KULIAH USUL AL-FIQH – Siri 3

25 May

Sejarah Ringkas Permulaan dan Perkembangan ilmu Usul al-fiqh

3.1 Ilmu usul al-Fiqh bermula dan berkembang semasa kurun ke dua hijrah. Ini kerana , di zaman Rasulullah saw ilmu usul al-Fiqh tidak diperlukan.Segala hukum hakam yang terbentuk adalah melalui fatwa Rasulullah saw yang dipimpin oleh Allah swt dalam menyelesaikan segala kemelut permasalahan yang berlaku dikalangan umat Islam ketika itu.[1]

Apabila berlaku sesuatu perkara atau masalah yang memerlukan kepada jawapan , para Sahabat Rasulullah saw akan bersegera mendapatkan Rasulullah saw dan memohon kepada Baginda Fatwa dalam menyelesaikan kemelut yang berlaku.Hal ini berlaku selama mana hayat Baginda saw.Walaubagaimana pun terdapat juga dikalangan sahabat yang diberi izin oleh Rasulullah saw untuk berijtihad dalam mengeluarkan sesuatu hukum yang tidak terdapat Al-Quran mahupun Sunnah Rasulullah saw lantaran berada jauh dari Rasulullah saw seperti Muaz bin Jabal yang dihantar oleh Baginda saw ke Yaman.

3.2 Begitu juga di zaman para Sahabat radhiallahu anhum ajma’in , perkara yang sama juga turut berlaku lantaran jarak masa yang tidak jauh dengan zaman Rasulullah saw , menjadikan mereka tidak memerlukan kepada usul.Para sahabat adalah generasi yang paling memahami bahasa Arab disamping dapat menyaksikan episod-episod penurunan wahyu serta kekerapan berdampingan dengan Rasulullah saw membuatkan mereka mampu untuk berbincang dan berijtihad sesama mereka jika tidak kedapatan nas atau dalil dalam sesuatu masalah.Secara ringkasnya para sahabat mampu untuk mengistinbatkan hukum berdasarkan kepada 3 perkara :

1. Mempunyai tahap penguasaan bahasa Arab yang baik;
2. Mempunyai pengetahuan mengenai sabab an-nuzul sesuatu ayat atau sabab
wurud al-hadis lantaran keakraban dan kekerapan mereka bersama
Rasulullah saw.
3. Mereka merupakan para Perawi Hadis.

3.3 Zaman Tabi’in adalah zaman permulaan berlakunya beberapa perubahan dalam perkembangan Agama Islam.Ini kerana pada zaman tersebut pembukaan kota-kota baru Islam menyebabkan ramai dikalangan orang ‘Ajam yang memeluk Islam.Akibat daripada itu maka , berlakulah percampuran adat dan budaya serta bahasa yang berbeza antara masyarakat Arab dan bukan Arab.Walaubagaimana pun pada zaman ini , kemurniaan bahasa Arab dan keupayaan para alim ulama masih lagi bertahan dengan kukuh.

3.4 Keadaan sebegitu berterusan hinggalah pada zaman atba’ al-tabi’in , yang mana pada akhir kurun ke dua Negara Islam , Islam telah begitu berkembang dan menjadi semakin luas sehingga berlaku berbagai-bagai peristiwa dan isu-isu baru yang memerlukan kepada Ijtihad. Ditambah pula
pemikiran umat Islam pada ketika banyak dipengaruhi dengan ilmu falsafah yang mengelirukan.Di satu sudut pula , penguasaan Bahasa Arab menjadi semakin terhakis , sedangkan ianya merupakan satu elemen terpenting bagi seseorang mujtahid mengeluarkan hukum dari nas atau dalil.

Maka , dengan sebab itulah pada zaman / kurun tersebut Ilmu usul al-Fiqh sangat-sangat diperlukan sebagai panduan dan pedoman para ulama untuk mengeluarkan / meng’istinbat’kan hukum yang dicedok daripada khazanah Islamiah , Al-Quran dan As-Sunnah Rasulullah saw.

Menyedari hakikat tersebut , Al-Imam al-Syafi’ie rhm telah mengambil inisiatif dan langkah awal untuk mengarang dan menyusun segala perbahasan mengenai ilmu usul al-fiqh dan hasilnya beliau telah berjaya menyusun sebuah karya agong dalam ilmu usul al-fiqh yang mana ianya telah menjadi rujukan dan perintis atau sumber aspirasi para ulama selepas beliau untuk mula mengarang dan menyusun buku-buku mengenai ilmu usul al-fiqh ini.Karya beliau tersebut berjudul “Al-Risalah”.

Jika dilihat pada pendapat Ibn an-Nadim , orang yang mula-mula menghimpunkan karya-karya ilmu usul al-fiqh yang bertaburan adalah sahabat kepada Imam Abu Hanifah iaitu Al-Imam Abu Yusuf.Akan tetapi karyanya itu tidak sampai kepada generasi selepasnya sehinggalah ke hari ini.[2]

Sebab itulah terkenal dikalangan ulama bahawa al-Imam Muhammad bin Idris as-Syafie rhm (w : 204) adalah orang yang mula-mula mengarang dan menyusun ilmu usul al-fiqh ini lantaran karya al-Risalah nya itu telah sampai kepada kita sehingga ke hari ini.[3]

Penyusunan dan penulisan Ilmu usul al-Fiqh

3.5 Selepas daripada kewujudan al-Risalah , terdapat ramai ulama-ulama yang mengambil tindakan mengikut jejak langkah Al-Imam as-Syafie dengan mengarang dan menyusun kitab-kitab ilmu usul al-fiqh.Walaubagaimana pun cara atau bentuk penyusunan dan penulisan ilmu usul al-fiqh terbahagi kepada 3 :

1. Kaedah ulama al-Syafie dan al-Kalam.
2. Kaedah ulama al-Hanafi
3. Kaedah ulama mutakhir


3.6 Ulama as-Syafie atau ulama al-kalam menyusun ilmu usul al-fiqh dengan cara menyusun dan membuat kaedah-kaedah usul al-fiqh berdasarkan kepada nas dan dalil atau dalam erti kata lain setiap kaedah usul al-fiqh itu mestilah disokong dengan dalil samada dalil aqli dan naqli.Mereka juga akan meninggalkan kaedah-kaedah yang bertentangan dengan dalil dan menetapkan dengan beberapa kaedah lain tanpa mengambil kira samada ianya bertepatan dengan masalah fiqh atau menyamai kaedah yang telah ditetapkan oleh Imam mereka.Sebab itu , para ulama al-Kalam dan Ulama Syafi’iyyah tidak memasukkan perbahasan mengenai masalah-masalah fiqh yang berkaiitan dengan kaedah usul dalam kitab-kitab mereka , kecuali sedikit sahaja yang dijadikan sebagai penjelasan terhadap sebahagian kaedah-kaedah usul.Mereka mengasingkan dan membiarkan segala perbahasan yang meyentuh masalah fiqh dibahaskan dengan panjang lebar dalam kitab-kitab fiqh sahaja.

Kaedah ini dipelopori oleh kebanyakkan ulama usuliyyin dari kalangan syafi’iyyah dan malikiyah.[4]

Antara kitab-kitab yang terkenal dengan penulisan mengikut kaedah ini ialah :

1. Al-Mustashfa min ‘Ilmi Al-Usul , ( المســتصفى من علم الأصول ) oleh Abu Hamid al-Ghazali

al-Syafie (w:505h)
2. Al-Ihkam fi Usul al-Ahkam (الإحكام في أصول الأحكام) oleh Abu Hasan al-Amidi al-Syafie (w:631h)
3. Al-Minhaj ( المــنهــاج ) oleh al-Baidhowi al-Syafie (w:685h)
4. Al-Burhan (البرهان) oleh al-Imam al-Haramain ‘Abd al-Malik bin ‘Abdullah al-Juwaini.
(w:413h)
5. Al-Mu’tamad (المعتمد) oleh Abu al-Husain Muhammad bin ‘Ali al-Basri al-Mu’tazili (w:413h).

3.7 Seterusnya penyusunan ilmu usul al-fiqh mengikut kaedah ulama Hanafiah pula ialah dengan menyusun dan membentuk kaedah-kaedah fiqh berdasarkan kepada apa yang telah ditetapkan atau diijtihadkan oleh Imam mereka terhadap sesuatu permasalahan fiqh.[5]

Ini bermakna para ulama Hanafiah akan meletakkan kaedah yang dilihat bertepatan dan bersesuaian dengan Ijtihad dan istinbat hukum yang dilakukan oleh Imam mereka , sekiranya tidak, kaedah-kaedah tersebut akan diubah suai oleh mereka.Sebab itulah para ulama yang mengguna pakai kaedah penulisan ini akan memasukkan sekian banyak perbahasan dalam masalah fiqh ke dalam kitab-kitab usul mereka.

Antara kitab-kitab yang terkenal dengan penulisan mengikut kaedah ini ialah :

1. Al-Usul (الأصول) oleh Abu Bakr Ahmad bin ‘Ali atau dikenali sebagai al-Jassas (w:370h)
2. Al-Usul (الأصول) oleh Abu Zaid ‘Abdullah bin ‘Umar ad-Dabusi (w:430h)
3. Al-Usul (الأصول) oleh Fakhr al-Islam ‘Ali bin Muhammad al-Bazdawi (w:482h)
4. Kasyf al-Asrar (كشف الأسرار) oleh ‘Abd al-‘Aziz bin Ahmad al-Bukhari (w:730h)

3.8 Kaedah penyusunan dan penulisan mengikut ulama al-Muta’akhirin pula ialah dengan menggabungkan kedua-dua kaedah di atas iaitu dengan menetapkan sesuatu kaedah beserta dalil-dalilnya serta diaplikasikan atau dikaitkan dengan permasalahan fiqh.

Antara kitab-kitab yang terkenal dengan penulisan mengikut kaedah ini ialah :

1. Badi’ an-Nizam (بديع النظام) oleh Muzaffar ad-Din Ahmad bin ‘Ali as-Sa’ati al-Hanafi (w:649h)
2. At-Tanqih (التنقيح) dan syarhnya at-Taudih (التوضيح) oleh Sadr as-Syari’ah ‘Abdullah bin

Mas’ud al-Hanafi. (w:747h)
3. Jam’ al-Jawami’ (جمع الجوامع) oleh al-Imam Taj ad-Din ‘Abd al-Wahhab bin ‘Ali as-Subki as-
Syafi’e.(w:771h)
4. Syarh at-Taudih ( شــرح التوضيح ) As-Syeikh Sa’d al-Din Mas’ud Ibn ‘Umar al-Tiftazani al-
Syafi’ie (w:792h)
5. Muslim al-Thubuth (مســلم الثــبوت ) oleh Ibn Abd al-Syakur (w:1119h) dan kitab Syarahnya
oleh ‘Allamah Abd al-‘Ali Muhammad bin Nizam al-Din al-Ansari.

Bersambung pada siri ke 4………………….

[1] Ilmu usul al-fiqh , Dr. Abd Wahhab Khallaf , 2003 , Dar al-Hadis al-Kaherah , ms. 15
[2] Al-Wajiz fi Usul al-Fiqh , Dr.Abd Karim Zaidan , Muassasah al-Risalah , 2002 , ms. 16
[3] Ilmu usul al-Fiqh , Dr. Abd Wahab Khallaf , Dar al-Hadis 2003 , ms. 16
[4] Ibid , ms.17
[5] Al-Wajiz fi Usul al-Fiqh , Dr.Abd Karim Zaidan , Muassasah al-Risalah , 2002 , ms. 17

2 Responses to “KULIAH USUL AL-FIQH – Siri 3”

  1. fakhriyyah 06/10/2010 at 12:05 am #

    salam..ustaz boleh tak terangkan mengenai hubungan syariah islam dgn syariah sebelumnya..?

  2. Lyna 01/06/2011 at 7:03 pm #

    Assalamualaikum uztaz….Uztaz tau tak siapa-siapa [nama] sahabat nabi muhammad yang di benarkan mengeluarkan hukum syarak?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: