CATATAN AL-JAWHAR @ ABU FATHI AL-YAMANI

الـــــراجي رحمـــــة ربه الجـــواد

Archive for August 21st, 2008

DALIL LARANGAN JUAL AIR ZAM-ZAM

Posted by aljawhar on 21 August, 2008

Salam ,


1) Adakah terdapat larangan khas samada dari Al-Quran atau As-Sunnah dalam Penjualan Air Zam-Zam?

2) Apakah konsep Servis dalam Islam?

3) Adakah adakah adakah satu kesalahan kepada saya jika saya memberikan servis kepada untuk menternak babi yg bukan Islam di atas tanah saya atau memberi servis penghantaran babi .Saya maklum bahawa keharaman arak mencakupi perhantaran dan etc , tetapi adakah hukum ini juga menrangkumi perkara haram yang lain .. seperti menghantar Ular ke kedai bukan Islam contohnya?

Harap para panelis dapat memberi penjelasan.

___________________________________________

بسم الله، و الحمد لله، و الصلاة والسلام على رسول الله، وبعد:

Soalan 1 :

Setakat pencarian kami , tidak terdapatnya larangan dalam menjual air zam-zam. Walaubagaimana pun untuk menghindarkan diri daripada terjebak kepada perkara-perkara yang syubhat eloklah sekiranya jualan air zam-zam itu diniatkan untuk menampung segala kos dan perkhidmatan yang ditanggung oleh pengusaha dan bukannya niat untuk menjual air zam-zam tersebut. Wa allahu a’lam.

Soalan 2 :

Dalam masalah ini ia berkait rapat dengan konsep al-Ijarah (upah)

Ijarah, menurut bahasa, adalah al-itsabah (memberi upah).Manakala menurut istilah fiqh ialah pemberian hak pemanfa’atan dengan syarat ada imbalan.

Secara ringkasnya , dalam Islam setiap perkhidmatan dan servis yang diberikan terhadap sesuatu perkerjaan wajib dibayar upah atau hadiah yang sewajarnya mengikut tugasan perkhidmatan atau servis tersebut.Secara umumnya juga , tidak terdapat penentuan bayaran upah terhadap sesuatu perkhidmatan yang diberikan , melainkan dengan cara musyawarah atau tawar menawar antara pihak yang memerlukan servis dgn pihak yang memberikan servis.

Maknanya upah bayaran untuk servis atau perkhidmatan tersebut mestilah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Walaubagaimana pun penentuan nilai bayaran bagi upah terhadap sesuatu servis itu boleh ditentukan samada dari pihak yang meminta servis atau pun dari pihak yang member servis dengan syarat kedua-dua pihak mestilah bersetuju dengan nilai bayaran yang dicadangkan.Sebagaimana terdapatnya riwayat hadis sahih yang menyebutkan seorang sahabat yang diminta oleh penduduk sebuah kampung supaya merawat ketua kampungnya yang terkena sakit telah meminta bayaran dengan 30 ekor kambing dan syarat tersebut dipersetujui oleh penduduk kampung tersebut.

Terdapat ancaman dari Rasulullah saw kepada orang yang tidak membayar upah kepada orang yang telah memberikan servis atau perkhidmatan :

Dari Abu Hurairah ra dari Nabi saw Beliau bersabda, “Allah Ta’ala berfirman: Ada tiga golongan yang pada hari kiamat (kelak) Aku akan menjadi musuh mereka: (pertama) seorang laki-laki yang mengucapkan sumpah karena Aku kemudian ia curang, (kedua) seorang laki-laki yang menjual seorang merdeka lalu dimakan harganya, dan (ketiga) seorang laki-laki yang mempekerjakan seorang buruh lalu si buruh tersebut mengerjakan tugas dengan sempurna, namun ia (majikan) tidak memberinya upahnya.” (Hasan: Irwa-ul Ghalil no: 1489 dan Fathul Bari IV: 417 no: 2227).

Itulah serba sedikit konsep servis atau perkhidmatan dalam Islam yang mana setiap servis dan pekerjaan itu wajib mendapat upah.

Soalan 3 :

As-Syaikh Dr Yusof al-Qardhawi menyebut dalam kitabnya al-halal wa al-haram fi al-Islam bahawa sebarang bentuk perniagaan yang boleh membawa kepada maksiat adalah haram hukumnya seperti perniagaan yang ada hubung kait dengan babi , arak , patung berhala , alatan salib , makanan dan minuman yang diharamkan dan sebagainya.Ini termasuklah apa sahaja servis atau perkhidmatan yang berhubung kait dengannya.Memberikan perkhidmatan / servis kepada perkara-perkara yang diharamkan termasuk dalam lingkungan syubhat yang wajib ditinggalkan.

Antara dalil-dalilnya adalah seperti berikut :

1. Hadis Rasulullah saw :

دع ما يريبــــك إلى مالا يريبـــك

“Tinggalkanlah apa-apa yang meragukan kamu kepada apa yang tidak meragukan kamu” ( HR Tirmizi no: 2520 )

Hadis di atas jelas menunjukkan kepada kita , menjauhi perkara yang syubhat adalah lebih baik daripada kita melakukannya kerana dibimbangi terjerumus kepada yang haram.

2. Begitu juga dengan firman Allah swt dalam al-Maidah ayat 2 :

“Wahai orang-orang Yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar ugama Allah, dan mengenai bulan-bulan Yang dihormati, dan mengenai binatang-binatang Yang dihadiahkan (ke Makkah untuk korban), dan mengenai kalong-kalong binatang hadiah itu, dan mengenai orang-orang Yang menuju ke Baitullah Al-Haraam, Yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari keredaanNya (dengan mengerjakan Ibadat Haji di tanah Suci); dan apabila kamu telah selesai dari ihram maka bolehlah kamu berburu. dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari Masjid Al-Haraam itu – mendorong kamu menceroboh. dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertaqwalah kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa Yang melanggar perintahNya)”.

Malah terdapat satu kaedah fiqh yang bersangkut paut dengan masalah tersebut :

الــحريم له حـــكم ما هو حـــريم له

“Yang mengelilingi larangan hukumnya sama dengan yang dikelilingi”

Kaedah ini membawa maksud , jika arak , babi dan sebagainya adalah haram dan dilarang , maka segala yang bersangkut paut dengannya juga hukumnya adalah sama , iaitu haram dan dilarang.

Jelas daripada ketiga-tiga dalil diatas , bahawa melakukan perkara yang bersangkut paut dengan perkara yang haram adalah tidak dibolehkan dalam Islam, kerana secara tidak langsung ianya termasuk dalam aktiviti yang boleh menyokong dan membantu perkara yang haram tersebut.

WA

Ruj :

Al-halal wa al-haram fil Islam, Dr Yusof Al-Qaradhawi

Taudhih al-Ahkam min Bulughil Maram , Asy-Syaikh Abdullah bin Abd Rahman Al-Bassam.

Majallah al-Majma’ al-Fiqhi al-Islami.

Fathul Bari , Syarah Sahih Bukhari.

Posted in SOAL JAWAB FIQH | Leave a Comment »

SEJARAH PERUNDANGAN / FIQH ISLAM

Posted by aljawhar on 21 August, 2008

ARTIKEL INI DIITULIS UNTUK KULIAH PENGAJIAN FIQH ISLAM AL-AHKAM.NET

Sejarah Perkembangan Perundangan Islam dari zaman Rasulullah saw hinggalah zaman Bani ‘Umayyah.

1. Perundangan Islam di zaman Rasulullah saw

Perkembangan undang-undang Islam di zaman Rasulullah saw sebenarnya lebih banyak tertumpu di masa selepas terbentuknya kerajaan Islam Madinah , iaitu zaman selepas penghijrahan Rasulullah saw dengan umat Islam dari kota Makkah ke kota Madinah.

Ketika tertubuhnya Negara Islam Madinah , masyarakat sangat-sangat memerlukan kepada suatu undang-undang atau perlembagaan yang boleh menjadi panduan dalam kehidupan seharian, serta dapat mengatur hubungan antara sesama manusia dan juga hubungan antara manusia dengan Allah ‘Azza wajalla.

Maka dengan itu , buat pertama kalinya , tertubuh atau terbentuklah suatu undang-undang yang menjadi asas kepada Perlembagaan Madinah yang dinanti-nantikan oleh sekalian umat Islam ketika itu.Kesan daripada pembentukan perlembagaan ini , maka lahirlah konsep ketaatan kepada Imam atau pemerintah di samping ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya , sebagaimana firman Allah swt dalam surah an-Nisa’ ayat 59 :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ أَطِيعُواْ اللّهَ وَأَطِيعُواْ الرَّسُولَ وَأُوْلِي الأَمْرِ مِنكُمْ

Maksudnya : Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu.”

2. Ciri-ciri Perundangan Zaman Rasulullah saw

Antara cirri-ciri terpenting perundangan Islam pada zaman Rasulullah saw ialah :

a) Undang-undang disyariatkan berdasarkan kepada kes-kes yang berlaku pada masa itu.Apabila berlaku suatu perkara atau kes dikalangan para sahabat , mereka akan bertanya kepada Baginda saw untuk mendapatkan jawapan kepada permasalahan tersebut , dan Rasulullah saw akan memberikan jawapan melalui 2 kaedah :

i. Allah swt akan menurunkan wahyu kepada Baginda saw sebagai jawapan kepada permasalahan yang diajukan oleh para sahabat.

Terdapat 2 jenis ayat yang biasanya menjadi jawapan kepada permintaan para sahabat tersebut , iaitu ayat yang dimulakan dengan :

Yastaftunaka ( يســـتفــتونــك ) Mereka meminta fatwa dari kamu………

Yasalunaka ( يســـئــلونــك ) Mereka bertanya kepada kamu………..

Antara contoh ayat yang dimulai dengan 2 perkataan di atas ialah seperti dalam :

Surah An-Nisa’ : 127

وَيَسْتَفْتُونَكَ فِي النِّسَاءِ قُلِ اللَّهُ يُفْتِيكُمْ فِيهِنَّ

Dan mereka minta fatwa kepadamu tentang para wanita. Katakanlah: “Allah memberi fatwa kepadamu tentang mereka”

Surah Al-Baqarah : 217

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الشَّهْرِ الْحَرَامِ قِتَالٍ فِيهِ قُلْ قِتَالٌ فِيهِ كَبِيرٌ

Mereka bertanya kepadamu tentang berperang pada bulan Haram. Katakanlah: Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar”

Surah Al-Baqarah : 189

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الأَهِلَّةِ قُلْ هِيَ مَوَاقِيتُ لِلنَّاسِ

Mereka bertanya kepadamu tentang bulan sabit. Katakanlah: “Bulan sabit itu adalah tanda-tanda waktu bagi manusia”

Surah Al-Baqarah : 219

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ

Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia”

Surah An-Nazi’at : 42

يَسْأَلُونَكَ عَنِ السَّاعَةِ أَيَّانَ مُرْسَاهَا

(Orang-orang kafir) bertanya kepadamu (Muhammad) tentang hari kebangkitan, bilakah terjadinya?”

ii. Apabila Allah swt tidak menurunkan wahyu sebagai jawapan kepada persoalan atau permasalahan yang ditujukan oleh para Sahabat , Rasulullah saw akan melakukan ijtihad berdasarkan ilmu serta pengawasan dan pemerhatian daripada Allah ‘Azza wajalla.Baginda saw tidak akan memberikan jawapan dengan sesuka hati atau berlandaskan hawa nafsu.Sesungguhnya , segala apa yang diucapkan oleh Baginda saw adalah semata-mata wahyu daripada Allah swt , sebagaimana firman Allah swt dalam surah An-Najmu , ayat : 3 dan 4 :

وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى (3) إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَى (4)

“Dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemauan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).”

Dalam keadaan ini , apabila terdapat ijtihad Rasulullah saw yang tersalah atau melencong daripada landasan yang ditetapkan , maka pada ketika itu Baginda saw akan ditegur oleh Allah swt agar Baginda saw memperbetulkan kembali ijtihadnya.

Sebagai contoh , peristiwa bagaimana Rasulullah saw telah menyembahyangkan jenazah Abdullah bin Ubay , seorang munafiq yang telah diketahui umum oleh masyarakat Islam ketika itu.Perbuatan Baginda saw itu telah ditegur oleh Allah swt dalam firman-Nya dalam surah at-Taubah ayat 84 :

وَلا تُصَلِّ عَلَى أَحَدٍ مِنْهُمْ مَاتَ أَبَدًا وَلا تَقُمْ عَلَى قَبْرِهِ إِنَّهُمْ كَفَرُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَمَاتُوا وَهُمْ

فَاسِقُونَ

Dan janganlah kamu sekali-kali menyembahyangkan (jenazah) seorang yang mati di antara mereka, dan janganlah kamu berdiri (mendoakan) di kuburnya. Sesungguhnya mereka telah kafir kepada Allah dan Rasul-Nya dan mereka mati dalam keadaan fasik.”

b) Tidak timbul perselisihan pendapat dikalangan sahabat Rasulullah saw yang tidak dapat diselesaikan.Ini kerana , apabila terdapat perselisihan pendapat dikalangan sahabat dan juga yang melibatkan Rasulullah saw sendiri mengenai sesuatu kes , ianya kemudian akan diselesaikan dan ditentukan kebenarannya oleh Allah swt.

c) Terdapat kes-kes dimana wahyu yang diturunkan oleh Allah swt bukan bertujuan untuk menjawab permasalahan atau persoalan yang ditimbulkan oleh para sahabat.Tetapi ianya diturunkan oleh Allah swt , sebagai pensyari’atan terhadap sesuatu hukum dan kewajipan.Dalam erti kata lain , wahyu tersebut diturunkan atas alasan telah tiba masanya sesuatu perintah dan kewajipan itu dilaksanakan dalam masyarakat.Antaranya ialah , kewajipan melakukan Ibadat , peraturan nikah , jenayah dan sebagainya.

d) Antara ciri-ciri perundangan di zaman Rasulullah saw juga ialah pensyari’atan undang-undang itu diturunkan secara berperingkat-peringkat dimana ayat yang terakhir diturunkan kebiasaannya akan menasakhkan ayat atau hukum yang diturunkan sebelumnya.Tujuan dan matlamat pensyari’atan yang sedemikian ialah supaya umat Islam yang ketika itu masih tebal dan sebati dengan amalan jahiliyyah , dapat menerima hukum-hakam Islam secara beransur-ansur.Dalam erti kata lain , hukum yang mula-mula disyari’atkan adalah bersifat sementara , manakala pindaan yang terakhir pula adalah bersifat kekal yang mesti diterima pakai oleh umat Islam yang kemudian.

Pada umumnya , Al-Quran meletakkan hukum-hukum umum secara Mujmal.Maka selepas daripada Rasulullah saw akan menafsirkan atau memperincikan ayat-ayat hokum yang mujmal itu samada melalui perkataan Baginda saw , mahupun dengan perbuatannya.Ini bermakna , tidak ada wahyu dari Allah swt yang tidak jelas , tidak ditafsirkan oleh Rasulullah saw.

Sebagai contoh : Allah swt telah mensyariatkan solat sebagaimana dalam surah al-Baqarah : 43 dan al-Hajj : 78 , yang mana dalam ayat-ayat tersebut , Allah swt tidak memperincikan bagaimanakah cara-cara menunaikan solat , berapa raka’atnya , bilakah waktu solatnya dan sebagainya.Maka , Rasulullah saw telah menjelaskan kedudukan dan cara sembahyang yang diperintahkan Allah swt melalui percakapan dan perbuatan Baginda saw.Begitu juga halnya pada hukum-hukum lain seperti zakat , puasa , haji dan sebagainya.

Bersambung disiri akan datang….

_______________________________________

Sumber rujukan :

1. Prof. Mahmud Zuhdi Abd Majid , Sejarah Pembinaan Hukum Islam , Jabatan Penerbitan Universiti Malaya.1992

2. Ahmad Syalabi , Tarikh al-Tasyri’ al-Islamiy

3. ‘Ali al-Sayis , Tarikh al-fiqh al-Islamiy , cetakan maktabah Muhammad ‘Ali wa Awladuh , Kaherah.

4. Muhammad bin Idris bin al-‘Abbas al-Syafie , Al-Risalah , Dar al-Kutub al-‘Ilmiah , Beirut Lubnan , Tahqiq : Ahmad Muhammad Syakir.

5. As-Syaikh Dr.Abbas Husni Muhammad , Al-Fiqhul-Islami Afaa Quhu wa tatawwaruh , Rabithoh al-‘Alam al-Islami,Makkah

Posted in FIQH DAN ILMU-ILMUNYA | Leave a Comment »