4. FAKTOR-FAKTOR DALAMAN :
Faktor-faktor dalam yang dimaksudkan ialah : Ilmu , Iman dan Amal.
Dalam erti kata lain , faktor dalaman adalah suatu usaha ke arah pembentukan individu muslim yang unggul dengan bertunjangkan kepada konsep ilmu , iman dan amal dalam menyediakan atau melahirkan hamba Allah yang berilmu , beriman dan beramal.
4.1 Ilmu :
Ilmu merupakan satu elemen penting yang boleh membawa kepada perubahan daripada satu keadaan kepada satu keadaan lain. Dalam konteks ini perubahan yang dimaksudkan ialah perubahan daripada jahil atau tidak mengetahui kepada berilmu dan mengetahui atau daripada buta agama kepada celik agama. Dengan ilmu juga manusia akan dapat melihat dan mengetahui sejauh mana kemampuannya dalam menilai dan melaksanakan sesuatu perkara.
Dalam hal ini , seseorang yang tidak berilmu tidak dapat melaksanakan dan memahami sesuatu perintah yang ditaklifkan kepadanya. cUlama telah menetapkan bahawa mukallaf itu hendaklah ianya seorang yang bercaqal dan memahami tutur kata.Maka dengan ini , tutur kata seseorang gila dan kanak-kanak yang belum mumayyiz tidak dikira.Kepatuhan pada perintah Allah itu dilakukan dengan niat , yang mana syarat bagi niat itu adalah dengan wujudnya pengetahuan atau ilmu mengenai perkara-perkara perintah tersebut.
Perkara ini telah dijelaskan oleh Imam Al-ghazali :
Dan syarat-syarat kepada mukallaf itu ialah mesti beraqal dan memahami kata-kata.Maka tidak sah tutur kata benda yang tidak bernyawa dan binatang ternakan.Bahkan juga tutur kata orang gila dan kanak-kanak kecil yang belum mumayyiz.Kerana taklif itu mesti membawa maksud ketaatan (الطاعــة) dan pelaksanaan perintah (الامتــــثال ).Maka pelaksanaan perintah itu mestilah dilakukan dengan niat dan syarat niat ialah dengan adanya ilmu pengetahuan terhadap perintah tersebut.[1]
Pengetahuan atau ilmu-ilmu yang berkaitan dengan prinsip halal dan haram adalah menjadi ilmu yang wajib dipelajari dan dihayati oleh setiap muslim kerana dengan pengetahuan terhadapnya akan menjadikan muslim itu mengetahui perkara-perkara yang menjadi fardhu ain dan fardhu kifayah dalam kehidupan seharian.
Termasuk dalam perkara-perkara fardhu ain ialah mengetahui kewajipan-kewajipan dalam agama dan juga larangan-larangannya , seperti teras aqidah dan keimanan , iman kepada Allah , malaikat , Rasul , kitab , hari kiamat dan ketentuan baik dan buruk.Termasuk juga solat , zakat , puasa , haji , syirik , pengharaman derhaka kepada ibu bapa , khianat , berlaku zalim , pengharaman membunuh , zina , qazaf , mencuri , minum arak dan sebagainya.
Dalam hal ini , apabila masyarakat itu jahil dalam perkara agama maka sudah tentu mereka tidak akan dapat memahami dan menghayati syarciah islamiah itu dengan baik dan berkesan.Apabila ini berlaku , akan lahirlah manusia yang tidak mengambil peduli hal-hal yang berkaitan dengan agama yang mana apabila timbul usaha-usaha golongan yang ingin melaksanakan Islam , mereka ini akan menjadi orang yang paling kuat menentang Islam dek kejahilan dan kebodohan mereka.
Undang-undang Syaricah Islamiah adalah merupakan perkara yang ditinggalkan oleh masyarakat Islam sekarang.Setiap orang yang melihat dan mengkaji Dunia Islam sekarang akan mendapati bahawa majoriti umat Islam di kebanyakan negara Islam amat jahil dan tidak tahu akan perundangan Islam.Sedangkan ilmu atau pengetahuan kepada perkara tersebut merupakan suatu fardhu ain kepada setiap muslim.
Maka dengan sebab inilah , ilmu atau pengetahuan terhadap perundangan Islam itu menjadi suatu ilmu yang dituntut untuk dipelajari dan difahami serta dihayati oleh setiap individu muslim agar ianya tidak terus ditinggalkan oleh umat Islam serta menjadi bahan khazanah Islam yang dilupai tatkala dunia Islam menyanjung tinggi perundangan barat ciptaan manusia.
4.2 Iman :
Setelah manusia itu berubah dari jahil kepada berilmu , daripada tidak mengetahui kepada mengetahui terutama dalam hal-hal agama dan ketuhanan maka akan lahirlah keimanan dan ketaqwaan dalam erti kata yang sebenar.Golongan tersebut apabila disebut nama Allah , akan gementarlah seluruh jiwa raganya dan apabila dibacakan ayat-ayat Allah , akan bertambahlah keimanan dan ketaqwaan mereka.Hal ini dirakam oleh Alah swt dalam firman-Nya :
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.[2]
Iman yang sebenar ialah mesti disertai dengan kepercayaan dan keyakinan yang kukuh tanpa sebarang syak terhadap segala yang diturunkan oleh Allah swt seperti segala bentuk ibadat , muamalat, undang-undang jenayah syarciyyah dan sebagainya.Timbulnya sebarang syak dan ragu-ragu terhadap segala ketetapan yang ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya merupakan lawan kepada iman iaitu kufur.
Firman Allah swt :
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أُوْلَئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ
Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya). [3]
Sejak zaman penurunan wahyu lagi , umat Islam dan masyarakat keseluruhannya telah diajar dan dididik oleh Al-Quran agar sentiasa beriman bahawa hanya Allah swt dan Rasul-Nya sahajalah yang menjadi sumber rujukan mengenai hukum hakam kehidupan.Sesiapa sahaja yang membaca Al-Quran akan mendapati bahawa Al-Quran begitu tegas dalam memastikan keimanan dan keyakinan individu mukmin terhadap intipati kandungan perlembagaan Al-Quran dan As-Sunnah.
Allah swt menceritakan sikap orang-orang yang “kononnya” mengaku beriman kepada Allah swt , akan tetapi berpaling daripada apa yang diturunkan oleh Allah swt kepadanya dalam firman-Nya:
أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ يَزْعُمُونَ أَنَّهُمْ آمَنُواْ بِمَا أُنزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنزِلَ مِن قَبْلِكَ يُرِيدُونَ أَن يَتَحَاكَمُواْ إِلَى الطَّاغُوتِ وَقَدْ أُمِرُواْ أَن يَكْفُرُواْ بِهِ وَيُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُضِلَّهُمْ ضَلاَلاً بَعِيدًا. وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْاْ إِلَى مَا أَنزَلَ اللّهُ وَإِلَى الرَّسُولِ رَأَيْتَ الْمُنَافِقِينَ يَصُدُّونَ عَنكَ صُدُودًا
“Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu. Dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh.”
“Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah berhakim kepada hukum Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada hukum Rasulullah,” nescaya engkau melihat orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) dengan bersungguh-sungguh daripada menghampirimu”. [4]
Ayat ini dengan jelas dan tegas menyingkap pembohongan yang dilakukan oleh orang-orang yang mengaku beriman kepada Allah swt dan Rasul-Nya Muhammad saw , tetapi dalam masa yang sama apabila berlaku sesuatu pertelingkahan atau perkara-perkara yang memerlukan kepada penghakiman , mereka ini terlebih dahulu berpaling daripada ketentuan dan keputusan Allah swt dan Rasul-Nya.Inilah dia golongan yang dinamakan oleh Al-Quran sebagai Al-Munafiquun.
Ayat ini diturunkan kepada seorang lelaki munafiq yang bernama Bisyr ( بشــــر ) yang mana terdapat pertelingkahan antaranya dengan dengan seorang yahudi.Lalu berkata si yahudi tadi agar berjumpa dengan Rasulullah saw untuk diputuskan atau dibuat penghakiman ke atas perkara tersebut.Cadangan yahudi tersebut ditolak oleh Bisyr si munafiq itu dengan mencadangkan supaya berjumpa dengan Kacab bin Al-Asyraf yang dinamakan oleh Allah dalam ayat tersebut sebagai At-thoghut ( الطــغوت ).Walaubagaimana pun si yahudi tadi tetap tidak bersetuju melainkan diadili oleh Rasulullah saw sahaja.Selepas ditetapkan keputusan terhadap kes tersebut oleh Rasulullah saw , Bisyr menolak dan tidak redho dengan keputusan tersebut lalu ia berjumpa dengan Umar Al-Khattab dan menceritakan segala-galanya kepada Umar.Apabila Umar Al-Khattab mendapati Bisyr si munafiq itu tidak redho dengan penghakiman Rasulullah saw , beliau pun terus menghunus pedangnya lalu membunuh Bisyr sehingga mati , dan berkata ia “ Inilah yang akan aku lakukan kepada sesiapa saja yang tidak redho dengan keputusan Allah dan Rasul-Nya”.Lalu bertempiaranlah si yahudi lari menyelamatkan diri.Maka selepas itu turunlah ayat ini dan berkatalah Jibril a.s “Sesungguhnya Umar telah memisahkan diantara yang haq dan yang batil”. Dengan sebab itulah Umar Al-Khattab digelar sebagai “Pemisah / yang memisahkan” ( الفاروق ) [5]
Kewajipan mentaati Allah dan Rasul serta mengimani segala perintah Allah yang dibawa oleh Rasul adalah satu kewajipan yang tidak boleh di pandang ringan.Sejarah telah mencatatkan kehancuran dan kemusnahan sesuatu kaum itu adalah kerana mereka semua ingkar dan derhaka kepada perintah Allah dan Rasul.Allah swt sebagai Khaliq , sudah tentu tidak mahu hamba atau makhluk ciptaan-Nya mengenepikan segala ketentuan dan perintah-Nya.Ini jelas seperti yang diterangkan oleh Allah swt dalam firman-Nya :
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah (mengabdikan diri ) dan beribadat kepadaKu”. [6]
Maka dengan sebab itu , menjadi suatu perkara yang wajib diikuti dan diimani oleh setiap muslim ialah meletakkan Allah swt dan Rasul-Nya Muhammad saw sebagai hakim yang berhak memberikan keputusan dalam setiap perkara yang berlaku didunia.
Firman Allah swt dalam menegaskan hal ini :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ أَطِيعُواْ اللّهَ وَأَطِيعُواْ الرَّسُولَ وَأُوْلِي الأَمْرِ مِنكُمْ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَن تَأْوِيلاً
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”. [7]
Setelah umat Islam meletakkan segala perselisihan yang berlaku untuk diputuskan serta dihukum berdasarkan ketetapan dari Allah dan Rasul , maka amatlah tidak wajar sekiranya keputusan dan perintah tersebut diingkari oleh umat Islam yang mengaku beriman kepada Allah dan Rasul.Penerimaan umat Islam terhadap keputusan atau perintah tersebut mestilah penerimaan yang sempurna dan menyeluruh tanpa sebarang syak atau pilihan yang lain.
Firman Allah swt :
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينً
“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” [8]
4.3 Amal :
Ilmu yang mantap disertai dengan iman yang kukuh , apabila keduanya berada dalam jiwa setiap individu muslim akan melahirkan natijah amal perbuatan dan tingkah laku yang diredhoi Allah swt serta mengikut ketetapan dan perintah syarac
Setiap ilmu yang dipelajari dan segala keimanan dan keyakinan yang berpauh utuh di sanubari muslim mestilah diterjemahkan dalam bentuk amal perbuatan yang akan mencerminkan peribadi sebenar seseorang muslim itu.Malah amalan perbuatan seseorang adalah merupakan bukti sebenar ilmu dan iman yang dimiliki.
4.4 Gabungan ketiga-tiga faktor dalaman
Seseorang yang berilmu sudah pasti akan beriman kepada Allah swt lantaran petunjuk dan bukti serta penemuan-penemuan yang diperolehi hasil daripada ilmu yang dipelajari.Seterusnya segala ilmu dan iman yang ada dalam sanubari individu muslim itu akan diaplikasikan atau diterjemah kepada amalan perbuatan dan tingkah laku yang mana akhirnya akan lahirlah manusia muslim-mukmin yang unggul dan bersedia untuk mematuhi segala ketetapan dan perintah syarac tanpa sebarang keraguan dan syak wasangka.
Seseorang yang berilmu dan berpegang teguh dengan keilmuannya dengan penuh keyakinan akan menjadikannya golongan yang takut dan tunduk kepada Allah Rabbul Jalil.
Firman Allah swt dalam Al-Quran Al-karim :
إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاء إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ
“Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu.” [9]
Apabila seseorang mempunyai keimanan yang kukuh kepada Allah swt , maka ianya akan menjadi orang yang akan menuruti segala perintah Allah dengan penuh keyakinan dan menjadi orang yang paling kasih dan cinta kepada Allah swt.
Firman Allah swt :
t…………….. وَالَّذِينَ آمَنُواْ أَشَدُّ حُبًّا لِّلّهِ…………………
“……dan orang-orang yang beriman itu tersangat kasih dan sayang kepada Allah…” [10]
Maka apabila keimanan dan ketaqwaan yang didasari oleh kemantapan ilmu pengetahuan menjadi pegangan setiap individu muslim , dengan ditunjangi oleh amal perbuatan sebagai mukmin yang soleh sudah tentu usaha-usaha ke arah pelaksanaan semula undang- undang syariah islamiah di zaman moden akan terlaksana dengan sempurna.
[1] Al-Imam Al-Ghazali , المســتــصفى من علم الأصــول , 1997M / 1417H , hlm.158
[2] Al-Quran Al-Karim , Al-Anfal 8 : 2
[3] Al-Quran Al-Karim , Al-Hujurat 49 : 15
[4] Al-Quran Al-Karim , An-Nisa’ 4 : 60 , 61
[5] Dr.Wahbah Az-Zuhaily , التفســـير الوسيط , 2001 , hlm.337
[6] Al-Quran Al-Karim , Az-Zariyat 51 : 56
[7] Al-Quran Al-Karim , An-Nisac 4 : 59
[8] Al-Quran Al-Karim , Al-Ahzab 33 : 36
[9] Al-Quran Al-Karim , Fathir 35 : 28
[10] Al-Quran Al-Karim , Al-Baqarah 2 : 165
bagus usaha uztaz ni..teruskan perjuangan ya..
Jazakumullahu khairan……
Semoga dipermudahkan oleh Allah swt…