ADAKAH BASMALAH SEBAHAGIAN DARI AL-FATIHAH

Saya mohon maaf jika soalan ini berulang, saya telah cuba cari tapi tak jumpa.

Saya masih confuse untuk mengamalkan basmalah ketika membaca AL-Fatihah dalam dan luar solat. Adakah boleh jika tidak dibaca langsung basmalah ketika baca al-fatihah? Iaitu ia sekadar sunat utk dibaca. Saya mohon penjelasan dan dalil adakah basmalah sebahagian dari surah al-fatihah.

Jika dikira al-fatihah mengandungi 7 ayat termasuk basmalah sesuai seperti dinyatakan sebagai sab’u masani di dalam hadis Nabi SAW

Mohon penjelasan.

Terima kasih.

____________________________

بسم الله، و الحمد لله، و الصلاة والسلام على رسول الله، وبعد

Ulama sepakat mengatakan bahawa ‘basmalah’ adalah merupakan sebahagian daripada surah An-Naml , tetapi berselisih pendapat mengenai adakah diwajibkan membacanya dalam solat.

Abu Hanifah dan Ahmad mengatakan ianya adalah sunat sahaja kerana mereka beranggappan bahawa basmalah bukanlah satu ayat dari surah Al-Fatihah.

Manakala Imam Syafie mewajibkan membacanya.

Para Qurra Makkah dan Kufah mengatakan bahawa basmallah adalah merupakan sebahagian dari surah Al-Fatihah , manakala para Qurra Madinah , Basrah dan Syam tidak menganggap basmalah adalah ayat daripada surah al-Fatihah.Mereka mengatakan bahawa basmalah hanya merupakan pemutus antara setiap surah-surah yang terdapat dalam al-Quran.

Pendapat para Qurra Madinah , Basrah dan Syam ini dikuatkan dengan dalil daripada hadis Nabi saw sebagaimana berikut :

أن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان لا يعــرف فصــل السور حتى ينــزل عليه ( بسم الله الرحمن الرحيم)

“Sesungguhnya Rasulullah saw tidak mengetahui akan pemutus antara surah-surah sehinggalah diturunkan Bismillahir Rahmanir Rahim.

[HR Abu Daud : 788 , Al-Hakim : 1/231. Disahkan dan dipersetujui oleh Az-Zahabi]

Walaubagaimana pun terdapat juga dalil yang mengatakan bahawa Basmalah bukanlah sebahagian daripada al-fatihah sebagaimana hadis daripada Anas bin Malik ra :

أن النبي صلى الله عليه وسلم وأبا بكر وعمر كانوا يفتتحون الصلاة ب(الحمد لله رب العالمين)

“Adalah Rasulullah saw dan Abu Bakar serta Umar memulai solat dengan (Alhamdulillahi rabbil ‘Alamin) [H.Muttafaqun ‘Alaih , Bukhari :743 dan Muslim : 399]

Dalam Riwayat Imam Muslim terdapat tambahan yang menyebutkan bahawa mereka iaitu Rasulullah saw , Abu Bakar dan Umar tidak menyebut Basmalah samada diawal bacaan ataupun diakhir bacaan al-Fatihah sebagaimana berikut :

لا يــذكرون ( بسم الله الرحمن الرحيم) في أول قراءة ولا في آخرها

Malah menurut Asy-Syaikh Abdullah bin Abd Rahman Al-Bassam , terdapat hadis sahih yang jelas menunjukkan bahawa Basmalah bukanlah merupakan ayat daripada surah Al-Fatihah sebagaimana berikut :

أن الله قال: قسمت الصلاة بيني وبين عبدي نصفين ، فإذا قال : الحمد لله رب العالمين ، قال : حمدني عبدي …….. إلخ

“Nabi saw bersabda : Sesungguhnya Allah swt telah berfirman : Aku membahagi dua solat hambaku , separuh untuk untuk-Ku dan separuh untuk hamba-Ku.(Untuk hamba , apa yang ia minta)…..Ketika hambu-Ku membaca (Alhamdulillahi rabbil ‘Alamin) , Aku berfirman : Hamba-Ku memuji-Ku………hingga akhir.

[HR Imam Muslim : 395]

Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa permulaan al-Fatihah adalah (Alhamdulillah….) bukannya basmalah….Allahu A’alam…

WA

Ruj :

Taudhih Ahkam min Bulughil Maram , Asy-Syaikh Abdullah Abd Rahman Al-Bassam.

Fathul Qadir , jilid 1 , ms : 65

Al-Ahkam Asy-Syar’iyyah li qurra al-Quran al-Karim , Asy-Syaikh Dr. Mahmud Ahmad Sa’id al-Atrash.

HADIAH@SAGUHATI , ADAKAH JUDI?

Assalamualaikum. 

Sudah dijelaskan bahawa sebarang pertandingan yang menggunakan wang penyertaan untuk hadiah adalah berjudi dan haram, antaranya adalah pertandingan memancing. 

Ditempat saya terdapat sebuah kolam ikan yang menjalankan perniagaan dimana setiap pemancing dikenakan bayaran sebanyak RM20.00 dan ianya seperti kebanyakan kolam lain. Tetapi pemilik kolam ini akan memberi hadiah kepada pemancing yang memancing ikan terberat dan teringan iaitu beberapa peratus dari kutipan yang diperolehi pada hari tersebut. Keadaan ini adalah bagi setiap hari dan tidak dihadkan pada hari tertentu. Peratus hadiah juga tetap dan tidak berubah mengikut hari atau keramaian. Waktu memancing hanya di sebelah malam iaitu pada pukul 8.00pm – 12.00pm dan ini dapat memastikan semua yang memancing berhak ke atas hadiah tersebut. Ikan yang dapat dipanjing adalah milik pemancing. Operasi pemberian hadiah ini tidaklah saya ketahui samada sejak kolam ini dibuka atau selepas menghadapi masalah kehadiran pemancing kerana sejak saya tahu ujudnya kolam ini operasinya sedemikian rupa. 

Soalannya : 

1. Adakah hasil hadiah ini termasuk dalam kategori judi? 
2. Adakah dengan niat saya masuk untuk dapatkan hadiah tersebut dengan memilih hari orang ramai memancing sebagai judi? 

___________________________________________

 

بسم الله، و الحمد لله، و الصلاة والسلام على رسول الله، وبعد:

 

Pertama sekalinya , kami memohon maaf atas kelewatan menjawab soalan saudara.

Berdasarkan kepada keterangan yang telah diceritakan oleh saudara , maka kami mendapati bahawa , hadiah yang diperolehi oleh pemancing yang mendapat hasil pancingan terberat dan teringan adalah tidak dikira sebagai judi.Ini kerana pemberian hadiah tersebut adalah sebagai satu galakan dan strategi pemilik kolam untuk meramaikan pengunjung ke kolam tersebut.

Ada pun bayaran RM 20 yang dikenakan kepada setiap pengunjung adalah bukan bayaran bagi menyertai pertandingan , tetapi bayaran untuk masuk ke kolam tersebut yang boleh dikatakan sebagai bayaran sewa dan perkhidmatan serta kos penyelenggaraan kolam yang jelas bertepatan dengan syarak.

Ini jelas bila dikatakan bahawa bayaran RM 20 tersebut adalah sama pada  semua hari dan sejak ia mula dibuka kepada orang ramai.

Maka hadiah yang diberi adalah bukan datangnya dari yuran RM 20 yang dibayar oleh setiap pengunjung.Apatah lagi jika bayaran tersebut adalah sama bagi semua pengunjung , iaitu tidak berbeza-beza antara satu sama lain.

Ibn Qudamah menyebutkan dalam kitabnya :

إذا كانت الجوائز من المتسابقين فإنها تعد حراماً لانها من باب القمار ولأن كل واحد من المتسابقين لا يخلو إما أن يغنم أو يغرم , ولا يخفى من أكل أموال الناس بالباطل وإيقاع العداوة والبغضاء

“Dan jika hadiah pertandingan atau permainan itu datang dari kumpulan yuran peserta, maka ia adalah haram kerana ia tergolong dalam bab judi nasib “qimar”, dan kerana setiap peserta tidak lepas dari peluang untuk meraih untung atau menanggung rugi, justeru amat jelas ia dari kategori memakan harta orang lain secara salah, serta menyuburkan/mewujudkan permusuhan dan pertengkaran”  (Al-Mughni, Ibn Qudamah )

 

Bagi persoalan kedua pula , tidak mengapa jika saudara berniat untuk mendapatkan tangkapan yang terberat atau teringan lantaran menginginkan hadiah atau saguhati yang ditawarkan,kerana saudara tidak dikenakan sebarang bayaran untuk pertandingan tersebut.

WA

MENDIRIKAN MASJID DI PERKUBURAN

ana ada satu soalan yg mudah iaitu mengenai mendirikan masjid di perkuburan.
adakah haram bagi kita untuk mendirikan solat dimasjid tersebut yg mana dibina disebelah kubur ataupun berdekatan dengan kubur??

terima kasih~

__________________________

بسم الله، و الحمد لله، و الصلاة والسلام على رسول الله، وبعد:

 

Apa yang dimaksudkan oleh hadis berkenaan dengan masjid dan perkuburan itu ialah , larangan membina masjid di atas tanah perkuburan dan larangan menjadikan kubur-kubur sebagai masjid atau tempat ibadah.

Adapun jika kawasan perkuburan tersebut bersebelahan atau berdekatan dengan Masjid tersebut adalah tidak mengapa dan hukum solat dalam masjid tersebut adalah sah.

As-Syaikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin pernah ditanya mengenai hukum mendirikan solat pada Masjid yang “didalamnya” terdapat kubur.Maka dijawab oleh Syaikh :

“Jika Tanah perkuburan dibina sebelum masjid , seolah-olah masjid itu dibina diatas tanah perkuburan tersebut maka hukumnya tidak boleh solat dalamnya (masjid tersebut).Manakala hukum solat di masjid yang dalamnya terdapat kubur pula adalah dibolehkan dengan syarat kubur iitu tidak terletak dihadapan jama’ah yang mendirikan solat , kerana Rasulullah saw melarang mendirikan solat menghadapkan kea rah kubur.

Majmuk fatawa li Ibn ‘Uthaimin : ms 12

 

MENGAMBIL UPAH MENGAJAR AL-QURAN

Assalamualaikum kepada sekalian ahli panel al-ahkam.net, semoga Allah memberkati kalian sepanjang masa.

Di sini ana ada satu kemusykilan tentang adakah harus membayar wang atau memberi hadiah kepada orang yang mengajarkan kepada kita al-quran? Hal ini berikutan salah seorang guru talaqqi ana berpendapat bahawa ianya adalah tidak harus dan dia mengemukakan satu hadith berkenaan azab bagi seseorang yang mengajarkan al-quran kemudian mengambil upah atau menerima hadiah kerananya. Jikalau ada pendapat lain berkenaan hal ini amatlah dialu-alukan untuk menguraikan kekusutan yang bermain dalam fikiran ana sekarang.

Segala perhatian dan masa yang diluangkan untuk membalas persoalan ini didahului dengan ucapan jazakumullahu khairan kathira.

___________________________________________

بسم الله، و الحمد لله، و الصلاة والسلام على رسول الله، وبعد:

Pertamanya , syukur kepada Allah swt di atas kegigihan enta menimba ilmu di Bumi Jordan.Walaupun baru sahaja sampai , enta dah pun bertalaqqi dengan ulama-ulama yang sudah tentu alim dan hebat-hebat.Semoga Allah memberikan kemudahan untuk enta ber’istiqamah’ dengan apa yang telah enta perbuat….amin.

Berbalik kepada persoalan yang diutarakan , ianya adalah perkara yang khilaf dikalangan ulama dan perbahasannya panjang.Ringkasnya ialah seperti berikut :

Golongan yang mengharuskan mengambil upah kerana mengajar al-Quran mempunyai hujah dan dalilnya yang tersendiri.Begitu juga dengan golongan yang tidak mengharuskannya , juga mempunyai dalil dan hujah.

Golongan yang mengharuskan adalah terdiri daripada Imam As-Syafie , Malik , Ahmad , Ishak Abu thur dan kebanyakan dari kalangan ulama salaf.Hanya Imam Abu Hanifah sahaja yang tidak mengharuskan.[Al-Burhan , al-Zarkashi : 1/457]

Asy-Syaikh Dr.Mahmood Ahmad Sa’id al-Atrash : Khilaf dalam masalah ini hanyalah berlaku pada zaman terdahulu (al-Mutaqaddimun).Manakala pada zaman sekarang , kebanyakan ulama berpendapat diharuskan untuk mengambil upah dalam mengajar al-Quran.[Al-ahkam Asy-Syar’iyyah liqurra al-Quran al-Karim , ms: 41]

Malah Al-‘Allamah Muhammad Ali Sayis juga mengatakan bahawa pada zaman sekarang , manusia menjadi lupa dan lalai terhadap kepentingan al-quran dengan habuan dan nikmat dunia.Maka jika adanya orang yang ingin kembali kepada al-quran dengan mempelajarinya , pada ketika itu adalah harus mengambil upah demi memelihara al-Quran daripada pupus dalam diri umat Islam.[Tafsir ayat al-Ahkam : 1/39]

Walaubagaimana pun , nasihat kami kepada enta yang telah pun berada di bumi arab , disamping enta bertalaqqi dengan para ulama Jordan , perbanyakkan lah juga pembacaan pada kitab-kitab arab dalam menggali sebanyak mungkin khazanah ilmu di sana.Sebenarnya keberadaan enta dibumi Arab adalah peluang untuk enta mencari sendiri jawapan-jawapan terhadap permasalahan yang enta hadapi lantaran sumber ilmu yang berada disekeliling enta.

Semoga Allah merahmati enta…amin

WA

ANTARA AKIKAH DAN KORBAN , MANA DAHULU…

Saya ingin membuat pertanyaan berkenaan dengan Aqiqah dan Qurban:-
1. Bolehkah digabungkan 7 bahagian lembu untuk ibadat aqiqah dan qurban pada hari raya aidiladha? Apa hukumnya?
2. Antara Qurban dan aqiqah, yang mn patut didahulukan?

TQ

___________________________________________

بسم الله، و الحمد لله، و الصلاة والسلام على رسول الله، وبعد

Berkenaan dengan soalan ini , secara ringkasnya perkara ini diperselisihkan oleh para fuqaha.Untuk lebih jelas dan terperinci , bolehlah dirujuk link dibawah ini :

http://al-qayyim.net/web/index.php?option=com_content&task=view&id=275&Itemid=2

Untuk persoalan yang mana lebih didahulukan antara akikah dan korban , maka jawapannya adalah seperti berikut :

Hukum melaksanakan ibadah Akikah adalah sunat Muakkad bagi setiap keluarga yang dikurniakan cahaya mata oleh Allah swt sebagai tanda kesyukuran.Ini dapat digambarkan dengan hadis-hadis Rasulullah saw yang mensyariatkan ibadah tersebut seperti :

مع الغلام عقيقة فأريقوا عنه دماً وأميطوا عنه الأذى

Ertinya : ” Bersama bayi yang lahir itu aqiqah, maka kerna itu mengalirkanlah darah (sembelihan) untuknya, dan jauhkan baginya segala kesakitan (godaan syaitan) ( Riwayat Al-Bukhari)

كلُّ غُلامٍ رَهينٌ بعَقيقته، تُذبَحُ عنه يومَ سابعِه ويُسمَّى فيه ويُحلق رأسُه

ُErtinya : “Setiap anak perlu dipajakkan (terhutang) dengan aqiqah, disembelih untuknya pada hari ketujuh umurnya, dan diberi nama dan dicukur rambut kepalanya” ( Riwayat Ashabus Sunan )

Maka , jika dilihat kepada 2 hadis di atas , jelas kepada kita semua betapa dituntutnya dalam Islam untuk dilaksanakan ibadah Aqiqah.Berbeza dengan ibadah korban yang disyaratkan akan kemampuan untuk melaksanakannya , sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra :

من كان له سعة ولم يضح فلا يقــــربن مصلانا

“Barang siapa yang mempunyai kemampuan (untuk berkorban) , tetapi tidak mahu berkorban , maka janganlah ia mendekati tempat solatku”

(HR Ahmad : 8256 , Ibn Majah : 3123 , al-hakim : 4/231)

Hadis di atas jelas meletakkan “kemampuan” sebagai syarat bagi seseorang yang ingin melaksanakan ibadah korban.

Maka , berdasarkan kepada hujah dan pendapat di atas , maka dapatlah disimpukan bahawa melakukan atau mendahulukan ibadah akikah adalah yang dituntut dalam Islam.

WA

Blog at WordPress.com.

Up ↑