BAGAIMANA KEMUNGKINAN UNDANG-UNDANG ISLAM DAPAT DILAKSANAKAN DI ZAMAN MODEN ( bahagian Akhir )

8. PENUTUP

Setelah kita meneliti segala fakta dan hujah ringkas daripada kajian penulis ini , maka jelaslah bahawa , tidak ada sebarang alasan yang boleh kita letakkan bahawa undang-undang Islam tidak boleh dilaksanakan di zaman moden.Malah usaha-usaha ke arah pelaksanaannya menjadi satu perkara yang wajib difikirkan oleh setiap umat Islam dahulu , kini dan selamanya.Tugas dan kewajipan pelaksanaan sistem perundangan Islam ini sudah tentulah terletak di bahu para pemimpin Islam dan mereka ini seharusnya memerah keringat sepanjang hari dan malam untuk mencari formula-formula yang praktikal terhadap “bagaimana kemungkinan undang-undang Islam dapat dijalankan di zaman moden” dengan berkesan dan sempurna setelah ianya ditinggalkan dan dilupai oleh umat Islam sendiri.

Sebelum penulis menutup perbahasan kajian ini , penulis ingin sekali menukilkan di sini suatu pandangan atau catatan kekecewaan yang dilahirkan oleh seorang sarjana Islam masa kini iaitu Prof. A.Rahman I.Doi tentang nasib dan hala tuju yang terpaksa ditempuhi oleh undang-undang Islam di zaman moden :

Dalam Islam keimanan dan perundangan tidak dapat dipisahkan.Perundangan sebahagian daripada keimanan itu sendiri , dan salah satu daripada amalan keimanan kepada ke-Esaan Allah , para malaikat , para Nabi-Nya , nasib atau takdir pada hari akhirat dan kehidupan sesudah mati.

Perundangan dalam Islam ialah suatu peraturan hidup yang terperinci yang dapat mengatur kehidupan manusia dalam hubungannya dengan penciptanya dan dengan anggota masyarakatnya , yang secara umum bermula dengan keluarganya.

Hubungan-hubungan yang disarankan oleh perundangan Islam ini sekaligus mengemukakan bimbingan dan panduan mengatur kehidupan untuk kepentingan dan kesejahteraan manusia.Matlamatnya ialah untuk melahirkan manusia tulen , keluarga bahagia, masyarakat yang teguh serta mewujudkan satu kehidupan manusia yang sempurna dan lengkap. Perundangan bermula dengan individu yang membimbing cara hidup yang betul melalui ibadat , perintah suruhan serta larangan.Beribadat dalam apa jua bentuk ialah satu kaedah perhubungan seseorang dengan Allah swt dengan menumpukan segala niat terhadap-Nya sambil menyatakan keimanannya melalui amalan.Tambahan lagi ibadat mengawal hubungan seseorang dengan anggota lain dalam sesebuah masyarakat kerana ia menimbulkan kesedarannya bahawa Allah swt sentiasa melihat dan tahu apa yang nyata mahupun yang terselindung.Dengan keyakinan yang utuh ini kita akan cenderung melakukan apa yang benar dan betul ; yang baik dan murni. [1]

Seterusnya Porf A.Rahman I.Doi melahirkan rasa terkilanya terhadap para pemerintah Islam yang tidak mempunyai usaha ke arah pelaksanaan undang-undang Islam , malah dengan bangga pula meniru-niru cara kepimpinan barat :

Negara Islam dan para pembesar serta pemerintahannya haruslah menyedari kenyataan bahawa jalan yang terbentang yang kita lalui hingga sampai ke hari ini tidak dapat di lalui dengan mudah kecuali dengan membina semula model yang sama seperti kota Madinah , melalui usaha yang murni oleh seluruh umat Islam di benua Eropah , Afrika , Asia atau pun di Semenanjung Arab.

Sumber asas kitab suci Al-Quran dan As-Sunnah telah menyediakan kita dengan segala pengetahuan , teknik dan alat kelengkapan yang perlu bagi kita di muka bumi ini.Setelah zaman pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidun , nenek moyang kita telah melakukan banyak kesilapan.Jatuh bangun dan jatuh lagi dan ada kalanya terpesong dari jalan asal , jalan tulen lalu melalui jalan yang lain dan terseimpang dari landasan silam.

Akibat datang dari arah yang berbeza , mengikut peraturan masa lampau ini , maka masyarakat Islam sekarang sampai ke dalam masyarakat baru dengan penuh kekeliruan .Kadar jenayah yang bertambah , hak yang tidak sama , serta hilangnya rasa hormat kepada manusia nampaknya terjadi dalam percubaan mereka mengambil berbagai-bagai kaedah undang-undang yang tidak sesuai dengan Islam dalam mengatur hidup sehari-hari mereka.

Pemerintah yang kononnya moden seperti Muhammad Ali Pasha dan Ismail Pasha begitu bangga dan megah , lalu menyamakan diri mereka dengan pemerintah Eropah lalu mengangkat Mesir sebagai sebahagian benua Eropah.Kamal Atarturk juga turut melakukan kesalahan yang sama dalam keghairahannya menonjolkan negara Turki sebagai sebuah negara Eropah.Dalam dunia Islam masa kini pun terdapat sesetengah pemimpin yang meniru-niru pemerintah Eropah.[2]

Seterusnya ia menulis :

Syariah merupakan sistem perundangan yang unggul dan jitu , yang telah dilaksanakan secara eksklusif ke atas umat Islam sehinggalah akhir abad ke-19.Ia berkemampuan menghadapi segala perubahan sosial di samping memajukan suatu tamadun besar yang masih wujud sebagai satu daya yang hidup.Seandainya negara-negara Islam tidak bersikap teragak-agak dan rasa malu sebaliknya mengambil tindakan tegas untuk mengembalikan hukum syariah ini , maka ianya akan sekali lagi berkembang menjadi satu daya penggerak dan kuasa yang memerintah urusan dunia.Hanya dengan cara inilah undang-undang syariah mempunyai maruah dan kewibawaan yang dianugerahkan kepadanya oleh Allah swt serta Rasul-Nya. [3]

Dan akhirnya Prof. A.Rahman I.Doi mengakhiri nukilannya dengan kata-kata George Bernard Shaw yang bermaksud :

Sekiranya manusia seperti Muhammad saw itu menjadi diktator dunia moden ini , Baginda akan berjaya menyelesaikan segala masalahnya dengan cara yang akan membawa rahmat tentang kepercayaan yang dibawa oleh Muhammad saw bahawa ia akan diterima pada masa akan datang oleh benua Eropah sebagaimana ia mulai diterima oleh Eropah masa kini. [4]

Pelaksanaan undang-undang Islam adalah suatu tuntutan agama yang perlu dilaksanakan serta merupakan salah satu ciri untuk kesempurnaan identiti negara Islam yang pernah diwar-warkan suatu ketika dahulu oleh seorang pemimpin negara.

Perlembagaan mencerminkan transformasi bangsa dan perlembagaan sesebuah negara boleh berubah.Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam dalam sebuah persidangan.Maka sewajarnya disusuli dengan tindakan bagi menjadikan perisytiharan tersebut menjadi suatu realiti.[5]

Sepatutnya selepas negara Islam bebas daripada kuasa penjajah , langkah-langkah positif perlu diambil bagi mengembalikan semula undang-undang Islam ke pangkuan umat.Untuk itu perlulah kepada penyediaan dan penggubalan undang-undang yang lengkap untuk mengambil alih undang-undang penjajah dan membina kefahaman umat terhadap kepentingan undang-undang Islam untuk kekuatan negara dan perpaduan umat serta menyusun sistem pentadbiran kehakiman yang sesuai dengan keperluan undang-undang Syariah Islamiah.[6]

Harapan dan doa penulis semoga suatu hari nanti , perundangan Islam akan kembali gemilang dan menjadi satu-satunya perundangan yang diiktiraf oleh masyarakat dunia dan diguna pakai di dunia ini.Walaupun ianya mungkin dipandang sinis atau dianggap satu kemustahilan oleh segelintir golongan manusia , namun ianya pasti berlaku walau memakan masa 100 tahun , sesuai dengan sabda Rasulullah saw yang mana Allah swt akan membangkitkan setiap seratus tahun seorang atau sekumpulan mujaddid yang akan membela dan menegakkan agama Allah iaitu Islam.

Akhir kalam penulis ingin menyeru kepada semua umat Islam sedunia agar bersatu dalam satu kalimah menentang sebarang gerakan atau usaha-usaha yang ditimbulkan oleh pihak-pihak yang membenci Islam , agar cahaya Islam dan Iman itu tidak pudar dan akhirnya malap dan membawa kepada kegelapan dunia Islam di masa-masa akan datang.Kita berlindung dan berserah diri kepada Allah swt dalam memberikan pertolongan dan membela kita dalam perjuangan yang suci dan mulia ini.

يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ

“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” [7]

Sekian


[1] A.Rahman I.Doi , Non-Muslim under Syariah (Islamic law) , edisi terjemahan , Wan Azmil Ramli dan Dr Muhammad Ariffin , Orang bukan Islam dibawah Undang-undang Syariah , 1992 , hlm.180

[2] Sama di atas, , hlm.185

[3] A.Rahman I.Doi , , hlm.187

[4] A.Rahman I.Doi, hlm.188

[5] Haji Salleh Buang , Majalah Dewan Masyarakat , Jilid 40 , Bil.05 , Mei 2002 , hlm.23

[6] Prof. Madya Dr Abdul Halim El-Muhammady , Undang-undang Islam di beberapa negara Islam selepas Merdeka , Kertas kerja Seminar perundangan Syariah pada 10 Dis 2003 , IKIM

[7] Al-Quran Al-Karim , As-Soff 61 : 8

BAGAIMANA KEMUNGKINAN UNDANG-UNDANG ISLAM DAPAT DILAKSANAKAN DI ZAMAN MODEN – Bahagian 6

6.2 Keadaan zaman yang sentiasa berubah dengan syariat yang lama.

Islam yang wujud 1400 tahun dahulu , tidak sama dengan Islam yang wujud sekarang.Zaman Rasulullah saw, para sahabat dan tabicin menggunakan unta sebagai pengangkutan , tetapi di zaman sekarang kita ada kereta , kapal terbang , keretapi , komuter dan sebagainya.Di sudut ekonomi , terdapat bank-bank yang menyediakan berbagai-bagai jenis perkhidmatan yang menggunakan prinsip dan kaedah yang berbeza-beza , terdapat juga pengeluaran produk secara meluas untuk dieksport , diagih-agihkan serta kemunculan program insurans nyawa dan harta benda.

Wanita di zaman Rasulullah tidak bekerjaya , tetapi di zaman ini wanita dan lelaki berlumba-lumba dalam pekerjaaan samada sektor swasta mahupun kerajaan , kilang-kilang , pejabat-pejabat , sekolah , kolej hinggalah kepada sektor pembinaan.Masing-masing bersesak-sesak ditempat kerja.

Perubahan juga berlaku dari sudut politik kenegaraan , dengan tertubuhnya sistem berparlimen , demokrasi, pemisahan dan pembahagian kuasa , pilihanraya sebagai medan memilih pemimpin dan kerajaan kebebasan mengkritik , bersuara dan meluahkan pendapat terhadap kerajaan dan banyak lagi perubahan-perubahan dari masa ke semasa.

Inilah di antara kenyataan yang berlaku dan menjadi salah satu halangan terbesar dalam pelaksanaan undang-undang Islam.Perubahan-perubahan ini akan mengakibatkan umat Islam berasa kurang yakin dan percaya dengan kemampuan undang-undang Islam yang dianggap oleh mereka sebagai undang-undang zaman unta atau undang-undang padang pasir.Secara rngkasnya penulis akan menjawab permasalahan ini dengan hujah dan pendapat seorang ulama dan cendikiawan Islam terulung abad ini iaitu As-Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi.Sebenarnya persoalan tersebut memerlukan kepada perbahasan yang agak panjang , tetapi memandangkan ini adalah kajian ringkas dan penulis tidak mahu memanjangkannya , maka cukuplah jawapan dari As-Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi ini sebagai jawapan yang terbaik dari penulis.

As-Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi memberikan jawapan sebagai berikut :

Syarat pertama dan paling penting ialah dengan membuka pintu ijtihad semula bagi yang mampu melakukannya dan kembali kepada apa yang telah dipegang oleh golongan salaf umat ini iaitu membebaskan diri daripada taksub mazhab khususnya yang berkaitan dengan perundangan untuk masyarakat keseluruhannya.Tidak terdapat pada kita nas daripada Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah saw yang mewajibkan kita bertaqlid dengan mereka dalam apa yang telah mereka ijtihadkan dan mengambilnya sebagai agama dan syarak hingga ke hari kiamat.[1]

Maknanya ialah dengan membuka kembali pintu ijtihad akan membolehkan para ilmuan dan sarjana Islam mencari penyelesaian terhadap segala masalah atau perkara baru yang muncul di zaman moden yang tidak ada hukum atau yang tidak pernah berlaku di zaman Rasulullah saw.

Seterusnya Dr Yusuf menjelaskan tentang perkara-perkara yang perlu diambil kira oleh para ilmuan dan sarjana Islam dalam melakukan ijtihad :

Pertama , ialah mengkaji semula warisan fiqh kita yang agung dengan pelbagai alirannya ,mazhabnya dan pendapat-pendapatnya yang diterima pakai, khususnya pendapat para sahabat , tabiin , dan murid-murid mereka pada pelbagai zaman dan tempat untuk memilih pendapat yang paling rajih padanya dan kesesuaiannya untuk memenuhi maqasid-maqasid syaricah dan untuk mewujudkan kepentingan umat pada zaman kita berdasarkan apa yang wujud daripada keadaan dan suasana.

Kedua , kembali kepada sumber asal iaitu Al-Quran dan As-Sunnah yang sahih dan yang ketiga , berijtihadlah dalam pelbagai masalah dan keadaan yang baru yang tidak diketahui oleh para fuqaha kita yang lalu dan mereka tidak pernah mengeluarkan hukum dalam perkara yang seperti itu.Ini adalah untuk mengeluarkan hukum yang sesuai dengannya berdasarkan dalil-dalil syarak. [2]

Inilah yang dikatakan kesyumulan atau kesempurnaan Islam. Memang sesungguhnya syariat Islam mampu untuk menghadapi perubahan dan menyelesaikan semua masalah-masalah moden yang mendatang serta memimpin kehidupan manusia berdasarkan petunjuk Allah dan Rasul-Nya.

7. LANGKAH-LANGKAH KE ARAH PERLAKSANAAN SYARIcAH

Memandangkan undang-undang Islam telah lama terpinggir dari arus perdana perundangan disebabkan angkara penjajahan , maka langkah-langkah tertentu perlu diambil dan dilaksanakan oleh kerajaan sesebuah negara Islam untuk mengembalikan semula undang-undang Islam supaya dapat dilaksanakan dalam masyarakat.

Langkah-langkah tersebut ialah :

a) Mewujudkan institusi kajian yang berautoriti.

b) Membina kesedaran masyarakat tentang kepentingan undang-undang Islam

c) Menggubal undang-undang Islam dalam bentuk akta dan statut.

d) Menguatkuasakan undang-undang Islam secara berperingkat-peringkat.

Langkah a , b dan c adalah langkah-langkah yang digariskan oleh Profesor Madya Dr Abdul Halim El-Muhammady dalam pembentangan kertas kerjanya yang bertajuk :Undang-undang Islam di beberapa negara Islam selepas Merdeka , semasa Seminar Perundangan Syariah yang telah diadakan pada 10hb Disember 2003 , anjuran bersama Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan , IKIM dan Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Manakala langkah terakhir adalah langkah atau perkara yang dapat penulis cadangkan sebagai pelengkap kepada ketiga-tiga langkah sebelumnya.

Melihat kepada undang-undang Islam yang telah lama ditinggalkan dan terhenti perkembangannya dalam aspek perlaksanaannya , maka kajian yang menyeluruh dalam semua aspek diperlukan untuk menjadikan undang-undang Islam itu relevan dan dapat dilaksanakan dalam masyarakat masa kini.Selain itu kajian terhadap undang-undang yang diamalkan dalam masyarakat juga perlu dibuat untuk menentukan kedudukan undang-undang yang dilaksanakan itu sama ada bercanggah dengan Islam atau tidak.Maka dengan kajian ini akan jelas kepada kita antara undang-undang yang tidak bercanggah dengan syariah yang perlu dikekalkan dengan undang-undang yang bertentangan dengan syariah yang perlu dihapuskan.[3]

Untuk itu satu institusi kajian yang mempunyai autoriti penuh dalam membuat kajian dan penyelidikan sama ada secara formal atau tidak formal perlu ditubuhkan. Hasil daripada kajian tersebut hendaklah dijadikan sebagai kayu pengukur dalam melaksanakan perundangan Islam.

Seterusnya kesedaran dikalangan masyarakat hendaklah dipupuk dengan menyalurkan bahan-bahan dan maklumat mengenai kepentingan undang-undang Islam melalui pengedaran risalah-risalah dan penerbitan majalah atau makalah secara berkala atau tidak berkala , akhbar-akhbar , radio , televisyen , seminar-seminar , wacana-wacana ilmiah , khutbah jumaat dan sebagainya.Selain daripada itu salah satu cara yang berkesan dalam menjadikan seseorang individu dalam masyarakat itu celik undang-undang ialah dengan menjadikan undang-undang Islam sebagai salah satu subjek wajib dalam kurikulum pendidikan terutama di peringkat menengah dan pengajian tinggi.Bila ini dapat dilakukan , maka sebahagian besar masyarakat akan dapat memahami dan menghayati undang-undang Islam secara lebih berkesan dan sempurna.

Umum mengetahui bahawa khazanah perbendaharaan ilmu-ilmu Islam itu cukup banyak dan tidak dapat dihitung bilangannya.Dalam ilmu fiqh sahaja ianya berkembang dengan begitu pesat sehingga terbentuk mazhab fiqh yang empat.Kesemuanya memperlihatkan kepada kita bahawa ilmu Islam itu sudah cukup meliputi semua aspek dalam kehidupan.Justeru itu satu cadangan bagi menjadikan atau menyusun undang-undang Islam dalam bentuk akta dan kanun atau statut supaya ianya lebih baik dengan sistemnya yang tersusun dan memudahkan para pengamal undang-undang sama ada hakim , peguam atau pihak-pihak lain yang terlibat merujuk kepadanya .

Langkah terakhir yang perlu dilaksanakan ialah dengan menguatkuasakan undang-undang Islam yang telah digazetkan dalam perlembagaan negara secara berperingkat-peringkat atau beransur-ansur.Ini bertujuan supaya masyarakat Islam yang telah sebati dengan dunia moden dapat menerima undang-undang Islam dengan baik tanpa sebarang masalah.Ia juga bagi menjamin kestabilan dan kepentingan umum (maslahah umum) semua rakyat sesebuah negara.Masyarakat Islam sekarang telah lama meninggalkan perundangan Islam.Mereka kemudiannya telah menjadikan segala tasawur dan budaya masyarakat barat sebagai ikutan.Berbagai-bagai kemajuaan dan hiburan yang menjurus kepada perbuatan keji dan hina yang diamalkan oleh masyarakat Islam lantaran tidak ada penguatkuasaan undang-undang Islam yang melarang mereka daripada melakukannya serta hukuman atau siksaan yang wajib dikenakan kepada individu muslim yang melanggar undang-undang.Maka dalam hal ini , penguatkuasaan undang-undang dibuat secara beransur-ansur dalam menjadikan ianya perundangan yang diterima pakai oleh setiap individu dalam sesebuah negara.

Perlaksanaan undang-undang Islam ini juga boleh dimulakan dengan mengambil kira kadar jenayah yang paling tinggi dilakukan dalam masyarakat , seperti mencuri / merompak dan kesalahan zina serta kesalahan meminum minuman yang memabukkan iaitu arak dan sebagainya.Sesungguhnya kaedah pelaksanaan atau penguatkuasaan undang-undang secara berperingkat-peringkat ini adalah kaedah yang Allah swt laksanakan kepada masyarakat Islam di zaman Rasulullah saw semasa mahu mengharamkan sesuatu perkara.Ini kerana Islam muncul ketika masyarakat Arab berada dalam kebebasan yang yang terlalu luas.Mereka tidak mahu kemahuan mereka yang tidak terbatas itu disekat.Jiwa mereka telah dipengaruhi oleh adat istiadat dan tradisi-tradisi yang tidak mungkin dapat dibuang dengan serentak.Maka dengan kebijaksanaan Allah swt yang Maha Mengetahui tidak mahu menakut-nakutkan mereka dengan berbagai hukum sekaligus yang mungkin membebankan dan menimbulkan perasaan benci.[4]

Ke empat-empat langkah yang telah penulis sebutkan tadi adalah perkara yang perlu diambil perhatian yang serius dalam usaha melaksanakan perundangan Islam , agar ianya lebih berkesan dan praktikal di zaman moden.

Bersambung disiri ke 7…………..


[1] Dr Yusuf Al-Qardhawi , شريعة الاسلامية صالحة للتطبيق في كل زمان ومكان , edisi terjemahan , Pelaksanaan Syariah Islamiah sesuai pada setiap tempat dan masa , Juanda Hj Jaya , 1998 , hlm.98

[2] Sama di atas , hlm.101

[3] Prof. Madya Dr Abdul Halim El-Muhammady , Undang-undang Islam di beberapa negara Islam selepas Merdeka , Kertas kerja Seminar perundangan Syariah pada 10 Dis 2003 , IKIM

[4] Dr Haron Din , Manusia dan Islam , Jilid 2 , 1991 , hlm.136

BAGAIMANA KEMUNGKINAN UNDANG-UNDANG ISLAM DAPAT DILAKSANAKAN DI ZAMAN MODEN – Bahagian 5

Dalil lain ialah dari firman Allah swt :

فَإِن جَآؤُوكَ فَاحْكُم بَيْنَهُم أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْ وَإِن تُعْرِضْ عَنْهُمْ فَلَن يَضُرُّوكَ شَيْئًا وَإِنْ حَكَمْتَ فَاحْكُم بَيْنَهُمْ بِالْقِسْطِ إِنَّ اللّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

“Oleh itu kalau mereka datang kepadamu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka; dan kalau engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun; dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” [1]

Firman Allah swt di atas adalah ditujukan kepada para hakim.Maksudnya kes-kes jenayah syarciyyah yang dilakukan oleh orang yang bukan Islam , pihak hakim boleh membicarakan kes itu dalam mahkamah syariah atau menolaknya (mengenepikan) kes itu untuk dibicarakan dalam mahkamah awam dan dihakimi oleh hakim mahkamah awam.[2]

Maka dengan ini , pengecualian yang diberikan kepada orang bukan Islam yang melibatkan hukuman hudud sahaja adalah satu kaedah yang telah digariskan oleh Islam bagi menjamin keadilan dan kesejahteraan umat manusia.

Meminjam kata-kata Ibn Al-Qayyim bahawa asas kepada syaricah adalah kearifan dan kebijaksanaan serta perlindungan kepada kepentingan manusia duniawi dan ukhrawi. Keseluruhan undang-undang syaricah adalah keadilan ihsan dan kebijaksanaan.Maka terpulanglah kepada badan kehakiman dan pegawai-pegawai perundangan di Mahkamah Syaricah untuk menunjukkan kepada masyarakat bahawa perundangan Islam bukanlah hanya terbaik dari aspek teorinya sahaja , bahkan juga terbaik dalam pelaksanaannya.[3]

Mungkin nanti akan timbul pula dakwaan dari segolongan orang Islam munafiq yang masih tidak puas hati dengan pelaksanaan undang-undang Islam dengan katanya “Mana boleh macam ni , kita dihukum dengan undang-undang Islam , sedangkan orang bukan Islam dihukum dengan undang-undang lain…….

Dalam hal ini , cuba kita perhatikan satu hadis Rasulullah saw yang diriwayatkan daripada cUbadah bin As-Somit yang katanya : Pada satu ketika disatu majlis kami duduk bersama-sama Rasulullah saw ,kemudian baginda saw telah bersabda : Hendaklah kamu berjanji dan mengaku kepada ku bahawa kamu sekali-kali tidak akan menyekutukan Allah swt dan tidak akan melakukan penzinaan dan tidak akan melakukan pencurian dan juga tidak akan membunuh orang yang diharamkan membunuhnya , kecuali dengan jalan yang hak.Sesiapa dikalangan kamu yang menyempurnakan (melaksanakan janji itu dengan sepenuhnya) maka ia akan menerima pahala dari Allah swt.Dan sesiapa yang melakukan sesuatu perkara dari apa yang dijanjikannya itu lalu mereka dijatuhkan hukuman hudud , maka hukuman yang diterimanya itu adalah menghapuskan dosa yang dilakukannya itu (mereka tidak akan diazab di akhirat). [4]

Daripada hadis di atas , perbuatan jenayah hudud yang dilakukan oleh orang Islam adalah satu perbuatan yang dianggap sebagai mencabul kepentingan dan hak Allah swt.Maka dalam kontek ini, setiap kesalahan yang dihukum dengan hukum Allah swt akan menghapuskan dosanya terhadap perbuatan jenayah yang dilakukan ,dan diakhirat nanti ianya akan terlepas daripada hukuman atau azab Allah swt.

Mengenai dengan orang bukan Islam yang melakukan jenayah syariyyah , walaupun mereka dijatuhkan hukuman hudud di dunia ini,mereka tetap tidak akan terlepas daripada azab dan siksaaan di akhirat dengan sebab kesyirikan dan kekufuran mereka terhadap Allah swt.Oleh itu tidak boleh ditafsirkan atau dianggap orang-orang bukan Islam yang melakukan jenayah syariyyah dalam Negara Islam tidak dikenakan dengan hukuman hudud , dan orang Islam yang melakukan jenayah dikenakan hukuman hudud sebagai sesuatu yang bersifat kejam , zalim dan tidak adil.[5]

Sebenarnya , alasan yang mengatakan bahawa bila dijalankan undang-undang Islam akan menimbulkan rasa tidak puas hati dan kemarahan orang bukan Islam adalah satu alasan yang lebih bersifat kepada penolakan terhadap undang-undang itu sendiri yang mana ianya kebanyakannya disuarakan oleh golongan yang mengaku beriman dengan Allah swt dan Rasul-Nya , tetapi hakikatnya golongan ini adalah parasit yang merosakkkan Islam itu sendiri.Ini jelas dapat kita lihat melalui sejarah-sejarah tamadun Islam yang pernah menjadikan perundangan Islam sebagai undang-undang negara.Malah golongan bukan Islam sendiri meminta untuk diadili mengkut perundangan Islam lantaran menyedari keadilan yang dibawa oleh Islam.

Satu contoh menarik yang dapat penulis nukilkan di sini sebagai renungan kita bersama ialah apa yang berlaku semasa pemerintahan Empayar Turki apabila salah seoarang daripada pekerja dari tempat pertapaan St.George yang mencuri sejumlah wang sebanyak 40 ribu pounds dan cuba melarikan diri ke Eropah.Dia kemudiannya ditahan di Jaffa oleh pegawai-pegawai kastam Turki dan dibawa balik ke Baitul Maqdis.Si penjenayah itu merayu pihak Mutasarrif dengan linangan air mata supaya ia didakwa mengikut undang-undang Islam , kerana tidak mahu diadili dengan undang-undang kristian.Tetapi , pihak berkuasa memberitahunya “ Maaf encik , tidak ada bidang kuasa bertindak bagi kami terhadap tempat pertapaan sedemikian.”.Kemudian selepas itu dia diserah kembali kepada para Rahib.[6]

Cerita di atas mempunyai 2 kesimpulan yang amat berguna untuk kita perhatikan.Pertama ialah , bagaimana orang bukan Islam iaitu pencuri tadi tidak mahu kesalahan yang dilakukannya diadili mengikut undang-undang kristian atau tempat pertapaan tersebut.Ia mahu diadili mengikut undang-undang Islam.Ini mungkin lahir daripada pengetahuan dan keyakinannya terhadap keadilan undang-undang Islam. Perkara kedua ialah bagaimana Islam sebagai sebuah agama yang menjadi dasar atau tunjang kepada sesebuah perlembagaan negara amat menitik beratkan soal kebebasan dan hak terhadap hal keagamaan bukan Islam dalam negara Islam.Cerita tersebut menunjukkan kepada kita , bahawa pihak Mutasarrif tidak boleh mendakwa atau menjatuhkan hukuman terhadap seseorang pesalah yang bukan Islam , lebih-lebih lagi dalam kes-kes yang melibatkan pihak rumah ibadat pesalah tersebut.Ini bagi menjamin kestabilan politik dan kemaslahatan umum supaya tidak belaku perkara-perkara yang boleh mencetuskan pergaduhan dan masalah kepada rakyat.

Orang bukan Islam yang inginkan keadilan semestinya akan memilih undang-undang Islam dalam menyelesaikan masalah yang berlaku , termasuk menjadikan mahkamah-mahkamah syariah sebagai “Palace of Justice” dalam memberikan hukuman terhadap kesalahan-kesalahan jenayah yang dilakukan.Mereka ini menganggap bahawa undang-undang ciptaan adalah undang-undang yang dicipta untuk menghukum dan menambahkan masalah , bukan seperti undang-undang Islam yang lebih bersifat kepada pencegahan dan menyelesaikan masalah.

Sebagai contoh , seseorang yang mencuri motosikal kalau mengikut pengadilan melalui mahkamah sivil ianya akan jatuhkan hukuman penjara 6 tahun (sebagai contoh ) setelah didapati bersalah atas hujah dan bukti-bukti yang dibawa oleh pihak pendakwa.Pesalah tersebut mempunyai seorang isteri dengan tangungan anak seramai 7 orang.Maka dalam hal ini si isteri dan 7 orang anaknya akan kehilangan tempat bergantung selama 6 tahun.Sewaktu si suami yang merupakan pesalah tersebut merengkok dalam penjara selama 6 tahun , selama itu jugalah si isteri dan si anak-anak tadi akan menagih simpati , mengemis belas dan kasihan orang ramai untuk menyara kehidupan sekeluarga.Pergantungan hidup selama ini kepada si suami telah terputus yang mungkin memakan masa 6 tahun.Anak-anak tidak mendapat pembelaan dan penjagaan yang sempurna dan isteri atau ibu kepada anak-anak tersebut akan menanggung penderitaan dan penyeksaan zahir dan batin yang terpaksa dihadapi sepanjang ketiadaan suaminya.Mampukah si isteri tadi menahan nafsu yang makin hari makin bergelora?? Mampukah juga ia memenuhi keperluan dan kehendak serta perbelanjaan hidup ke tujuh-tujuh orang anaknya?? Terdayakah ia menepis segala sumpah seranah , cacian dan makian masyarakat setempat kerana merasa benci dengan kesalahan yang dilakukan oleh suaminya ???……Siapakah yang akan bertanggungjawab ke atas kebajikan keluarga tersebut???…Adakah kerajaan yang menjatuhkan hukuman penjara tadi ???…Tentu sekali tidak.!!

Banyak laporan-laporan yang kita baca di muka-muka akhbar tentang gejala-gejala sosial yang buruk berlaku , seperti terdapat sesetengah isteri yang terpaksa melakukan pekerjaan-pekerjaan yang tidak bermaruah dalam usaha mencari rezeki untuk menanggung keluarga.Bagaimana pula dengan anak-anak yang membesar tanpa ayah disisi mereka yang dapat memberi kawalan dan mendidik mereka.Maka ini juga memberi kesan negatif.Inilah di antara faktor yang menyebabkan kepada berlakunya peningkatan masalah sosial dalam masyarakat sesebuah negara.Si suami yang dipenjara pula akan mengalami tekanan jiwa yang hebat semasa menjalani hukuman penjara yang dikenakan ke atasnya.Banyak kes-kes hubungan sejenis yang dilaporkan terjadi dalam penjara yang mengakibatkan ada antara mereka yang mendapat penyakit HIV dan telah membawa maut , serta apabila mereka ini keluar kelak akan menjadi penyebar utama kepada penyakit ini.[7]

Inilah yang dikatakan , hukuman daripada undang-undang ciptaan adalah hukuman yang berbentuk menghukum serta membawa kepada masalah baru

Bila dilihat kepada hukuman hudud Islam pula , seorang pesalah yang dikenakan hukuman hudud bagi kesalahan mencuri akan dikenakan hukuman potong tangan yang akan dijalankan ditempat terbuka dan disaksikan oleh masyarakat.Bila ini berlaku , masyarakat yang melihat akan merasa gerun dan takut untuk melakukan perkara yang sama iaitu mencuri dan pesalah yang dikenakan hukuman potong tangan tadi akan merasa menyesal dan sudah pasti akan terbit dihatinya satu janji dan tekad serta azam tidak mahu mengulangi perbuatan yang akan mengakibatkannya kehilangan sebelah lagi tangan.[8]

Selepas pelaksanaan hukuman hudud , si pesalah bebas untuk pulang kepangkuan keluarga.Si isteri akan tetap berada disamping suami dan anak-anak masih mempunyai ayah yang boleh memberikan perhatian dan didikan yang sempurna.Si pesalah tadi masih boleh lagi bekerja dan mencari nafkah untuk keluarga walaupun dengan kudrat sebelah tangan yang masih ada.

Inilah yang dkatakan sebagai hukuman yang berbentuk pencegahan dan penyelesaian terhadap masalah.

Bersambung di siri ke 6……………..

[1] Al-Quran Al-Karim , Al-Maidah 5 : 42

[2] Hj Said Hj Ibrahim (bekas mufti Sabah) , Pelaksanaan hukuman hudud dalam perundangan Islam , 1998 ,

hlm.118

[3] Siti Shamsiah Md Supi , Penghakiman mesti adil , Utusan Malaysia , 2 Februari 2007 , hlm.10

[4] Hadis , Al-Bukhari dan Muslim.

[5] Hj Said Hj Ibrahim (bekas mufti Sabah) , Pelaksanaan hukuman hudud dalam perundangan Islam , 1998 , hlm.123

[6] A.Rahman I.Doi , Non-Muslim under Syariah (Islamic law) , edisi terjemahan , Wan Azmil Ramli dan Dr Muhammad Ariffin , Orang bukan Islam dibawah Undang-undang Syariah , 1992 , hlm.183

[7] Ibnu Amal , Majalah Tamadun , 1999 ,bil.60 , hlm.27

[8] Sama di atas , hlm.28

BAGAIMANA KEMUNGKINAN UNDANG-UNDANG ISLAM DAPAT DILAKSANAKAN DI ZAMAN MODEN – Bahagian 4

6. Masalah / halangan yang timbul sekitar pelaksanaan Syariah :

Suatu perkara yang harus kita akui ialah apa sahaja perubahan atau pembaharuan yang hendak dijalankan,masalah atau halangan adalah kenyataan yang perlu kita terima dan atasi dalam menjadikan perubahan atau pembaharuan yang ingin dilaksanakan mencapai maksud dan objektifnya.Malah , kalau kita lihat kepada sejarah , Rasulullah saw sendiri terpaksa menghadapi segala macam bentuk masalah dan halangan yang datang daripada kaumnya sendiri dalam usaha Rasulullah saw menjalankan misi dakwah

Cabaran atau halangan yang paling kuat ialah daripada umat Islam itu sendiri.Sebagaimana Nabi saw dihalang dan dicabar oleh kaumnya sendiri , maka dalam hal pelaksanaan perundangan Islam ini juga, tentangan dan masalah itu adalah datang dari umat Islam yang menjadikan barat sebagai idola dan ikutan.Malah yang paling malang sekali, tentangan ini selalunya dipelopori atau diketuai oleh golongan yang terlibat secara langsung dalam bidang perundangan sesebuah negara Islam , tetapi telah mendapat didikan dan pengetahuan undang-undang dari negara-negara barat.Barat telah menyogok dan menyuap mulut mereka ini dengan sampah-sampah kotor lagi keji yang dipandang mulia oleh golongan ini untuk disebarkan keseluruh negara Islam.

Prof A.Rahman I.Doi menyebut tentang hal ini :

Sungguh malang bahawa Common Law yang digunakan di kebanyakan negara Islam telah memberi kesan dan pengaruh yang kuat dalam fikiran saesetengah peguam dan sarjana Islam , hingga mereka turut mengkritik undang-undang syariah sebagai satu sistem perundangan yang kasar dan zalim.Untuk mengikis pandangan yang tidak betul ini , yang seolah-olah sebati dalam pemikiran para sarjana Islam yang terdidik dibarat akan mengambil masa yang lama dan panjang.Malah , bagi golongan bukan Islam pula , mereka ini tidak diberikan peluang untuk memahami sistem perundangan Islam.Akibatnya , wujudlah kempen-kempen jahat menentang hukum syariah…..[1]

Di antara masalah atau halangan serta cabaran yang penulis fikir perlu untuk dikaji dan dicari jalan penyelesaiannya ialah :

a) Bagaimana melaksanakan perundangan Islam dalam masyarakat majmuk.

b) Keadaan zaman yang sentiasa berubah dengan syariat yang lama.

6.1 Bagaimana melaksanakan perundangan Islam dalam masyarakat majmuk

Mungkin ada di kalangan umat Islam yang akan berkata “Bagaimana nak buat undang-undang Islam, sedangkan dalam negara kita ini ada macam-macam bangsa dan agama.Mesti diaorang marah dan akan menganggap ini satu kezaliman.”

Penyataan ini adalah salah satu penyataan yang akan kita dengar yang lahir dari mulut golongan yang tidak mahu undang-undang Islam dilaksanakan.Mereka ini sama ada tidak mahu perundangan Islam menjadi undang-undang yang diguna pakai dalam negara mereka atau pun sememangnya kenyataan itu lahir dek kejahilan dan kebodohan mereka dalam memahami sistem perundangan Islam.

Mari kita lihat bagaimana Islam menjawab persoalan ini :

Dalam pemerintahan berteraskan wahyu , keadilan menjadi asas yang paling utama dan prinsip pemerintahan Islam yang pertama.Ia dibawa oleh seluruh risalah ketuhanan semenjak dari zaman nabi Allah Adam as hinggalah kepada nabi Muhammad saw.Allah swt telah menjelaskannya dalam Al-Quran :

لَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلَنَا بِالْبَيِّنَاتِ وَأَنزَلْنَا مَعَهُمُ الْكِتَابَ وَالْمِيزَانَ لِيَقُومَ النَّاسُ بِالْقِسْطِ

“Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan” [2]

Prinsip utama keadilan dalam undang-undang Islam berdasarkan kepada sikap saling hormat menghormati di antara sesama manusia , yang mana masyarakat yang adil bererti masyarakat yang menjaga taraf dan memperolehi kehormatan serta melalui berbagai-bagai peraturan kemasyarakatan yang menjadi kepentingan bersama.[3]

Firman Allah swt lagi :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ بِالْقِسْطِ شُهَدَاء لِلّهِ وَلَوْ عَلَى أَنفُسِكُمْ أَوِ الْوَالِدَيْنِ وَالأَقْرَبِينَ إِن يَكُنْ غَنِيًّا أَوْ فَقَيرًا فَاللّهُ أَوْلَى بِهِمَا فَلاَ تَتَّبِعُواْ الْهَوَى أَن تَعْدِلُواْ وَإِن تَلْوُواْ أَوْ تُعْرِضُواْ فَإِنَّ اللّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا

“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” [4]

Lagi firman-Nya :

وَإِذَا قُلْتُمْ فَاعْدِلُواْ وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَى

“dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu).” [5]

Dan banyak lagi ayat-ayat Al-Quran yang menyuruh kepada berlaku adil dalam setiap aspek kehidupan hatta dalam perundangan Islam sekali pun.Rasulullah saw semasa hayat baginda menjalankan sistem pemerintahan di Negara Islam Madinah juga terdapat masyarakat yang berbilang bangsa dan pegangan.Cara mentadbir masyarakat majmuk Madinah yang terdiri daripada orang-orang Muhajirin dan Ansar serta Yahudi dan Nasrani telah ditentukan oleh perlembagaann atau Sahifah Madinah.Orang Yahudi dan Nasrani selama mana mereka duduk di Madinah , tidak pernah dipaksa oleh Rasulullah saw untuk memeluk agama Islam.Malah undang-undang yang dikuatkuasakan ke atas mereka juga ialah undang-undang agama mereka.Ini dibuktikan apabila 2 orang yahudi yang berzina , mereka dihukum dengan hukuman yang terdapat dalam kitab Taurat.

Undang-undang Islam yang hendak dilaksanakan adalah undang-undang untuk orang-orang Islam sahaja.Bagi orang bukan Islam terdapat sedikit perbezaan dalam pelaksanaan undang-undang terhadap mereka.Jika sesuatu kes atau kesalahan yang dilakukan oleh orang bukan Islam ( ahli zimmah) dalam negara Islam , pihak hakim selaku wakil kepada pemerintah ( Ulil Amri ) boleh menolak kes itu ke mahkamah awam, iaitu kes tersebut akan dibicarakan di mahkamah awam bagi mewakili masyarakat bukan Islam.

Ini dilakukan sebagai menepati kaedah Fiqh :

تصرف الامام على الـــرعيــــة منوط بالمصــــلحة

“Tindakan yang dijalankan oleh Imam (Ketua Negara) terhadap rakyatnya adalah bergantung kepada maslahah (perkara yang mendatangkan kebaikan untuk ummah)”

Kaedah tersebut dengan jelas menyatakan , sebarang tindakan atau keputusan yang hendak diputuskan oleh Imam atau ketua negara atau hakim yang mewakili ulil amri yang tidak terdapat nas atau dalilnya dalam Al-Quran dan As-Sunnah mestilah melihat kepada maslahah ummah dengan mengambil kira penjagaan terhadap semua aspek dalam kehidupan dan kemasyarakatan.Perkara ini sudah tentu berkait rapat dengan kebijaksanaan hakim dalam mengendalikan sesuatu kes.[6]

Sebagai contoh : Seorang bukan Islam yang telah melakukan kesalahan , kemudian dibawa ke mahkamah Syariah untuk diadili mengikut undang-undang Islam.Hakim ketika itu mestilah melihat kes tersebut dalam semua aspek yang berkaitan dengan maslahah umum.Sekiranya pengadilan yang akan dibuat nanti mencetuskan kemarahan atau ketidak puasan hati oleh tertuduh atau ahli keluarga tertuduh yang mungkin akan menyebabkan perkara yang lebih buruk berlaku , maka hakim berhak menolak kes tersebut untuk dibicarakan dan mengusulkan supaya ianya dibawa ke mahkamah awam yang mungkin boleh memberikan ketenangan dan kepuasan daripada tertuduh atau keluarganya walaupun hukuman yang akan diputuskan hakim mahkamah awam itu lebih berat.[7]

Bersambung di siri 5……….

[1] A.Rahman I.Doi , Non-Muslim under Syariah (Islamic law) , edisi terjemahan , Wan Azmil Ramli dan Dr Muhammad Ariffin , Orang bukan Islam dibawah Undang-undang Syariah , 1992 , hlm.13

[2] Al-Quran Al-Karim , Al-Hadid 57 : 25

[3] A.Rahman I.Doi , Non-Muslim under Syariah (Islamic law) , edisi terjemahan , Wan Azmil Ramli dan Dr Muhammad Ariffin , Orang bukan Islam dibawah Undang-undang Syariah , 1992 , hlm.7

[4] Al-Quran Al-Karim , An-Nisa’ 4 : 135

[5] Al-Quran Al-Karim , Al-Ancam 6 : 152

[6] Dr Abd Karim Zaidan , الوجيز في شرح القواعد الفقـــهـــية في الشريعة الاسلامية , 2003 , hlm.120

[7] Hj Said Hj Ibrahim (bekas mufti Sabah) , Jenayah Murtad dari sudut hukum syarac dan perundangan Islam , 1998 , hlm.153

BAGAIMANA KEMUNGKINAN UNDANG-UNDANG ISLAM DAPAT DILAKSANAKAN DI ZAMAN MODEN – Bahagian 3

5. FAKTOR-FAKTOR LUARAN

Setelah kita meneliti dan memahami akan peri pentingnya faktor dalaman dalam menyediakan golongan muslim-mukmin yang bersedia untuk menerima perundangan Islam sebagai manhaj atau dustur dalam kehidupan mereka , marilah kita lihat pula apakah dia faktor luaran yang perlu ada dalam menjadikan pelaksanaan syariah islamiah itu suatu realiti di zaman moden.

Sebagaimana yang telah penulis sebutkan sebelum ini bahawa , faktor luaran itu merupakan natijah yang lahir daripada kekuatan dan kestabilan faktor dalaman setiap individu muslim-mukmin,maka gabungan kedua-dua faktor inilah yang akan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan undang-undang Syariah Islamiah dalam sesebuah negara Islam moden.

Faktor luaran yang dimaksudkan sebagaimana yang disebut oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi[1] ialah :

a) keinginan untuk melaksanakan Islam secara total melalui kepimpinan yang beriman dengan syariat Allah .

b) Membebaskan diri daripada tekanan keadaan atau realiti dan daripada mengikuti barat.

Insya Allah penulis akan membahaskan ke semua faktor luaran tersebut secara ringkas.

5.1 Keinginan untuk melaksanakan Islam secara total (keseluruhan) melalui kepimpinan yang beriman dengan syariat Allah .

Apabila telah sebati ilmu , iman dan amal soleh pada setiap individu muslim itu , maka secara tidak langsung akan terbit dalam hati dan sanubari mereka ini untuk melaksanakan Islam secara keseluruhannya.Ini timbul kerana golongan ini telah pun mengakui dan meyakini bahawa hanya perundangan Allah swt sahaja yang mampu membawa mereka kepada kebahagiaan dan kesejahteraan dunia dan akhirat.

Dalam hal ini , penulis menggabungkan kehendak atau keinginan melaksanakan Islam secara total yang menjadi idaman atau impian setiap individu muslim-mukmin itu dengan syarat ianya mestilah ditunjangi oleh pemimpin yang beriman dengan syariat Allah swt.Ini kerana , perundangan Islam tidak dapat dijalankan secara prktikal dan berkesan , sekiranya perundangan tersebut hanya berada di institusi-institusi kehakiman atau dengan kata lain , mahkamah-mahkamah sahaja yang berpegang kepada undang-undang Islam , sedangkan dalam masa yang sama institusi-institusi pendidikan , kebudayaan , penerangan dan sebagainya yang diketuai oleh pemimpin mengarah kepada pemikiran-pemikiran yang bukan berasaskan kepada Islam dan iman.

Malah , kita juga mendapati syarikat-syarikat televisyen , radio dan media cetak berlumba-lumba menarik penonton dan pembaca dengan menyiarkan filem-filem dan gambar-gambar yang berunsur maksiat.Di samping itu juga , kemunculan kilang-kilang arak dengan memperagakan tubuh seksi gadis-gadis melayu Islam dan bukan Islam , kedai-kedai judi dan nombor ekor juga menjurus kepada perbuatan maksiat yang lebih besar dan keji.

Kesemuanya ini akan menjadi faktor penghalang kepada pelaksanaan undang-undang Islam itu secara sempurna dan berkesan.Undang-undang Islam sudah pasti tidak dapat dijalankan jika ianya hanya mahu dilaksanakan oleh individu muslim sahaja , sedangkan diperingkat pemimpin tidak ada usaha-usaha ke arah merealisasikannya.

Sebagai contoh , Islam melarang kepada perlakuan zina dan pelakunya akan dikenakan hukuman hadd (hudud) samaada sebat 100 kali atau rejam sehingga mati.Dalam melaksana dan menguatkuasakan hukuman tersebut pemimpin perlulah mempermudahkan jalan perkahwinan yang halal bagi orang yang mahukannya dan menutup segala jalan dan pintu-pintu yang haram daripada menjadi pilihan bagi orang yang ingin melakukan maksiat.

Bila urusan menutup pintu-pintu haram tidak diambil perhatian oleh pemimpin , dalam masa yang sama urusan perkahwinan di persulitkan , maka apabila masyarakat yang terlibat dengan kesalahan zina dhukum dengan undang-undang jenayah Islam , sudah pasti akan timbul pemberontakan dan pergolakan yang dahsyat dalam sesebuah negara Islam.

Masyarakat akan mempersoalkan keadilan dan keberkesanan undang-undang Islam. , kerana mereka akan berkata “kalau zina tu haram , kenapa tidak dibenteras sahaja pusat-pusat pelacuran , kenapa dibiarkan saja penerbitan dan penjualan majalah-majalah hiburan yang memaparkan aksi-aksi berahi gadis-gadis seksi.Malah , urusan perkahwinan pun susah , wang hantaran yang mahal , perbelanjaan perkahwinan yang meningkat dan sebagainya.Bukankah ini semua menjurus kepada perlakuan zina yang berleluasa.

Secara kesimpulannya , umat Islam dan para pemimpin mestilah menjadikan keseluruhan ajaran dan perintah Allah swt dan Rasul-Nya sebagai perlembagaan dalam kehidupan.Mereka mesti mengambil apa sahaja yang disuruh dan meninggalkan apa sahaja yang dilarang.Sebab itu apabila kita melihat kepada sejarah , bagaimana sekumpulan yahudi yang memeluk Islam , mereka mahu mengambil sebahagian daripada prinsip dan adat istiadat agama mereka yang telah dimansuhkan seperti mengagungkan hari sabtu dan mengharamkan bekerja pada hari tersebut tidak diterima oleh Islam.

Allah swt tidak menerima permintaan mereka itu , melainkan mereka masuk ke dalam syariat Islam itu secara keseluruhan ( total ) , seperti mana yang diterangkan-Nya dalam Al-Quran Al-Karim :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ ادْخُلُواْ فِي السِّلْمِ كَآفَّةً وَلاَ تَتَّبِعُواْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” [2]

Oleh itu , Allah swt memberi amaran dan peringatan kepada golongan manusia yang mengamalkan sikap memandang ringan dan menganggap rendah terhadap sebahagian daripada hukum-hukum yang Allah swt turunkan.Firman-Nya :

وَأَنِ احْكُم بَيْنَهُم بِمَآ أَنزَلَ اللّهُ وَلاَ تَتَّبِعْ أَهْوَاءهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَن يَفْتِنُوكَ عَن بَعْضِ مَا أَنزَلَ اللّهُ إِلَيْكَ………..

“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu.” [3]

Dengan ini jelaslah bahawa beriman serta melaksanakan semua yang terkandung dalam syariat Islam yang bersumberkan Allah swt dan Rasul-Nya samada masyarakat dan pemimpin atau lebih tepat lagi seluruh umat Islam adalah menjadi suatu kewajipan dan syarat utama kepada pelaksanaan undang-undang Islam.

5.2 Membebaskan diri daripada tekanan keadaan atau realiti dan daripada mengikuti barat.

Salah satu daripada punca atau sebab umat Islam melupakan ajaran-ajaran Islam ialah dengan mengakui dan mengiktiraf segala tasawur dan sistem-sistem yang dibawa masuk daripada barat.Malah ada di antara mereka tanpa rasa malu begitu mengagumi dan menyanjung tinggi segala budaya dan gaya hidup masyarakat barat yang kotor dan keji.

Sejarah telah mencatatkan bahawa sekularisme barat menyerang dunia Islam dari berbagai-bagai sudut kehidupan.Mereka memasukkan fahaman-fahaman yang bercanggah dengan Islam atas nama kemodenan dan perkembangan atau peredaran zaman.Golongan ini menamakan diri mereka sebagai Mustacmir [4].

Penjajahan / pemakmuran ( Isticmar [5] ) adalah strategi yang paling disukai oleh golongan sekularisme barat , kerana dengannya mereka boleh membawa masuk segala macam bentuk ideologi-ideologi kotor yang digunakan untuk meracuni pemikiran dan perlakuan umat manusia terutama golongan muda.Sekularisme barat menjajah negara-negara umat Islam di seluruh dunia dengan begitu meluas sekali.Ia mencengkam dan mempengaruhi serta menguasai negara-negara umat Islam semenjak pertengahan kurun ke-19 sehinggalah ke awal kurun ke-20

Maka dalam hal ini , apabila ada usaha-usaha sama ada pihak individu muslim dan masyarakat mahupun pemimpin untuk menjalankan undang-undang Islam , menjadi satu syarat yang mesti dipatuhi dan dilaksanakan dengan sepenuh hati ialah membebaskan diri daripada segala bentuk budaya, sistem dan tasawur sekularisme barat daripada menjadi ikutan , panduan dan gaya hidup seharian.Umat Islam seharusnya merasa bangga kerana segala peraturan , displin hidup , perundangan, sistem , akhlak , kemasyarakatan , ekonomi dan sebagainya telah ditunjukkan oleh Allah swt serta diperkemaskan oleh Sunnah Rasulullah saw dan diperbaharui setapak demi setapak oleh para sarjana dan ulama-ulama Islam mengikut perubahan zaman dan keadaan.

Bersambung disiri ke 4


[1]Dr Yusuf Al-Qardhawi , شريعة الاسلامية صالحة للتطبيق في كل زمان ومكان , edisi terjemahan , Pelaksanaan Syariah Islamiah sesuai pada setiap tempat dan masa , Juanda Hj Jaya , 1998 , hlm.173

[2] Al-Quran Al-Karim , Al-Baqarah 2 : 208

[3] Al-Quran Al-Karim , Al-Maidah 5 : 49

[4] Mustacmir membawa maksud “yang memakmurkan” .Golongan ini mendakwa bahawa mereka membawa perubahan kepada bumi yang dijajah dengan cara memakmurkannya.Mereka ini membawa masuk berbagai-bagai perubahan atas nama kemakmuran.Tujuan dan strategi mereka tidak lain hanya ingin mengaburi mata dan fikiran masyarakat dengan menganggap bahawa apa yang dibawa adalah untuk kebaikan semua.Akhirnya , masyarakat mula mengagumi dan menyanjung segala budaya dan pemikiran mereka.

[5] Isticmar adalah istilah yang diguna pakai dalam bahasa arab yang digunakan bagi membawa maksud penjajahan. Sebenarnya kalau dilihat dari sudut bahasa Isticmar bererti pemakmuran.Tetapi inilah istilah yang digunakan dalam bahasa Arab yang membawa maksud tersebut bagi mengelirukan manusia.Hal ini perlu diperhatikan agar tidak timbul sebarang kekeliruan perbezaan istilah antara bahasa Arab dan bahasa Malaysia.

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑