8. PENUTUP
Setelah kita meneliti segala fakta dan hujah ringkas daripada kajian penulis ini , maka jelaslah bahawa , tidak ada sebarang alasan yang boleh kita letakkan bahawa undang-undang Islam tidak boleh dilaksanakan di zaman moden.Malah usaha-usaha ke arah pelaksanaannya menjadi satu perkara yang wajib difikirkan oleh setiap umat Islam dahulu , kini dan selamanya.Tugas dan kewajipan pelaksanaan sistem perundangan Islam ini sudah tentulah terletak di bahu para pemimpin Islam dan mereka ini seharusnya memerah keringat sepanjang hari dan malam untuk mencari formula-formula yang praktikal terhadap “bagaimana kemungkinan undang-undang Islam dapat dijalankan di zaman moden” dengan berkesan dan sempurna setelah ianya ditinggalkan dan dilupai oleh umat Islam sendiri.
Sebelum penulis menutup perbahasan kajian ini , penulis ingin sekali menukilkan di sini suatu pandangan atau catatan kekecewaan yang dilahirkan oleh seorang sarjana Islam masa kini iaitu Prof. A.Rahman I.Doi tentang nasib dan hala tuju yang terpaksa ditempuhi oleh undang-undang Islam di zaman moden :
Dalam Islam keimanan dan perundangan tidak dapat dipisahkan.Perundangan sebahagian daripada keimanan itu sendiri , dan salah satu daripada amalan keimanan kepada ke-Esaan Allah , para malaikat , para Nabi-Nya , nasib atau takdir pada hari akhirat dan kehidupan sesudah mati.
Perundangan dalam Islam ialah suatu peraturan hidup yang terperinci yang dapat mengatur kehidupan manusia dalam hubungannya dengan penciptanya dan dengan anggota masyarakatnya , yang secara umum bermula dengan keluarganya.
Hubungan-hubungan yang disarankan oleh perundangan Islam ini sekaligus mengemukakan bimbingan dan panduan mengatur kehidupan untuk kepentingan dan kesejahteraan manusia.Matlamatnya ialah untuk melahirkan manusia tulen , keluarga bahagia, masyarakat yang teguh serta mewujudkan satu kehidupan manusia yang sempurna dan lengkap. Perundangan bermula dengan individu yang membimbing cara hidup yang betul melalui ibadat , perintah suruhan serta larangan.Beribadat dalam apa jua bentuk ialah satu kaedah perhubungan seseorang dengan Allah swt dengan menumpukan segala niat terhadap-Nya sambil menyatakan keimanannya melalui amalan.Tambahan lagi ibadat mengawal hubungan seseorang dengan anggota lain dalam sesebuah masyarakat kerana ia menimbulkan kesedarannya bahawa Allah swt sentiasa melihat dan tahu apa yang nyata mahupun yang terselindung.Dengan keyakinan yang utuh ini kita akan cenderung melakukan apa yang benar dan betul ; yang baik dan murni. [1]
Seterusnya Porf A.Rahman I.Doi melahirkan rasa terkilanya terhadap para pemerintah Islam yang tidak mempunyai usaha ke arah pelaksanaan undang-undang Islam , malah dengan bangga pula meniru-niru cara kepimpinan barat :
Negara Islam dan para pembesar serta pemerintahannya haruslah menyedari kenyataan bahawa jalan yang terbentang yang kita lalui hingga sampai ke hari ini tidak dapat di lalui dengan mudah kecuali dengan membina semula model yang sama seperti kota Madinah , melalui usaha yang murni oleh seluruh umat Islam di benua Eropah , Afrika , Asia atau pun di Semenanjung Arab.
Sumber asas kitab suci Al-Quran dan As-Sunnah telah menyediakan kita dengan segala pengetahuan , teknik dan alat kelengkapan yang perlu bagi kita di muka bumi ini.Setelah zaman pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidun , nenek moyang kita telah melakukan banyak kesilapan.Jatuh bangun dan jatuh lagi dan ada kalanya terpesong dari jalan asal , jalan tulen lalu melalui jalan yang lain dan terseimpang dari landasan silam.
Akibat datang dari arah yang berbeza , mengikut peraturan masa lampau ini , maka masyarakat Islam sekarang sampai ke dalam masyarakat baru dengan penuh kekeliruan .Kadar jenayah yang bertambah , hak yang tidak sama , serta hilangnya rasa hormat kepada manusia nampaknya terjadi dalam percubaan mereka mengambil berbagai-bagai kaedah undang-undang yang tidak sesuai dengan Islam dalam mengatur hidup sehari-hari mereka.
Pemerintah yang kononnya moden seperti Muhammad Ali Pasha dan Ismail Pasha begitu bangga dan megah , lalu menyamakan diri mereka dengan pemerintah Eropah lalu mengangkat Mesir sebagai sebahagian benua Eropah.Kamal Atarturk juga turut melakukan kesalahan yang sama dalam keghairahannya menonjolkan negara Turki sebagai sebuah negara Eropah.Dalam dunia Islam masa kini pun terdapat sesetengah pemimpin yang meniru-niru pemerintah Eropah.[2]
Seterusnya ia menulis :
Syariah merupakan sistem perundangan yang unggul dan jitu , yang telah dilaksanakan secara eksklusif ke atas umat Islam sehinggalah akhir abad ke-19.Ia berkemampuan menghadapi segala perubahan sosial di samping memajukan suatu tamadun besar yang masih wujud sebagai satu daya yang hidup.Seandainya negara-negara Islam tidak bersikap teragak-agak dan rasa malu sebaliknya mengambil tindakan tegas untuk mengembalikan hukum syariah ini , maka ianya akan sekali lagi berkembang menjadi satu daya penggerak dan kuasa yang memerintah urusan dunia.Hanya dengan cara inilah undang-undang syariah mempunyai maruah dan kewibawaan yang dianugerahkan kepadanya oleh Allah swt serta Rasul-Nya. [3]
Dan akhirnya Prof. A.Rahman I.Doi mengakhiri nukilannya dengan kata-kata George Bernard Shaw yang bermaksud :
Sekiranya manusia seperti Muhammad saw itu menjadi diktator dunia moden ini , Baginda akan berjaya menyelesaikan segala masalahnya dengan cara yang akan membawa rahmat tentang kepercayaan yang dibawa oleh Muhammad saw bahawa ia akan diterima pada masa akan datang oleh benua Eropah sebagaimana ia mulai diterima oleh Eropah masa kini. [4]
Pelaksanaan undang-undang Islam adalah suatu tuntutan agama yang perlu dilaksanakan serta merupakan salah satu ciri untuk kesempurnaan identiti negara Islam yang pernah diwar-warkan suatu ketika dahulu oleh seorang pemimpin negara.
Perlembagaan mencerminkan transformasi bangsa dan perlembagaan sesebuah negara boleh berubah.Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam dalam sebuah persidangan.Maka sewajarnya disusuli dengan tindakan bagi menjadikan perisytiharan tersebut menjadi suatu realiti.[5]
Sepatutnya selepas negara Islam bebas daripada kuasa penjajah , langkah-langkah positif perlu diambil bagi mengembalikan semula undang-undang Islam ke pangkuan umat.Untuk itu perlulah kepada penyediaan dan penggubalan undang-undang yang lengkap untuk mengambil alih undang-undang penjajah dan membina kefahaman umat terhadap kepentingan undang-undang Islam untuk kekuatan negara dan perpaduan umat serta menyusun sistem pentadbiran kehakiman yang sesuai dengan keperluan undang-undang Syariah Islamiah.[6]
Harapan dan doa penulis semoga suatu hari nanti , perundangan Islam akan kembali gemilang dan menjadi satu-satunya perundangan yang diiktiraf oleh masyarakat dunia dan diguna pakai di dunia ini.Walaupun ianya mungkin dipandang sinis atau dianggap satu kemustahilan oleh segelintir golongan manusia , namun ianya pasti berlaku walau memakan masa 100 tahun , sesuai dengan sabda Rasulullah saw yang mana Allah swt akan membangkitkan setiap seratus tahun seorang atau sekumpulan mujaddid yang akan membela dan menegakkan agama Allah iaitu Islam.
Akhir kalam penulis ingin menyeru kepada semua umat Islam sedunia agar bersatu dalam satu kalimah menentang sebarang gerakan atau usaha-usaha yang ditimbulkan oleh pihak-pihak yang membenci Islam , agar cahaya Islam dan Iman itu tidak pudar dan akhirnya malap dan membawa kepada kegelapan dunia Islam di masa-masa akan datang.Kita berlindung dan berserah diri kepada Allah swt dalam memberikan pertolongan dan membela kita dalam perjuangan yang suci dan mulia ini.
يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ
“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” [7]
Sekian
[1] A.Rahman I.Doi , Non-Muslim under Syariah (Islamic law) , edisi terjemahan , Wan Azmil Ramli dan Dr Muhammad Ariffin , Orang bukan Islam dibawah Undang-undang Syariah , 1992 , hlm.180
[2] Sama di atas, , hlm.185
[3] A.Rahman I.Doi , , hlm.187
[4] A.Rahman I.Doi, hlm.188
[5] Haji Salleh Buang , Majalah Dewan Masyarakat , Jilid 40 , Bil.05 , Mei 2002 , hlm.23
[6] Prof. Madya Dr Abdul Halim El-Muhammady , Undang-undang Islam di beberapa negara Islam selepas Merdeka , Kertas kerja Seminar perundangan Syariah pada 10 Dis 2003 , IKIM
[7] Al-Quran Al-Karim , As-Soff 61 : 8
Leave a Reply