Archive | SOAL JAWAB FIQH RSS feed for this section

MENDOAKAN IBU BAPA YANG BUKAN ISLAM

19 May

Boleh tak seorang muslim convert mendoakan ibu bapanya yang non-muslim sebagaiman doa yang termaktub di dalam Al Quran…Rabbighfirli waliwadayya warhum……dan seterusnya.

1) semasa ibu bapa nya masih hidup?

2) Ibu bapanya sudah meninggal dunia?


JAWAPAN:

Tidak boleh , bahkan diharamkan seseorang muslim mendoakan orang kafir dengan doa memohon pengampunan dan seumpamanya walaupun mereka itu adalah kedua ibu bapanya samada semasa hidup ataupun selepas matinya (jika semasa matinya ia masih tetap tidak beriman kepada Allah swt) , berdalilkan maksud firman Allah swt dalam surah at-Taubah ayat 113 :

“Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang Yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka Bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka”.

Akan tetapi yang dibolehkan oleh seseorang Muslim ialah mendoakan agar orang kafir tersebut diberikan hidayah untuk menerima Islam , lebih-lebih lagi kepada kedua ibu bapa yang masih belum menerima Islam.

WA

Rujukan :

Tashih ad-Dua , As-Syeikh Bakr bin Abdullah Abu Zaid , Dar al-‘Asimah , 1999

HUKUM MENGANDAM

19 May

As’kum wrb .
1) Apakah hukumnya menjadi Mak Andam , bagi sesuatu majlis perkahwinan ?

2) Tugas pengandam (Wanita) cuma menyolek pengantin perempuan , adakah dikira b’subahat dan bagaimana hukumnya jika :
a) Pengantin perempuan bersanding
b) Pengantin perempuan TIDAK bersanding

3) Bagaimana pula Mak Andam tadi cuma menggunakan alat2 solek untuk menyolekkan pengantin perempuan dan tiada terlibat dgn kerja2 menipiskan bulu kening

4) Apakah pula hukumnya dan perbezaannya jika menyolekkan pengantin perempuan yang :
a) Pengantin yg lengkap Auratnya
b) Pengantin yg tidak lengkap Auratnya (Nampak rambutnya , leher dsgnya)


JAWAPAN :

Sebenarnya jawapan kepada permasalahan di atas adalah terbahagi kepada 2 perkara

1. Haram

2. Boleh / harus bersyarat

Perinciannya :

1. Hukum menjadi mak andam adalah haram disisi Islam jika ia terlibat dengan perbuatan mengubah ciptaan Allah swt dan bertujuan mempertontonkan pengantin perempuan kepada pandangan umum , sebagaimana sabda Rasulullah saw :

حدثنا عبد الرحمن حدثنا سفيان عن منصور عن إبراهيم عن علقمة عن عبد الله قال لعن الله الواشمات والمتوشمات والمتنمصات والمتفلجات للحسن المغيرات خلق الله

“Rasulullah saw melaknati orang yang membuat tattoo , dan yang meminta dibuatkan tattoo dan yang meminta dicukurkan alis matanya , yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik dan yang mengubah ciptaan Allah swt.”

(HR Imam Bukhari no: 4507 , Imam Muslim no : 3966 , Imam Ahmad no: 3919 , Abu Daud no : 3638 , Ibn Majah no : 1979 , dan lafaz dari Imam Bukhari )

Larangan melihat kepada wanita atau lelaki yang bukan mahram adalah seperti yang disebutkan dalam firman Allah swt dalam surah An-Nur ayat 30 dan 31

Begitu juga dengan sabda Rasulullah saw :


حدثنا عفان حدثنا حماد بن سلمة أخبرنا سهيل بن أبي صالح عن أبيه عن أبي هريرة أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال لكل بني آدم حظ من الزنا فالعينان تزنيان وزناهما النظر ………

“Rasulullah saw bersabda : Bagi setiap anak Adam itu ada bahagian daripada zina , maka zina kedua mata ialah dengan pandangan (kepada yang tidak berhak)………”

(HR Abu Daud no : 1840 , Imam Ahmad no : 8006 , 8170 )

2. Hukum menyolek pengatin perempuan adalah dibolehkan sekiranya tidak melanggar batas-batas syarak seperti yang tersebut dalam hadis di atas , kerana Islam sememangnya menyukai kepada kebersihan dan kecantikan serta perhiasan sebagaimana maksud firman Allah swt dalam surah al-A’raf ayat 26 :

“Hai anak Adam , sesungguhnya kami telah turunkan untuk kamu pakaian yang boleh menutup aurat2 kamu dan untuk perhiasan

Tetapi jika seseorang wanita menyolekkan wanita lain untuk tujuan yang diharamkan Islam seperti bersanding , maka hukumnya juga adalah haram. Manakala jika solekan tersebut hanya untuk tatapan tetamu-tetamu dikalangan wanita sahaja maka ia dibolehkan dengan syarat tidak berlebih—lebihan sehingga mengubah ciptaan Allah swt.

3. Jawapan sama seperti jawapan no 2

4. Solekan pengantin yang lengkap atau tidak auratnya dibolehkan dengan syarat untuk tatapan kaum wanita sahaja , bukan untuk tatapan umum seperti bersanding.Jika tidak hukumnya tetap haram.

WA

VENDOR KEPADA SYARIKAT URUSNIAGA HARAM

19 May

Bolehkah ustaz perjelaskan lagi maksud syubhah?
Ini beberapa contoh keadaan:
1. Vendor/staff yg ambil upah buat advertising utk produk yg haram. e.g mlm, kad kredit, loan. (termasuk graphic, website, video)
2. Vendor/staff yg develop computerized system utk manage aktiviti syarikat.


JAWAPAN:

Jawapan kepada kedua-dua permasalahan tersebut adalah berdasarkan kepada sebuah hadis nabi saw :

دع ما يريبــــك إلى مالا يريبـــك

“Tinggalkanlah apa-apa yang meragukan kamu kepada apa yang tidak meragukan kamu” ( HR Tirmizi no: 2520 )

Hadis di atas jelas menunjukkan kepada kita , menjauhi perkara yang syubhat adalah lebih baik daripada kita melakukannya kerana dibimbangi terjerumus kepada yang haram.

Begitu juga dengan firman Allah swt dalam al-Maidah ayat 2 :

“Wahai orang-orang Yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar ugama Allah, dan mengenai bulan-bulan Yang dihormati, dan mengenai binatang-binatang Yang dihadiahkan (ke Makkah untuk korban), dan mengenai kalong-kalong binatang hadiah itu, dan mengenai orang-orang Yang menuju ke Baitullah Al-Haraam, Yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari keredaanNya (dengan mengerjakan Ibadat Haji di tanah Suci); dan apabila kamu telah selesai dari ihram maka bolehlah kamu berburu. dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari Masjid Al-Haraam itu – mendorong kamu menceroboh. dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertaqwalah kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa Yang melanggar perintahNya)”.

Malah terdapat satu kaedah fiqh yang bersangkut paut dengan masalah tersebut :

الــحريم له حـــكم ما هو حـــريم له

“Yang mengelilingi larangan hukumnya sama dengan yang dikelilingi”

Jelas daripada ketiga-tiga dalil diatas , bahawa melakukan perkara yang bersangkut paut dengan perkara yang haram adalah tidak dibolehkan dalam Islam, kerana secara tidak langsung ianya termasuk dalam aktiviti yang boleh menyokong dan membantu perkara yang haram tersebut.

WA

Rujukan :

1. Al-Quran al-Karim

2. Al-Ashbah wa al-Nazair , As-Suyuti , Dar ‘Alamul kutub , 2000

JAWAPAN FIQH SEORANG AWAM

19 May

Assalamu ‘alaikum…
Sebahagian kita diberikan ALLAH akan kesempatan membaca dan mengikuti pelbagai persoalan agama di sekitarnya. Mungkin sahaja pemahamannya salah atau betul. Apatah lagi jika beliau merupakan seorang yang bukan berpendidikan agama lanjutan secara khusus/formal.

Namun, berdasarkan sedikit pemahaman dan ilmu, beliau ingin membantu jika terdapat persoalan fiqh yang ditanya masayarakat. Dalil dan rujukan ulama’ semasa menjawab tidak pula diberi kepada si penanya. Kerana pengetahuan beliau hanya surface sahaja. Malah, kadang2 ingat-tak ingat.

1. Wajarkah seseorang yang tidak mempunyai latar belakang khusus agama memberi jawapan kepada soalan umum masyarakat tentang agama?

2. Bolehkah dia berkata “Setahu yang saya tahu, hukumnya HARAM”. Atau “…hukumnya HARUS”. Jika hukum yang sebenarnya sangat bertentangan dengan jawapan yang telah diberikan, adakah beliau berdosa?

Terima kasih.
waAllahu ta’ala a’lam.


JAWAPAN:

1.Mengikut pendapat As-Syeikh Dr Abd Karim Zaidan , seseorang yang عــــامي (yang tidak berlatar belakangkan pendidikan agama ) adakah boleh ia menjawab atau memberikan penerangan tentang masalah hukum hakam agama terbahagi kepada 5 pendapat ulama :

1) Boleh , dengan syarat ia mengetahui hukum masalah tersebut beserta dengan dalil-

dalilnya sekali.

2) Boleh , sekiranya dalil kepada masalah tersebut diperolehi daripada Al-Quran dan

Sunnah Rasulullah saw.

3) Boleh , dengan cara mengambil kata-kata / pendapat seseorang ulama / mufti tentang seseatu masalah tersebut

4) Boleh , dengan syarat kita mengetahui hukum masalah tersebut berdasarkan kepada

pendapat satu-satu mazhab yang kita arif.

5) Tidak boleh sama sekali walaupun ia mengetahui hukum permasalahan tersebut

dengan dalil-dalilnya sekali.

Tarjih / Tahqiq hukum:

Mengikut penelitian yang dibuat , maka hukum menyampaikan atau menerangkan ilmu agama kepada masyarakat umum oleh seorang yang عـــــامي adalah harus / boleh dengan mengikut segala ketetapan syarak atau mengikut salah satu daripada pendapat diatas.

Ini adalah berdasarkan kepada sebuah hadis riwayat Imam Bukhari :

بـــــلغوا عـــني ولو اية

“Sampaikanlah (apa-apa yang diambil) daripada ku walau satu ayat”

Dan juga berdasarkan firman Allah swt : (Al-Baqarah : 159 , 160)

“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.” “Kecuali orang-orang yang bertaubat, dan memperbaiki (amal buruk mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”

Ayat diatas adalah larangan daripada menyembunyikan ilmu agama yang kita ketahui daripada disampaikan kepada masyarakat umum…Muhamad Ali as-Sobuni menyebutkan , antara tafsiran الكــــتمان ialah orang yang tidak menyampaikan sesuatu ilmu agama yang diketahuinya kepada yang bertanya.

2. Sebaiknya janganlah mengeluarkan sesuatu kenyataan jika kita tidak pasti tentang hukum sesuatu masalah tersebut , sebagaimana diberitakan oleh Al-Qadhi Abu Yusuf , rakan Imam Abu Hanifah bahawa : “Aku lihat ramai diantara para tok guru kita yang membenci mengeluarkan fatwa-fatwa agama dengan mengatakan : ini halal dan ini haram , kecuali menerangkan apa yang memang sudah tersebut dalam al-Quran.

WA

Rujukan :

Usul Da’wah , Dr Abd Karim Zaidan , Muassasah al-Risalah 2002 ,

Rawaiul Bayan fi tafsir ayat al-Ahkam min al-Quran , As-Syeikh Muhamad Ali as-Sobuni , Dar Ehya al-Turath al-Arabi , 2001

PELAKSANAAN HUDUD

19 May

Pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. kalau umatnya berzina, mereka nyatakan secara terbuka kepada Rasullullah s.a.w. bahawa dia telah terlanjur berzina. Nabi menjalankan hukum hudud keatas mereka yang berzina.

Selain dari pada pengakuan terbuka, kalau ada perzinaan berlaku isteri seseorang, walaupun suaminya nampak sendiri dengan mata. Tidak boleh diguna pakai keterangan suami si-isteri yang berzina itu, kerana takut pula fitnah berlaku. Mesti mahu sokongan dari 4 orang saksi yang beriman yang nampak zakar lelaki itu “masuk dan keluar” dari rahsiat sulit wanita itu.

Masalahnya pada zaman ini:- Jika si-A bawa isteri atau janda atau anak dara orang kehotel 5 bintang. Pintu bilik hotel tebal 1/2 kaki. Mereka tutup pintu lalu zina berlaku.

Bila tiba Penguatkuasa Badan Agama datang ketuk pintu hostel 5 bintang tersebut, ada kah anda fikir dengan cara berbogel mereka membuka pintu tersebut? Bila pintu dibuka adakah Penguatkuasa Badan Agama itu nampak “masuk dan keluarnya zakar” dari rahsia sulit wanita itu? Atau yang berzina dah pakai baju keduanya baru mereka buka pintu? Apa yang nyata Badan Penguatkuasa Agama nampak, mereka cuma berkhalwat saja. Bagaimana jika mereka sudah berzina, bukan kah dayus kalau suami tidak menceraikan isterinya? Kalau si-isteri yang telah diceraikan cabar suaminya keMahkahmah bahawa kenapa dia diceraikan sedang mahkahmah sya’riah hanya mendapati keselahan mereka, hanya berdua duan saya.Tidak berzina.

jadi, bagaimana hukum hudud hendak dilaksanakan?


JAWAPAN:

Hukuman hudud dalam kes zina tidak boleh dijalankan melainkan hanya dengan 2 cara iaitu :

1. Saksi ( dalil : al-Quran , An-Nisa : ayat 15 )

2. Pengakuan ( hadis Maiz Al-Aslami )

Ini adalah pensabitan zina mengikut pendapat Jumhur Ulama.Manakala pensabitan zina dengan qarinah adalah tidak disepakati oleh Ulama sebagaimana kata Ibnu Qudamah dalam al-Mughni (Jilid 9 m/s 79).bahawa pensabitan zina melalui qarinah atau bukti tidak sekali-kali disepakati oleh Jumhur.

Berbalik kepada persoalan di atas , dalam keadaan seperti itu memang hukuman hudud bagi kesalahan zina tidak dapat dijalankan kerana dalam kes itu mengandungi syubhat , iaitu tidak pasti samada mereka itu berzina atau tidak? Sedangkan hudud tidak boleh dijalankan jika terdapat sebarang keraguan atau syubhat sebagaimana kaedah fiqh ada menyebut :

الحـــدود تســــقط بالشبـــهات

“Hudud gugur dengan sebab keraguan”

Ini kerana diantara Maqasid Syariyyah (tujuan perundangan Islam) itu ialah memelihara kehormatan dan maruah.Sebab itulah Islam meletakkan syarat yang begitu ketat untuk membolehkan seseorang membuat tuduhan zina , lebih-lebih lagi jika ianya melibatkan perempuan yang solehah ( Muhsonat / ‘Iffah )

Walaubagaiamana pun si lelaki dan perempuan yang ditangkap berdua-duaan tadi tetap dianggap berdosa dan mengikut kaedah Islam kesalahan sebegitu dianggap sebagai muqaddimah zina dan termasuk dalam kesalahan ta’zir yang mana hukuman terhadap kesalahan tersebut di tentukan oleh pihak pemerintah. Sebagaimana sabda Rasulullah saw :

من كان يؤمن بالله واليوم الاخر فلايخلون بامرأة ليس معها ذو محرم منها فإن ثالثهما الشيطان

“Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat , maka janganlah dia bersendirian dengan wanita asing yang tidak ada bersamanya mahramnya , kerana yang ketiganya adalah syaitan” (HR Imam Ahmad)

Kenyataan yang mengatakan bahwa “Bagaimana jika mereka sudah berzina, bukan kah dayus kalau suami tidak menceraikan isterinya?” tidak boleh diambil kira.Ini kerana Islam meletakkan syarat untuk menghukum ialah dengan berpandukan kepada apa-apa pasti dan yang terlihat pada pandangan zahir bukan bersandar kepada syak wasangka yang tidak pasti.

WA

Rujukan :

1. Al-Ashbah wa al-Nazair , As-Suyuti , Dar ‘Alamul kutub , 2000

2. Al-halal wa al-Haram fi al-Islam , Dr Yusof al-Qardhawi , Maktabah Wahbah , 2000

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 61 other followers