HUKUM BERBISIK-BISIK

Saya ada satu persoalan. Semasa di alam persekolahan dulu, pernah ustaz marah2 jika saya berbisik dengan kawan sedangkan ada seorang teman lagi bersama..Kata ustaz, nabi larang berbisik2 jika bertiga…Sahih ke maklumat tu ustaz?

Kalau soheh, leh tak kita kiaskannya dalam situasi di mana 3 orang shabat, 2 daripadanya orang kelantan, seorang lagi orang perlis,…dua orang kelantan ni bercakap bahasa negeri mereka sehingga kawan dari perlis tidak faham apa2..apakah hukumnya sama dengan berbisik2…???

______________________________________________

Bismillahi wal hamdulillah ,

Al-Jawab :

Hadis larangan daripada berbisik-bisik antara dua orang sedangkan terdapatnya orang yang ketiga ketika itu adalah Hadis Sahih yang diriwayatkan oleh Syaikhain (Imam Bukhari : 6290 dan Imam Muslim : 2183) dan hukum serta perintah larangan tersebut adalah thabit dari Rasulullah saw sebagaimana dibawah :

إذا كنتم ثلاثة فلا يتناجى اثنان دون الآخر ، حتى تختلطوا بالنــاس ، من أجل أن ذلك يحـــزنه

“Apabila kamu bertiga , maka janganlah berbisik-bisik berdua sahaja tanpa disertai yang seorang lagi , kecuali kamu berada (bersama/bercampur) dengan orang ramai , kerana perbuatan tersebut menyakitinya (orang ketiga)”

As-Syaikh Abdullah bin Abd Rahman Al-Bassam menyebutkan dalam mensyarahkan hadis ini :

“Termasuk dalam bab berbisik-bisik yang dilarang ialah berkata-kata atau bercakap dengan menggunakan bahasa yang tidak disenangi atau difahami oleh orang ketiga.

Maka , seelok-eloknya , hendaklah perbuatan tersebut dielakkan, kerana sudah tentu ianya akan menimbulkan perasaan tidak senang hati serta gelisah dalam diri orang ketiga.

WA

Ruj :

Taudhih al-Ahkam min bulughil maram , As-Syaikh Abdullah bin Abd Rahman Al-Bassam , Kitabul Jami’ bab al-Adab.

HUKUM MENGAMBIL “DUIT KOPI”

saya ada masalah…bila nak naik kapal terbang selalu berlebih barang…so hulurkan dalam 10 ke 20 ringgit untuk lepaskan barang saya……kadang-kadang saya nak buat visa….tapi tukang proses itu lambat sangat so saya hulur dalam 10 ke 20 ringgit untuk die mempercepatkan kerjanya…adakah saya dikira memberi rasuah?jikalau rasuah dimanakah dalilnya?adakah nama kitab untuk rujukannya

_____________________________________

Bismillahi wal hamdulillah ,

Al-Jawab :

Hukum memberi duit kopi atau disebut sebagai upah dalam keadaan dan situasi seperti di atas adalah haram dan dikira sebagai rasuah.

Ini kerana antara takrif rasuah ialah “Memberikan apa jua bentuk pemberian seperti hadiah dan wang tunai untuk mendapatkan sesuatu perkhidmatan , pertolongan , diskaun, komisen, rebat, bonus, potongan atau peratusan dan sebagainya dengan jalan yang salah.

Ini kerana , dalam situasi seperti di atas , seseorang pekerja tersebut telah pun mendapat gaji atau upah terhadap pekerjaannya.Maka ia tidak boleh mengambil apa sahaja bentuk upah yang lain selain daripada ganjaran yang sepatutnya , iaitu gaji.

Ini jelas diterangkan oleh Baginda saw dalam sebuah hadisnya yang bermaksud :

“Barangsiapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkhianatan)”

(HR Abu Daud : 2943, Dinilai oleh Albani sebagai SAHIH ; Ma’alim as-Sunan, Al-Khattabi, 3/8 , Dar Kutub Ilmiah)

Begitu juga dengan sebuah riwayat yang menceritakan bagaimana Rasulullah saw pernah mengutus seorang sahabat yang bernama Abdullah bin Rawahah ke Khaibar untuk melakukan penilaian dan pembahagian hasil tanaman buah kurma kerana Rasulullah saw telah menetapkan bahawa hasil tanaman kurma tersebut mestilah dibahagi kepada dua bahagian : Setengah daripadanya untuk Kaum yahudi dan setengah lagi diberikan kepada kaum muslimin.

Apabila Abdullah sedang sibuk menjalankan tugasnya , maka datanglah orang-orang yahudi membawakan kepadanya pelbagai hadiah dari barang-barang perhiasan dan sebagainya serta berkata kepada Abdullah :

“Perhiasan ini untuk kamu wahai Abdullah, Maka ringankanlah kami dan berikanlah kepada kami hasil kurma itu lebih dari separuh,” Lalu dijawab oleh Abdullah menjawab, “Wahai kaum Yahudi! Demi Allah kalian memang makhluk Allah yang paling aku benci. Apa yang kalian lakukan ini justeru membuatkan diriku lebih membenci kalian. Rasuah yang kalian tawarkan itu adalah barang haram, dan kami kaum Muslimin tidak memakannya!” Mendengar jawaban tersebut mereka (Yahudi) berkata, “Kerana (sikap) inilah langit dan bumi tetap tegak!”

[Imam Malik, Al Muwattha’:1450].

WA

HAD PUKUL ANAK

Saya ingin tahu cara mdidik anak secara tepat. Apakah kita dibenarkan pukul anak, dan apakah had-had pukul anak. Apakah hanya dibenarkan menggunakan tangan semata-mata atau rotan juga dibenarkan. Ketika ini anak saya berumur 2 tahun lebih dan ketika ini anak sekecil itu perlukan kawalan disebabkan keaktifannya. Kawalan, kadang2 perlu juga memarahi (terkadang pukul) bagi mengawal anak dari perilaku yg kita tidak suka. persoalannya, apakah had pukul anak.

___________________________________________

Bismillahi wal hamdulillah ,

Al-Jawab :

Islam amat menitik beratkan soal pendidikan terhadap anak-anak.Ini kerana pendidikan yang betul dan menepati kehendak syarak , in sya Allah akan melahirkan anak yang beriman serta mentaati perintah Allah swt dan Rasul-Nya.Sebagaimana Firman Allah swt dalam surah al-Tahrim ayat 6 :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا

“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka”

Apa yang menjadi persoalan sekarang ini ialah , apakah dibolehkan anak itu dipukul dan apakah pula had pukulan yang dibenarkan dalam Islam , jika Islam mengizinkan pukulan semasa dalam proses pendidikan terhadap anak-anak.

Apa yang penting ialah , hukuman adalah sesuatu yang disyariatkan dan termasuk salah satu sarana

pendidikan yang mendatangkan kesan dalam diri anak-anak.Namun berlebih-lebihan dalam menggunakan pukulan semasa proses pendidikan akan mengakibatkan kesan yang sebaliknya.

Ada beberapa kaedah dalam menggunakan pukulan dalam proses pendidikan seperti :

–  Tidak dipergunakan hukuman ini kecuali jika tidak ada cara lain lagi.

–  Pendidik tidak baleh memukul ketika dalam keadaan marah , karena dibimbangi akan membahaya dan mencederakan anak.

–  Tidak memukul pada bahagian-bahagian yang menyakitkan, seperti:wajah, kepala dan dada.

–  Pukulan bukanlah bertujuan untuk menyakitkan , tetapi sebagai pengajaran.

–  Tidak boleh dipukul anak yang berumur di bawah sepuluh tahun.Sebagaimana sabda Rasulullah saw :

مُرُوا أَوْلاَدَكُمْ بِالصَّلاَةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرِ سِنِينَ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِى الْمَضَاجِعِ

“Latihlah anak-anak kamu bersolat ketika usianya 7 tahun , dan pukullah mereka (jika tidak mahu menunaikan solat) diwaktu telah berumur 10 tahun , dan pisahkanlah tempat tidur mereka (antara lelaki dan perempuan)”

(Hadis Abu Daud , dinilai HASAN SAHIH oleh Al-Albani dalam Sahih wa Dhoif Sunan Abu Daud : 495)

Perlu diingat , bahawa kaedah pukulan adalah kaeah terakhir digunakan dalam mendidik anak , setelah pendekatan secara nasihat dan teguran tidak mendatangkan kesan pada si anak.

Walaubagaimana pun , anak-anak adalah ibarat kain putih yang tidak mengerti apa pun dalam muka bumi ini…Maka , didiklah ia dengan penuh kasih sayang tanpa ada rasa putus asa dengan meminta bantuan dan pertolongan dari Allah swt….Mudah-mudahan diberikan kekuatan oleh-Nya…in sya Allah.

WA

STATUS DARAH SEBELUM BERSALIN

Assalamualaikum…
seorang perempuan yang hampir bersalin mengalami kontraksi (sakit nak bersalin) selama satu hari. Selama kontraksi tersebut ada darah keluar sedikit-sedikit. Adakah Darah tanda-tanda bersalin ini darah nifas?
Bolehkah dia solat ketika ini?
mintak pencerahan dari ustaz-syukran

____________________________________________________

Bismillahi wal hamdulillah ,

Al-Jawab :

Ulama telah sepakat mengatakan bahawa darah Nifas adalah darah yang keluar selepas bersalin.Ulama berbeza pendapat dalam bab darah yang keluar sebelum bersalin kepada 3 pendapat :

Mazhab syafie dan Maliki: Ia adalah darah haid

Mazhab Hanafi dan Hanbali : Darah Istihadhah

Sebahagian Ulama Hanbali : Ia adalah darah nifas jika keluar sehari atau dua hari sebelum melahirkan anak.

Imam an-Nawawi menukilkan :

فإذا رأت الحامل دما يصلح أن يكون حيضا فقولان مشهوران قال صاحب الحاوي والمتولي والبغوي وغيرهم : الجديد أنه حيض , والقديم : ليس بحيض , واتفق الأصحاب على أن الصحيح أنه حيض

Maka apabila wanita yang sedang hamil melihat darah (yang keluar), yang dikatakan sebagai darah haid maka terdapat dua pendapat yang masyhur.Berkata pengarang kitab Al-Hawi , Al-Mutawalli dan Imam Al-Baghawi dan lain-lain : Qaul Jadid ( Pendapat yang baru ) Imam as-Syafie ia adalah darah Haid, dan Qaul Qadim ( Pendapat yang lama ) mengatakan ia bukan darah haid. Telah sepakat ulama Syafie pendapat yang paling sahih mengatakan ia adalah DARAH HAID.

( Al-Majmu’ Imam Nawawi : 1/412)

Maka , jika dilihat pada pandangan Imam as-Syafie ini , seseorang yang keluar darah sebelum bersalin tidak diwajibkan solat dan puasa.Ini adalah Ijtihad Imam Syafie dan ulama-ulamanya ( Syafi’iyyah )

Manakala Fatwa yang dikeluarkan oleh Lajnah Daimah :

Kesimpulan dari Fatwa tersebut ialah :

1.Jika darah yang keluar tidak disertai dengan tanda-tanda hendak bersalin , maka darah tersebut ialah darah kotor.Maka pada ketika itu masih lagi ditaklifkan dengan tuntutan ibadah samada puasa atau solat.

2.Manakala jika ianya disertai dengan tanda-tanda hendak bersalin seperti rasa sakit dan sebagainya , maka darah itu dikira sebagai darah nifas dan tak wajib bagiinya untuk puasa dan solat.Ia wajib mengqada’ puasanya sahaja selepas suci ( selesai wiladah )

Sumber link : http://www.islam-qa.com/ar/ref/6944

Mengenai status darah tersebut , pendapat yang rajih ialah pendapat dan fatwa yang dikeluarkan oleh Lajnah Daimah adalah yang lebih hampir berikutan terdapatnya kajian kedoktoran yang menunjukkan darah haid tidak akan keluar ketika seseorang wanita itu mengandung.

WA

KEADAAN SOLAT DI MASJIDIL HARAM.

Ustaz , baru2 ni sy diajukan satu soalan berkenaan solat ketika mengerjakan umrah/haji di mekah.
disebabkan terlalu padat jemaah kat sana, so kesukaran untuk bersujud menjadi satu masalah, agak sukar untuk sempurnakan sujud disebabkan ramai manusia berhimpit.

apa pandangan panel tentang perkara ni?

WA Wassalam

____________________________________________

Bismillahi wal hamdulillah ,

Al-Jawab :

Masalah solat dalam masjidil haram ini adalah perkara yang telah dibahaskan oleh perlbagai lapisan ulama yang antaranya ialah As-Syaikh Bin Bazz , Uthaimeen , Solih fauzan dan ramai lagi…

Dalam keadaan yang boleh menimbulkan kesukaran atau masyaqqah ketika ingin menunaikan sebarang ibadah kepada Allah swt , maka disitu dibolehkan untuk kita melakukan apa-apa perkara yang dilarang dalam Islam atas tujuan demi untuk menyempurnakan tuntutan Allah swt…

Banyak dalil-dalil dari Al-Quran dan Hadis yang begitu sinonim dengan kita dalam hal atau bab masyaqqah ini. Antaranya :

1. Al-Baqarah : 185.

2. Al-Maidah : 6.

3. Al-Hajj : 78.

4. HR Imam Bukhari : 5660 , 5663

5. HR Tirmizi : 137

6. HR Abu Daud : 324

Dan banyak lagi…..

Antara kesukaran / masyaqqah yang menjadi perkara biasa berlaku di Masjidil haram ialah seperti , percampuran saf / jemaah antara lelaki dan wanita ( bukan satu saf ) , tiada tempat laluan ketika mencari saf-saf kosong yang mana dibolehkan untuk kita melalui dihadapan orang yang sedang solat.. ruang solat yang tidak mencukupi sehingga ada yang bersolat di atas escalator (tangga bergerak) dan macam-macam lagi kesukaran yang berlaku.

Kesemuanya ini adalah masyaqqah-masyaqqah yang memberi laluan dan kebenaran kepada kita untuk melakukan tuntutan ibadah itu sedaya yang mampu sesuai dengan maksud kaedah fiqh :

المشــقة تجــلب التيســير

“Kesukaran / kepayahan itu membawa kepada kemudahan”

WA

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑