Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
Hak seseorang Muslim terhadap muslim lainnya ada 6 perkara : Apabila kamu berjumpanya maka hendaklah memberi salam kepadanya ,apabila ia memanggil kamu , maka jawablah ia , apabila ia meminta nasihat kamu , hendaklah kamu menasihatinya , apabila ia bersin dengan memuji Allah , maka doakanlah ia , apabila ia sakit ,ziarahilah ia dan apabila ia mati , maka iringilah ia (jenazahnya ke kuburan). (Hadis Riwayat Imam Muslim : 2162 )
*************
Sahabat-sahabat sekalian……
Ramai antara kita yang tahu dan menyedari bahawa kita disunatkan untuk memberi salam apabila bertemu antara satu sama lain.Ramai juga yang tahu , bahawa ucapan salam itu adalah doa yang kita panjatkan ke hadrat Ilahi agar sahabat atau saudara yang kita temui itu beroleh kesejahteraan dan kerahmatan Allah swt.Malah ramai juga yang tahu , bahawa orang yang mula-mula memberikan ucapan salam itu mendapat ganjaran pahala yang besar di sisi-Nya , Tuhan Rabbul Jalil….
Tapi , mengapakah ramai yang buat-buat tak tahu tatkala bertemu sesama mereka,samada di jalanan , di Masjid atau di surau , di pusat membeli belah atau di restoran , di tempat kerja atau dimana-mana sahaja… malah yang paling mengecewakan ialah sikap malas untuk memulakan ucapan salam??
Berdasarkan kepada hadis di atas maka petua atau tips pertama dalam menawan hati seseorang ialah dengan ucapan salam.
Mungkin ramai yang akan berfikir , apakah dengan memberi salam sahaja boleh menyebabkan seseorang itu merasa senang dan selesa dengan kita.Setakat beri salam semua orang boleh buat.Bukan susah sangat pun , hanya sebut : Assalamua’alaikum…
Ya , memang betul dan tepat sekali..bukan susah sangat pun nak beri salam.Tapi disebabkan tak susahlah , maka ramai yang tidak mengambil peduli malahan berat sekali mulut itu untuk menyebutnya.
Dalam Islam , kita dibolehkan mengirim salam kepada seseorang yang berada jauh melalui perantaraan orang tengah dengan ucapan “Assalamualaikum” …begitu juga dengan menulis surat yang mengandungi ucapan salam , menghantar sms dimulai dengan ucapan salam dan berbagai-bagai lagi cara yang boleh dilakukan untuk memberi salam.
Suatu ketika Rasulullah saw berkata kepada Saidatina A’isyah r.anha : Wahai A’isyah , ini Jibril berkirim salam kepada mu.Lalu dibalas oleh A’isyah r.anha dengan katanya :
وعــليه الســلام ورحمــة الله وبركاته
Dan ke atasnya jua kesejahteraan dan rahmat Allah serta keberkatannya.(HR Bukhari : 6249 , 6253 dan Muslim : 2447)
Inilah buktinya bahawa ucapan salam itu boleh disampaikan melalui seseorang kepada seseorang yang lain.Hadis di atas juga menunjukkan betapa peri pentingnya ucapan salam , sehinggakan Malaikat Jibril pun mengucapkan salam kepada isteri Baginda SAW.Inikan pula kita sebagai manusia , malas untuk mengucapkan salam
Seorang penyair Arab pernah menyebut :
جد لنا بالســـلام إن لم تزرنا **** إن بذل السلام نصف الزيارة
Sampaikanlah salam kepada kami, sekiranya engkau tidak menziarahi kami *** Sesungguhnya memberi salam itu merupakan separuh daripada ziarah.
Ucapan salam sebenarnya mempunyai kelebihan yang tersendiri.Ini kerana disamping mendoakan kesejahteraan dan kerahmatan seseorang , memberi salam juga boleh merapatkan hubungan silaturrahmi , menerbitkan rasa kasih dan sayang sesama manusia , melunakkan hati-hati manusia serta membentuk akhlak mulia sesama muslim.
Sebagaimana yang diketahui , bahawa ucapan salam itu merupakan satu doa yang kita pohonkan kepada Allah swt,maka dengan sebab itulah orang yang menerima ucapan salam itu WAJIB pula membalas ucapan tersebut.Barulah adil namanya.Doa yang kita terima , maka doa jugalah yang kita balas.
Allah SWT berfirman dalam surah An-Nisa , ayat 86 :
وَإِذَا حُيِّيتُمْ بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا
Apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik dari padanya, atau balaslah penghormatan itu (dengan yang serupa) Sesungguhnya Allah memperhitungankan segala sesuatu.
Apa yang menarik ialah , ucapan salam ini juga adalah ucapan yang akan diucap oleh para penghuni Syurga semasa di akhirat kelak sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Ahzab ayat 44 :
تَحِيَّتُهُمْ يَوْمَ يَلْقَوْنَهُ سَلَامٌ وَأَعَدَّ لَهُمْ أَجْرًا كَرِيمًا
Salam penghormatan kepada mereka (orang-orang mukmin itu) pada hari mereka menemui-Nya ialah: Salamun (ucapan selamat sejahtera) dan Dia menyediakan pahala yang mulia bagi mereka.
Sahabat-sahabat sekalian……
Jika ada yang bertanya : apakah perkara pertama untuk menawan hati seseorang? , maka jawablah , ucapkanlah salam…kalau ditanya kembali : tak kan dengan ucapan salam sahaja.? Maka katakan kepadanya : Rasulullah SAW pernah bersabda :
لا تَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا وَلا تُؤْمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا أَوَلا أَدُلُّكُمْ عَلَى شَيْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوهُ تَحَابَبْتُمْ أَفْشُوا السَّلامَ بَيْنَكُمْ
Kamu tidak akan masuk syurga sehinggalah kamu beriman , dan tidak sempurna iman kamu sehinggalah kamu berkasih sayang.Aku akan tunjukkan kepada kamu sesuatu yang jika kamu lakukannya akan membuatkan kamu berkasih sayang.(Iaitu) menzahirkan (memberi) salam sesama kamu.
Beginilah Islam mengajar kita…..
Leave a Reply