Archive | SOAL JAWAB FIQH RSS feed for this section

KAEDAH BERTAYAMMUN KETIKA SAKIT

14 Sep

Boleh tak mintak tolong panel feqh jelaskan dengan ringkas beserta dalil sedikit berkaitan pelaksanaan ” cara mengambil wudhu` @ tayamum mengikut mazhab empat ketika:

1. Anggota yang berbalut
2.Anggota yang cedera tapi tidak berbalut

Dan mintak tolong tarjihkan pendapat empat mazhab..

jazakallah,

___________________________________________

بسم الله، و الحمد لله، و الصلاة والسلام على رسول الله، وبعد:

In sya Allah akan kami cuba menjawab sekadar yang mampu.

Ulama sepakat menyatakan bahawa menyapu di atas balutan kerana patah atau luka ketika berwudhuk atau mandi junub , hukumnya adalah harus.

Dalilnya :

Saidina Ali bin Abi talib r.a berkata :

انكسرت إحدى زندى فسألت النبي (ص) فأمرني أن أمسح الجبائر

“Salah satu pergelangan tanganku telah patah , lalu aku bertanya kepada Rasulullah saw (cara bersuci). Baginda saw memerintahkan ku supaya menyapu di atas balutannya”

(HR Ibn Majah , Dar al-Quthni , dan al-Baihaqi)

Berikut adalah ringkasan hukum menyapu air di atas balutan ketika berwudhuk / mandi junub :

1. Mazhab Hanafi : Hukum menyapu di atas balutan adalah wajib dan bukannya fardhu.Hukum wajib ini akan gugur sekiranya sapuan di atas balutan itu memudharatkan.

2. Jumhur Ulama (Maliki , Syafie , Hanbali) : Hukum menyapu di atas balutan luka dan sebagainya adalah wajib.Ini kerana seseorang itu wajib menggunakan air ketika berwudhuk atau mandi junub semampu / semaksimum yang mungkin.Sekiranya ia tidak dapat berbuat demikian melainkan terpaksa menyapu dengan air balutan lukanya , maka ia wajib berbuat demikian.

Terdapat syarat-syarat yang mesti diikuti ketika menyapu air di atas balutan luka :

1. Balutan yang tidak boleh dibuka, yang mana sekiranya dibuka akan mengakibatkan kemudharatan atau menyebabkan lambat sembuh.

2. Air tidak boleh di sapu pada tempat luka, kerana akan memudharat / menyakitkan.Sekiranya tempat luka tersebut boleh disapu dengan air , maka pada ketika itu tidak boleh ia menyapu balutan luka , malah hendaklah ia menanggalkan balutan tersebut.Begitu juga dengan anggota yang cedera tetapi tidak berbalut yang mana sekiranya boleh disapu dengan air maka lakukanlah , tetapi jika disapu akan menyebabkan kesakitan maka tidak perlu disapu dan wajib ketika itu dibalut pada tempat tersebut supaya ianya boleh disapu.

3. Balutan itu mestilah tidak melebihi had yang diperlukan.Iaitu tidak melebihi tempat atau bahagian yang sakit.

4. Hendaklah pembalut itu diletakkan pada bahagian luka seseorang yang suci daripada hadas besar dan kecil , iaitu setelah mandi junub atau berwudhuk.Sekiranya ia diletakkan / dibalut pada bahagian anggota pesakit yang dalam keadaan berhadas , maka ia boleh menyapu balutan tersebut tetapi ia wajib mengulangi solat berdasarkan kepada pendapat Mazhab Syafie dan Hanbali.Adapun disisi mazhab hanafi dan Maliki mereka tidak mensyaratkan balutan itu diletakka dalam keadaan suci dari hadas.Sekiranya ia diletakkan dalam keadaan berhadas sekalipun , seseorang itu boleh menyapu balutan tersebut ketika berwudhuk atau mandi junub dan tidak perlu mengulangi solatnya.

Pendapat inilah yang paling logik dan diterima kebbanyakkan ulama , kerana kebiasaannya kejadian luka dan sebagainya terjadi dalam keadaan mengejut atau tanpa disangka-sangka.Maka mensyaratkan suci daripada hadas adalah suatu kesulitan yang bertentang dengan kehendak syarak itu sendiri. (Pendapat yang rajih)

5. Balutan itu mestilah daripada bahan-bahan yang halal dan tidak diharamkan seperti sutera bagi lelaki dan sebagainya.Ini adalah syarat tambahan bagi mazhab Hanbali.

Jumhur ulama dari mazhab Maliki , Syafie dan Hanbali menetapkan seluruh balutan yang termasuk dalam anggota wudhuk dan anggota mandi hendaklah disapu dan tempoh yang dibenarkan untuk menyapu balutan tersebut ialah sehingga luka tersebut sembuh.

Sapuan pada balutan anggota mandi boleh dibuat pada bila-bila masa ketika mandi.Tetapi sapuan pada anggota wudhuk hendaklah dibuat mengikut tertib.Sebagai contoh , sekiranya balutan tersebut pada tangan maka sapuan hendaklah dibuat selepas membasuh muka.

WA

Ruj :

Al-badaie’ , Kasani 1/13

Mughni al-Muhtaj 1/94

Rad al-Mukhtar , Ibn Abidin 1/257

KAEDAH ‘RECYCLE’ SURAT KHABAR MENGANDUNGI AYAT AL-QURAN

14 Sep

Assalamualaikum,
Ustaz,

Apakah cara terbaik recycle suratkhabar-suratkhabar dan majalah-majalah yg ada :

a. Ayat-ayat al-Quran

b. Erti atau maksud firman Allah s.w.t. dan hadis-hadis dalam rumi

c. Perkataan Allah s.w.t. dan Nabi Muhammad s.a.w / Rasulullah dalam rumi

Kalau kita tidak bakar, adakah boleh kita kumpul dan ikat, kemudian jual? Terfikir mungkin org akan pijak pula dalam penyelenggaraan recycle itu.

Terima kasih.

___________________________________________

بسم الله، و الحمد لله، و الصلاة والسلام على رسول الله، وبعد

Ulama berbeza pendapat dalam masalah bagaimanakah cara menghapuskan / melupuskan surat khabar , majallah atau buku-buku yang mengandungi ayat-ayat Al-Quran’

Sebahagian Ulama mengatakan harus dibakar demi memelihara kesucian dan kemulian Al-Quran.Ada juga Ulama yang berpendapat , keratan akhbar atau majallah dan buku tersebut mestilah dibasuh / direndam dengan air supaya tulisan ayat al-Quran tersebut dapat dilarutkan / dihilangkan.Malah terdapat juga sebahagian ulama yang menyuruh agar ditanam.

Ibn Battal menafsirkan hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin malik ketika menceritakan tentang usaha pengumpulan Al-Quran di zaman Saidina uthman Al-‘Affan :

وَأَمَرَ بِمَا سِوَاهُ مِنَ الْقُرْآنِ فِي كُلِّ صَحِيفَةٍ أَوْ مُصْحَفٍ أَنْ يُحْرَقَ

Dan (Uthman) memerintahkan agar dibakar segala mushaf atau sahifah yang selain daripada al-Quran (Rasm Uthmani). ( HR Bukhari , no : 4987 )

Dengan katanya :

في هذا الحديث جواز تحريق الكتب التي فيها اسم الله بالنار، وأن ذلك إكرامٌ لَها وصونٌ عن وطئها بالأقدام

Hadis tersebut menjadi dalil bahawa harus membakar dengan api buku-buku yang di dalamnya terdapat nama Allah swt sebagai menghormati / memuliakannya serta memelihara daripada dipijak. (Fath Al-Bari , 8 / 637)

Al-Zarkashi menyebut dalam Al-Burhan fi ulumil Quran , 1 / 477 :

أن الإحراق أولى من الغسل؛ لأن الغُسالة قد تقع على الأرض

Membakar lebih baik (diutamakan) daripada membasuh / merendamkannya dengan air , kerana air basuhan tersebut akan jatuh kebumi

Bagi Ulama-ulama syafi’e , mereka melarang membakar Al-Quran , kerana katanya membakar adalah bersalahan dengan tatacara menghormati al-quran itu sendiri sebagaimana Imam an-Nawawi sendiri menghukumkan makruh membakarnya [Al-Itqan fi ‘Ulumil Quran : 4 / 165]

Malah sebahagian Ulama mazhab Hanafi begitu juga dari kalangan mazhab Hambali tidak menggalakkan untuk dibakar , tetapi lebih diutamakan untuk ditanam dalam tanah [Al-Itqan fi ‘Ulumil Quran , 2 / 459]

Tarjih :

Berdasarkan kepada hujah dan pendapat para ulama di atas , maka jelaslah bahawa membakar al-Quran atau keratan-keratan akhbar , majallah dan buku-buku yang mengandungi kalam Allah itu lebih aula (baik/utama) daripada membasuh / merendam dan menanamnya.Ini kerana perbuatan membakar itu adalah perbuatan sahabat sebagaimana yang dilakukan oleh Saidina Uthman al-‘Affan ketika mana memerintahkan agar dibakar al-Quran / mushaf selain mushaf Uthmani yang mengandungi ayat-ayat yang telah di mansukh kan demi mengelakkan berlakunya percampuran antara mushaf.

[Ahkamusy Syar’iyyah li qurrail Quran al-Karim , Asy-Syaikh Dr.Mahmud Ahmad Sa’id al-Atrasy.]

DALIL LARANGAN JUAL AIR ZAM-ZAM

21 Aug

Salam ,


1) Adakah terdapat larangan khas samada dari Al-Quran atau As-Sunnah dalam Penjualan Air Zam-Zam?

2) Apakah konsep Servis dalam Islam?

3) Adakah adakah adakah satu kesalahan kepada saya jika saya memberikan servis kepada untuk menternak babi yg bukan Islam di atas tanah saya atau memberi servis penghantaran babi .Saya maklum bahawa keharaman arak mencakupi perhantaran dan etc , tetapi adakah hukum ini juga menrangkumi perkara haram yang lain .. seperti menghantar Ular ke kedai bukan Islam contohnya?

Harap para panelis dapat memberi penjelasan.

___________________________________________

بسم الله، و الحمد لله، و الصلاة والسلام على رسول الله، وبعد:

Soalan 1 :

Setakat pencarian kami , tidak terdapatnya larangan dalam menjual air zam-zam. Walaubagaimana pun untuk menghindarkan diri daripada terjebak kepada perkara-perkara yang syubhat eloklah sekiranya jualan air zam-zam itu diniatkan untuk menampung segala kos dan perkhidmatan yang ditanggung oleh pengusaha dan bukannya niat untuk menjual air zam-zam tersebut. Wa allahu a’lam.

Soalan 2 :

Dalam masalah ini ia berkait rapat dengan konsep al-Ijarah (upah)

Ijarah, menurut bahasa, adalah al-itsabah (memberi upah).Manakala menurut istilah fiqh ialah pemberian hak pemanfa’atan dengan syarat ada imbalan.

Secara ringkasnya , dalam Islam setiap perkhidmatan dan servis yang diberikan terhadap sesuatu perkerjaan wajib dibayar upah atau hadiah yang sewajarnya mengikut tugasan perkhidmatan atau servis tersebut.Secara umumnya juga , tidak terdapat penentuan bayaran upah terhadap sesuatu perkhidmatan yang diberikan , melainkan dengan cara musyawarah atau tawar menawar antara pihak yang memerlukan servis dgn pihak yang memberikan servis.

Maknanya upah bayaran untuk servis atau perkhidmatan tersebut mestilah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Walaubagaimana pun penentuan nilai bayaran bagi upah terhadap sesuatu servis itu boleh ditentukan samada dari pihak yang meminta servis atau pun dari pihak yang member servis dengan syarat kedua-dua pihak mestilah bersetuju dengan nilai bayaran yang dicadangkan.Sebagaimana terdapatnya riwayat hadis sahih yang menyebutkan seorang sahabat yang diminta oleh penduduk sebuah kampung supaya merawat ketua kampungnya yang terkena sakit telah meminta bayaran dengan 30 ekor kambing dan syarat tersebut dipersetujui oleh penduduk kampung tersebut.

Terdapat ancaman dari Rasulullah saw kepada orang yang tidak membayar upah kepada orang yang telah memberikan servis atau perkhidmatan :

Dari Abu Hurairah ra dari Nabi saw Beliau bersabda, “Allah Ta’ala berfirman: Ada tiga golongan yang pada hari kiamat (kelak) Aku akan menjadi musuh mereka: (pertama) seorang laki-laki yang mengucapkan sumpah karena Aku kemudian ia curang, (kedua) seorang laki-laki yang menjual seorang merdeka lalu dimakan harganya, dan (ketiga) seorang laki-laki yang mempekerjakan seorang buruh lalu si buruh tersebut mengerjakan tugas dengan sempurna, namun ia (majikan) tidak memberinya upahnya.” (Hasan: Irwa-ul Ghalil no: 1489 dan Fathul Bari IV: 417 no: 2227).

Itulah serba sedikit konsep servis atau perkhidmatan dalam Islam yang mana setiap servis dan pekerjaan itu wajib mendapat upah.

Soalan 3 :

As-Syaikh Dr Yusof al-Qardhawi menyebut dalam kitabnya al-halal wa al-haram fi al-Islam bahawa sebarang bentuk perniagaan yang boleh membawa kepada maksiat adalah haram hukumnya seperti perniagaan yang ada hubung kait dengan babi , arak , patung berhala , alatan salib , makanan dan minuman yang diharamkan dan sebagainya.Ini termasuklah apa sahaja servis atau perkhidmatan yang berhubung kait dengannya.Memberikan perkhidmatan / servis kepada perkara-perkara yang diharamkan termasuk dalam lingkungan syubhat yang wajib ditinggalkan.

Antara dalil-dalilnya adalah seperti berikut :

1. Hadis Rasulullah saw :

دع ما يريبــــك إلى مالا يريبـــك

“Tinggalkanlah apa-apa yang meragukan kamu kepada apa yang tidak meragukan kamu” ( HR Tirmizi no: 2520 )

Hadis di atas jelas menunjukkan kepada kita , menjauhi perkara yang syubhat adalah lebih baik daripada kita melakukannya kerana dibimbangi terjerumus kepada yang haram.

2. Begitu juga dengan firman Allah swt dalam al-Maidah ayat 2 :

“Wahai orang-orang Yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar ugama Allah, dan mengenai bulan-bulan Yang dihormati, dan mengenai binatang-binatang Yang dihadiahkan (ke Makkah untuk korban), dan mengenai kalong-kalong binatang hadiah itu, dan mengenai orang-orang Yang menuju ke Baitullah Al-Haraam, Yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari keredaanNya (dengan mengerjakan Ibadat Haji di tanah Suci); dan apabila kamu telah selesai dari ihram maka bolehlah kamu berburu. dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari Masjid Al-Haraam itu – mendorong kamu menceroboh. dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertaqwalah kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa Yang melanggar perintahNya)”.

Malah terdapat satu kaedah fiqh yang bersangkut paut dengan masalah tersebut :

الــحريم له حـــكم ما هو حـــريم له

“Yang mengelilingi larangan hukumnya sama dengan yang dikelilingi”

Kaedah ini membawa maksud , jika arak , babi dan sebagainya adalah haram dan dilarang , maka segala yang bersangkut paut dengannya juga hukumnya adalah sama , iaitu haram dan dilarang.

Jelas daripada ketiga-tiga dalil diatas , bahawa melakukan perkara yang bersangkut paut dengan perkara yang haram adalah tidak dibolehkan dalam Islam, kerana secara tidak langsung ianya termasuk dalam aktiviti yang boleh menyokong dan membantu perkara yang haram tersebut.

WA

Ruj :

Al-halal wa al-haram fil Islam, Dr Yusof Al-Qaradhawi

Taudhih al-Ahkam min Bulughil Maram , Asy-Syaikh Abdullah bin Abd Rahman Al-Bassam.

Majallah al-Majma’ al-Fiqhi al-Islami.

Fathul Bari , Syarah Sahih Bukhari.

DOA PADA ANGGOTA WUDHUK

9 Jul

ana ingin mencari doa2 sewaktu mengambil wudhuk seperti doa basuh muka, tangan, kepala, kaki dan seterusnya. kepada sesiapa yg tahu doa2 berkenaan dalam bahasa arab+maksudnya, tolong masukkan dalam post ni. ana dah try cari dlm internet, x jumpa. semoga Allah swt menggandakan pahala sedara2 sekelian…

_____________________________________________

Bismillahi wal hamdulillah ,

Al-Jawab :

Setakat pencarian kami dan juga pengetahuan kami yang terbatas ini , tidak terdapat doa khusus pada anggota wudhuk.Ini kerana , doa yang thabit dari Rasulullah saw berkenaan dengan berwudhuk hanyalah doa selepas berwudhuk sebagaimana hadis Rasulullah saw :

مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ يَتَوَضَّأُ فَيُبْلِغُ أَوْ فَيُسْبِغُ الْوَضُوءَ ثُمَّ يَقُولُ أَشْهَدُ أَنْ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ إِلا فُتِحَتْ لَهُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ الثَّمَانِيَةُ يَدْخُلُ مِنْ أَيِّهَا شَاءَ

Tidak ada diantara kamu yang berwudhuk , yang meratakan ( air) dan menyempurnakan wudhuk (kamu) , kemudian mengucapkan : أَشْهَدُ أَنْ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ melainkan akan dibukakan pada pintu-pintu syurga dan kemudian dia memasukinya mana-mana pintu yang ia sukai.

(HR Imam Muslim : Bab Thoharah : 345)

Manakala dalam Riwayat Tirmizi ditambah dengan penambahan :

اللهم اجعلني من التوابين واجعلني من المتطهرين

Ya Allah , jadikanlah aku dari kalangan orang-orang yang sentiasa bertaubat dan jadikanlah juga aku dikalangan orang-orang yang sentiasa menyucikan diri

(HR Tirmizi : bab Thoharah : 50 , dinilai SAHIH oleh Al-Albani dalam Sohih Sunan Abu Daud : 48)

Malah, dalam hadis Rasulullah saw yang menceritakan tentang sifat-sifat wudhuk juga , tidak terdapat pun apa yang disebut sebagai doa pada anggota wudhuk sebagaimana yang saudara inginkan , sebagaimana dalil dibawah :

حُمْرَانَ مَوْلَى عُثْمَانَُ أَنَّ عُثْمَانَ بْنَ عَفَّانَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ دَعَا بِوَضُوءٍ فَتَوَضَّأَ فَغَسَلَ كَفَّيْهِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ ثُمَّ مَضْمَضَ وَاسْتَنْثَرَ ثُمَّ غَسَلَ وَجْهَهُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ ثُمَّ غَسَلَ يَدَهُ الْيُمْنَى إِلَى الْمِرْفَقِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ ثُمَّ غَسَلَ يَدَهُ الْيُسْرَى مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ مَسَحَ رَأْسَهُ ثُمَّ غَسَلَ رِجْلَهُ الْيُمْنَى إِلَى الْكَعْبَيْنِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ ثُمَّ غَسَلَ الْيُسْرَى مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ قَالَ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوئِي هَذَا ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوئِي هَذَا ثُمَّ قَامَ فَرَكَعَ رَكْعَتَيْنِ لَا يُحَدِّثُ فِيهِمَا نَفْسَهُ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

(HR Imam Muslim , bab Thoharah : 331)

WA

SOLAT JAMA’ QASAR 11 HARI

9 Jul

assalamualaikum.

seseorang telah mengetahui dia perlu ke luar negara selama 11 hari untuk tujuan kursus. bolehkah sepanjang dia berada di luar negara berkenaan, melalukan solat jamak dan qasar?

terima kasih

_________________________________________________

Bismillahi wal hamdulillah ,

Al-Jawab :

Terdapat pendapat dari kalangan Ulama yang membenarkan seseorang itu menjamak dan menqasarkan solatnya walaupun melebihi daripada 3 hari , dengan syarat ia tidak berniat untuk bermaustatin di atau menetap di tempat tersebut.dalam erti kata lain , ia pergi bermusafir atas suatu urusan dan akan kembali semula ke tempat tinggalnya.

Dalilnya , ialah hadis Anas bin Malik ra :

خرجنا مع رسول الله صلى الله عليه وسلم من المدينة الى مكة فكان يصلى ركعتين ركعتين حتى رجعنا الى المدينة

Kami telah keluar (bermusafir) bersama Rasulullah saw dari Madinah ke Mekkah.Maka Baginda saw bersolat dengan 2 rakaat 2 rakaat sehinggalah kami pulang”

(HR Imam Bukhari 1081 , Imam Muslim : 693)

Dalil di atas jelas menunjukkan bahawa Rasulullah saw mengerjakan solat secara qasar selama mana tempoh berada di Mekkah sehinggalah Baginda saw pulang semula ke Madinah.

Malah dalam riwayat yang lain dinyatakan bahawa tempoh masa Rasulullah saw berada di Mekkah atau dalam perjalanan ke Mekkah sebagaimana berikut :

* 19 hari (Riwayat dan lafaz dari Imam Bukhari , dari Ibn Abbas : 1080)

* 15 hari (HR Abu Daud : 1230 , 1231)

* 18 hari (HR Abu Daud : 1229)

* Rasulullah saw berada di Tabuk dan mengqasarkan solat selama 20 hari (HR Abu Daud : 1235)

Maka pendapat yang rajihnya ialah sebagaimana yang dikatakan oleh Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah bahawa , seseorang yang bermusafir , dibolehkan untuk menjamak dan menqasarkan solatnya selama mana pun tempohnya selagi mana ia tidak berniat Iqamah (menetap) di tempat tersebut.

WA

Ruj :

Taudhih al-Ahkam min Bulughil Maram , As-Syaikh Abdullah bin Abd Rahman Al-Bassam , Jilid 2 , bab Solat dalam keadaan musafir dan sakit.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 60 other followers