CATATAN AL-JAWHAR @ ABU FATHI AL-YAMANI

الـــــراجي رحمـــــة ربه الجـــواد

Archive for the ‘FIQH DAN ILMU-ILMUNYA’ Category

MAKLUMAN KULIAH MINGGUAN.

Posted by aljawhar on 25 October, 2009

بلوغ المرام

AL-HAMDULILLAH , SEMALAM (SABTU) 24 OKT 2009 TELAH PUN BERLANGSUNG SIRI KE 2  KULIAH FIQH BERASASKAN DALIL YANG DISAMPAIKAN OLEH PENULIS.

PENGAJIAN ADALAH SEPERTI BERIKUT :

KITAB BULUGHUL MARAM KARANGAN AL-HAFIZ IBN HAJAR AL-’ASQOLANI.

KULIAH TERSEBUT ADALAH KULIAH MINGGUAN.

PADA SETIAP HARI SABTU.

DI SURAU AR-RAIHAN , BANDAR TEKNOLOGI KAJANG, SELANGOR

KULIAH DIADAKAN SELEPAS SOLAT MAGHRIB.

MUSLIMIN DAN MUSLIMAT DIJEMPUT HADIR UNTUK SAMA-SAMA KITA MENDAPAT MANFAAT DARI KULIAH TERSEBUT.

INSYA ALLAH…

Posted in FIQH DAN ILMU-ILMUNYA | Leave a Comment »

QUNUT DALAM SOLAT WITIR

Posted by aljawhar on 28 September, 2008

Perkara utama dalam permasalahan ini ialah walaupun amalan membaca doa qunut pada solat witir dikatakan sebagai tidak thabit dari Rasulullah saw , tetapi ianya mempunyai nilai amalan yang cukup jelas dalam Islam dan pensyari’atannya.

Jika di tinjau dari sudut Fiqh , Qunut membawa maksud disisi fuqaha sebagai nama bagi suatu doa yang dibaca dalam solat serta dikhususkan kepada solat-solat malam (solat Qiyam).Manakala pensyari’atan doa qunut pada solat witir juga adalah sesuatu yang sahih disisi ulama / fuqaha.[Al-Mausu’ah al-Fiqhiyah : 34/57-68]

Berkenaan dengan hadis Hasan bin Ali tentang doa yang diajar oleh nabi saw yang dikatakan tambahan perkataan “Qunut Witir” itu adalah Syadz dan Tidak Sahih , maka dapat dijawab dengan adanya matan hadis lain yang menyebut perkataan “witir” sahaja sebagaimana hadis dibawah ini :

عَلَّمَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَلِمَاتٍ أَقُولُهُنَّ فِي الْوِتْرِ اللَّهُمَّ اهْدِنِي فِيمَنْ هَدَيْتَ وَعَافِنِي فِيمَنْ عَافَيْتَ وَتَوَلَّنِي فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ وَبَارِكْ لِي فِيمَا أَعْطَيْتَ وَقِنِي شَرَّ مَا قَضَيْتَ فَإِنَّكَ تَقْضِي وَلَا يُقْضَى عَلَيْكَ وَإِنَّهُ لَا يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ

Hadis ini adalah diriwayatkan Ahmad : 1718 , Abu Daud : 1412 , Tirmizi : 463 ,An-Nasaie : 3/248 , Ibn Majah : 1178 , Ibn Khuzaimah : 1095 . Hadis ini dikatakan oleh Syaikh Syu’aib sebagai sanadnya sahih , manakala Albani menilainya sahih dalam sahih wa dhaif abu Daud : 1425 dan Sahih wa Dhaif An-nasaie : 1178.

Apa yang dapat difahami dalam hadis di atas ialah , Rasulullah saw ada mengajarkan suatu doa yang hendaklah dibaca dalam solat witir.Sekiranya ia thabit dibaca dalam solat witir , maka dimanakah tempat bacaannya?….

Jawapannya ialah seperti mana yang dikatakan oleh Asy-Syaikh Usamah Na’im Mustafa dalam bukunya “Kaifiat adak al-Solawat al-Faraid wa al-Sunan” , ms : 77-78 menyebutkan bahawa :

Diharuskan untuk membaca doa pada solat witir yang disebut sebagai Qunut sebagaimana yang disarankan dalam hadis di atas.

Maka , bacaan doa yang dibaca pada solat witir itulah yang disebut sebagai Qunut.Malahan terdapat hadis-hadis Nabi saw yang menerangkan bahawa Qiyam sebelum rukuk dan Bangun selepas rukuk merupakan dua tempat yang disunatkan berdoa pada nya sebagaimana hadis dari Imam Bukhari : 674 dan Imam Muslim : 421 , 1/344

Malah dalam istilah bahasa Arab , perkataan Qunut itu sendiri sebenarnya bermaksud doa yang dilakukan dalam solat iaitu pada akhir witir secara berdiri , juga bermaksud taat , khusyuk dan Qiyam.[Kamus Al-Muhith fi Al-Lughah , jilid 1 , ms : 466]

Tidak dinafikan bahawa tambahan perkataan “Qunut” yang terdapat dalam hadis tersebut adalah lafaz yang shaz dan tidak sahih.Tetapi perlu diingat , tambahan tersebut bukan bermaksud tambahan yang sengaja diada-adakan.Ianya adalah tambahan yang dibuat sebagai penerangan atau penjelasan tentang dimanakah bacaan doa tersebut perlu dibuat, sebagaimana tambahan yang dibuat oleh Ibn Jawwas dalam hadis Abu Daud : 1412 yang dinilai sahih oleh Albani dalam Sahih Wa Dhoif Sunan Abu Daud : 1425 yang menyebut perkataan bahawa Ibn Jawwas berkata :

علمني رسول الله صلى الله عليه وسلم كلمات أقولهن في الوتر قال ابن جواس في قنوت الوتر

Perkataan Qunut di situ merujuk kepada penjelasan Ibn Jawwas bahawa berdoa secara qiyam dalam solat witir.

Ibn Jawwas atau nama penuhnya ialah Ahmah bin Jawwas al-Hanafi adalah seorang ulama mazhab Hanafi , wafat 238 Hijrah dan ianya disebut oleh Ibn hajar sebagai Thiqah (dipercayai)

Maka jelasnya Doa Qunut pada solat witir itu merupakan suatu yang disepakati oleh para fuqaha , apatah lagi ianya merupakan amalan dari para sahabat Rasulullah saw.

Apabila dikatakan bahawa ianya bukan amalan Rasulullah saw , maka adakah ianya ditinggalkan terus dan tidak boleh diamalkan? Sedangkan ianya menjadi amalan para fuqaha dikalangan sahabat Rasulullah saw?……..

Jawapannya , adakah kita atau mereka (para sahabat Rasulullah saw) yang lebih memahami nas dan dalil??

Maka , kesimpulannya , amalan membaca doa pada solat witir ketika qiyam samada sebelum rukuk atau selepas rukuk yang disebut sebagai “Qunut” adalah perkara yang telah disepakati oleh ulama dan menjadi amalan para sahabat Rasulullah saw.

Kesimpulannya , tidak salah untuk kita melakukan qunut pada solat witir….dan janganlah pula kita katakan salah pada mereka yang tidak membacanya…..

WA

Posted in FIQH DAN ILMU-ILMUNYA | 1 Comment »

FIQH AMAR MA’RUF NAHI MUNGKAR

Posted by aljawhar on 7 September, 2008

Sheikh Yusuf Al-Qaradawi, presiden Kesatuan Ulama Muslim Antarabangsa, menerima soalan daripada seorang pembaca mengenai isu mencegah Munkar (maksiat/kejahatan). Soalan itu berbunyi:

Isu mencegah Munkar dengan kuasa adalah kontroversi. Siapa yang dibenarkan melaksanakan perubahan itu dan bila ia dibenarkan? Sebahagian ulama berkata hak untuk mengubah hanya boleh dibenarkan oleh pemerintah; maknanya, ianya kewajipan kerajaan dan bukannya individu dengan tujuan untuk melindungi negara daripada kacau-bilau dan kerosakan yang menghancurkan. Sebahagian yang lain berkata yang setiap Muslim mempunyai hak ini; bahkan, ianya perbuatan wajib, mengikut hadith yang berbunyi, :

Seseorang dikalangan kamu yang melihat satu Munkar mesti mengubahnya dengan tangannya; dan jika dia tidak mampu berbuat demikian, maka dia mesti mengubahnya dengan lidahnya; dan jika tidak mampu berbuat demikian, maka dia mesti mengubahnya dengan hatinya, dan itulah iman yang paling lemah.[1]

Hadith yang mulia ini mewajibkan mana-mana Muslim yang melihat sesuatu Munkar untuk mengubahnya dengan tangannya; jika tidak mampu berbuat demikian, maka dia mesti mengubahnya dengan lidahnya; dan jika tidak mampu berbuat demikian, maka dia mesti mengubahnya dengan hatinya, dan itulah tahap iman yang paling lemah. Jadi, mana-mana Muslim yang mampu melaksanakan tahap iman yang paling tinggi tidak sepatutnya berpaling kepada yang palinglemah.

Oleh sebab itu, sebahagian anak muda yang bersemangat terburu-buru mengubah Munkar dengan tangan mereka tanpa mengira akibat. Kadang-kala pemerintah atau kerajaan sendiri mungkin melaksanakan atau mempertahankan Munkar; Dan mungkin menghalalkan haram atau mengharamkan yang halal, gagal menguat-kuasakan perbuatan wajib, menghentikan hukuman hudud, menafikan kebenaran atau menyebarkan kebatilan. Dalam hal ini, individu-individu tersebut mesti berusaha sedaya upaya untuk membetulkan kepesongan itu; jika mereka disakiti, itu semata-mata kerana Allah SWT, dan jika mereka terbunuh, mereka menjadi syuhada di jalan Allah dan akan bersama dengan Hamzah ibn `Abd Al-Muttalib, Penghulu Syuhada, seperti di dalam hadis.

Ramai orang, khasnya anak-anak muda yang bersemangat dan  taat beragama, mulai keliru; kerana mereka yang mengambil pendapat pertama ialah ulama yang sekarang digelar “ulama kerajaan ” dan ” ajen polis”. Maka, Muslim tidak lagi mempercayai mereka. Pendapat yang lain yang diambil oleh sebahagian ulama muda, yang mungkin dituduh tergesa-gesa, kurang ajar, melampau dan mengambil dalil-dalil yang zahir tanpa mengaitkan antara satu sama lain.

Saya harap tuan dapat meluangkan masa menerangkan isu ini. Semoga Allah melindungi dan menolong tuan dan menunjukkan kita jalan yang benar.


Ulama terkemuka, Sheikh Al-Qaradawi, menjawab soalan dengan berkata:


Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah dan selawat dan salam kepada Rasulullah (SAW)

Kewajipan menyuruh kepada Ma`ruf dan mencegah Munkar merupakan satu daripada kewajipan asas dalam Islam; tambahan lagi, Allah SWT menjadikannya satu daripada dua perkara yang menunjukkan kemuliaan dan keutamaan umat ini.:

“Kamu ialah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, kamu menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah..” [2]

Al-Qur’an meceritakan beberapa sifat utama orang yang beriman:

Mereka itu adalah orang yang bertaubat, yang beribadah, yang memuji (Allah), yang melawat [3], yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat makruf dan mencegah berbuat mungkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah…[4]

Sebagaimana al- Qur’an al-Karim memuji mereka yang menyuruh Ma`ruf dan melarang Munkar, ia juga mengecam mereka yang gagal berbuat demikian. Allah SWT berfirman,

“Telah dilaknati orang kafir dari Bani Israel dengan lisan Daud dan Isa putra Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas.Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu.!” [5]

Muslim bukan hanya baik pada dirinya sendiri yang melakukan perbuatan baik, mengelakkan yang buruk, dan yang hidup dalam persekitarannya sahaja, yang tidak memberi perhatian kepada penurunan perbuatan baik dalam dunia ini dan peningkatan mendadak perbuatan buruk di sekeliling dia; Bahkan Muslim sebenar merupakan orang yang baik pada dirinya dan gigih membetulkan orang lain dan menolong mereka menjadi manusia yang baik. Dia ialah orang yang digambarkan di dalam Surah berikut dalam al-Qur’an:

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya menaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran .” [6]

Maka , Muslim tidak akan selamat dari kerugian kehidupan dunia ini dan akhirat kecuali dengan berwasiat kepada kebenaran dan kesabaran yang disebutkan juga sebagai menyuruh Ma`ruf dan melarang Munkar. Maka, Muslim dianggap penjaga kebenaran dan kebaikan umat ini.

Munkar hanya di lakukan di dalam masyarakat Muslim apabila ia mengalami kelemahan atau kecuaian; maka, Munkar tidak akan kekal, tidak akan wujud dalam perlindungan, atau menikmati pelindungan undang-undang dengan sebarang cara. Maka, semua yang buruk mesti dicegah dalam masyarakat Muslim supaya ia tidak datang bertapak di bumi kita.

Mencegah Munkar dan Tahapnya

Abu Sa`id Al-Khudri menceritakan Rasulullah (SAW) bersabda,

“Seseorang dikalangan kamu yang melihat satu Munkar mesti mengubahnya dengan tangannya; dan jika dia tidak mampu berbuat demikian, maka dia mesti mengubahnya dengan lidahnya; dan jika tidak mampu berbuat demikian, maka dia mesti mengubahnya dengan hatinya, dan itulah iman yang paling lemah. (Riwayat Muslim) [7]

Hadith yang mulia ini jelas menunjukkan mengubah Munkar wajib atas setiap Muslim yang melihatnya. Kenyataan Rasulullah ” Seseorang dikalangan kamu yang melihat …” termasuklah semua Muslim (pemerintah dan rakyat); sebagaimana baginda (SAW) tidak mengecualikan sesiapa; bermula daripada Sahabat Baginda sehingga generasi terakhir umat.

Syarat-syarat Mengubah Munkar

Individu atau Kumpulan Muslim yang mahu mengubah sebarang Munkar mestilah mematuhi syarat-syarat untuk berbuat demikian. Syarat-syarat dinyatakan dalam hadith di atas.

Syarat pertama: Munkar itu mestilah di sepakati haram

Munkar yang mesti diubah dengan pertamanya dengan tangan, kemudian dengan lidah dan kemudian dengan hati dalam keadaan tidak mampu mestilah perkara yang diharamkan. Maka, perkataan Munkar bermakna melakukan yang haram (perbuatan yang dilarang) yang Allah SWT mengarahkan kita tidak melakukan, atau tidak melaksanakan perbuatan (kewajipan) yang Allah SWT perintahkan kita buat. Yang haram termasuklah dosa besar atau kecil walaupun jika dosa kecil itu mungkin mudah terlepas pandang khasnya jika seseorang tidak berterusan melakukannya. Allah SWT berfirman dalam Al-Quran :

Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang dilarang kamu mengerjakannya, nescaya Kami hapus kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu yang kecil) dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga).[8]

”Tambahan lagi, Abu Hurairah menceritakan yang Rasulullah (SAW) bersabda,

“Lima solat (harian) dan dari satu solat Jumaat ke satu solat Jumaat (seterusnya ), dan dari Ramadan ke Ramadan merupakan penebus (dosa-dosa) yang dilakukan diantara (tempoh tersebut) dengan syarat seseorang tidak melakukan dosa besar.” [9]

Jadi, perkataan Munkar tidak termasuk yang makruh, meninggalkan perbuatan yang sunat atau yang digalakkan (mustahabb).

Diriwayatkan bahawa seorang badwi datang kepada Rasulullah (SAW) dan berkata :

Beritahu saya satu perbuatan yang akan menjadikan saya masuk Syurga jika saya amalkannya.” Rasulullah (SAW) bersabda, “Sembahlah Allah, dan sembah tidak lain daripada Dia, lakukan (lima) Solat fardu yang diwajidkan dengan sempurna, bayarlah Zakat, dan berpuasa pada bulan Ramadan.” Badwi itu berkata, “Demi Dia yang hidup saya pada tangan Nya, Saya tidak akan buat lebih daripada ini.” [10]

Dan pada suatu hadis yang lain , Rasulullah saw bersabda : “Sesiapa yang ingin melihat lelaki daripada Syurga, dia boleh melihat pada lelaki itu.” [11]


Maka munkar mestilah berada ditahap haram dan mestilah perkara munkar itu benar-benar munkar di sisi syarak. Ini bermakna ia adalah apa-apa yang dilarang oleh nas Islam yang sahih atau hukum Islam yang jelas, dan tidak melalui satu pendapat atau satu pertimbangan yang mungkin betul atau salah dan mungkin berubah mengikut perubahan masa, tempat, budaya dan keadaan. Tambahan pula, ia mesti disepakati diharamkan oleh Ulama; jadi, hal-hal yang ulama tidak sepakati tidak di anggap sebagai Munkar.

Jika sebahagian fuqaha tidak bersepakat mengenai hukum mengambil gambar atau fotograf, menyanyi dengan atau tanpa alat muzik, perempuan tidak menutup muka dan tangannya, perempuan menduduki jawatan hakim dan seumpamanya, mengesahkan permulaan puasa atau akhir puasa dengan melihat anak bulan pada negara lain atau melihat anak bulan dengan teleskop, atau hal-hal kontroversi yang lain, haram bagi mana-mana individu atau kumpulan Muslim untuk mengambil satu daripada pendapat-pendapat itu dan menggunakan kekerasan untuk memaksa orang lain untuk mengikutinya.

Pendapat majoriti tidak membatalkan yang minoriti, jika hanya seolang ulama mempunyai pandangan yang berbeza, selagi dia seorang ulama yang telah sampai ke tahap mujtahid. Banyak pendapat-pendapat yang dianggap lemah dan ditinggalkan, maka ulama besar datang selepas satu tempoh dan menyokong dan menguna pendapat-pendapat itu; kemudian, pendapat-pendapat lemah ini menjadi yang paling masyhur. Contohnya, pendapat Sheikhul Islam Ibn Taymiyah, mengenai hal-hal cerai dan keluarga ditolak dengan keras semasa hidupnya dan bagaimanapun selepas kematiannya setelah banyak abad, pendapat-pendapat itu disokong dan disebar oleh ramai ulama. Kemudian, pendapat-pendapatnya menjadi rujukan utama bagi semua Fatwa dan undang-undang di banyak negara Muslim.

Munkar yang mesti diubah dengan kuasa mestilah perkara munkar yang semua ulama bersepakat akan kemunkarannya; jika tidak, pintu kejahatan dan fitnah akan terbuka, kerana sesetengah orang mungkin cuba untuk memaksa orang lain untuk mengikuti pendapat mereka dengan kuasa.

Terdapat segolongan pemuda yang bersemangat di beberapa negara Muslim, yang memusnahkan kedai patung permainan; sebab mereka anggap patung permainan kanak-kanak merupakan sejenis berhala dan gambar yang dianggap dosa besar. Apabila mereka diberitahu yang ulama terdahulu membenarkan permainan ini, kerana ada sejenis penghinaan, keaiban, dan cemuhan atas patung permainan itu, dan sebagainya, mereka berkata yang ulama dahulu membenarkan patung permainan yang bukannya patung permainan yang ada pada zaman ini, yang membuka dan menutup mata, berjalan-jalan ke sana-sini dan dan bercakap kepada kanak-kanak. Apabila dikatakan kepada mereka, “Tetapi, kanak-kanak membuang patung permainan ke sana-sini , mematahkan lengannya dan kakinya dan tidak memuliakannya atau menghormatinya,” mereka tidak dapat memberikan jawapan.

Juga, terdapat sesetengah pemuda di beberapa negara Muslim cuba untuk menutup restoran, kedai kopi dan seumpamanya dengan kekerasan, apabila beberapa negara Muslim mengumumkan permulaan puasa Ramadan, walaupun negara mereka tidak melihat anak bulan, jadi permulaan Ramadan tidak diumumkan. Pemuda-pemuda ini anggap yang Ramadan telah bermula maka Muslimin tidak boleh mengisytiharkan di khalayak awam bahawa mereka tidak berpuasa.

Contohnya, semasa Majlis Ifta’ Mesir pernah mengumumkan bahawa mereka tidak dapat melihat anak bulan Shawwal, jadi Ramadan akan menjadi tiga puluh hari, beberapa pemuda Mesir berkeras membuka puasa mereka dan menunaikan ibadah `Idulfitri bersendirian; sebagaimana beberapa negara Muslim lain yang mengumumkan yang mereka telah melihat anak bulan Shawwal, yang menunjukkan berakhirnnya puasa. Akibatnya, pertembungan tidak wajar di antara mereka dengan pasukan keselamatan berlaku. Saya percaya pemuda-pemuda ini melakukan kesilapan atas sebab-sebab yang berikut:

1. Fuqaha berselisih pendapat mengenai cara menentukan anak bulan; sebagaimana sebahagian daripada mereka memerlukan bukti seorang saksi, yang lain memerlukan dua saksi, manakalan sebahagian yang lain memerlukan bukti sekumpulan manusia apabila langit tidak berawan. Setiap golongan ulama mempunyai hujah mereka sendiri; maka, tidak dibenarkan untuk memaksa orang untuk mengikut pendapat tertentu.

2. Juga, mereka tidak sependapat mengenai kawasan melihat anak bulan; mengikut banyak mazhab,setiap negara mempunyai kawasan melihat anak bulan sendiri dan tidak perlu mengikuti negara lain. Ini pendapat Ibn` Abbas dan ramai ulama, mengikut hadith yang diriwayatkan oleh Kuraib dalam Sahih Muslim.

3. Keputusan Imam atau Mufti mengenai hal-hal yang kontroversi menamatkan sebarang perselisihan dan mewajibkan negara itu untuk mengikutinya. Maka, jika Mufti berkenaan mengambil pendapat satu daripada mazhab-mazhab mengenai sebarang hal, Muslim mesti mematuhinya dan mengekalkan perpaduan mereka.

Saya menyebut dalam beberapa Fatwa jika kita gagal untuk menyatukan semua Muslim mengenai permulaan dan tamat puasa, rakyat negara yang berkenaan mesti bersatu dalam hal ini; sebagaima kita tidak menerima rakyat negara yang berkenaan berpecah kepada dua golongan: satu golongan yang berpuasa dan satu golongan yang tidak berpuasa. Namun, perbuatan salah pemuda-pemuda yang bersemangat itu tidak sepatutnya ditentang dengan peluru; sebaliknya, mereka sepatutnya ditentang dengan tenang..


Syarat kedua: Munkar itu mesti nyata

Munkar itu mesti nyata dan kelihatan. Jika seseorang melakukan Munkar jauh daripada mata manusia atau menutup pintu kepada dirinya, tidak dibenarkan kepada sesiapa untuk mengintip atasnya dengan sebarang cara atau dengan menyerbu rumahnya dengan tujuan menangkapnya semasa melakukan dosa. Hadith tadi menjelaskan yang seseorang yang diwajibkan untuk mengubah sebarang Munkar ialah seseorang yang melihatnya; hadith itu menyebut, ” Seseorang dikalangan kamu yang melihat satu Munkar …” Maka, menjadi syarat untuk melihat Munkar itu, dan tidak mendengarnya daripada orang lain.

Sebenarnya, Islam meninggalkan hukuman seseorang yang melakukan Munkar secara sembunyi dan tidak menghebahkannya kepada Allah SWT untuk memanggil dia untuk bertanggung-jawab pada Hari Pengadilan. Tambahan pula, hukuman Ilahi akan berkurangan kepada seseorang yang melakukan dosa secara sembunyi dan dilindungi; sebagaimana Rasulullah (SAW) bersabda :

Setiap orang daripada umatku diampunkan kecuali mereka yang menonjolkan diri mereka (maknanya, mereka yang melakukan dosa secara terbuka atau menunjukkan dosa mereka kepada orang ramai ).” [12]

Maka, tiada sesiapa yang ada kuasa untuk menghukum sebarangan orang kerana Munkar yang disembunyikan – khasnya dosa daripada hati yang Islam anggap sebagai dosa besar, seperti riya’, kemunafikan, sombong, dengki, kedekut dan takbur – selagi dosa itu tidak di tonjolkan. Ini kerana kita diarahkan untuk menghukum mengikut kepada perkara yang nyata dan menyerahkan urusan dalaman (tersembunyi) kepada Allah SWT .

Dalam kitabnya Al-Ihya’ yang masyhur, Sheikh Al-Ghazali (semoga Allah merahmatinya) menceritakan kisah ini, “`Umar ibn Al-Khattab, Khalifah yang kedua, suatu hari sedang meronda apabila dia mendengar nyanyian dan muzik datang dari satu rumah. Dia melompat melepasi dinding rumah dan melihat seorang lelaki duduk bersama seorang perempuan asing dan ada segelas arak didepannya. Dia sedang minum arak dan menyanyi. `Umar memberitahunya, ‘Wahai musuh Allah, adakah kamu anggap yang Allah SWT tidak akan menghina kamu?’ Lelaki itu menjawab, ‘Wahai Amirul Mukminin, jangan menjatuhkan hukuman dengan terburu-buru. Jika saya membuat satu dosa, maka tuan membuat tiga dosa!’ `Umar bertanya bagaimana? Lelaki itu menjawab, ‘Allah SWT berfirman seseorang tidak boleh mengintai (Al-Hujurat: 12) dan tuan telah mengintai saya. Lagi, Allah SWT menyuruh memasuki rumah melalui pintu yang sebenar (Al-Baqarah: 189) dan tuan melompat melepasi dinding. Akhirya, Allah SWT menyuruh memasuki rumah orang lain hanya dengan keizinan tuannya (An-Nur: 27) dan tuan masuk ke dalam tanpa meminta kebenaran.’ `Umar berkata, ‘Betul kata kamu. Jika aku maafkan kamu, adakah kamu akan bertaubat?’ Dia berkata, ‘Ya.’ Maka, `Umar memaafkannya.” (Lihat: Al-Ihya’, jilid. 7, m.s. 1218)


Syarat ketiga: Kemampuan sebenar untuk mengubah

Seseorang yang mahu mengubah sebarang Munkar dengan kuasa mesti ada kemampuan, sama ada secara moral atau material, untuk mengubahnya secara mudah dengan dirinya sendiri atau dengan pertolongan orang lain. Hadith itu menyebut, ” … jika dia tidak mampu berbuat demikian, maka dia mesti mengubahnya dengan lidahnya …” Ini bermakna jika orang itu tidak mampu untuk mengubah Munkar itu dengan tangannya, dia mesti meninggalkan tahap ini kepada orang yang ada kuasa secukupnya dan cuba untuk mengubah mungkar dengan lidahnya.

Dalam kebanyakan kes, tahap mengubah sebarang Munkar dengan tangan , bermaksud, dengan kuasa, diwajibkan kepada manusia dalam bidang kuasanya; kepada suami yang ada kuasa (moral) atas isterinya, kepada ayah yang ada kuasa (moral) atas anak lelaki dan perempuan, kepada pengurus dalam institusinya ,kepada pemerintah dalam had kuasanya, dan sebagainya.

Apabila Kerajaan Melakukan Munkar

Satu masalah timbul disini: kadang-kala kerajaan yang ada prasarana dan kuasa tentera melakukan Munkar! Maka, apakah yang boleh individu dan kumpulan lakukan untuk mengubah Munkar ini yang dilakukan atau dilindungi oleh kerajaan?

Mereka, individu dan kumpulan, mesti ada kuasa yang membolehkan mereka untuk mengubahnya. Pada zaman ini, kuasa ini terbahagi kepada tiga bentuk elemen:

1. Pasukan tentera, yang mana banyak negara – khasnya dalam Dunia Ketiga kita – bergantung untuk menegakkan pemerintahan, melaksanakaan dasar dan mendiamkan pembangkang. Kerajaan ini tidak bergantung kepada logik dan dialog; bahkan, mereka selalu berurusan dengan penentang mereka dengan kuasa. Jadi, mereka yang mengawal pasukan tentera boleh menamatkan sebarang pergerakkan orang awam yang meminta perubahan; sebagaimana kita lihat dibanyak negara, seperti di China yang dengan mudah menamatkan revolusi pelajar yang meminta kebebasan.

2. Parlimen mengawal kuasa perundangan yang menggubal atau meminda undang-undang mengikut keputusan majoriti, yang digunakan dalam system demokrasi. Maka, kumpulan yang ada majoriti – dibawah system demokrasi sebenar – boleh mengubah sebarang Munkar dengan menggubal undang-undang mutlak yang tidak boleh dibatalkan oleh mana-mana menteri, perdana menteri atau presiden..

3. Kuasa besar persepakatan rakyat yang hebat. Jika ia digunakan, tiada siapa boleh berdiri pada jalannya atau menghalang kemaraannya. Ia seperti gelombang besar banjir yang tidak boleh dihalang, walaupun dengan pasukan tentera; kerana pasukan ini sebahagian daripada rakyat dan sebahagian daripada keluarga, bapa-bapa, anak-anak dan adik-beradik mereka.

Jika individu dan kumpulan tiada satu daripada tiga elemen ini, mereka mesti bertahan dan terus bersabar sampai mereka mencapai satu daripadanya. Juga, mereka mesti mengubah sebarang Munkar dengan lidah, pena, dakwah, mendidik dan memimpin dengan matlamat untuk mewujudkan pendapat awam yang kuat dan generasi yang berani yang boleh membuat perubahan yang dikehendaki.

Abu Umayyah Ash-Sha`bani berkata, “Saya bertanya Abu Tha`labah Al-Khushani: Apa pendapat saudara mengenai ayat, ‘ Hai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu; tiadalah orang yang sesat itu akan memberi mudarat kepadamu apabila kamu telah mendapat petunjuk. Hanya kepada Allah kamu kembali semuanya, maka Dia akan menerangkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan..’ (Al-Ma’idah: 105)” He said, ” Aku bersumpah dengan Allah, Aku bertanyakan seseorang yang mengetahui tentangnya; Saya bertanya Rasulullah(SAW) mengenainya. Baginda bersabda:

Suruhlah antara satu sama lain untuk buat yang baik dan cegahlah antara satu sama lain daripada melakukan perkara yang jahat. Tetapi jika kamu lihat kezaliman ditaati, nafsu diikuti, kepentingan dunia diutamakan, setiap orang terpesona dengan pendapatnya sendiri, maka jagalah diri kamu , dan tinggalkan sendirian perkara yang kebanyakan manusia sedang membuat selepas daripada kamu ialah hari-hari yang akan memerlukan kesabaran, yang mana menunjukan kesabaran akan seperti mengenggam bara. Sesiapa yang berbuat yang benar pada zaman itu akan di beri pahala seperti lima puluh orang daripada kalangan kamu [13]

Syarat Keempat: tidak menyebabkan Munkar lebih besar

Seseorang yang berniat untuk mengubah sebarang Munkar dengan kuasa mesti memastikan yang perubahannya tidak akan mendorong kepada Munkar yang lebih besar , maknanya, perubahannya mesti tidak menyebabkan fitnah yang mendorong kepada pertumpahan darah sebahagian manusia yang tidak berdosa atau mencabul hak atau harta mereka. Maka, ulama bersepakat atas boleh kekal diam akan sesuatu Munkar jika takut untuk melakukan Munkar yang lebih besar; memilih kejahatan kecil daripada dua kejahatan.

Dalam hal ini, Kami ingin memetik hadith sahih yang Rasulullah (SAW) bersabda kepada `Aa’ishah, “Kalaulah tidak kerana kaum kamu masih dekat dengan kekufuran, maka aku telah membina semuala ka’bah mengikut binaan asas Nabi Ibrahim. ” [14]

Al-Qur’an al-karim menegaskan hal ini dalam kisah Nabi Musa (SAW) dengan Bani Israel. Apabila Nabi Musa (SAW) pergi menunaikan pertemuan dengan Tuhan nya di Bukit Sinai, As-Samiri – seorang lelaki yang cenderung kearah kejahatan – membuat anak lembu emas dan mampu menyebabkan manusia menyembahnnya selain daripada Allah SWT. Adik Nabi Musa, Harun (SAW), yang bertindak sebagai pemimpin mereka semasa ketiadaan Nabi Musa, telah sedih dan berkata :

“Hai kaumku, sesungguhnya kamu hanya diberi cubaan dengan anak lembu itu dan sesungguhnya Tuhanmu ialah (Tuhan) Yang Maha Pemurah, maka ikutilah aku dan taatilah perintahku.” [15]

Namun, mereka tidak mendengar nasihat baginda, dan berkata :

“Kami akan tetap menyembah patung anak lembu ini, hingga Musa kembali kepada kami.” [16]

Setelah kembali, Nabi Musa (SAW) melihat kaumnya melakukan penyembahan patung anak lembu itu. Bengang akan upacara musyrik mereka, baginda melemparkan Kepingan Taurat yang baginda bawa untuk mereka. Kemudian baginda menarik janggut Nabi Harun dan rambutnya, sambil menjerit,

“Hai Harun, apa yang menghalangi kamu ketika kamu melihat mereka telah sesat, (sehingga kamu tidak mengikuti aku? Maka apakah kamu telah (sengaja) mendurhakai perintahku?” [17]

Maka, si adik berkata, ” Hai putera ibuku janganlah kamu pegang janggutku dan jangan (pula) kepalaku; sesungguhnya aku bimbang bahawa kamu akan berkata (kepadaku): “Kamu telah memecah antara Bani Israel dan kamu tidak memelihara amanatku!” [18]


Ini bermakna yang Nabi Harun memilih untuk mengekalkan perpaduan kaumnya semasa ketiadaan abangnya dan mengambil keputusan untuk berunding dengan Nabi Musa mengenai hal itu yang memerlukan kecekalan dan kepandaian selepas kepulangan Nabi Musa.

Maka, inilah empat syarat yang mesti ada kepada individu atau kumpulan yang mahu yang mahu mengubah sebarang Munkar dengan kuasa.

Mengubah mana-mana sebahagian Munkar bukanlah penyelesaian

Sekarang, Saya ingin menarik perhatian mereka yang memegang tanggung-jawab untuk mengubah status Muslim kepada satu isu yang sangat penting: kemunduran umat, yang mempengaruhi umat kita semasa zaman kemerosotan, penjajahan Barat dan zaman pemerintahan kejam dan sekular, yang tua dan berakar-umbi. Maka, untuk mengubah dan membuang kemunduran ini, tidaklah cukup untuk mengubah mana-mana sebahagian Munkar, seperti parti muzik, perempuan menunjukkan aurat di jalanan atau menjual video atau pita kaset mengandungi perkara buruk atau haram. Perubahan mestilah lebih besar, mendalam dan lebih menyeluruh daripada itu; ini mestilah termasuk idea, konsep, nilai, peraturan, moral, perbuatan, budaya, sistem dan perundangan. Namun, apa yang lebih penting ialah manusia mesti diubah melalui panduan, pendidikan dan tauladan berterusan; sesungguhnya, Allah SWT tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum itu selagi mereka tidak mengubah tahap kemunduran mengikut dengan Sunnah yang kekal..

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.…” [19]

Kelembutan Apabila Mengubah Munkar

Terdapat satu lagi hal yang mesti tidak dilupakan di sini: kelembutan apabila mengubah sebarang Munkar; kerana Rasulullah (SAW) menasihatkan kita untuk berlembut.

Baginda (SAW) bersabda, “Sesungguhnya Allah itu lembut dan suka kepada kelembutan dalam semua hal.” [20]

Lagi pun,baginda (SAW)bersabda,Apabila kelembutan ditambah kepada sesuatu, ia mencantikkan nya dan apabila ia di kurangi daripada sesuatu, ia mencacatkannya.” [21]

Di dalam kitabnya Al-Ihya’, Sheikh Al-Ghazali menukilkan kisah seorang lelaki yang datang berjumpa Al-Ma’mun, Khalifah `Abbasiyah yang terkenal, dan mula menasihati baginda mengenai kebaikan dan kejahatan dalam keadaan kasar dan biadab, tanpa memikirkan status baginda . Al-Ma’mun, yang mempunyai pengetahuan Fiqh yang mendalam, tidak menghukumnya, seperti kebanyakan raja-raja mungkin lakukan; bahkan, baginda menasihati lelaki itu dengan bertitah, “Berbicaralah dengan sopan. Ingatlah yang Allah SWT menghantar seseorang lebih baik daripada kamu kepada seorang raja yang lebih teruk daripada aku, dan mengarahkannya supaya bercakap dengan sopan; Allah SWT mengutuskan Musa dan Harun, yang lebih baik daripada kamu, kepada Firaun, yang lebih teruk daripada aku, dan memerintahkan mereka,

“ Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas; maka berbicara lah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut [akan Allah]‘.” [22]

Tambahan pula, ayat-ayat al-Quran tadi menyeru orang yang berdakwah kepada AllahSWT tidak sepatutnya putus harapan, walaupun dia berdakwah kepada orang yang melampaui semua batas (seperti Firaun), selagi dia menyeru mereka dengan sopan dan lembut.

Wallahualam!

P/S :  ARTIKEL INI ADALAH TERJEMAHAN DENGAN SEDIKIT UBAH SUAI DAN TAKHRIJ HADIS OLEH PENULIS DAN AL-FADHIL USTAZ IZRAIL (PANEL FEQH AL-AHKAM.NET) DARIPADA JAWAPAN ASY-SYAIKH DR. YUSOF AL-QARADHAWI  TENTANG PERSOALAN BAGAIMANAKAH CARA DAN KAEDAH ISLAM DALAM MENYURUH KEPADA YANG MA’RUF DAN MENCEGAH MUNGKAR.

ARTIKEL DALAM TEKS BAHASA ARAB BOLEH DIRUJUK DILINK DI SINI


[1] Diriwayatkan oleh Muslim dari Abu Sa`id Al-Khudri , no : 70 , Ahmad dalam Musnadnya no: 11034

[2] Ali `Imran 3: 110

[3] Maksudnya : Melawat untuk mencari ilmu pengetahuan atau berjihad.Ada sebahagian ulama menafsirkannya sebagai ‘orang yang berpuasa’

[4] At-Taubah 9: 112

[5] Al-Ma’idah 5: 78-79

[6] Al-`Asr 103

[7] Sila rujuk nota kaki no: 1

[8] An-Nisaa’ 4: 31

[9] HR Muslim dalam kitab Taharah no : 233 , Kitab Riyadhus Solihin no : 130

[10] Hadis Riwayat Imam Bukhari no : 1981 , 6956

[11] HR Bukhari bab Wajib zakat 3 / 210 , Muslim Bab Iman yang memasukkan ke dalam syurga : 14 , Kitab Riyadhus Solihin

no : 1213

[12] HR Bukhari no : 5608 , Muslim no : 5306

[13] Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud , Ibnu Majah dan Tirmizi dengan kata Tirmizi , hadis ini “Hasan Gharib” tetapi dinilai sebagai “dhaif” oleh Albani dalam “Dhoif Sunan Tirmizi” no : 581 , Begitu juga dalam “Silsilah al-Dho’ifah” no : 1025.Albani mengatakan bahwa hadis ini sebahagian dhoif dan sebahagian lain sahih.(Lihat sahih Tirmizi no : 2361 dan Sahih Abu Daud no : 1844 , 2375)

[14] Hadis ini tidak dijumpai dalam mana-mana kitab hadis.Ia hanya dijumpai dalam “Mausu’ah al-Buhuth wa al-Maqalat al-‘Ilmiah” yang mana terdapat lebih kurang 5900 artikel-artikel Ilmiah dan perbahasan.Dikumpulkan oleh Ali bin Nayif Asy-Syahud.Hadis tersebut terdapat dalam salah satu dari artikel yang bertajuk تقدير ظروف الناس وأعذارهم oleh As-Syaikh Dr. Muhammad Ratib An-Nabilusi

[15] Al-Quran :Taha 20: 90

[16] Al-Quran :Taha 20: 91

[17] Al-Quran :Taha 20: 92 , 93

[18] Al-Quran :Taha 20: 94

[19] Al-Quran Ar-Ra`d 13: 11

[20] Hadis Riwayat Imam Bukhari no : 5678 dan Imam Muslim no : 2593

[21] Hadis Riwayat Imam Bukhari no : 5678

[22] Al-Quran Taha 20: 43-44

Posted in FIQH DAN ILMU-ILMUNYA | Leave a Comment »

SEJARAH PERUNDANGAN / FIQH ISLAM

Posted by aljawhar on 21 August, 2008

ARTIKEL INI DIITULIS UNTUK KULIAH PENGAJIAN FIQH ISLAM AL-AHKAM.NET

Sejarah Perkembangan Perundangan Islam dari zaman Rasulullah saw hinggalah zaman Bani ‘Umayyah.

1. Perundangan Islam di zaman Rasulullah saw

Perkembangan undang-undang Islam di zaman Rasulullah saw sebenarnya lebih banyak tertumpu di masa selepas terbentuknya kerajaan Islam Madinah , iaitu zaman selepas penghijrahan Rasulullah saw dengan umat Islam dari kota Makkah ke kota Madinah.

Ketika tertubuhnya Negara Islam Madinah , masyarakat sangat-sangat memerlukan kepada suatu undang-undang atau perlembagaan yang boleh menjadi panduan dalam kehidupan seharian, serta dapat mengatur hubungan antara sesama manusia dan juga hubungan antara manusia dengan Allah ‘Azza wajalla.

Maka dengan itu , buat pertama kalinya , tertubuh atau terbentuklah suatu undang-undang yang menjadi asas kepada Perlembagaan Madinah yang dinanti-nantikan oleh sekalian umat Islam ketika itu.Kesan daripada pembentukan perlembagaan ini , maka lahirlah konsep ketaatan kepada Imam atau pemerintah di samping ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya , sebagaimana firman Allah swt dalam surah an-Nisa’ ayat 59 :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ أَطِيعُواْ اللّهَ وَأَطِيعُواْ الرَّسُولَ وَأُوْلِي الأَمْرِ مِنكُمْ

Maksudnya : Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu.”

2. Ciri-ciri Perundangan Zaman Rasulullah saw

Antara cirri-ciri terpenting perundangan Islam pada zaman Rasulullah saw ialah :

a) Undang-undang disyariatkan berdasarkan kepada kes-kes yang berlaku pada masa itu.Apabila berlaku suatu perkara atau kes dikalangan para sahabat , mereka akan bertanya kepada Baginda saw untuk mendapatkan jawapan kepada permasalahan tersebut , dan Rasulullah saw akan memberikan jawapan melalui 2 kaedah :

i. Allah swt akan menurunkan wahyu kepada Baginda saw sebagai jawapan kepada permasalahan yang diajukan oleh para sahabat.

Terdapat 2 jenis ayat yang biasanya menjadi jawapan kepada permintaan para sahabat tersebut , iaitu ayat yang dimulakan dengan :

Yastaftunaka ( يســـتفــتونــك ) Mereka meminta fatwa dari kamu………

Yasalunaka ( يســـئــلونــك ) Mereka bertanya kepada kamu………..

Antara contoh ayat yang dimulai dengan 2 perkataan di atas ialah seperti dalam :

Surah An-Nisa’ : 127

وَيَسْتَفْتُونَكَ فِي النِّسَاءِ قُلِ اللَّهُ يُفْتِيكُمْ فِيهِنَّ

Dan mereka minta fatwa kepadamu tentang para wanita. Katakanlah: “Allah memberi fatwa kepadamu tentang mereka”

Surah Al-Baqarah : 217

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الشَّهْرِ الْحَرَامِ قِتَالٍ فِيهِ قُلْ قِتَالٌ فِيهِ كَبِيرٌ

Mereka bertanya kepadamu tentang berperang pada bulan Haram. Katakanlah: Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar”

Surah Al-Baqarah : 189

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الأَهِلَّةِ قُلْ هِيَ مَوَاقِيتُ لِلنَّاسِ

Mereka bertanya kepadamu tentang bulan sabit. Katakanlah: “Bulan sabit itu adalah tanda-tanda waktu bagi manusia”

Surah Al-Baqarah : 219

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ

Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia”

Surah An-Nazi’at : 42

يَسْأَلُونَكَ عَنِ السَّاعَةِ أَيَّانَ مُرْسَاهَا

(Orang-orang kafir) bertanya kepadamu (Muhammad) tentang hari kebangkitan, bilakah terjadinya?”

ii. Apabila Allah swt tidak menurunkan wahyu sebagai jawapan kepada persoalan atau permasalahan yang ditujukan oleh para Sahabat , Rasulullah saw akan melakukan ijtihad berdasarkan ilmu serta pengawasan dan pemerhatian daripada Allah ‘Azza wajalla.Baginda saw tidak akan memberikan jawapan dengan sesuka hati atau berlandaskan hawa nafsu.Sesungguhnya , segala apa yang diucapkan oleh Baginda saw adalah semata-mata wahyu daripada Allah swt , sebagaimana firman Allah swt dalam surah An-Najmu , ayat : 3 dan 4 :

وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى (3) إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَى (4)

“Dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemauan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).”

Dalam keadaan ini , apabila terdapat ijtihad Rasulullah saw yang tersalah atau melencong daripada landasan yang ditetapkan , maka pada ketika itu Baginda saw akan ditegur oleh Allah swt agar Baginda saw memperbetulkan kembali ijtihadnya.

Sebagai contoh , peristiwa bagaimana Rasulullah saw telah menyembahyangkan jenazah Abdullah bin Ubay , seorang munafiq yang telah diketahui umum oleh masyarakat Islam ketika itu.Perbuatan Baginda saw itu telah ditegur oleh Allah swt dalam firman-Nya dalam surah at-Taubah ayat 84 :

وَلا تُصَلِّ عَلَى أَحَدٍ مِنْهُمْ مَاتَ أَبَدًا وَلا تَقُمْ عَلَى قَبْرِهِ إِنَّهُمْ كَفَرُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَمَاتُوا وَهُمْ

فَاسِقُونَ

Dan janganlah kamu sekali-kali menyembahyangkan (jenazah) seorang yang mati di antara mereka, dan janganlah kamu berdiri (mendoakan) di kuburnya. Sesungguhnya mereka telah kafir kepada Allah dan Rasul-Nya dan mereka mati dalam keadaan fasik.”

b) Tidak timbul perselisihan pendapat dikalangan sahabat Rasulullah saw yang tidak dapat diselesaikan.Ini kerana , apabila terdapat perselisihan pendapat dikalangan sahabat dan juga yang melibatkan Rasulullah saw sendiri mengenai sesuatu kes , ianya kemudian akan diselesaikan dan ditentukan kebenarannya oleh Allah swt.

c) Terdapat kes-kes dimana wahyu yang diturunkan oleh Allah swt bukan bertujuan untuk menjawab permasalahan atau persoalan yang ditimbulkan oleh para sahabat.Tetapi ianya diturunkan oleh Allah swt , sebagai pensyari’atan terhadap sesuatu hukum dan kewajipan.Dalam erti kata lain , wahyu tersebut diturunkan atas alasan telah tiba masanya sesuatu perintah dan kewajipan itu dilaksanakan dalam masyarakat.Antaranya ialah , kewajipan melakukan Ibadat , peraturan nikah , jenayah dan sebagainya.

d) Antara ciri-ciri perundangan di zaman Rasulullah saw juga ialah pensyari’atan undang-undang itu diturunkan secara berperingkat-peringkat dimana ayat yang terakhir diturunkan kebiasaannya akan menasakhkan ayat atau hukum yang diturunkan sebelumnya.Tujuan dan matlamat pensyari’atan yang sedemikian ialah supaya umat Islam yang ketika itu masih tebal dan sebati dengan amalan jahiliyyah , dapat menerima hukum-hakam Islam secara beransur-ansur.Dalam erti kata lain , hukum yang mula-mula disyari’atkan adalah bersifat sementara , manakala pindaan yang terakhir pula adalah bersifat kekal yang mesti diterima pakai oleh umat Islam yang kemudian.

Pada umumnya , Al-Quran meletakkan hukum-hukum umum secara Mujmal.Maka selepas daripada Rasulullah saw akan menafsirkan atau memperincikan ayat-ayat hokum yang mujmal itu samada melalui perkataan Baginda saw , mahupun dengan perbuatannya.Ini bermakna , tidak ada wahyu dari Allah swt yang tidak jelas , tidak ditafsirkan oleh Rasulullah saw.

Sebagai contoh : Allah swt telah mensyariatkan solat sebagaimana dalam surah al-Baqarah : 43 dan al-Hajj : 78 , yang mana dalam ayat-ayat tersebut , Allah swt tidak memperincikan bagaimanakah cara-cara menunaikan solat , berapa raka’atnya , bilakah waktu solatnya dan sebagainya.Maka , Rasulullah saw telah menjelaskan kedudukan dan cara sembahyang yang diperintahkan Allah swt melalui percakapan dan perbuatan Baginda saw.Begitu juga halnya pada hukum-hukum lain seperti zakat , puasa , haji dan sebagainya.

Bersambung disiri akan datang….

_______________________________________

Sumber rujukan :

1. Prof. Mahmud Zuhdi Abd Majid , Sejarah Pembinaan Hukum Islam , Jabatan Penerbitan Universiti Malaya.1992

2. Ahmad Syalabi , Tarikh al-Tasyri’ al-Islamiy

3. ‘Ali al-Sayis , Tarikh al-fiqh al-Islamiy , cetakan maktabah Muhammad ‘Ali wa Awladuh , Kaherah.

4. Muhammad bin Idris bin al-‘Abbas al-Syafie , Al-Risalah , Dar al-Kutub al-‘Ilmiah , Beirut Lubnan , Tahqiq : Ahmad Muhammad Syakir.

5. As-Syaikh Dr.Abbas Husni Muhammad , Al-Fiqhul-Islami Afaa Quhu wa tatawwaruh , Rabithoh al-‘Alam al-Islami,Makkah

Posted in FIQH DAN ILMU-ILMUNYA | Leave a Comment »

BENTUK PENULISAN KITAB FIQH

Posted by aljawhar on 5 August, 2008

Artikel ini ditulis untuk siri kuliah Pengajian Feqh Islam Al-Ahkam.net.

Mempelajari Ilmu fiqh adalah suatu perkara yang sangat digalakkan.Melalui ilmu fiqh kita akan dapat memahami setiap hukum hakam Islam dengan pengetahuan yang baik dan sempurna.Apatah lagi jika kita mampu untuk memahami setiap perbahasan yang diutarakan oleh para ulama atau fuqaha tentang sesuatu permasalahan dengan tepat.

Walaubagaimana pun , sering kali kita mendengar ramai dikalangan penuntut ilmu merasa bosan dan cepat berputus asa apabila tiba pada suatu tahap tidak dapat memahami ilmu yang ingin dipelajari dengan baik dan betul.

Antara penyebab utama perkara ini berlaku ialah , kebanyakkan mereka tidak mengetahui bagaimana sesuatu ilmu atau permasalahan itu ditulis dan dibahaskan oleh para fuqaha dalam kitab-kitab karangan mereka.Secara umumnya terdapat berbagai-bagai cara dan jenis penulisan para fuqaha dalam bidang Ilmu fiqh ini.Ianya dapat dibahagikan kepada beberapa jenis penulisan seperti dibawah :

1. Matan

2. Syarh

3. Hasyiah

Mari kita lihat satu persatu apakah maksud ketiga-tiga jenis penulisan tersebut.

Matan :

Matan adalah kitab yang ditulis secara ringkas.Penulis hanya memuatkan fakta-fakta penting tanpa memasukkan sebarang penerangan yang panjang dan terperinci terhadap sesuatu permasalahan dalam fiqh.Penulis kitab jenis ini kebiasaannya akan menggunakan istilah-istilah yang dianggap tepat dan menyeluruh.

Kitab-kitab jenis ini agak sukar untuk dibaca sekiranya tidak terdapat ulasan atau syarah dari mana-mana ulama atau fuqaha yang menerangkan maksud dan makna pada setiap baris matan yang ditulis dalam kitab-kitab tersebut.

Apa yang perlu diketahui juga ialah , kadang-kadang matan ditulis oleh para fuqaha sebagai ringkasan yang dibuat dari kitab lain yang dikenali sebagai mukhtasar.Seperti kitab al-Muharrar karangan Imam al-Rafi’iyy yang diringkaskan dari kita al-Wajiz karangan Imam al-Ghazali.Malah terdapat juga mukhtasar yang dibuat terhadap kitab mukhtasar yang seperti kitab Minhaj al-Talibin karangan Imam Nawawiyang meringkaskan kitab al-Muharrar.

Antara bentuk penulisan kitab jenis ini juga ialah ianya ditulis dalam bentuk nazam atau syair yang bertujuan untuk memudahkan para pembaca atau pelajar menghafal setiap baris matan yang tertulis.Sebab itu lah kitab jenis ini jarang digunakan sebagai rujukan melainkan oleh orang yang telah pun terlebih dulu mempelajarinya atau dirujuk bersama-sama dengan kitab lain.

Contoh beberapa buah kitab Ilmu Fiqh yang ditulis dengan cara penulisan jenis ini ialah :

a. Bidayat al-Mubtadi’ oleh al-Marghinaniyy ( ulama mazhab hanafi )

b. Matn atau Mukhtasar Khalil , karangan Syaikh Khalil Ibn Ishaq ( Ulama mazhab Maliki )

c. Al-Ghayah wa al-taqrib oleh Abu Syuja’ ( ulama mazhab Syafie )

d. Mukhtasar al-Khiraqiyy karangan Abu Al-Qasim Umar Ibn Al-hasan al-Khirraqiy

( ulama mazhab hanbali)

Syarh :

Kitab jenis ini adalah kitab yang ditulis untuk mengulas dan mensyarahkan matan atau mukhtasar.Penulis kitab ini akan mengulas setiap istilah dan kenyataan yang sukar atau kabur pemahamannya.Ulasan juga dibuat terhadap pandangan dan ijtihad ulama lain terhadap sesuatu masalah yang diperbahaskan.Penulis kitab ini juga kebiasaannya tidak melakukan pentarjihan terhadap pendapat atau pandangan ulama-ulama yang mengarang kitab tersebut.

Pengulas atau pen’syarah’ akan mengulas atau mensyarahkan matan atau mukhtasar yang dihasilkannya sendiri atau pun dari penulisan-penulisan orang lain.Malah terdapat juga Syarh yang mengulas kitab syarh yang lain , seperti kitab Syarh Fathul Qadir karangan Ibnu al-Humam yang mengulas kitab al-Hidayat karangan al-Marghinaaniyy.Kitab ­al-Hidayah pula adalah sebuah kitab syarh yang mengulas kitab Bidayat al-Mubtadi’ karangan al-Marghinaaniyy sendiri.

Apa yang jelas , kitab jenis ini kebiasaannya mempunyai jumlah halaman yang banyak.Ini kerana kebanyakan dari ulama / fuqaha yang menulis dengan metod jenis ini akan menyelitkan atau membawa berbagai-bagai perbahasan hukum-hakam furu’ dalam fiqh untuk dijadikan contoh pada sesuatu permasalahan yang ingin dibahas atau disyarahkan.

Penulis atau pengulas kitab jenis ini juga biasanya mempunyai hubungan dengan penulis kitab asal yang diulasnya , samada sebagai anak murid kepada pengarang kitab asal atau sekurang-kurangnya sebagai pengikut mazhabnya.Sebab itulah kita dapati , jarang sekali terdapat dari kalangan pengulas / pen ‘syarah’ tersebut yang menyanggahi atau menolak pandangan penulis kitab asal yang mereka syarah / ulaskan.

Contoh-contoh kitab jenis ini pula ialah seperti :

a. Bada’ie al-Sana’ie oleh Abu Bakr Ibn Mas’ud Ibn Ahmad al-Kasaniyy.Salah seorang ulama bermazhab Hanafi.Kitab ini adalah ulasan kepada kitab Tuhfah al-Fuqaha yang dikarang oleh al-Samarqandiyy.

b. Mughni al-Muhtaj oleh Muhammad Ibn Ahmad al-Syarbiniyy al-Khatib.Seorang ulama mazhab Syafie yang mengulas atau mensyarahkan kitab Minhaj al-Tholibin yang diikarang oleh al-Imam an-Nawawi.

c. Al-Syarh al-Kabir karangan Muhammad Ibn Abdillah al-Kharashiyy.Seorang ulama mazhab Maliki.Kitab ini adalah ulasan atau kitab syarah bagi kitab Mukhtasar Khalil yang dikarang oleh Khalil Ibn Ishaq.

d. Kasyaf al-Qina karangan Mansur Ibn yusuf Ibn Idris al-Buhutiyy yang merupakan salah seorang ulama Mazhab Hanbali.Kitab ini pula adalah ulasan kepada kitab al-Iqna’ karangan Musa Ibn Ahmad al-Maqdasiyy.

Hasyiah :

Kitab jenis ini pula adalah penulisan kitab fiqh yang berbantuk Ta’liq (komentar) atau Mulahazhat (catatan) yang dilakukan terhadap sesuatu syarh.Bentuknya hampir sama dengan bentuk penulisan secara atau jenis syarh , tetapi bezanya penulis kitab jenis Hasyiah ini hanya akan memilih perkataan-perkataan atau ayat-ayat yang tertentu dalam kitab syarh untuk diulas dengan komentar-komentar atau catatan yang tertentu.

Antara kitab-kitab yang ditulis dengan jenis penulisan hasyiah ialah :

a. Hasyiah Ibn ‘Abidin atau disebut juga Rad al-Mukhtar yang ditulis oleh Muhammad Amin Ibn Umar atau lebih dikenali dengan panggilan Ibn ‘Abidin.Seorang ulama bermazhab Hanafi.Kitab hasyiah ini adalah komentar kepada kitab al-Dur al-Mukhtar yang dikarang oleh al-Haskafiyy.Kitab ini juga merupakan kitab hasyiah yang agak panjang sehingga menyerupai kitab syarh.

b. Hasyiah al-Syarqawiyy yang dikarang oleh Abdullah Ibn Hijaziyy Ibn Ibrahim al-Syarqawiyy , seorang ulama mazhab Syafie.Kitab ini merupakan kitab hasyiah kepada kitab Syarh al-Tahrir karangan Zakaria ibn Muhammad al-Ansariyy.

Selain daripada jenis-jenis atau bentuk penulisan seperti di atas , terdapat juga bentuk-bentuk lain dalam penulisan kitab-kitab fiqh seperti , penulisan kitab fiqh mengikut mazhab , bentuk penulisan secara muqarran (perbandingan) , bentuk ayat dan hadith hukum , bentuk fatwa , usul, qawa’id dan sebagainya.

Semoga dengan kita mempelajari dan mengetahui kaedah dan bentuk penulisan kitab-kitab fiqh ini akan dapat memudahkan kita untuk memahami ilmu fiqh islam dengan lebih mudah dan sempurna.

Posted in FIQH DAN ILMU-ILMUNYA | Leave a Comment »