oleh : Abu Fathi Al-Yamani
1. PENDAHULUAN
Dewasa ini , terlalu banyak perkara-perkara yang mengganggu gugat keharmonian dan kestabilan agama Islam dan masyarakat Muslim itu sendiri.Berbagai-bagai pertubuhan atau persatuan yang bernaung atas nama Islam dan sebagainya muncul dengan begitu banyak dan mempunyai pemahaman dan pemikiran yang berbeza-beza.
Apabila ini berlaku , maka umat Islam akan terdedah kepada bahaya pemikiran dan pemahaman salah yang mana akhirnya akan menjerumuskan mereka ke dalam golongan berfahaman salah tersebut.
Artikel ini akan membahaskan salah satu dari golongan yang mempunyai pemahaman dan pemikiran yang salah dan menyimpang jauh dari ajaran Islam yang sebenarnya dan golongan tersebut sedang rancak menyebarkan misi dakwah songsang mereka kepada masyarakat Islam Malaysia.
Golongan ini yang dinamakan dengan nama ‘ISLAM LIBERAL’.
2. PENGERTIAN
Sebelum kita membahaskan dengan lebih terperinci masalah Islam Liberal ini , eloklah terlebih dahulu kita memahami dan mengetahui dengan lebih mendalam akan maksud dan pengertian Islam Liberal itu sendiri.
Jika kita meneliti pengertian Liberal seperti yang tercatat dalam kamus Dewan adalah seperti berikut :
a. (bersifat) condong kpd kebebasan dan pemerintahan yg demokratik ( menentang hak-hak istimewa kaum bangsawan), (fahaman) bebas; kaum ~ orang yg menganut fahaman Liberal;
b. bersifat atau berpandangan bebas, berpandangan terbuka (tidak terkongkong kpd
sesuatu aliran pemikiran dsb)
Ini bermakna , golongan yang mengaku menganut fahaman Islam Liberal , adalah golongan yang tidak terikat dengan mana-mana pandangan dan pendapat serta aliran pemikiran.Mereka ini juga akan mempraktikkan Islam itu dengan pandangan dan pendapat serta pemikiran yang terbuka dengan tidak merujuk kepada mana-mana Ulama.Secara ringkasnya juga golongan ini boleh disebut sebagai golongan yang bersifat bebas dalam apa juga hal dalam Islam.
Istilah “Islam Liberal” pertama kali digunakan oleh para penulis Barat seperti Leonard Binder dan Charles Kurzman. Namun dalam konteks Indonesia ada buku khusus yang ditulis oleh Greg Barton pada tahun 1995 mengenai kemunculan pemikiran liberal di kalangan pemikir Indonesia. Buku ini kemudiannya diterjemahkan dalam bahasa Indonesia dengan tajuk “Gagasan Islam Liberal di Indonesia: Pemikiran Neomodernisme Nurcholis Madjid, Djohan Effendi, Ahmad Wahib, dan Abdunahman Wahid”, yang diterbitkan atas kerjasama Paramadina, Yayasan Adikarya Ikapi, dan Ford Foundation pada tahun 1999. Pemikiran Islam liberal, yang biasa disingkatkan sebagai ‘Islib’, kemudian dipopularkan oleh satu kumpulan para pemuda dengan menubuhkan satu rangkaian kerjasama di dalam dan di luar negara, yang mereka namakan sebagai ‘Jaringan Islam Liberal'(JIL).[1]
Apa yang akan dipaparkan dalam kertas kerja ini adalah beberapa isu pokok dalam pemikiran Islam liberal yang berkembang di Indonesia yang mana pemikiran-pemikiran tersebut sedikit sebanyak telah mempengaruhi segelintir golongan masyarakat Malaysia untuk sama-sama mengembangkan ajaran pemikiran sesat tersebut. Memang terlihat jelas bahawa pemikiran-pemikiran liberal yang dilontarkan oleh golongan ini merupakan penyerapan dan pengaruh dari isu-isu pemikiran yang berkembang di dunia Barat. Proses pembaratan dan globalisasi kultural yang berjalan di Indonesia selama ini telah melahirkan golongan pemikir yang merasa selesa dengan pemikiran agama seperti yang terjadi di Barat. Islib kini menjadi satu lagi jentera globalisasi, bukan dalam bidang ekonomi, tapi dalam bidang agama. Seperti juga nasib agama-agama di Barat, Islib hendak menjadikan Islam sama seperti Kristian atau Faham Yahudi di Barat yang tunduk dengan kehidupan duniawi, dengan cara membebaskan umat Islam dari ajaran-ajaran Islam yang tulin menerusi tafsiran atau perubahan ajaran Islam itu sendiri sehingga sesuai dengan selera dan agenda Barat. Hal ini sesuai dengan motto dan syiar Jaringan Islam Liberal (JIL) di Indonesia iaitu “Islam Yang Membebaskan.” Pembebasan yang pertama, seperti yang terjadi di dunia Barat, adalah menerusi proses sekularisasi dan sekularisme yang berambisi membebaskan umat manusia dari pengaruh-pengaruh alam rohani.
3. BENTUK FAHAMAN DAN PEMIKIRAN ‘ISLIB’
Golongan Islam Liberal ( ISLIB ) ini mempunyai berbagai-bagai fahaman dan pemikiran yang menjadi dasar kepada perjuangan golongan tersebut yang mana ianya juga turut disebarkan kepada masyarakat dengan tujuan mempengaruhi masyarakat supaya sama-sama membela dan mendokongi perjuangan golongan tersebut.
Kesan dan keburukan yang lahir daripada pemahaman dan pemikiran golongan tersebut amatlah merbahaya dan boleh merosakkan aqidah umat Islam.Ini kerana pola pemikiran dan fahaman mereka telah pun jelas menyimpang dari landasan Islam yang sebenar.
Antara ajaran dan pemikiran songsang yang dipelopori oleh golongan mereka ini ialah :
3.1 Sekularisasi dan Sekularisme
Sejarah telah mencatatkan bahawa sekularisme barat menyerang dunia Islam dari berbagai-bagai sudut kehidupan.Mereka memasukkan fahaman-fahaman yang bercanggah dengan Islam atas nama kemodenan dan perkembangan atau peredaran zaman.Golongan ini menamakan diri mereka sebagai Mustacmir [2].
Penjajahan / pemakmuran ( Isticmar [3] ) adalah strategi yang paling disukai oleh golongan sekularisme barat , kerana dengannya mereka boleh membawa masuk segala macam bentuk ideologi-ideologi kotor yang digunakan untuk meracuni pemikiran dan perlakuan umat manusia terutama golongan muda.Sekularisme barat menjajah negara-negara umat Islam di seluruh dunia dengan begitu meluas sekali.Ia mencengkam dan mempengaruhi serta menguasai negara-negara umat Islam semenjak pertengahan kurun ke-19 sehinggalah ke awal kurun ke-20
Golongan ISLIB ini adalah golongan yang ingin mengembangkan fahaman sekularisme barat ke dalam kehidupan masyarakat Islam yang mana bagi golongan ini , fahaman tersebut adalah fahaman ‘bebas’ yang tidak menyekat dan mengongkong kebebasan umat Islam untuk melakukan apa sahaja sehingga sanggup mempertikaikan hukum Allah swt dan perintah Rasul-Nya.
Sekularisme sebenarnya adalah musuh Islam dan proses sekularisasi memang ditujukan untuk melawan Islam. Oleh sebab itu istilah-istilah seperti sekularisme, sekularisasi, dan sekular itu sendiri tidak boleh dihubung-hubungkan dan dikait-kaitkan dengan Islam. Bahkan terjemahan perkataan sekularisme dalam bahasa Arab seperti ‘ilmaniyyah’ atau ‘almaniyyah’ adalah tidak tepat sama sekali, karena tidak ada padanannya dalam konsepsi Islam. Begitu juga pemikir Islam yang lain seperti Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi, menyatakan pendapat yang sama bahawa sekularisme dan sekularisasi itu bercanggah dengan Islam dan akan sentiasa berkonfrantasi dengan Islam, seperti dinyatakan dalam buku beliau “al-Islam wa al-‘Ilmaniyyah Wajhan li Wajhin” [4]
Kita mesti terus menerus mengawasi, waspada dan peka terhadap perjuangan kelompok Islam Liberal yang terang-terang hendak membentuk negara sekular yang tidak akan memberi ruang publik kepada Islam yang syamil dan kamil.
3.2 Pluralisme Agama
Yang dimaksudkan dengan pluralisme agama adalah faham yang menyamakan semua agama. Faham ini lahir sebagai akibat sekularisme and proses sekularisasi masyarakat Barat. Secara ringkasnya terdapat empat aliran pemikiran pluralisme agama yang berkembang sekarang ini: (1) Civil Religion; (2) Global Theology; (3) Transcendent Unity of Religions; dan 4) Syncretism. Dua yang pertama lahir di Barat akibat faham sekularisme, dan dua yang terakhir merupakan reaksi terhadap sekularisme. Di Indonesia nampaknya aliran Transcendent Unity of Religions (TUR) mendapat sambutan dari tokoh-tokoh pemikir Islib. [5]
Dalam konteks Negara kita Malaysia , golongan yang ingin menyamakan semua fahaman agama dalam satu platform atau wadah ialah ‘Rancangan pembentukan dan penubuhan Interfaith Relegions atau lebih dikenali dengan nama IFC.Daripada apa yang berlaku jelas menunjukkan bahawa kedua-dua pertubuhan tersebut ada persamaan dari segi perjuangan dan konsep pemikiran mereka.Ini kerana IFC secara terang-terangan mendokongi fahaman pluralisme agama yang dicanang oleh golongan ISLIB ini.Ia juga dibuktikan dengan beberapa tuntutan yang dikeluarkan oleh golongan IFC ini.Semua tuntutan golongan ini tanpa segan silu lagi jelas-jelas menyerang prinsip-prinsip Islam sebagai agama rasmi yang dilindungi oleh perlembagaan Malaysia. Marilah kita perhatikan tuntutan-tuntutan golongan ini: [6]
1. Seorang anak yang dilahirkan oleh ibu bapa Islam tidak mengharuskan secara terus menjadi orang Islam.
2. Orang-orang bukan Islam yang telah memeluk agama Islam hendaklah diberikan kebebasan untuk kembali kepada asal agama mereka (murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.
3. Sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh mahkamah Syariah tetapi dikendalikan oleh mahkamah civil.
4. Tidak perlu dicatatkan di dalam kad pengenalan seseorang Muslim bahawa ia beragama Islam.
5. Orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam. Orang Islam hendaklah dibenarkan keluar daripada Islam (murtad) sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan apa-apa tindakan undang-undang.
6. Seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak jagaan anak.
7. Orang-orang yang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seorang yang memeluk Islam hendaklah diberikan hak menuntut harta pusakanya selepas kematiannya.
8. Kerajaan hendaklah menyediakan dana yang mencukupi untuk membina dan menyelenggara rumah-rumah ibadah orang bukan Islam sebagaimana kerajaan menyediakan dana yang serupa untuk masjid.
9. Orang-orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan-perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya.
10. Bible dalam bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia sepatutnya dibenarkan untuk diedarkan kepada umum secara terbuka.
11. Pelajaran agama bukan Islam untuk penganut agama itu hendaklah diajar di semua sekolah.
12. Program-program berunsur Islam dalam bahasa ibunda suatu kaum hendaklah ditiadakan. Program dakwah agama lain selain Islam pula hendaklah dibenarkan untuk disiarkan dalam bahasa ibunda masing-masing.
13. Orang-orang Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang hasil zakat sepatutnya digunakan juga untuk keperluan orang-orang bukan Islam.
14. Sepatutnya Islam tidak disebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah.
Tuntutan-tuntutan di atas sebahagian besarnya bercanggah dengan ajaran Islam dan kepentingan umat Islam di Malaysia. Bukankan aneh apabila ada orang Islam atau kumpulan Islam yang mendokongnya? Namun kenyataannya ada kumpulan yang menamakan diri “Sisters In Islam” (SIS) menyetujui dan menyokong IFC. Itulah realiti pemikiran Islib; orang-orang Islam sendiri yang secara zahirnya tidak mahu dikatakan bukan Islam, tetapi batinnya tidak mahu tunduk dan patuh pada ajaran-ajaran Islam, atau seperti ungkapan Pak Rasjidi, orang Islam “yang tidak mempunyai hubungan batin dengan Islam.”[7]
3.3 Idea dan gerakan modenisme.
Gerakan modenisme ini adalah satu idea bagaimana untuk menjadikan masyarakat itu tidak terkongkong dengan adat resam dan tradisi yang sempit yang dianggap sebagai penghalang kepada budaya kemajuan dan kebebasan.Golongan Islam Liberal adalah golongan yang bertanggungjawab memainkan peranan dalam menyebarkan ajaran dan idea gerakan modenisme ini.Bagi mereka ( ISLIB ) , untuk mengecapi kemajuan hidup , masyarakat perlu membebaskan diri mereka dari kongkongan tradisi.
Gerakan modenisme ini sepanjang sejarahnya telah berjaya merombak sistem tradisi masyarakat Barat dalam segenap aspek kehidupannya meliputi bidang pemerintahan, keilmuan, perundanngan, seni, hiburan dan tatacara moral. Menerusi faham sekularisme, gerakan modenisme menentukan tafsiran baru terhadap dimensi-dimensi ini menerusi kerangka rasionalisme. Peranan ajaran agama tidak lagi menjadi faktor penentu terhadap makna sesuatu kebenaran.
Aliran ini kini bertapak kukuh tidak sahaja dalam konteks masyarakat Barat malah juga di kalangan masyarakat Timur. Ia telah dikembangkan oleh penjajah-penjajah menerusi sistem pendidikan yang ditubuhkan ditanah-tanah jajahan. Aliran modenisme ini juga berkembang menerusi intekasi kebudayaan terutama apabila negara – negara bekas jajahan – setelah memperoleh kemerdekaan, telah menghantar sejumlah besar anak warganya ke negara Barat bagi mendapatkan latihan dan pendidikan.
Di negara ini secara khusus tidak terkecuali dari mendapat pengaruh aliran modenisme ini. Salah satu dari kesan pengaruh modenisme ialah perspektif dan kefahaman terhadap agama Islam. Perspektif ini pada hari ini dikenal sebagai `Islam liberal’ di mana pandangan atau tasawwurnya terhadap agama bercorak liberal atau tidak terikat dengan dasar-dasar tradisi yang diamalkan atau dianuti oleh masyarakat terbanyak. Ini dapat dilihat menerusi beberapa isu agama yang sedang rancak dibahaskan semenjak akhir-akhir ini yang meliputi perundangan, gender, poligami dan amalan sosial agama seperti aurat.[8]
3.4 GerakanFeminisme
Gerakan feminisme Barat yang bertujuan mewujudkan persamaan laki-laki dan perempuan (gender equality), juga mempengaruhi pemikiran Islam liberal. Feminisme ala Islib biasanya menuntut persamaan hukum-hakam syariah antara lelaki dan wanita. Perbezaan hukum syara’ antara wanita dan lelaki Islam dianggap tidak adil oleh golongan ini.
Golongan ini menganggap bahawa dalam Islam wanita dan lelaki itu adalah dicipta dari kejadian yang satu.Maka apa sahaja hak yang menjadi hak lelaki , mestilah juga menjadi hak kepada wanita.Sebarang perbezaan yang berlaku di antara lelaki dan wanita mestilah dihapuskan kerana bagi mereka ianya bersifat diskriminasi dan menindas kaum wanita.
Bibit-bibit feminisme sebagaimana yang dimaklumi , sudah mulai muncul di Malaysia. Kewujudan kumpulan Sisters In Islam (SIS) yang dahulunya didirikan oleh Amina Wadud kini mulai mempengaruhi anak-anak wanita tokoh-tokoh negarawan Malaysia. BBC News (On Line) 11hb Mac 2006 misalnya telah menyiarkan kenyataan Marina Mahathir yang konon ‘di Malaysia wanita Muslim menjadi mangsa ‘apartheid’. Kata Marina, “We should also note that only in Malaysia are Muslim women regressing; in every other Muslim country in the world, women have been gaining rights, not losing them”
seperti yang dipetik BBC. Kenyataan beliau itu sebenarnya bercanggah dengan realiti sebenar di mana wanita di Malaysia memainkan peranan yang lebih aktif dalam semua bidang kerjaya dibandingkan dengan kebanyakan wanita di negara-negara Islam lainnya.
Amina Wadud, tokoh pendiri SIS, yang belum lama ini menggemparkan dunia Islam dengan bertindak sebagai khatib dan imam solat Juma’at, masih mendapat sokongan kuat dari SIS. Laman Web SIS sampai hari ini (12 Mei 2006) masih lagi menyiarkan konon hujah-hujah yang mendokong wanita menjadi imam bagi lelaki. Selain itu kita pun tahu juga adanya hubungan komunikasi antara SIS dan JIL di Indonesia. Sebahagian mereka biasa berkunjung ke pejabat JIL di Jalan Utan Kayu, Jakarta untuk berdiskusi. [9]
Gerakan atau fahaman feminisme ini sebenarnya membawa kesan yang amat buruk terhadap institusi masyarakat.Golongan wanita yang mempunyai kerjaya yang dianggap terbaik adalah antara golongan yang amat terikut-ikut dengan pengaruh fahaman feminisme ini.Bagi mereka , tanggapan sesetengah masyarakat yang meletakkan taraf wanita hanyalah didapur adalah satu mitos dongengan lagenda orang tua-tua dahulu kala.Apa sahaja yang lelaki dapat , kaum wanita juga berhak untuk mendaptkannya , apatah lagi jika perkara tersebut memang boleh dikecapi oleh pihak wanita.
Apa yang sangat membimbang dan menyedihkan ialah , fahaman feminisme ini bukan sahaja menganggap kesamaan taraf dari segi hak dan pemilikan antara lelaki dan wanita itu berlaku pada perkara-perkara duniawi sahaja , malah golongan ini juga menganggap bahawa segala hukum syarak dan ketetapan Ilahi juga perlu adanya persamaan hak antara lelaki dan wanita , terutama sekali dalam bab pembahagian harta pusaka dan perwarisan.Secara tak langsung fahaman ini ada persamaannya dengan gerakan memperjuangkan hak-hak wanita yang banyak berlaku di negara-negara luar terutama sekali di Eropah.
Inilah scenario yang sedang hangat berlaku di Negara kita Malaysia dan juga di mana-mana sahaja Negara Islam.
4. KESAN DAN PENGARUH GOLONGAN ‘ISLIB’ DALAM MASYARAKAT MALAYSIA.
Kemasukkan fahaman dan pemikiran kotor Islam Liberal ini sebenarnya membawa kesan dan pengaruh yang sangat buruk dan amat merbahaya jika ianya dibiarkan terus bertapak dan melebarkan sayapnya ke serata pelusuk Negara.
Ini adalah kerana golongan Islam Liberal ini sudah jelas akan kesesatan dan kekeliruan dari sudut fahaman dan pemikiran mereka terhadap agama Islam itu sendiri.Malah ianya akan memberikan kesan negatif terhadap kesucian dan ketulenan agama Islam.Lebih-lebih lagi jika sesuatu kenyataan itu datangnya dari seseorang yang mengaku menganut agama Islam tulen tetapi setiap butir kenyataannya tidak lain hanyalah memburuk-buruk dan merendah-rendahkan martabat Islam.
Di bawah ini penulis menyertakan sekali Kandungan Resolusi Muzakarah Ulama 2006 sebagai menyatakan bantahan terhadap golongan Islam Liberal yang semakin membimbangkan masyarakat Muslim Malaysia.
KANDUNGAN RESOLUSI MUZAKARAH ULAMA KE – 78 [10]
R E S O L U S I
MUZAKARAH ULAMA 2006
SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-78
KEPUTERAAN DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN.
Tema: Pemurnian Islam daripada Liberalisme dan Pluralisme
Bismillahi ‘r-Rahmani ‘r-Rahim
Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain daripada Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai- beraikan kamu dari jalan Allah. Dengan yang demikian Itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa. Al-An`am: 153
Dengan limpah rahmat petunjuk Yang Maha Esa, Muzakarah Ulama yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan dan Hotel Casuarina, Ipoh pada 14-16 Jamadil Awwal 1427H, bersamaan 11 -13 Jun 2006 telah berkesempatan meneliti, membahas dan merumuskan tiga kertas kerja di sekitar isu “Islam liberal” dan pluralisme agama.
Muzakarah telah mencapai kesepakatan menilai dan menyikapi aliran pemikiran “Islam liberal”, termasuk faham pluralisme agama (menyamakan semua agama/mengakui kebenaran semua agama) sebagai penyimpangan serius dan berbahaya. Ia adalah sebahagian daripada agenda al-ghazw al-fikriy (serangan pemikiran) yang didalangi oleh kaum orientalis dan dilatari oleh pengaruh faham asing: sekularisme modenisme dan pascamodenisme. Pemikiran liberal dan plural dalam konteks tersebut jelas menggugat pokok-pokok ajaran Islam serta mencemarkan kemurnian dan ketulenannya, termasuk :
• Mencemarkan kemurnian tauhid (teras `aqidah Islamiah).
• Menggugat kemutlakan al-Qur’an sebagai kitab suci, wahyu Ilahi (kalamu ‘LLah).
• Menggugat martabat kerasulan dan keluhuran peribadi Nabi Muhammad s.`a. w.
• Menggugat autoriti al-Sunnah dan ijma` `ulama’.
• Menggugat keunggulan syari`at dan kedaulatannya.
Berasaskan hakikat tersebut, muzakarah dengan penuh kesedaran dan keprihatinan membuat resolusi-resolusi berikut:
DASAR-DASAR KERAJAAN
1. Sesuai dengan tanggungjawab pemegang amanah hirasatu ‘d-din wa siyasatu ‘d-dunya bih (memelihara agama dan mengurus kehidupan duniawi dengannya) serta kewajipan melaksanakan perintah al-amru bi ‘l-ma`ruf dan an-nahyu `ani ‘l-munkar (memerintahkan kebaikan dan mencegah kemungkaran), maka pemerintah hendaklah membuat pendirian tegas tentang penyelewengan aliran pemikiran “Islam liberal”, termasuk faham pluralisme agama. Sehubungan dengan itu langkah-langkah seperlunya hendaklah segera diambil bagi mencegah penyebaran pemikiran tersebut, termasuk larangan pengedaran bahan-bahan bercetak atau penyiaran program-program (media elektronik) yang mempromosikan idea liberalisme dan pluralisme dalam pengertian tersebut.
2. Demi memelihara kemurnian `aqidah Islamiah, amalan berkongsi perayaan hari kebesaran keagamaan di kalangan penganut pelbagai agama hendaklah ditinjau kembali dari segi keselarasannya dengan hukum syara` kerana dikhuatiri terdapatnya unsur-unsur yang boleh membawa kepada syirik.
3. Peruntukan perlembagaan yang mencatatkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan hendaklah dipertahankan, direalisasikan dan diterjemahkan secara yang lebih nyata dan bermakna dengan mendaulatkan syari`atnya, menguatkuasakan undang-undangnya, menerapkan nilai-nilai murninya dan memperkasakan institusi-institusinya. Sehubungan dengan itu hak dan kewajipan umat Islam untuk menghayati dan mengamalkan Islam secara utuh dan murni sebagai cara hidup hendaklah sentiasa dilindungi daripada sebarang gangguan mana-mana pihak.
4. Selaras dengan semangat tersebut, pemerintah hendaklah dengan tegas dan muktamad menolak IFC ((Interfaith Commission) dan gagasan-gagasan lain sepertinya yang bermotif menggugat Islam (ajarannya, undang-undangnya dan institusi-institusinya) serta mencampuri urusan keagamaan masyarakat Islam.
5. Melihat gejala penyuburan gaya hidup sekularistik-materialistik sebagaimana yang terjelma dalam bentuk keleluasaan budaya hedonistik pesta-pestaan dan hiburan yang melampau-lampau, muzakarah ini berpendapat bahawa perkembangan tersebut akhirnya akan mengakibatkan pendangkalan agama dalam erti pemusnahan kekuatan rohaniah dan pencemaran iklim kehidupan keagamaan di kalangan rakyat. Sehubungan dengan itu muzakarah ini mendesak pemerintah segera bertindak mengawal perkembangan tersebut, terutama media massa (cetak dan elektronik) yang seharusnya berfungsi mendidik rakyat dengan nilai-nilai murni keagamaan untuk merealisasikan cita-cita pembinaan masyarakat yang religius (masyarakat yang taat beragama).
PENDIDIKAN DAN PENYELIDIKAN
6. Menyedari betapa seriusnya ancaman terhadap keutuhan dan kemurnian Islam akibat berleluasanya penyebaran faham dan aliran pemikiran yang menyeleweng seperti yang dilakukan oleh JIL (Jaringan Islam Liberal) dan sekutu-sekutunya, maka muzakarah ini mengusulkan penubuhan badan atau institusi khusus yang dianggotai oleh ulama dan ahli-ahli akademik untuk memantau dan menangani ancaman pemikiran tersebut , sebuah unit khas dengan fungsi seperti di atas perlu diwujudkan di Jabatan Mufti.
7. Berdasarkan kenyataan bahawa faham sesat yang memakai label “Islam liberal” tersebut selalu diperlihatkan sebagai wacana yang bersifat keintelektualan dan disasarkan terutamanya kepada golongan terpelajar, maka muzakarah ini menyarankan agar kursus mengenai aliran-aliran pemikiran yang menyeleweng diajarkan di institusi-institusi pengajian tinggi dengan penekanan khusus pada kritik dan sanggahan terhadap “Islam liberal” dan aliran-aliran lain sepertinya.
8. Sehubungan dengan perkara di atas, program penghantaran pelajar-pelajar bidang pengajian Islam ke institusi-institusi pengajian tinggi luar negara hendaklah dilaksanakan secara yang lebih selektif dan berhati-hati dengan mengambil kira risiko pengaruh pemikiran “Islam liberal” ke atas pelajar-pelajar berkenaan.
9. Menginsafi pengaruh aliran-aliran pemikiran yang membahayakan faham dan pegangan keagamaan di kalangan umat, muzakarah ini merasakan perlunya usaha pemantapan pendidikan `aqidah Islamiah (berasaskan faham ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah) di semua peringkat pendidikan formal dan tidak formal.
DAKWAH DAN DIALOG
10. Menyedari hakikat bahawa kegiatan jahat mencemarkan kemurnian ajaran Islam adalah bersifat global, intensif dan terancang, muzakarah ini menggesa semua pihak, institusi-institusi kerajaan, badan-badan dakwah, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti politik agar lebih prihatin dan berpartisipasi secara aktif, serius dan penuh komitmen dalam gerakan membasmi faham-faham perosak, dan menyedarkan umat tentang bahaya “Islam liberal” termasuk faham pluralisme agama.
11. Di samping meningkatkan usaha pemurnian Islam dengan menolak “Islam liberal” dan faham pluralisme agama, muzakarah ini ikut mendukung idea dialog antara agama dengan semangat untuk saling memahami dan saling menghormati tanpa mencairkan jati diri dan keyakinan terhadap agama masing- masing. Selain itu, pintu dialog juga seharusnya sentiasa terbuka kepada semua pihak termasuk para pendukung “Islam liberal” dan lain-lainnya.
PEMBAHARUAN, IJTIHAD DAN PERSYARATANNYA
12. Muzakarah ini juga menyepakati keperluan melakukan pembaharuan keislaman dalam erti tajdid, islah dan ijtihad. Bagaimanapun, usaha-usaha tersebut harus dilaksanakan berasaskan prinsip dan kaedah yang sah mengikut ajaran Islam. Dalam kaitan ini, muzakarah mengingatkan bahawa pembukaan pintu ijtihad tidak dengan sendirinya bererti kebebasan dan kesewenang-wenangan ber”ijtihad” tanpa tertakluk kepada sebarang syarat. Ijtihad adalah `ilmun wa amanah (ilmu dan sekaligus amanah) yang harus dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab oleh mereka yang memenuhi segala persyaratannya.
TEKAD DAN KOMITMEN MUZAKARAH
13. Menyedari berlakunya pelbagai percubaan untuk mendistorsikan hakikat Islam dan mencipta “Islam” versi liberal, muzakarah ini bertekad untuk berjuang mempertahankan dan mempromosikan Islam hakiki, tulen dan murni berdasarkan sumber asasinya, al-Qur’an dan al-Sunnah. Sehubungan dengan itu muzakarah menyeru seluruh umat untuk menentang usaha musuh-musuh Islam untuk merubah wajah dan citra Islam mengikut selera dan keinginanan mereka.
Hotel Casuarina, Ipoh,
16 Jamadil Awwal 1427H,
13 Jun 2006.
5. PENUTUP
Isu Islib walaupun pada mulanya muncul di Indonesia tidak mustahil mempengaruhi masyarakat Islam di Malaysia juga. Isu pluralisme agama dan feminisme nampaknya sudah mula bertapak. Walaupun Malaysia beruntung kerana undang-undang yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi, tetapi tekanan globalisasi apabila tidak ditangani secara bijaksana, boleh mengakibatkan terhakisnya fungsi undang-undang ini.
Komitmen Malaysia yang bersikap tegas terhadap pemikiran Islib perlulah dihargai. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin mengingatkan umat Islam di negara ini supaya tidak terpengaruh dengan fahaman Islam liberal kerana ia bertentangan dengan akidah dan syariat Islam. [11] Katanya, ini boleh dilihat melalui prinsip fahaman ini yang melihat sesuatu perkara dalam kehidupan mengikut penerimaan masyarakat semasa, mengutamakan rasional pemikiran semata-mata dan menganggap semua agama adalah sama. “Dan paling bahaya sekali ajaran ini turut disebarkan melalui serangan pemikiran yang dibuat secara halus…Malah, pengikut fahaman ini telah mewujudkan sebuah badan yang dikenali sebagai Jaringan Islam Liberal yang bertujuan untuk menyebarkan seluas-luasnya fahaman ini di samping mewujudkan rangkaian ke negara-negara lain.” Bagaimanapun katanya, Malaysia yang jelas termaktub Islam sebagai agama rasminya tetap akan menghalang perkembangan ini walau melalui apa cara sekali pun. “Kita akan menggunakan segala saluran secara bersepadu dan terancang bermula dari pendidikan hinggalah ke penguatkuasaan undang-undang bagi memelihara akidah umat Islam di negara ini,” tambahnya.
Mudah-mudahan Allah melindungi Indonesia dan Malaysia dari fitnah pemikiran Islam Liberal. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
6. RUJUKAN
1. Dr Ugi Oleh Suharto (UIA) , Isu-isu sentral dalam pemikiran Islam Liberal Kes Indonesia dan Pengajarannya untuk Malaysia. Kertas Kerja ini dibentangkan dalam Seminar Ancaman Islam Liberal anjuran Kerajaan Kelantan dan Gabungan Persatuan Profesional Kelantan, di Balai Islam, Lundang, Kota Baharu, Kelantan, pada 3hb. Jun, 2006.
2. Dr Yusuf al-Qaradawi, al-Islam wa al-‘Ilmaniyyah Wajhan li Wajhin, Get. 7, Kairo: Maktabah Wahbah, 1977.
3. Secretariat ACCIN (Allied Coordinating Committee of Islamic NGO’s) yang beralamat di Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Anjung Rahmat, Batu 6, Jalan Gombak, 53100 Kuala Lumpur; atau lihat laman www.geocities.com/bantah-ifc
4. Muhamad Razak Idris , Aliran Islam Liberal : Cabaran baru Umat Islam , http://www.geocities.com/ummahonline/artikel/050517razak-islamliberal.htm
5. Resolusi Muzakarah Ulama 2006 Sempena Ulangtahun ke-78 Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan. http://mufti.perak.gov.my/isu/RESOLUSI%20MUzakarah%202006.pdf
6. Utusan Malaysia , 21 Mei 2005
[1] Dr Ugi Oleh Suharto (UIA) , Isu-isu sentral dalam pemikiran Islam Liberal : Kes Indonesia dan Pengajarannya untuk Malaysia. Kertas Kerja ini dibentangkan dalam Seminar Ancaman Islam Liberal anjuran Kerajaan Kelantan dan Gabungan Persatuan Profesional Kelantan, di Balai Islam, Lundang, Kota Baharu, Kelantan, pada 3hb. Jun, 2006.
[2] Mustacmir membawa maksud “yang memakmurkan” .Golongan ini mendakwa bahawa mereka membawa perubahan kepada bumi yang dijajah dengan cara memakmurkannya.Mereka ini membawa masuk berbagai-bagai perubahan atas nama kemakmuran.Tujuan dan strategi mereka tidak lain hanya ingin mengaburi mata dan fikiran masyarakat dengan menganggap bahawa apa yang dibawa adalah untuk kebaikan semua.Akhirnya , masyarakat mula mengagumi dan menyanjung segala budaya dan pemikiran mereka.
[3] Isticmar adalah istilah yang diguna pakai dalam bahasa arab yang digunakan bagi membawa maksud penjajahan. Sebenarnya kalau dilihat dari sudut bahasa Isticmar bererti pemakmuran.Tetapi inilah istilah yang digunakan dalam bahasa Arab yang membawa maksud tersebut bagi mengelirukan manusia.Hal ini perlu diperhatikan agar tidak timbul sebarang kekeliruan perbezaan istilah antara bahasa Arab dan bahasa Malaysia.
[4] Lihat Yusuf al-Qaradawi, al-Islam wa al-‘Ilmaniyyah Wajhan li Wajhin, Get. 7, Kairo: Maktabah Wahbah, 1977.
[5] Dr Ugi Oleh Suharto (UIA) , Isu-isu sentral dalam pemikiran Islam Liberal : Kes Indonesia dan Pengajarannya untuk Malaysia.
[6] Dikeluarkan oleh Secretariat ACCIN (Allied Coordinating Committee of Islamic NGO’s) yang beralamat di Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Anjung Rahmat, Batu 6, Jalan Gombak, 53100 Kuala Lumpur; atau lihat laman www.geocities.com/bantah-ifc
[7] Dr Ugi Oleh Suharto (UIA) , Isu-isu sentral dalam pemikiran Islam Liberal : Kes Indonesia dan Pengajarannya untuk Malaysia.
[8] Muhamad Razak Idris , Aliran Islam Liberal : Cabaran baru Umat Islam , http://www.geocities.com/ummahonline/artikel/050517razak-islamliberal.htm
[9] Dr Ugi Oleh Suharto (UIA) , Isu-isu sentral dalam pemikiran Islam Liberal : Kes Indonesia dan Pengajarannya untuk Malaysia.
[11] Utusan Malaysia , 21 Mei 2005
tq..semoga allah merahmati anda. saya baca untuk jawab exam..