KESAN KEBELAKANG DALAM UNDANG-UNDANG ISLAM

19 May

عــــــدم رجـــعية الـــقوانيـــن ( التــشريع الإســــلامي ) على المــــاضي

The non-retroactivity of Islamic law on the past

1. PENDAHULUAN :

Syariat Islam adalah sebuah syariat yang diturunkan oleh Allah swt untuk dilaksanakan di muka bumi ini demi kesejahteraan dan kemaslahatan umat manusia.Ianya adalah merupakan satu kewajipan yang mesti dilaksanakan walau dengan apa cara sekali pun.

Apabila kita telah memilih Islam sebagai agama , maka sudah sepatutnya kita menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan hidup kita dalam melayari kehidupan di muka bumi ini.Maka dengan ini,apa-apa sahaja yang diperintahkan kepada kita untuk diikuti,hendaklah dipatuhi dan apa-apa sahaja yang dilarang daripada kita melakukannya , hendaklah dijauhi.

Firman Allah swt :

“Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).” Al-Quran al-Karim , 59 : 7

Undang-Undang Islam adalah salah satu daripada perkara yang dibawa oleh Rasulullah saw yang mana ianya merupakan syariat Allah swt yang telah diperundangkan oleh-Nya kepada kita umat manusia agar kita dapat hidup dalam keadaan yang aman dan tenteram.Ini kerana tujuan utama Allah swt meletakkan undang-undang tersebut adalah untuk memelihara agama,nyawa,akal,keturunan dan harta benda.

Sebagai makhluk yang mempunyai pencipta iaitu Allah swt , sudah tentulah kita mengikut segala peraturan yang telah ditetapkan oleh Pencipta kita.Ini kerana tidak ada yang lebih mengetahui tentang kebaikan dan keburukan kita melainkan Allah swt yang Maha Pencipta.

Artikel ini akan menghuraikan satu permasalahan yang dianggap penting dalam perundangan Islam atau al-Tasyrik al-Islami , yang mana ianya merupakan salah satu daripada ciri-ciri khusus syariah Islamiah itu sendiri.Permasalahan tersebut ialah , berkenaan dengan adakah nas-nas atau peruntukan perundangan Islam itu memberi kesan dari sudut perundangan atau bentuk hukuman terhadap kes-kes yang berlaku sebelum daripada penurunan nas-nass tersebut.

Jika diteliti , perbahasan mengenai kesan kebelakang ( الأثـــر الرجعي ) terhadap undang-undang syariah al-Islamiah ini tidak dibincangkan secara khusus dalam kitab-kitab fiqh.Walau pun begitu , ia tidak bermaksud , bahawa ianya merupakan satu cabang ilmu yang tidak dititik beratkan dalam perundangan syariah al-Islamiah.Sesungguhnya , sesiapa yang mengikuti dan mempelajari serta mengetahui tentang ayat-ayat hukum yang terdapat dalam al-Quran al-Karim serta asbabun Nuzul ayat tersebut , akan mampu untuk mengetahui dengan mudah apakah pandangan dan prinsip syariah terhadap الأثـــر الرجعي .

2. PRINSIP / PEGANGAN SYARAK TERHADAP MASALAH

Pada dasarnya , Islam menolak sesuatu kes yang berlaku terdahulu dihakimi atau diadili dengan undang-undang yang datang kemudian.Jika seseorang melakukan sesuatu perbuatan , walau apa saja perbuatan tersebut , secara umumnya ia tidak dikira sebagai satu kesalahan , sekiranya tidak terdapat sebarang nas atau hujah perundangan yang menyatakan bahawa perbuatan tersebut adalah satu kesalahan.

Kaedah usuliah syar’iyyah telah menetapkan bahawa :

لا حـــكم لأفـــعال الـــعقــلاء قــبل ورود النـــص

Maksudnya : Tiada hukuman bagi perbuatan orang yang berakal sebelum adanya nas (peruntukan) [1]

Kaedah di atas membawa kepada 2 pengertian dari sudut undang-undang :

i) Sebarang perbuatan yang diilakukan oleh seseorang yang berakal , akan dikira sah atau tidak dikenakan sebarang hukuman kerana disebabkan tiada sebarang peruntukan yang boleh diambil untuk mensabitkan perbuatan tersebut sebagai perbuatan jenayah dan satu kesalahan.

Ini membawa maksud , setiap perbuatan mukallaf itu dianggap harus dilakukan kerana hukum asal perbuatan tersebut adalah dibolehkan selagimana tidak ada nas atau dalil (peruntukan) yang mengharamkan perbuatan tersebut.[2]

Ini jelas ditunjukan melalui satu kaedah :

الاصـــل في الأشـــياء والأفـــعال الإبـــاحة

Maksudnya : Asal sesuatu perkara dan perbuatan itu adalah harus. [3]

ii) Apabila wujud peruntukan terhadap sesuatu kesalahan jenayah , maka seseorang yang melakukan perbuatan tersebut selepas daripada penguatkuasaan undang-undang tersebut , boleh disabitkan perbuatan jenayah yang dilakukannya dengan peruntukan sedia ada.Ini membawa maksud , sebarang perbuatan yang dilakukan sebelum daripada wujudnya nas atau peruntukan perundangan terhadap perbuatan tersebut tidak dikira sebagai satu kesalahan kerana peruntukan undang-undang yang wujud tidak boleh memberi kesan dari sudut perundangan terhadap kes-kes yang berlaku terdahulu , iaitu sebelum kewujudan nas atau peruntukan.

Jika wujud nas atau peruntukan yang mengatakan bahawa perbuatan tersebut adalah diharamkan oleh syarak dan tidak boleh dilakukan , maka peruntukan tersebut atau nas dan dalil itu hanya berlaku atau memberi kesan pada kes-kes yang berlaku dihadapan , iaitu selepas penguatkuasaannya.Ini bermaksud , seseorang itu tidak boleh lagi melakukan perbuatan tersebut pada masa-masa hadapan , walaupun sebelum penurunan ayat larangan tersebut , ianya selalu melakukan perbuatan tersebut.

Manakala , perbuatan yang dilakukan sebelum penurunan ayat larangan tersebut dianggap terlepas daripada ‘uquubah (hukuman) yang terkandung dalam ayat larangan tersebut , kerana nas atau peruntukan tersebut tidak boleh memberi kesan dari sudut perundangan kepada kes-kes yang berlaku sebelumnya.

3. KAEDAH ‘AM DALAM PERUNDANGAN ISLAM.

Sesungguhnya nas-nas syarak yang berkaitan dengan Jinayah tidak berlaku kecuali selepas ianya di kuatkuasakan dan perkara tersebut diketahui oleh manusia seluruhnya.Maka dengan ini ianya juga membawa maksud peruntukan tersebut tidak memberi kesan kebelakang terhadap perkara-perkara yang dilakukan sebelumnya.Ini kerana dari sudut kaedahnya , kesalahan-kesalahan yang dilakukan akan dihukum berdasarkan nas-nas (peruntukan) yang sedia ada atau yang diguna pakai pada masa kesalahan tersebut dilakukan.

Dalam erti kata lain , secara dasarnya , kaedah am dalam perundangan syariah Islamiah ialah :

أن التـــــــشريع الجنـــــائي ليس له أثــــــر رجعــــي ( لا رجعــية في التـــشريع الجــنائي )

Maksudnya : Sesungguhnya tidak ada kesan kebelakang dalam perundangan Jinayah Islamiah. [4]

4. PENGECUALIAN DARIPADA KAEDAH INI.

Terdapat beberapa kes / peristiwa yang berlaku semasa zaman Rasulullah saw yang tidak mengguna pakai kaedah لا رجعــية في التـــشريع الجــنائي ini.

Pengecualian terhadap kaedah ini dalam perundangan Islam adalah seperti berikut , sebagaimana yang dinyatakan oleh Abd Qadir Audah dalam bukunya [5]:

i) Kesan kebelakang (الأثـــر الرجعي ) harus berlaku pada keadaan atau situasi kesalahan yang dikira sebagai merbahaya yang mengganggu gugat keamanan dan undang-undang umum.

ii) Wajib diguna pakai kaedah الأثـــر الرجعي dalm al-Tasyrik al-Jina’ie pada perkara-perkara yang melibatkan kemaslahatan penjenayah.

Keterangan dan huraian :

i) Pengecualian pertama :

Antara contoh perkara-perkara merbahaya yang boleh mengganggu gugat keamanan dan dan kemaslahatan umum ialah kesalahan al-Qazaf , al-Hirabah dan al-Zihar.Maka , dalam ketiga-tiga jenis kesalahan tersebut membolehkan kesan kebelakang dalam penguatkuasaan undang-undang.

a) Dalam masalah qazaf :

Terdapat dua pendapat :

Pendapat Pertama : Mengatakan bahawa ayat al-Qazaf telah diturunkan sebelum berlakunya peristiwa al-Ifki ( الإفـــك) .Maka golongan ini berpendapat bahawa nas berkenaan peristiwa al-Ifki itu tidak berlakunya kesan kebelakang (الأثـــر الرجعي ) dalam menjatuhkan hukuman kepada mereka-mereka yang membawa berita bohong serta melakukan qazaf kepada Saidatina ‘Aishah ra.Ini kerana bagi pandangan mereka , peristiwa tersebut berlaku selepas turun ayat peristiwa al-Ifki itu.

Pendapat Kedua : Golongan ini berpendapat nas al-Ifki itu diturunkan bersempena peristiwa al-Ifki .Ini kerana mengikut pendapat golongan ini , ianya turun selepas berlaku peristiwa tersebut yang mana ianya bertujuan untuk membersihkan nama baik Saidatina ‘Aishah ra sekaligus menghukum individu-individu yang membawa dan menyebarkan beriita bohong tersebut.Maka dalam kes ini , terdapat الأثـــر الرجعي pada peristiwa tersebut dan ini adalah pendapat yang rajih serta disepakati Ulama..

Huraian dan Sebab Pengecualian :

Dalam kes al-Ifki , di antara sebab yang menyebabkan الأثـــر الرجعي itu diguna pakai ialah kerana : Peristiwa tersebut melibatkan tuduhan zina kepada isteri Baginda Rasulullah saw, seorang pemimpin Agong yang menjadi utusan kepada Allah swt.Sesungguhnya perbuatan mereka yang menyakiti dan menghina serta merendah-rendahkan martabat Saidatina ‘Aishah ra adalah seperti mereka melakukannnya kepada Baginda Rasulullah saw itu sendiri , sehingga masyarakat Islam pada ketika itu mengalami satu pergolakan yang sangat dahsyat.Hampir sahaja mereka berbunuh-bunuhan sesama sendiri.Peristiwa ini merupakan peristiwa yang sangat penting dalam sejarah umat Islam sehingga menyebabkan keadaan umat pada ketika itu diitimpa fitnah yang besar.Maka dengan sebab itulah, Allah swt telah menurunkan ayat al-Ifki itu demi kemaslahatan umum untuk menjaga keamanan masyarakat Muslim ketika itu.

b) Dalam masalah al-Hirabah :

Ulama berbeza pendapat tentang al-Asbabun Nuzul berkenaan ayat al-Hirabah ini :

Pendapat pertama : meriwayatkan sebagaimana yang diriwayatkan oleh Syaikhain[6] bahawa Abd Malik bin Marwan menulis surat kepada Anas bin Malik yang bertanyakan tentang ayat yang disebut sebagai ayat al-Hirabah , iaitu firman Allah swt [7] :

Hanyasanya balasan orang-orang Yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah Dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja Dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). hukuman Yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa Yang amat besar.”

Lalu dijawab oleh Anas bin Malik dengan menerangkan bahawa ayat ini turun berkenaan dengan suku ‘Urainah yang berjumpa Rasulullah saw untuk bertanyakan tentang Islam dan masuk Islam.Kemudian semasa mereka berada di Madinah , mereka telah jatuh sakit.Nabi saw telah menyuruh mereka keluar berjalan untuk menemui unta-unta sedekah supayya dapat diminum air susunya dan air kencingnya sebagai ubat.Setelah mereka ini sembuh, golongan ini telah murtad dari Agama Allah swt dan telah membunuh pengembala unta serta melarikan unta tersebut.Akhirnya Rasulullah saw telah mengutus para sahabat untuk menangkap mereka dan akhirnya tertangkap serta dipotong tangan dank kaki secara bersilang dan matanya dicongkel , serta dibiarkan ditanah Harrah.Maka ayat tersebut sebagai ancaman hukuman bagi orang-orang yang membuat kekacauan dan mengganggu gugat ketenteraman dan keamanan manusia.[8]

Pendapat kedua : pula mengatakan bahawa ayat tersebut diturunkan pada satu kaum dari kalangan ahli Kitab yang telah mengadakan perjanjian dengan Rasulullah saw , tetapi telah dikhianati oleh mereka.Lalu golongan tersebut membuat kekacauan dan kerosakan di jalan-jalan dan tempat umum.[9] Lalu turunlah ayat al-Hirabah ini.

Pendapat ketiga : meriwayatkan , bahawa ayat ini diturunkan sebagai teguran kepada Rasulullah saw kerana memotong tangan kaum al-‘Uraniyyin dan meninggalkan mereka begitu saja.Kemudian dikorek mata golongan tersebut sebagaimana golongan tersebut telah mengorek mata pengembala unta yang dibunuhnya.Lalu ayat ini diturunkan sebagai larangan daripada melakukan seksaan tersebut.[10]

Antara ketiga-tiga pendapat dan kenyataan di atas , pendapat yang paling rajih ialah pendapat yang pertama , sebagaimana yang dipilih oleh Jumhur Ulama.[11]

Huraian dan penerangan serta sebab pengecualian:

i) Sekiranya pendapat Ibnu Jarir (pendapat ketiga) itu dikatakan pendapat yang tepat , iaitu ayat tersebut diturunkan selepas daripada pelaksanaan hukuman ke atas golongan ‘Uraniyyun yang telah membuat kerosakan di atas muka bumi Allah swt , maka ianya tidak ada kesan kebelakang الأثـــر الرجعي terhadap ayat ini.Ini kerana hukuman telah dilakukan oleh Baginda Rasulullah saw sebelum diturunkan ayat al-Hirabah tersebut bersandarkan kepada firman Allah swt [12]:

“dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan Yang bersamaan dengannya; Dalam pada itu sesiapa Yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan Yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang Yang berlaku zalim.”

Maka penurunan ayat al-Hirabah dianggap sebagai hukuman baru yang diperkenalkan Allah swt terhadap kesalahan ­al-Hirabah.­

ii) Apabila dikatakan pula pendapat pertama dan kedua itu adalah pendapat yang sesuai dan paling tepat , Maka penurunan ayat al-Hirabah ini diianggap mempunyai الأثـــر الرجعي iaitu kesan kebelakang dalam memutuskan hukuman terhadap penjenayah al-Hirabah.Maka pendapat ini adalah pendapat yang dipilih oleh Jumhur Ulama sebagai pendapat yang paling rajih.

Seperti sebelum ini , bahawa sebab-sebab pengecualian kes di atas daripada kaedah :

أن التـــــــشريع الجنـــــائي ليس له أثــــــر رجعــــي

Ialah perkara al-Hirabah tersebut adalah kes-kes yang mengganggu gugat keselamatan dan keamanan masyarakat awam yang jika dibiarkan akan mengakibatkan kerosakan dan kemusnahan yang lebih teruk.

c) Masalah al—Zihaar

Dalam masalah zihar ini , ulama telah sepakat tentang sebab-sebab turunnya ayat ini , iaitu berkenaan dengan seorang sahabat Nabi saw , Aus bin al-Somit yang telah mengucapkan kalimah zihar pada isterinya Khaulah binti Tsa’labah dengan katanya : “Kau bagi ku adalah seperti punggung ibu ku”, yang membawa maksud , ia tidak boleh menggauli isterinya sebagaimana ia tidak boleh menggauli ibunya.Menurut adat jahiliyyah , kalimah zihar seperti itu adalah sama dengan mentalak isteri.Maka Khaulah mengadukan hal tersebut kepada Rasulullah saw , dan dijawab oleh Baginda saw ,bahawa dalam hal seperti ini belum ada keputusan atau hukuman daripada Allah swt.

Pada riwayat lain pula , Rasulullah saw mengatakan bahawa : “Engkau telah diharamkan bersetubuh dengannya”.Lalu Khaulah berkata : “Sesungguhnya suami belum menyebut kata-kata talak”.Kemudian Khaulah berulang-ulang kali mengadu dan mendesak kepada Rasulullah saw supaya menetapkan satu keputusan dalam hal ini , lalu turunlah ayat berkenaan dengan masalah zihar ini. ( Surah al-Mujadalah , ayat 1 – 4 )[13]

Keterangan : Secara ringkasnya dapat disimpulkan bahawa , ayat zihar ini mengandungi kesan kebelakang ( الأثـــر الرجعي ) dalam perundangan Islam, kerana peristiwa zihar telah terjadi dahulu iaitu kisah Aus bin Somit yang menziharkan isterinya sebelum turunnya ayat yang menceritakan tentang bentuk hukuman atau kaffarah yang perlu dilakukan oleh penzihar untuk kembali semula kepada isterinya.

ii) Pengecualian kedua :

Maksud daripada pengecualian kedua ini ialah : sekiranya terdapat nas atau peruntukan perundangan yang mempunyai kemaslahatan iaitu yang lebih baik kepada pesalah , maka wajib dilaksanakann nas atau peruntukan tersebut ke atas pesalah tadi tanpa mengambil kira nas atau peruntukan lain , walaupun kesalahan yang dilakukan oleh pesalah tadi adalah dibawah peruntukan atau nas hukum yang lebih keras.(wujud nas atau peruntukan terhadap kesalahan tersebut) [14]

Huraian dan keterangan :

Secara rumusannya ialah , sekiranya seseorang telah melakukan suatu kesalahan yang mana kesalahan tersebut telah wujud nas atau peruntukan mengenai bentuk hukuman atau keseksaan yang boleh dilaksanakan terhadap pesalah tadi.Tetapi dalam masa yang sama terdapat nas atau peruntukan baru yang diturunkan atau dikuatkuasakan selepas daripada perlakuan jenayah tadi , dan sekiranya didapati nas atau peruntukan baru itu lebih mendatangkan maslahah iaitu kebaikkan kepada kepada pesalah , maka dalam keadaan ini wajib dilaksanakan hukuman yang terkandung dalam nas atau peruntukan baru tersebut.

Maka dalam hal ini , nas atau peruntukan baru itu mempunya kesan kebelakang الأثـــر الرجعي pada pesalah terbabit.

Sebab pengecualian :

Sebab pengecualian disini ialah , maksud dan kehendak ‘Uqubah ( keseksaan / hukuman ) itu ialah antaranya menghalang atau mencegah perlakuan jenayah dan memelihara masyarakat.Maka segala bentuk hukuman yang dijalankan perlulah mengambil kira kemaslahatan masyarakat.Sekiranya dengan melaksanakan bentuk hukuman yang lebih ringan daripada peruntukan sedia ada sudah dapat menjamin kemaslahatan masyarakat , maka wajib dilaksanakan hukuman tersebut terhadap pesalah terbabit.Ini kerana dalam menjaga kemaslahatan masyarakat tidak perlulah dengan cara yang keras dan berlebih-lebihan.Termasuk dalam konsep keadilan juga ialah hukuman atau keseksaan yang hendak dilaksanakan tidaklah mengatasi keperluan kemaslahatan masyarakat , selagi mana pemeliharaan dan penjagaan terhadap masyarakat itu dapat dicapai[15]

Antara dhowabit , atau tatacara perlaksanaan hukuman atau keseksaan yang harus diikuti dalam menjamin kemaslahatan pesalah sebagaimana yang dinayatakan oleh Abd Qadir al-‘Audah[16] ialah :

a) Sekiranya wujud nas atau peruntukan baru dalam perundangan syariah sebelum diputuskan hukuman , yang mana hukuman dalam peruntukan baru itu lebih aslah kepada pesalah , maka adalah lebih baik dikenakan hukuman yang baru itu walaupun kesalahan yang dilakukan adalah tertakluk dibawah nas atau peruntukan undang-undang yang sedia ada.

b) Sekiranya wujud nas atau peruntukan baru dalam perundangan syariah selepas diputuskan hukuman , maka dibolehkan utuk tidak melaksanakan hukuman tersebut.Dalam erti kata lain wajib untuk tidak melaksanakan apa-apa peruntukan undang-undang yang sedia ada (lama) , seperti mana wajib juga ia berhenti daripada meneruskan hukuman sekiranya hukuman telah mula dilaksanakan.

c) Sekiranya nas atau peruntukan baru hukuman atau keseksaan dalam perundangan Islam itu lebih keras atau lebig berat , maka tidak boleh dilaksanakan hukuman tersebut kepada pesalah.Ini kerana hukuman tersebut dianggap sebagai tidak aslah kepada pesalah tadi.Maka ia kembali kepada peruntukan perundangan yang sedia ada semasa perlakuan jenayah tersebut dilakukan.

5. PENUTUP

Sesungguhnya syariat Islam itu adalah satu-satunya perundangan yang terbaik dan mampu untuk memelihara dan menjaga kemaslahatan umat , walaupun selama ini ia diperlekehkan oleh umat Islam itu sendiri.

Kaedah لا رجعــية في التـــشريع الجــنائي merupakan perkara yang amat penting dalam menguatkuasakan sesuatu peruntukan yang terdapat dalam undang-undang syariiah Islamiah itu sendiri.Ianya haruslah diperbahaskan lagi dengan lebih mendalam dan terperinci lantaran tidak terdapatnya ulama-ulama fiqh yang menulis tentang isu ini.Kajian yang lebih konprehensif perlu dilakukan demi menambahkan lagi khazanah Islamiah yang in sya Allah berguna untuk generasi akan datang.

RUJUKAN ,

  1. Al-Quran al-Karim
  2. Abd Qadir al-‘Audah , al-Tasyri’ al-Jina’ie al-Islami , muqaranan bil qanun al-wadh’ie ¸ 2000, Muassasah al-Risalah , Beirut.
  3. Drs. M.D Dahlan , Asbabun Nuzul , 1989 , Klang book Centre.
  4. Muhammad Ali al-Sobuni , Sofwatu Al-tafasir , 2000 , Dar Ehia al-Tourath al-Arabi , Beirut , Lubnan.
  5. Dr Wahbah al-Zuhaily , tafsir al-wasit , 2001 , Dar al-Fikr , Damsyiq
  6. Ibnu Jarir al-Tabari , Jami’ul Bayan fi Tafsiri al-Quran , 1998 , Muassasah al-Risalah , Beirut.


[1] Abd Qadir al-‘Audah , al-Tasyri’ al-Jina’ie al-Islami , muqaranan bil qanun al-wadh’ie ¸ 2000 , jilid 1 hlm.115

[2] Ibid.

[3] Ibid.

[4] Abd Qadir al-‘Audah , al-Tasyri’ al-Jina’ie al-Islami , muqaranan bil qanun al-wadh’ie ¸ 2000 , jilid 1 hlm. 261

[5] Ibid , jilid 1 hlm.261

[6] Imam al-Bukhari dan Imam Muslim

[7] Al-Quran al-Karim , 5 : 33

[8] Drs. MD Dahlan , Asbabun Nuzul ¸ 1989 , hlm.176 , Duktur Wahbah al-Zuhaily , Tafsir al-wasit , Jilid 1 , hlm.453

[9] Abd Qadir al-‘Audah , al-Tasyri’ al-Jina’ie al-Islami , muqaranan bil qanun al-wadh’ie ¸ 2000 , jilid 1 hlm.267

[10] Ibnu Jarir al-Tabari , Jami’ul Bayan fi Tafsiri al-Quran , 1998 , Jilid 6 , hlm.119

[11] Abd Qadir al-‘Audah , al-Tasyri’ al-Jina’ie al-Islami , muqaranan bil qanun al-wadh’ie ¸ 2000 , jilid 1 hlm.267

[12] Al-Quran , 42 : 40

[13] Dr Wahbah al-Zuhaily , tafsir al-wasit , Jilid 3 , hlm.2606

[14] Abd Qadir al-‘Audah , al-Tasyri’ al-Jina’ie al-Islami , muqaranan bil qanun al-wadh’ie ¸ 2000 , jilid 1 hlm 271

[15] Ibid.

[16] Ibid , hlm 272

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: