadap tempat pertapaan sedemikian.”.Kemudian selepas itu dia diserah kembali kepada para Rahib.[6]

Cerita di atas mempunyai 2 kesimpulan yang amat berguna untuk kita perhatikan.Pertama ialah , bagaimana orang bukan Islam iaitu pencuri tadi tidak mahu kesalahan yang dilakukannya diadili mengikut undang-undang kristian atau tempat pertapaan tersebut.Ia mahu diadili mengikut undang-undang Islam.Ini mungkin lahir daripada pengetahuan dan keyakinannya terhadap keadilan undang-undang Islam. Perkara kedua ialah bagaimana Islam sebagai sebuah agama yang menjadi dasar atau tunjang kepada sesebuah perlembagaan negara amat menitik beratkan soal kebebasan dan hak terhadap hal keagamaan bukan Islam dalam negara Islam.Cerita tersebut menunjukkan kepada kita , bahawa pihak Mutasarrif tidak boleh mendakwa atau menjatuhkan hukuman terhadap seseorang pesalah yang bukan Islam , lebih-lebih lagi dalam kes-kes yang melibatkan pihak rumah ibadat pesalah tersebut.Ini bagi menjamin kestabilan politik dan kemaslahatan umum supaya tidak belaku perkara-perkara yang boleh mencetuskan pergaduhan dan masalah kepada rakyat.

Orang bukan Islam yang inginkan keadilan semestinya akan memilih undang-undang Islam dalam menyelesaikan masalah yang berlaku , termasuk menjadikan mahkamah-mahkamah syariah sebagai “Palace of Justice” dalam memberikan hukuman terhadap kesalahan-kesalahan jenayah yang dilakukan.Mereka ini menganggap bahawa undang-undang ciptaan adalah undang-undang yang dicipta untuk menghukum dan menambahkan masalah , bukan seperti undang-undang Islam yang lebih bersifat kepada pencegahan dan menyelesaikan masalah.

Sebagai contoh , seseorang yang mencuri motosikal kalau mengikut pengadilan melalui mahkamah sivil ianya akan jatuhkan hukuman penjara 6 tahun (sebagai contoh ) setelah didapati bersalah atas hujah dan bukti-bukti yang dibawa oleh pihak pendakwa.Pesalah tersebut mempunyai seorang isteri dengan tangungan anak seramai 7 orang.Maka dalam hal ini si isteri dan 7 orang anaknya akan kehilangan tempat bergantung selama 6 tahun.Sewaktu si suami yang merupakan pesalah tersebut merengkok dalam penjara selama 6 tahun , selama itu jugalah si isteri dan si anak-anak tadi akan menagih simpati , mengemis belas dan kasihan orang ramai untuk menyara kehidupan sekeluarga.Pergantungan hidup selama ini kepada si suami telah terputus yang mungkin memakan masa 6 tahun.Anak-anak tidak mendapat pembelaan dan penjagaan yang sempurna dan isteri atau ibu kepada anak-anak tersebut akan menanggung penderitaan dan penyeksaan zahir dan batin yang terpaksa dihadapi sepanjang ketiadaan suaminya.Mampukah si isteri tadi menahan nafsu yang makin hari makin bergelora?? Mampukah juga ia memenuhi keperluan dan kehendak serta perbelanjaan hidup ke tujuh-tujuh orang anaknya?? Terdayakah ia menepis segala sumpah seranah , cacian dan makian masyarakat setempat kerana merasa benci dengan kesalahan yang dilakukan oleh suaminya ???……Siapakah yang akan bertanggungjawab ke atas kebajikan keluarga tersebut???…Adakah kerajaan yang menjatuhkan hukuman penjara tadi ???…Tentu sekali tidak.!!

Banyak laporan-laporan yang kita baca di muka-muka akhbar tentang gejala-gejala sosial yang buruk berlaku , seperti terdapat sesetengah isteri yang terpaksa melakukan pekerjaan-pekerjaan yang tidak bermaruah dalam usaha mencari rezeki untuk menanggung keluarga.Bagaimana pula dengan anak-anak yang membesar tanpa ayah disisi mereka yang dapat memberi kawalan dan mendidik mereka.Maka ini juga memberi kesan negatif.Inilah di antara faktor yang menyebabkan kepada berlakunya peningkatan masalah sosial dalam masyarakat sesebuah negara.Si suami yang dipenjara pula akan mengalami tekanan jiwa yang hebat semasa menjalani hukuman penjara yang dikenakan ke atasnya.Banyak kes-kes hubungan sejenis yang dilaporkan terjadi dalam penjara yang mengakibatkan ada antara mereka yang mendapat penyakit HIV dan telah membawa maut , serta apabila mereka ini keluar kelak akan menjadi penyebar utama kepada penyakit ini.[7]

Inilah yang dikatakan , hukuman daripada undang-undang ciptaan adalah hukuman yang berbentuk menghukum serta membawa kepada masalah baru

Bila dilihat kepada hukuman hudud Islam pula , seorang pesalah yang dikenakan hukuman hudud bagi kesalahan mencuri akan dikenakan hukuman potong tangan yang akan dijalankan ditempat terbuka dan disaksikan oleh masyarakat.Bila ini berlaku , masyarakat yang melihat akan merasa gerun dan takut untuk melakukan perkara yang sama iaitu mencuri dan pesalah yang dikenakan hukuman potong tangan tadi akan merasa menyesal dan sudah pasti akan terbit dihatinya satu janji dan tekad serta azam tidak mahu mengulangi perbuatan yang akan mengakibatkannya kehilangan sebelah lagi tangan.[8]

Selepas pelaksanaan hukuman hudud , si pesalah bebas untuk pulang kepangkuan keluarga.Si isteri akan tetap berada disamping suami dan anak-anak masih mempunyai ayah yang boleh memberikan perhatian dan didikan yang sempurna.Si pesalah tadi masih boleh lagi bekerja dan mencari nafkah untuk keluarga walaupun dengan kudrat sebelah tangan yang masih ada.

Inilah yang dkatakan sebagai hukuman yang berbentuk pencegahan dan penyelesaian terhadap masalah.

Bersambung di siri ke 6……………..

[1] Al-Quran Al-Karim , Al-Maidah 5 : 42

[2] Hj Said Hj Ibrahim (bekas mufti Sabah) , Pelaksanaan hukuman hudud dalam perundangan Islam , 1998 ,

hlm.118

[3] Siti Shamsiah Md Supi , Penghakiman mesti adil , Utusan Malaysia , 2 Februari 2007 , hlm.10

[4] Hadis , Al-Bukhari dan Muslim.

[5] Hj Said Hj Ibrahim (bekas mufti Sabah) , Pelaksanaan hukuman hudud dalam perundangan Islam , 1998 , hlm.123

[6] A.Rahman I.Doi , Non-Muslim under Syariah (Islamic law) , edisi terjemahan , Wan Azmil Ramli dan Dr Muhammad Ariffin , Orang bukan Islam dibawah Undang-undang Syariah , 1992 , hlm.183

[7] Ibnu Amal , Majalah Tamadun , 1999 ,bil.60 , hlm.27

[8] Sama di atas , hlm.28

Posted in FIQH JINAYAH | Leave a Comment »

APA NAK JADI DENGAN KITA ??

Posted by aljawhar on 5 June, 2008

Apa nak jadi dengan kita…….apa nak jadilah dengan kita ni…….apalah nak jadi dengan kita ni oooiiiii……….Kita pantang tengok orang buat itu dan buat ini….pantang nampak itu dan ini…….tak boleh lihat orang senang….walau masa makin singkat,walau hari makin senja,walau umur makin pendek,makin bertambah tambah dosa yang kita cari…….al-maklumlah….dari sudut pandangan kita,diri ni je yang sempurna….bagi kita orang lain tu jahat , orang lain tu banyak dosa,orang lain tu salah,orang lain tu tak betul……..tu lah dia manusia zaman kita , atau lebih tepat lagi manusia zaman sekarang , manusia yang dah berbalik ke zaman jahiliah….manusia dulu kala yang tak tahu erti INSAF.

Bisakah kita menghitung hari yang telah kita siakan? Malah tak terhitung jua dosa yang kita dah lakukan…..tak terhindar jua tepisan-tepisan fitnah yang meniti di bibir- bibir umat islam…….masih rindukah kita pada kedamaian fitrah antara manusia? Masih ingatkah kita kegembiraan manusia di sekeliling kita? Bahkan adakah kita masih lagi diingati oleh orang disekeliling kita , jika terlalu asyik menabur fitnah,terlalu leka mengambil kira perihal orang,terlalu seronok menilai kepribadian manusia lain dari luar……Apakah kita cukup baik untuk menilai? Cukup muliakah kita untuk menghina , mengeji dan memburuk-burukkan orang lain? Cukup matangkah untuk mengkritik? Bisakah lagi kita berjalan di pautan silaturrahim jika kabus dosa membaluti tubuh,jika fitnah si iblis hinggap terus di gegendang telinga……,jika mulut memuntahkan kata kata keji,dan jika tangan mengunjuk-ngunjuk keaiban orang lain……? itulah Manusia….keseronokan dunia mengatasi segalanya,mengatasi nikmat yang mungkin kita kecapi di akhirat sana,mengatasi ganjaran pahala yang telah kita kumpul,dan mengaburi minda serta fikiran terus ke alam fantasi dan dusta……membawa kita terus hanyut dalam dakapan sang iblis pemusnah umat islam…….

Kala si iblis bersorak ketawa,kita pula yang mendapat bonus dosa……..kala si iblis berjaya menghasut,kita pula yang menempah tiket ke neraka,kala si iblis berada di neraka,kita pula yang menjadi rakannya…..betapa goyah nya hati manusia,bak lalang ditiup angin,mudah beralun mengikut rentak…….tiada pendirian……

Apa kebenda coretan yang aku tulis tu???…..Apa maksud yang terkandung disebalik kata-kata aku tu….. Aarrggh , manusia ni memang mudah menghukum dan memutuskan sesuatu perkara tanpa penelitian dan pengamatan yang jelas dan sempurna….

Apa yang jelas , kata-kata itu adalah lontaran spontan dari dalam jiwa ini terhadap sesetengah sikap dan tingkah laku manusia yang terlalu cepat mengatakan itu dan ini , hanya melihat dengan sepintas lalu sahaja pada setiap perkara yang berlaku……

p/s …coretan dikala GERAM !!!

Posted in FIKRAH KU | Leave a Comment »

STATUS DARAH SEBELUM BERSALIN

Posted by aljawhar on 4 June, 2008

Assalamualaikum…
seorang perempuan yang hampir bersalin mengalami kontraksi (sakit nak bersalin) selama satu hari. Selama kontraksi tersebut ada darah keluar sedikit-sedikit. Adakah Darah tanda-tanda bersalin ini darah nifas?
Bolehkah dia solat ketika ini?
mintak pencerahan dari ustaz-syukran

____________________________________________________

Bismillahi wal hamdulillah ,

Al-Jawab :

Ulama telah sepakat mengatakan bahawa darah Nifas adalah darah yang keluar selepas bersalin.Ulama berbeza pendapat dalam bab darah yang keluar sebelum bersalin kepada 3 pendapat :

Mazhab syafie dan Maliki: Ia adalah darah haid

Mazhab Hanafi dan Hanbali : Darah Istihadhah

Sebahagian Ulama Hanbali : Ia adalah darah nifas jika keluar sehari atau dua hari sebelum melahirkan anak.

Imam an-Nawawi menukilkan :

فإذا رأت الحامل دما يصلح أن يكون حيضا فقولان مشهوران قال صاحب الحاوي والمتولي والبغوي وغيرهم : الجديد أنه حيض , والقديم : ليس بحيض , واتفق الأصحاب على أن الصحيح أنه حيض

Maka apabila wanita yang sedang hamil melihat darah (yang keluar), yang dikatakan sebagai darah haid maka terdapat dua pendapat yang masyhur.Berkata pengarang kitab Al-Hawi , Al-Mutawalli dan Imam Al-Baghawi dan lain-lain : Qaul Jadid ( Pendapat yang baru ) Imam as-Syafie ia adalah darah Haid, dan Qaul Qadim ( Pendapat yang lama ) mengatakan ia bukan darah haid. Telah sepakat ulama Syafie pendapat yang paling sahih mengatakan ia adalah DARAH HAID.

( Al-Majmu’ Imam Nawawi : 1/412)

Maka , jika dilihat pada pandangan Imam as-Syafie ini , seseorang yang keluar darah sebelum bersalin tidak diwajibkan solat dan puasa.Ini adalah Ijtihad Imam Syafie dan ulama-ulamanya ( Syafi’iyyah )

Manakala Fatwa yang dikeluarkan oleh Lajnah Daimah :

Kesimpulan dari Fatwa tersebut ialah :

1.Jika darah yang keluar tidak disertai dengan tanda-tanda hendak bersalin , maka darah tersebut ialah darah kotor.Maka pada ketika itu masih lagi ditaklifkan dengan tuntutan ibadah samada puasa atau solat.

2.Manakala jika ianya disertai dengan tanda-tanda hendak bersalin seperti rasa sakit dan sebagainya , maka darah itu dikira sebagai darah nifas dan tak wajib bagiinya untuk puasa dan solat.Ia wajib mengqada’ puasanya sahaja selepas suci ( selesai wiladah )

Sumber link : http://www.islam-qa.com/ar/ref/6944

Mengenai status darah tersebut , pendapat yang rajih ialah pendapat dan fatwa yang dikeluarkan oleh Lajnah Daimah adalah yang lebih hampir berikutan terdapatnya kajian kedoktoran yang menunjukkan darah haid tidak akan keluar ketika seseorang wanita itu mengandung.

WA

Posted in SOAL JAWAB FIQH | 3 Comments »

KEADAAN SOLAT DI MASJIDIL HARAM.

Posted by aljawhar on 4 June, 2008

Ustaz , baru2 ni sy diajukan satu soalan berkenaan solat ketika mengerjakan umrah/haji di mekah.
disebabkan terlalu padat jemaah kat sana, so kesukaran untuk bersujud menjadi satu masalah, agak sukar untuk sempurnakan sujud disebabkan ramai manusia berhimpit.

apa pandangan panel tentang perkara ni?

WA Wassalam

____________________________________________

Bismillahi wal hamdulillah ,

Al-Jawab :

Masalah solat dalam masjidil haram ini adalah perkara yang telah dibahaskan oleh perlbagai lapisan ulama yang antaranya ialah As-Syaikh Bin Bazz , Uthaimeen , Solih fauzan dan ramai lagi…

Dalam keadaan yang boleh menimbulkan kesukaran atau masyaqqah ketika ingin menunaikan sebarang ibadah kepada Allah swt , maka disitu dibolehkan untuk kita melakukan apa-apa perkara yang dilarang dalam Islam atas tujuan demi untuk menyempurnakan tuntutan Allah swt…

Banyak dalil-dalil dari Al-Quran dan Hadis yang begitu sinonim dengan kita dalam hal atau bab masyaqqah ini. Antaranya :

1. Al-Baqarah : 185.

2. Al-Maidah : 6.

3. Al-Hajj : 78.

4. HR Imam Bukhari : 5660 , 5663

5. HR Tirmizi : 137

6. HR Abu Daud : 324

Dan banyak lagi…..

Antara kesukaran / masyaqqah yang menjadi perkara biasa berlaku di Masjidil haram ialah seperti , percampuran saf / jemaah antara lelaki dan wanita ( bukan satu saf ) , tiada tempat laluan ketika mencari saf-saf kosong yang mana dibolehkan untuk kita melalui dihadapan orang yang sedang solat.. ruang solat yang tidak mencukupi sehingga ada yang bersolat di atas escalator (tangga bergerak) dan macam-macam lagi kesukaran yang berlaku.

Kesemuanya ini adalah masyaqqah-masyaqqah yang memberi laluan dan kebenaran kepada kita untuk melakukan tuntutan ibadah itu sedaya yang mampu sesuai dengan maksud kaedah fiqh :

المشــقة تجــلب التيســير

“Kesukaran / kepayahan itu membawa kepada kemudahan”

WA

Posted in SOAL JAWAB FIQH | Leave a Comment »

HUKUM MENOLEH KANAN DAN KIRI SEMASA AZAN

Posted by aljawhar on 4 June, 2008

Salam.. Ustaz ,

Ana asl johor jd skolah agama pn kt johor..ana dr kck d’ajar klo jd muazzin ble azan dan iqamah mst wt bde ni..ble lafazkan “hayya ‘alal solah’ mst kene toleh kanan..dan ‘hayya ‘alal falah’ mst kene toleh kiri..ad dalil ke ttg azan cam ni?

Tq..

___________________________________

Bismillahi wal hamdulillah ,

Al-Jawab :

Menoleh ke kanan dan ke kiri semasa menyebut 2 Hayya ( Hayya ‘ala as-Solat / Hayya ‘ala al-Falah ) adalah merupakan sunnah Rasulullah saw , sebagaimana disebutkan dalam sebuat hadis yang diriwayatkan oleh Abu Juhaifah r.a yang mana dia menyebutkan bahawa dia melihat Bilal bin Rabbah menoleh ke kanan dan ke kiri semasa menyebut Hayya ‘ala as-Solat / Hayya ‘ala al-Falah.

عَنْ أبي جُحَيْفَةَ وَهْبِ بْنِ عَبْدِ الله السُوَائي قالَ………..: فَجَعَلْتُ أتَتَبَّع فَاهُ ههُنَا ههُنَا، يَقُولُ يَميناً وشِمَالاً. حَي عَلَى الصَّلاةِ، حَيَّ عَلَى الفَلاح. ثُمَّ رُكِزَتْ لَهُ عَنَزَة فَتَقَدَّم وَصَلّى الظهْرَ رَكعَتَينِ. ثُم لم يزَل يُصلي رَكْعَتَين حَتَّى رَجَعَ إلَى المَدِينَةِ.

(HR Imam Bukhari : 634 )

Asal tujuan Bilal menoleh ke kanan dan ke kiri adalah supaya suara laungan azan tersebut dapat didengari oleh masyarakat Islam pada ketika itu yang berada di sebelah kanan dan sebelah kiri.Maka , atas dasar itu , sebahagian Ulama berpendapat tidak perlu lagi dilakukan untuk menoleh ke kanan dan ke kiri , kerana para muadzin di zaman sekarang telah pun menggunakan pembesar suara semasa melaungkan azan.Ini membolehkan suara azan tersebut boleh di dengari dengan jelas dan sempurna di serata pelosok kampung/taman perumahan.

Walaubagaimana pun terdapat juga ulama yang mengatakan bahawa , menoleh ke kanan dan ke kiri perlu dilakukan juga di zaman sekarang atas dasar mengikuti dan mengamalkan setiap Sunnah Rasulullah saw , seperti As- Syaikh Muhamad Nasiruddin al-Albani.

WA

Posted in SOAL JAWAB FIQH | Leave a Comment »

BEZA RIBA DAN UPAH

Posted by aljawhar on 4 June, 2008

Ustaz , Apakah bezanya upah dan riba?

perlaksanaannya lebih kurang sama nampaknya di situ…

Syukran..

_____________________________

Bismillahi wal hamdulillah ,

Al-Jawab :

Sebenarnya terdapat perbezaan antara Riba dan Upah.

1. Perbezaan yang paling utama ialah , upah adalah perkara yang dibenarkan dalam Islam.Manakala riba adalah perkara yang diharamkan Allah swt untuk kita melakukannya.

2. Dalil keharusan upah ( memberi dan mengambil upah ) adalah seperti firman Allah swt dalam surah al-Tholaq , ayat : 6 :

فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ

“Kemudian jika mereka menyusukan (anak-anak)mu untukmu, maka berikanlah kepada mereka upahnya.”


Dari Aisyah ra, dia berkata :

“Nabi saw bersama Abu Bakar ra pernah mengupah seorang laki-laki dari Bani Dail sebagai penunjuk jalan yang mahir. Al-Khirrit ialah penunjuk jalan yang mahir.”

(Shahih: Irwa-ul Ghalil no: 1409 dan Fathul Bari IV: 442 no: 2263).

3. Manakala dalil keharaman Riba pula ialah firman Allah swt dalam Al-Baqarah: 278-279

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ اتَّقُواْ اللّهَ وَذَرُواْ مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ فَإِن لَّمْ تَفْعَلُواْ فَأْذَنُواْ بِحَرْبٍ مِّنَ اللّهِ وَرَسُولِهِ وَإِن تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُؤُوسُ أَمْوَالِكُمْ لاَ تَظْلِمُونَ وَلاَ تُظْلَمُونَ

Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.

Surah Al-Baqarah , ayat 276 :

يَمْحَقُ اللّهُ الْرِّبَا وَيُرْبِي الصَّدَقَاتِ

“Allah memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah”

4. Manakala jika dilihat dari sudut perlaksanaannya juga terdapat perbezaan antara keduanya (Riba dan Upah) iaitu :

Riba : Terdapat 2 jenis ( nasiah dan fadhl ) yang mana kedua-duanya memperuntukkan imbalan / tambahan keuntungan terhadap transaksi yang dilakukan.

Asal arti kata riba adalah ziyadah ‘tambahan’; adakalanya tambahan itu berasal dari dirinya sendiri, seperti firman Allah swt:

Dan, adakalanya lagi tambahan itu berasal dari luar berupa imbalan, seperti satu dirham ditukar dengan dua dirham.

Upah pula : Bayaran yang diberi atau dikenakan hasil daripada sesuatu kerja / tugas yang telah diselesaikan dalam perkara-perkara yang tidak melanggar prinsip syarak.

Disyaratkan sesuatu yang disewakan itu harus jelas dan upahnya pun jelas, demikian pula jangka waktunya dan jenis pekerjaannya.

Sebagaimana dalil dari firman Allah swt , surah al-Qashash ayat 27 :

قَالَ إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أُنكِحَكَ إِحْدَى ابْنَتَيَّ هَاتَيْنِ عَلَى أَن تَأْجُرَنِي ثَمَانِيَ حِجَجٍ فَإِنْ أَتْمَمْتَ عَشْرًا فَمِنْ عِندِكَ وَمَا أُرِيدُ أَنْ أَشُقَّ عَلَيْكَ سَتَجِدُنِي إِن شَاء اللَّهُ مِنَ الصَّالِحِينَ

“Berkatalah dia (Syu’aib): “Sesungguhnya aku bermaksud menikahkan kamu dengan salah seorang dari kedua anakku ini, atas dasar bahwa kamu bekerja denganku lapan tahun dan jika kamu cukupkan sepuluh tahun maka itu adalah (suatu kebaikan) dari kamu, maka aku tidak hendak memberati kamu. Dan kamu Insya Allah akan mendapatiku termasuk orang- orang yang baik.”

Ayat di atas menunjukkan bahawa upah yang dikenakan atas tugasan bekerja selama lapan tahun ialah berkahwin dengan salah seorang dari anak Nabi Allah Syu’aib.Inilah yang dikatakan sebagai upah atau bayaran yang diperolehi hasil daripada tugas dan kerja yang diberikan.

WA

Posted in SOAL JAWAB FIQH | Leave a Comment »

BAGAIMANA KEMUNGKINAN UNDANG-UNDANG ISLAM DAPAT DILAKSANAKAN DI ZAMAN MODEN – Bahagian 4

Posted by aljawhar on 4 June, 2008

6. Masalah / halangan yang timbul sekitar pelaksanaan Syariah :

Suatu perkara yang harus kita akui ialah apa sahaja perubahan atau pembaharuan yang hendak dijalankan,masalah atau halangan adalah kenyataan yang perlu kita terima dan atasi dalam menjadikan perubahan atau pembaharuan yang ingin dilaksanakan mencapai maksud dan objektifnya.Malah , kalau kita lihat kepada sejarah , Rasulullah saw sendiri terpaksa menghadapi segala macam bentuk masalah dan halangan yang datang daripada kaumnya sendiri dalam usaha Rasulullah saw menjalankan misi dakwah

Cabaran atau halangan yang paling kuat ialah daripada umat Islam itu sendiri.Sebagaimana Nabi saw dihalang dan dicabar oleh kaumnya sendiri , maka dalam hal pelaksanaan perundangan Islam ini juga, tentangan dan masalah itu adalah datang dari umat Islam yang menjadikan barat sebagai idola dan ikutan.Malah yang paling malang sekali, tentangan ini selalunya dipelopori atau diketuai oleh golongan yang terlibat secara langsung dalam bidang perundangan sesebuah negara Islam , tetapi telah mendapat didikan dan pengetahuan undang-undang dari negara-negara barat.Barat telah menyogok dan menyuap mulut mereka ini dengan sampah-sampah kotor lagi keji yang dipandang mulia oleh golongan ini untuk disebarkan keseluruh negara Islam.

Prof A.Rahman I.Doi menyebut tentang hal ini :

Sungguh malang bahawa Common Law yang digunakan di kebanyakan negara Islam telah memberi kesan dan pengaruh yang kuat dalam fikiran saesetengah peguam dan sarjana Islam , hingga mereka turut mengkritik undang-undang syariah sebagai satu sistem perundangan yang kasar dan zalim.Untuk mengikis pandangan yang tidak betul ini , yang seolah-olah sebati dalam pemikiran para sarjana Islam yang terdidik dibarat akan mengambil masa yang lama dan panjang.Malah , bagi golongan bukan Islam pula , mereka ini tidak diberikan peluang untuk memahami sistem perundangan Islam.Akibatnya , wujudlah kempen-kempen jahat menentang hukum syariah…..[1]

Di antara masalah atau halangan serta cabaran yang penulis fikir perlu untuk dikaji dan dicari jalan penyelesaiannya ialah :

a) Bagaimana melaksanakan perundangan Islam dalam masyarakat majmuk.

b) Keadaan zaman yang sentiasa berubah dengan syariat yang lama.

6.1 Bagaimana melaksanakan perundangan Islam dalam masyarakat majmuk

Mungkin ada di kalangan umat Islam yang akan berkata “Bagaimana nak buat undang-undang Islam, sedangkan dalam negara kita ini ada macam-macam bangsa dan agama.Mesti diaorang marah dan akan menganggap ini satu kezaliman.”

Penyataan ini adalah salah satu penyataan yang akan kita dengar yang lahir dari mulut golongan yang tidak mahu undang-undang Islam dilaksanakan.Mereka ini sama ada tidak mahu perundangan Islam menjadi undang-undang yang diguna pakai dalam negara mereka atau pun sememangnya kenyataan itu lahir dek kejahilan dan kebodohan mereka dalam memahami sistem perundangan Islam.

Mari kita lihat bagaimana Islam menjawab persoalan ini :

Dalam pemerintahan berteraskan wahyu , keadilan menjadi asas yang paling utama dan prinsip pemerintahan Islam yang pertama.Ia dibawa oleh seluruh risalah ketuhanan semenjak dari zaman nabi Allah Adam as hinggalah kepada nabi Muhammad saw.Allah swt telah menjelaskannya dalam Al-Quran :

لَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلَنَا بِالْبَيِّنَاتِ وَأَنزَلْنَا مَعَهُمُ الْكِتَابَ وَالْمِيزَانَ لِيَقُومَ النَّاسُ بِالْقِسْطِ

“Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan” [2]

Prinsip utama keadilan dalam undang-undang Islam berdasarkan kepada sikap saling hormat menghormati di antara sesama manusia , yang mana masyarakat yang adil bererti masyarakat yang menjaga taraf dan memperolehi kehormatan serta melalui berbagai-bagai peraturan kemasyarakatan yang menjadi kepentingan bersama.[3]

Firman Allah swt lagi :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ بِالْقِسْطِ شُهَدَاء لِلّهِ وَلَوْ عَلَى أَنفُسِكُمْ أَوِ الْوَالِدَيْنِ وَالأَقْرَبِينَ إِن يَكُنْ غَنِيًّا أَوْ فَقَيرًا فَاللّهُ أَوْلَى بِهِمَا فَلاَ تَتَّبِعُواْ الْهَوَى أَن تَعْدِلُواْ وَإِن تَلْوُواْ أَوْ تُعْرِضُواْ فَإِنَّ اللّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا

“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” [4]

Lagi firman-Nya :

وَإِذَا قُلْتُمْ فَاعْدِلُواْ وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَى

“dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu).” [5]

Dan banyak lagi ayat-ayat Al-Quran yang menyuruh kepada berlaku adil dalam setiap aspek kehidupan hatta dalam perundangan Islam sekali pun.Rasulullah saw semasa hayat baginda menjalankan sistem pemerintahan di Negara Islam Madinah juga terdapat masyarakat yang berbilang bangsa dan pegangan.Cara mentadbir masyarakat majmuk Madinah yang terdiri daripada orang-orang Muhajirin dan Ansar serta Yahudi dan Nasrani telah ditentukan oleh perlembagaann atau Sahifah Madinah.Orang Yahudi dan Nasrani selama mana mereka duduk di Madinah , tidak pernah dipaksa oleh Rasulullah saw untuk memeluk agama Islam.Malah undang-undang yang dikuatkuasakan ke atas mereka juga ialah undang-undang agama mereka.Ini dibuktikan apabila 2 orang yahudi yang berzina , mereka dihukum dengan hukuman yang terdapat dalam kitab Taurat.

Undang-undang Islam yang hendak dilaksanakan adalah undang-undang untuk orang-orang Islam sahaja.Bagi orang bukan Islam terdapat sedikit perbezaan dalam pelaksanaan undang-undang terhadap mereka.Jika sesuatu kes atau kesalahan yang dilakukan oleh orang bukan Islam ( ahli zimmah) dalam negara Islam , pihak hakim selaku wakil kepada pemerintah ( Ulil Amri ) boleh menolak kes itu ke mahkamah awam, iaitu kes tersebut akan dibicarakan di mahkamah awam bagi mewakili masyarakat bukan Islam.

Ini dilakukan sebagai menepati kaedah Fiqh :

تصرف الامام على الـــرعيــــة منوط بالمصــــلحة

“Tindakan yang dijalankan oleh Imam (Ketua Negara) terhadap rakyatnya adalah bergantung kepada maslahah (perkara yang mendatangkan kebaikan untuk ummah)”

Kaedah tersebut dengan jelas menyatakan , sebarang tindakan atau keputusan yang hendak diputuskan oleh Imam atau ketua negara atau hakim yang mewakili ulil amri yang tidak terdapat nas atau dalilnya dalam Al-Quran dan As-Sunnah mestilah melihat kepada maslahah ummah dengan mengambil kira penjagaan terhadap semua aspek dalam kehidupan dan kemasyarakatan.Perkara ini sudah tentu berkait rapat dengan kebijaksanaan hakim dalam mengendalikan sesuatu kes.[6]

Sebagai contoh : Seorang bukan Islam yang telah melakukan kesalahan , kemudian dibawa ke mahkamah Syariah untuk diadili mengikut undang-undang Islam.Hakim ketika itu mestilah melihat kes tersebut dalam semua aspek yang berkaitan dengan maslahah umum.Sekiranya pengadilan yang akan dibuat nanti mencetuskan kemarahan atau ketidak puasan hati oleh tertuduh atau ahli keluarga tertuduh yang mungkin akan menyebabkan perkara yang lebih buruk berlaku , maka hakim berhak menolak kes tersebut untuk dibicarakan dan mengusulkan supaya ianya dibawa ke mahkamah awam yang mungkin boleh memberikan ketenangan dan kepuasan daripada tertuduh atau keluarganya walaupun hukuman yang akan diputuskan hakim mahkamah awam itu lebih berat.[7]

Bersambung di siri 5……….

[1] A.Rahman I.Doi , Non-Muslim under Syariah (Islamic law) , edisi terjemahan , Wan Azmil Ramli dan Dr Muhammad Ariffin , Orang bukan Islam dibawah Undang-undang Syariah , 1992 , hlm.13

[2] Al-Quran Al-Karim , Al-Hadid 57 : 25

[3] A.Rahman I.Doi , Non-Muslim under Syariah (Islamic law) , edisi terjemahan , Wan Azmil Ramli dan Dr Muhammad Ariffin , Orang bukan Islam dibawah Undang-undang Syariah , 1992 , hlm.7

[4] Al-Quran Al-Karim , An-Nisa’ 4 : 135

[5] Al-Quran Al-Karim , Al-Ancam 6 : 152

[6] Dr Abd Karim Zaidan , الوجيز في شرح القواعد الفقـــهـــية في الشريعة الاسلامية , 2003 , hlm.120

[7] Hj Said Hj Ibrahim (bekas mufti Sabah) , Jenayah Murtad dari sudut hukum syarac dan perundangan Islam , 1998 , hlm.153

Posted in FIQH JINAYAH | Leave a Comment »

BALIK KAMPUNG….YE…YE…

Posted by aljawhar on 2 June, 2008

Cuti sekolah telah lama bermula…..dah habis seminggu pun , tapi baru hari ini penulis berpeluang untuk balik kampung bersama keluarga…. Al-hamdulillah…tercapai juga hasrat dan hajat isteri penulis untuk bercuti bersama-sama ayah dan bondanya yang tercinta….

Memang kalau ada cuti panjang macam ni , kami selalunya akan pulang bercuti di kampung isteri di Kuala Terengganu.Bukan selau pun dapat balik….Paling-paling tidak pun setahun 4 kali sahaja…. Cuti bulan Februari , bulan Mei , hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha….

Itulah saja peluang untuk kami berjumpa keluarga di sana…..kalau kampung ibu dan ayah penulis , boleh dikatakan setiap minggu kami akan balik ke sana….Apa taknya , jarak antara Kajang dengan Seremban tu belum cukup untuk memanaskan punggung penulis duduk di atas kerusi kereta yang dipandu oleh penulis…..

Maka dengan sebab itulah , setiap kali kami hendak balik Kuala Terengganu , isterilah akan jadi orang yang paling bersemangat sekali….. lagi seminggu sebelum tarikh yang telah dipilih untuk balik kampung menjelma , dia telah pun bersiap sedia berkemas itu dan ini…Memang cukup jelas terpancar riak kegembiraan di wajahnya…… tak sabar rasa dihatinya untuk berjumpa dan memeluk ke dua ibu dan bapanya melepaskan rasa rindu yang bersarang….

Begitulah ragamnya manusia , bilamana hidup berjauhan di perantauan………….

Al-hamdulillah , segalanya berjalan lancar….

Buat Isteri tercinta…… Abang akan sentiasa bersikap adil padamu dan pada anak-anak kita…..

Semoga Allah mengurniakan kebahagiaan yang sebaiknya pada kita sekeluarga…..Amin

p/s…..Nak pergi jalan-jalan kat mana ye…..gi SUKMA kot… SUKMA sedang berlangsung di Kuala Terengganu sekarang ni

Posted in KENANGAN KU | Leave a Comment »