Pengertian Ilmu usul al-fiqh
1.1 Sebelum kita masuk dengan lebih jauh tentang Ilmu usul al-fiqh ini , maka adalah lebih baik kita mengetahui dahulu apakah dia yang di maksudkan dengan al-fiqh itu.Ini kerana kita tidak akan dapat memahami dan mengetahui dengan pemahaman yang sempurna tentang ilmu usul al-fiqh jika kita tidak mengetahui (walaupun secara asas / basic ) apakah dia fiqh itu dahulu.
Maka secara ringkasnya , al-fiqh ( الفقــه ) itu dari sudut bahasa ialah : Mengetahui dan memahami , sebagaimana firman Allah swt :
تُسَبِّحُ لَهُ السَّمَاوَاتُ السَّبْعُ وَالأَرْضُ وَمَن فِيهِنَّ وَإِن مِّن شَيْءٍ إِلاَّ يُسَبِّحُ بِحَمْدَهِ وَلَكِن لاَّ تَفْقَهُونَ تَسْبِيحَهُمْ إِنَّهُ كَانَ حَلِيمًا غَفُورًا
“Langit Yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk Yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih Dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya ia adalah Maha penyabar, lagi Maha Pengampun.” [1]
1.2 Manakala dari sudut Istilah syara’ , al-fiqh bermaksud : Ilmu mengenai hukum-hukum syara’ yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf.[2] Ia juga boleh diertikan sebagai , himpunan hukum-hukum syara’ yang berkaitan dengan amalan kehidupan mukallaf yang diambil dari dalil-dalilnya yang tafsili ( terperinci ).[3]
1.3 Pengertian Usul ( أصــول ) pula adalah kata jama’ dari perkataan aslu ( أصــل ) yang mana dari segi bahasa membawa maksud : Tempat atau asas binaan sesuatu perkara ; sesuatu yang dibina di atasnya , seperti akar pokok yang mana pokok tumbuh atau terbina melalui (atas) akarnya.Maka akar pokok itu disebut sebagai Aslu ( أصــل ).[4]
Dalil bagi makna di atas ialah firman Allah swt :
أَلَمْ تَرَ كَيْفَ ضَرَبَ اللّهُ مَثَلاً كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرةٍ طَيِّبَةٍ أَصْلُهَا ثَابِتٌ وَفَرْعُهَا فِي السَّمَاء تُؤْتِي أُكُلَهَا كُلَّ حِينٍ بِإِذْنِ رَبِّهَا وَيَضْرِبُ اللّهُ الأَمْثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ
“Tidakkah Engkau melihat (Wahai Muhammad) Bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah Yang baik adalah sebagai sebatang pohon Yang baik, Yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit.Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa Dengan izin Tuhannya. dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).” [5]
Dan juga firman-Nya :
مَا قَطَعْتُم مِّن لِّينَةٍ أَوْ تَرَكْتُمُوهَا قَائِمَةً عَلَى أُصُولِهَا فَبِإِذْنِ اللَّهِ وَلِيُخْزِيَ الْفَاسِقِينَ
“Mana-mana jua pohon kurma (kepunyaan musuh) Yang kamu tebang atau kamu biarkan tegak berdiri seperti keadaannya Yang asal, maka Yang demikian adalah Dengan izin Allah (kerana ia hendak memberi kemenangan kepada orang-orang mukmin), dan kerana ia hendak menimpakan kehinaan kepada orang-orang Yang fasik.” [6]
1.4 Terdapat berbagai-bagai pengertian usul al-fiqh dari sudut syara’ yang dikemukakan oleh para ulama.[7] Rumusan dan kesimpulan daripada pendapat-pendapat ulama terhadap pengertian usul al-fiqh tersebut ialah :
“Ilmu yang membahaskan segala kaedah yang digunakan untuk mengeluarkan / mengistinbatkan hukum-hakam syarak yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf (amali) daripada dalil-dalilnya yang tafsili.” [8]
1.5 Maka berdasarkan kepada pengertian di atas , ilmu usul al-fiqh boleh dianggap sebagai akar yang mana melalui akar tersebut akan terbina dan terbentuklah ilmu fiqh yang menjadi penentu kepada hukum hakam syar’iyyah terhadap sesuatu perbuatan mukallaf samada ianya wajib , sunat , harus , makruh atau pun haram.
Melalui ilmu usul al-fiqh juga , penetapan hukum hakam syar’iyyah terhadap perbuatan mukallaf dapat dibuat dengan cara melakukan perbahasan dan penelitian terhadap dalil-dalilnya yang qat’ie atau zanni melalui teori dan kaedah-kaedah yang telah ditetapkan oleh para ulama usul.
1.6 Secara dasarnya Ilmu Fiqh amat berkait rapat dengan ilmu Usul al-fiqh.Tidak mungkin seseorang individu itu akan dapat memahami intipati kandungan ilmu fiqh tanpa disertai dengan kefahaman yang jelas dalam ilmu usul al-fiqh.Ini kerana segala hukum hakam fiqh tidak dapat diputuskan kecuali dengan melalui satu proses perbahasan dan pembinaan hukum menurut teori atau kaedah Usul al-fiqh.
Maka dengan ini , rasanya tidak keterlaluan jika penulis mengatakan bahawa peng ‘istinbat’an sebarang hukum tanpa melalui proses pengeluaran dan pembinaan hukum seperti yang ditentukan oleh ulama usul , adalah tidak sah serta didorong dan didasari oleh hawa nafsu semata-mata.
Bersambung pada siri 2……….
[1] Surah al-Isra’ : 44
[2] Al-Mustasfa min ‘Ilmi al-usul , Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali , 1997 , Muassasah al-Risalah ,jilid 1 , ms 35 , tahqiq As-Syaikh Dr. Muhammad Sulaiman Al-Asyqar.
[3] ‘Ilmu usul al-fiqh , As-Syaikh Dr. Abd Wahab Khallaf , 2003 , Dar al-Hadis , ms. 11.
[4] Abhas haula usul al-fiqh al-Islami , As-Syaikh Dr. Mustafa Sa’id al-Khin , 2000 , Dar al-Kalim al-Tayyib , ms.65
[5] Surah Ibrahim : 24 , 25
[6] Surah al-Hasyr : 5
[7] Dalam hal ini penulis tidak mahu membentangkan kesemua pengertian tersebut sebagaimana yang direkodkan oleh para ulama.Ini adalah kerana penulis tidak mahu menimbulkan kerumitan dan kesukaran terhadap para pembaca untuk memahami pengertian usul al-fiqh dengan sempurna.
[8] ‘Ilmu usul al-fiqh , As-Syaikh Dr. Abd Wahab Khallaf , 2003 , Dar al-Hadis , ms. 12.
Salam ustaz. Sekadar pandangan, berdasarkan entry ini. Rasanya tak lengkap jika membicarakan soal usul-fiqh tanpa merujuk kepada pengasasnya, Imam As-Syafie.
salam ustaz..saya dahagakan ilmu usul fiqh dalam bahasa yang mudah sebagaimana yang ustaz catatkan..saya juga baru mengikuti blog ni..saya rasa ustaz dah lama tidak update usul fiqh..jika ustaz dapat update lagi..sy amat menghargai ilmu yang dikongsikan..