Sheikh Yusuf Al-Qaradawi, presiden Kesatuan Ulama Muslim Antarabangsa, menerima soalan daripada seorang pembaca mengenai isu mencegah Munkar (maksiat/kejahatan). Soalan itu berbunyi:
Isu mencegah Munkar dengan kuasa adalah kontroversi. Siapa yang dibenarkan melaksanakan perubahan itu dan bila ia dibenarkan? Sebahagian ulama berkata hak untuk mengubah hanya boleh dibenarkan oleh pemerintah; maknanya, ianya kewajipan kerajaan dan bukannya individu dengan tujuan untuk melindungi negara daripada kacau-bilau dan kerosakan yang menghancurkan. Sebahagian yang lain berkata yang setiap Muslim mempunyai hak ini; bahkan, ianya perbuatan wajib, mengikut hadith yang berbunyi, :
“Seseorang dikalangan kamu yang melihat satu Munkar mesti mengubahnya dengan tangannya; dan jika dia tidak mampu berbuat demikian, maka dia mesti mengubahnya dengan lidahnya; dan jika tidak mampu berbuat demikian, maka dia mesti mengubahnya dengan hatinya, dan itulah iman yang paling lemah.” [1]
Hadith yang mulia ini mewajibkan mana-mana Muslim yang melihat sesuatu Munkar untuk mengubahnya dengan tangannya; jika tidak mampu berbuat demikian, maka dia mesti mengubahnya dengan lidahnya; dan jika tidak mampu berbuat demikian, maka dia mesti mengubahnya dengan hatinya, dan itulah tahap iman yang paling lemah. Jadi, mana-mana Muslim yang mampu melaksanakan tahap iman yang paling tinggi tidak sepatutnya berpaling kepada yang palinglemah.
Oleh sebab itu, sebahagian anak muda yang bersemangat terburu-buru mengubah Munkar dengan tangan mereka tanpa mengira akibat. Kadang-kala pemerintah atau kerajaan sendiri mungkin melaksanakan atau mempertahankan Munkar; Dan mungkin menghalalkan haram atau mengharamkan yang halal, gagal menguat-kuasakan perbuatan wajib, menghentikan hukuman hudud, menafikan kebenaran atau menyebarkan kebatilan. Dalam hal ini, individu-individu tersebut mesti berusaha sedaya upaya untuk membetulkan kepesongan itu; jika mereka disakiti, itu semata-mata kerana Allah SWT, dan jika mereka terbunuh, mereka menjadi syuhada di jalan Allah dan akan bersama dengan Hamzah ibn `Abd Al-Muttalib, Penghulu Syuhada, seperti di dalam hadis.
Ramai orang, khasnya anak-anak muda yang bersemangat dan taat beragama, mulai keliru; kerana mereka yang mengambil pendapat pertama ialah ulama yang sekarang digelar “ulama kerajaan ” dan ” ajen polis”. Maka, Muslim tidak lagi mempercayai mereka. Pendapat yang lain yang diambil oleh sebahagian ulama muda, yang mungkin dituduh tergesa-gesa, kurang ajar, melampau dan mengambil dalil-dalil yang zahir tanpa mengaitkan antara satu sama lain.
Saya harap tuan dapat meluangkan masa menerangkan isu ini. Semoga Allah melindungi dan menolong tuan dan menunjukkan kita jalan yang benar.
Ulama terkemuka, Sheikh Al-Qaradawi, menjawab soalan dengan berkata:
Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah dan selawat dan salam kepada Rasulullah (SAW)
Kewajipan menyuruh kepada Ma`ruf dan mencegah Munkar merupakan satu daripada kewajipan asas dalam Islam; tambahan lagi, Allah SWT menjadikannya satu daripada dua perkara yang menunjukkan kemuliaan dan keutamaan umat ini.:
“Kamu ialah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, kamu menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah..” [2]
Al-Qur’an meceritakan beberapa sifat utama orang yang beriman:
Mereka itu adalah orang yang bertaubat, yang beribadah, yang memuji (Allah), yang melawat [3], yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat makruf dan mencegah berbuat mungkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah… ” [4]
Sebagaimana al- Qur’an al-Karim memuji mereka yang menyuruh Ma`ruf dan melarang Munkar, ia juga mengecam mereka yang gagal berbuat demikian. Allah SWT berfirman,
“Telah dilaknati orang kafir dari Bani Israel dengan lisan Daud dan Isa putra Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas.Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu.!” [5]
Muslim bukan hanya baik pada dirinya sendiri yang melakukan perbuatan baik, mengelakkan yang buruk, dan yang hidup dalam persekitarannya sahaja, yang tidak memberi perhatian kepada penurunan perbuatan baik dalam dunia ini dan peningkatan mendadak perbuatan buruk di sekeliling dia; Bahkan Muslim sebenar merupakan orang yang baik pada dirinya dan gigih membetulkan orang lain dan menolong mereka menjadi manusia yang baik. Dia ialah orang yang digambarkan di dalam Surah berikut dalam al-Qur’an:
“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya menaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran .” [6]
Maka , Muslim tidak akan selamat dari kerugian kehidupan dunia ini dan akhirat kecuali dengan berwasiat kepada kebenaran dan kesabaran yang disebutkan juga sebagai menyuruh Ma`ruf dan melarang Munkar. Maka, Muslim dianggap penjaga kebenaran dan kebaikan umat ini.
Munkar hanya di lakukan di dalam masyarakat Muslim apabila ia mengalami kelemahan atau kecuaian; maka, Munkar tidak akan kekal, tidak akan wujud dalam perlindungan, atau menikmati pelindungan undang-undang dengan sebarang cara. Maka, semua yang buruk mesti dicegah dalam masyarakat Muslim supaya ia tidak datang bertapak di bumi kita.
Mencegah Munkar dan Tahapnya
Abu Sa`id Al-Khudri menceritakan Rasulullah (SAW) bersabda,
“Seseorang dikalangan kamu yang melihat satu Munkar mesti mengubahnya dengan tangannya; dan jika dia tidak mampu berbuat demikian, maka dia mesti mengubahnya dengan lidahnya; dan jika tidak mampu berbuat demikian, maka dia mesti mengubahnya dengan hatinya, dan itulah iman yang paling lemah.“ (Riwayat Muslim) [7]
Hadith yang mulia ini jelas menunjukkan mengubah Munkar wajib atas setiap Muslim yang melihatnya. Kenyataan Rasulullah ” Seseorang dikalangan kamu yang melihat …” termasuklah semua Muslim (pemerintah dan rakyat); sebagaimana baginda (SAW) tidak mengecualikan sesiapa; bermula daripada Sahabat Baginda sehingga generasi terakhir umat.
Syarat-syarat Mengubah Munkar
Individu atau Kumpulan Muslim yang mahu mengubah sebarang Munkar mestilah mematuhi syarat-syarat untuk berbuat demikian. Syarat-syarat dinyatakan dalam hadith di atas.
Syarat pertama: Munkar itu mestilah di sepakati haram
Munkar yang mesti diubah dengan pertamanya dengan tangan, kemudian dengan lidah dan kemudian dengan hati dalam keadaan tidak mampu mestilah perkara yang diharamkan. Maka, perkataan Munkar bermakna melakukan yang haram (perbuatan yang dilarang) yang Allah SWT mengarahkan kita tidak melakukan, atau tidak melaksanakan perbuatan (kewajipan) yang Allah SWT perintahkan kita buat. Yang haram termasuklah dosa besar atau kecil walaupun jika dosa kecil itu mungkin mudah terlepas pandang khasnya jika seseorang tidak berterusan melakukannya. Allah SWT berfirman dalam Al-Quran :
“Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang dilarang kamu mengerjakannya, nescaya Kami hapus kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu yang kecil) dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga).[8]
”Tambahan lagi, Abu Hurairah menceritakan yang Rasulullah (SAW) bersabda,
“Lima solat (harian) dan dari satu solat Jumaat ke satu solat Jumaat (seterusnya ), dan dari Ramadan ke Ramadan merupakan penebus (dosa-dosa) yang dilakukan diantara (tempoh tersebut) dengan syarat seseorang tidak melakukan dosa besar.” [9]
Jadi, perkataan Munkar tidak termasuk yang makruh, meninggalkan perbuatan yang sunat atau yang digalakkan (mustahabb).
Diriwayatkan bahawa seorang badwi datang kepada Rasulullah (SAW) dan berkata :
“Beritahu saya satu perbuatan yang akan menjadikan saya masuk Syurga jika saya amalkannya.” Rasulullah (SAW) bersabda, “Sembahlah Allah, dan sembah tidak lain daripada Dia, lakukan (lima) Solat fardu yang diwajidkan dengan sempurna, bayarlah Zakat, dan berpuasa pada bulan Ramadan.” Badwi itu berkata, “Demi Dia yang hidup saya pada tangan Nya, Saya tidak akan buat lebih daripada ini.” [10]
Dan pada suatu hadis yang lain , Rasulullah saw bersabda : “Sesiapa yang ingin melihat lelaki daripada Syurga, dia boleh melihat pada lelaki itu.” [11]
Maka munkar mestilah berada ditahap haram dan mestilah perkara munkar itu benar-benar munkar di sisi syarak. Ini bermakna ia adalah apa-apa yang dilarang oleh nas Islam yang sahih atau hukum Islam yang jelas, dan tidak melalui satu pendapat atau satu pertimbangan yang mungkin betul atau salah dan mungkin berubah mengikut perubahan masa, tempat, budaya dan keadaan. Tambahan pula, ia mesti disepakati diharamkan oleh Ulama; jadi, hal-hal yang ulama tidak sepakati tidak di anggap sebagai Munkar.
Jika sebahagian fuqaha tidak bersepakat mengenai hukum mengambil gambar atau fotograf, menyanyi dengan atau tanpa alat muzik, perempuan tidak menutup muka dan tangannya, perempuan menduduki jawatan hakim dan seumpamanya, mengesahkan permulaan puasa atau akhir puasa dengan melihat anak bulan pada negara lain atau melihat anak bulan dengan teleskop, atau hal-hal kontroversi yang lain, haram bagi mana-mana individu atau kumpulan Muslim untuk mengambil satu daripada pendapat-pendapat itu dan menggunakan kekerasan untuk memaksa orang lain untuk mengikutinya.
Pendapat majoriti tidak membatalkan yang minoriti, jika hanya seolang ulama mempunyai pandangan yang berbeza, selagi dia seorang ulama yang telah sampai ke tahap mujtahid. Banyak pendapat-pendapat yang dianggap lemah dan ditinggalkan, maka ulama besar datang selepas satu tempoh dan menyokong dan menguna pendapat-pendapat itu; kemudian, pendapat-pendapat lemah ini menjadi yang paling masyhur. Contohnya, pendapat Sheikhul Islam Ibn Taymiyah, mengenai hal-hal cerai dan keluarga ditolak dengan keras semasa hidupnya dan bagaimanapun selepas kematiannya setelah banyak abad, pendapat-pendapat itu disokong dan disebar oleh ramai ulama. Kemudian, pendapat-pendapatnya menjadi rujukan utama bagi semua Fatwa dan undang-undang di banyak negara Muslim.
Munkar yang mesti diubah dengan kuasa mestilah perkara munkar yang semua ulama bersepakat akan kemunkarannya; jika tidak, pintu kejahatan dan fitnah akan terbuka, kerana sesetengah orang mungkin cuba untuk memaksa orang lain untuk mengikuti pendapat mereka dengan kuasa.
Terdapat segolongan pemuda yang bersemangat di beberapa negara Muslim, yang memusnahkan kedai patung permainan; sebab mereka anggap patung permainan kanak-kanak merupakan sejenis berhala dan gambar yang dianggap dosa besar. Apabila mereka diberitahu yang ulama terdahulu membenarkan permainan ini, kerana ada sejenis penghinaan, keaiban, dan cemuhan atas patung permainan itu, dan sebagainya, mereka berkata yang ulama dahulu membenarkan patung permainan yang bukannya patung permainan yang ada pada zaman ini, yang membuka dan menutup mata, berjalan-jalan ke sana-sini dan dan bercakap kepada kanak-kanak. Apabila dikatakan kepada mereka, “Tetapi, kanak-kanak membuang patung permainan ke sana-sini , mematahkan lengannya dan kakinya dan tidak memuliakannya atau menghormatinya,” mereka tidak dapat memberikan jawapan.
Juga, terdapat sesetengah pemuda di beberapa negara Muslim cuba untuk menutup restoran, kedai kopi dan seumpamanya dengan kekerasan, apabila beberapa negara Muslim mengumumkan permulaan puasa Ramadan, walaupun negara mereka tidak melihat anak bulan, jadi permulaan Ramadan tidak diumumkan. Pemuda-pemuda ini anggap yang Ramadan telah bermula maka Muslimin tidak boleh mengisytiharkan di khalayak awam bahawa mereka tidak berpuasa.
Contohnya, semasa Majlis Ifta’ Mesir pernah mengumumkan bahawa mereka tidak dapat melihat anak bulan Shawwal, jadi Ramadan akan menjadi tiga puluh hari, beberapa pemuda Mesir berkeras membuka puasa mereka dan menunaikan ibadah `Idulfitri bersendirian; sebagaimana beberapa negara Muslim lain yang mengumumkan yang mereka telah melihat anak bulan Shawwal, yang menunjukkan berakhirnnya puasa. Akibatnya, pertembungan tidak wajar di antara mereka dengan pasukan keselamatan berlaku. Saya percaya pemuda-pemuda ini melakukan kesilapan atas sebab-sebab yang berikut:
1. Fuqaha berselisih pendapat mengenai cara menentukan anak bulan; sebagaimana sebahagian daripada mereka memerlukan bukti seorang saksi, yang lain memerlukan dua saksi, manakalan sebahagian yang lain memerlukan bukti sekumpulan manusia apabila langit tidak berawan. Setiap golongan ulama mempunyai hujah mereka sendiri; maka, tidak dibenarkan untuk memaksa orang untuk mengikut pendapat tertentu.
2. Juga, mereka tidak sependapat mengenai kawasan melihat anak bulan; mengikut banyak mazhab,setiap negara mempunyai kawasan melihat anak bulan sendiri dan tidak perlu mengikuti negara lain. Ini pendapat Ibn` Abbas dan ramai ulama, mengikut hadith yang diriwayatkan oleh Kuraib dalam Sahih Muslim.
3. Keputusan Imam atau Mufti mengenai hal-hal yang kontroversi menamatkan sebarang perselisihan dan mewajibkan negara itu untuk mengikutinya. Maka, jika Mufti berkenaan mengambil pendapat satu daripada mazhab-mazhab mengenai sebarang hal, Muslim mesti mematuhinya dan mengekalkan perpaduan mereka.
Saya menyebut dalam beberapa Fatwa jika kita gagal untuk menyatukan semua Muslim mengenai permulaan dan tamat puasa, rakyat negara yang berkenaan mesti bersatu dalam hal ini; sebagaima kita tidak menerima rakyat negara yang berkenaan berpecah kepada dua golongan: satu golongan yang berpuasa dan satu golongan yang tidak berpuasa. Namun, perbuatan salah pemuda-pemuda yang bersemangat itu tidak sepatutnya ditentang dengan peluru; sebaliknya, mereka sepatutnya ditentang dengan tenang..
Syarat kedua: Munkar itu mesti nyata
Munkar itu mesti nyata dan kelihatan. Jika seseorang melakukan Munkar jauh daripada mata manusia atau menutup pintu kepada dirinya, tidak dibenarkan kepada sesiapa untuk mengintip atasnya dengan sebarang cara atau dengan menyerbu rumahnya dengan tujuan menangkapnya semasa melakukan dosa. Hadith tadi menjelaskan yang seseorang yang diwajibkan untuk mengubah sebarang Munkar ialah seseorang yang melihatnya; hadith itu menyebut, ” Seseorang dikalangan kamu yang melihat satu Munkar …” Maka, menjadi syarat untuk melihat Munkar itu, dan tidak mendengarnya daripada orang lain.
Sebenarnya, Islam meninggalkan hukuman seseorang yang melakukan Munkar secara sembunyi dan tidak menghebahkannya kepada Allah SWT untuk memanggil dia untuk bertanggung-jawab pada Hari Pengadilan. Tambahan pula, hukuman Ilahi akan berkurangan kepada seseorang yang melakukan dosa secara sembunyi dan dilindungi; sebagaimana Rasulullah (SAW) bersabda :
“Setiap orang daripada umatku diampunkan kecuali mereka yang menonjolkan diri mereka (maknanya, mereka yang melakukan dosa secara terbuka atau menunjukkan dosa mereka kepada orang ramai ).” [12]
Maka, tiada sesiapa yang ada kuasa untuk menghukum sebarangan orang kerana Munkar yang disembunyikan – khasnya dosa daripada hati yang Islam anggap sebagai dosa besar, seperti riya’, kemunafikan, sombong, dengki, kedekut dan takbur – selagi dosa itu tidak di tonjolkan. Ini kerana kita diarahkan untuk menghukum mengikut kepada perkara yang nyata dan menyerahkan urusan dalaman (tersembunyi) kepada Allah SWT .
Dalam kitabnya Al-Ihya’ yang masyhur, Sheikh Al-Ghazali (semoga Allah merahmatinya) menceritakan kisah ini, “`Umar ibn Al-Khattab, Khalifah yang kedua, suatu hari sedang meronda apabila dia mendengar nyanyian dan muzik datang dari satu rumah. Dia melompat melepasi dinding rumah dan melihat seorang lelaki duduk bersama seorang perempuan asing dan ada segelas arak didepannya. Dia sedang minum arak dan menyanyi. `Umar memberitahunya, ‘Wahai musuh Allah, adakah kamu anggap yang Allah SWT tidak akan menghina kamu?’ Lelaki itu menjawab, ‘Wahai Amirul Mukminin, jangan menjatuhkan hukuman dengan terburu-buru. Jika saya membuat satu dosa, maka tuan membuat tiga dosa!’ `Umar bertanya bagaimana? Lelaki itu menjawab, ‘Allah SWT berfirman seseorang tidak boleh mengintai (Al-Hujurat: 12) dan tuan telah mengintai saya. Lagi, Allah SWT menyuruh memasuki rumah melalui pintu yang sebenar (Al-Baqarah: 189) dan tuan melompat melepasi dinding. Akhirya, Allah SWT menyuruh memasuki rumah orang lain hanya dengan keizinan tuannya (An-Nur: 27) dan tuan masuk ke dalam tanpa meminta kebenaran.’ `Umar berkata, ‘Betul kata kamu. Jika aku maafkan kamu, adakah kamu akan bertaubat?’ Dia berkata, ‘Ya.’ Maka, `Umar memaafkannya.” (Lihat: Al-Ihya’, jilid. 7, m.s. 1218)
Syarat ketiga: Kemampuan sebenar untuk mengubah
Seseorang yang mahu mengubah sebarang Munkar dengan kuasa mesti ada kemampuan, sama ada secara moral atau material, untuk mengubahnya secara mudah dengan dirinya sendiri atau dengan pertolongan orang lain. Hadith itu menyebut, ” … jika dia tidak mampu berbuat demikian, maka dia mesti mengubahnya dengan lidahnya …” Ini bermakna jika orang itu tidak mampu untuk mengubah Munkar itu dengan tangannya, dia mesti meninggalkan tahap ini kepada orang yang ada kuasa secukupnya dan cuba untuk mengubah mungkar dengan lidahnya.
Dalam kebanyakan kes, tahap mengubah sebarang Munkar dengan tangan , bermaksud, dengan kuasa, diwajibkan kepada manusia dalam bidang kuasanya; kepada suami yang ada kuasa (moral) atas isterinya, kepada ayah yang ada kuasa (moral) atas anak lelaki dan perempuan, kepada pengurus dalam institusinya ,kepada pemerintah dalam had kuasanya, dan sebagainya.
Apabila Kerajaan Melakukan Munkar
Satu masalah timbul disini: kadang-kala kerajaan yang ada prasarana dan kuasa tentera melakukan Munkar! Maka, apakah yang boleh individu dan kumpulan lakukan untuk mengubah Munkar ini yang dilakukan atau dilindungi oleh kerajaan?
Mereka, individu dan kumpulan, mesti ada kuasa yang membolehkan mereka untuk mengubahnya. Pada zaman ini, kuasa ini terbahagi kepada tiga bentuk elemen:
1. Pasukan tentera, yang mana banyak negara – khasnya dalam Dunia Ketiga kita – bergantung untuk menegakkan pemerintahan, melaksanakaan dasar dan mendiamkan pembangkang. Kerajaan ini tidak bergantung kepada logik dan dialog; bahkan, mereka selalu berurusan dengan penentang mereka dengan kuasa. Jadi, mereka yang mengawal pasukan tentera boleh menamatkan sebarang pergerakkan orang awam yang meminta perubahan; sebagaimana kita lihat dibanyak negara, seperti di China yang dengan mudah menamatkan revolusi pelajar yang meminta kebebasan.
2. Parlimen mengawal kuasa perundangan yang menggubal atau meminda undang-undang mengikut keputusan majoriti, yang digunakan dalam system demokrasi. Maka, kumpulan yang ada majoriti – dibawah system demokrasi sebenar – boleh mengubah sebarang Munkar dengan menggubal undang-undang mutlak yang tidak boleh dibatalkan oleh mana-mana menteri, perdana menteri atau presiden..
3. Kuasa besar persepakatan rakyat yang hebat. Jika ia digunakan, tiada siapa boleh berdiri pada jalannya atau menghalang kemaraannya. Ia seperti gelombang besar banjir yang tidak boleh dihalang, walaupun dengan pasukan tentera; kerana pasukan ini sebahagian daripada rakyat dan sebahagian daripada keluarga, bapa-bapa, anak-anak dan adik-beradik mereka.
Jika individu dan kumpulan tiada satu daripada tiga elemen ini, mereka mesti bertahan dan terus bersabar sampai mereka mencapai satu daripadanya. Juga, mereka mesti mengubah sebarang Munkar dengan lidah, pena, dakwah, mendidik dan memimpin dengan matlamat untuk mewujudkan pendapat awam yang kuat dan generasi yang berani yang boleh membuat perubahan yang dikehendaki.
Abu Umayyah Ash-Sha`bani berkata, “Saya bertanya Abu Tha`labah Al-Khushani: Apa pendapat saudara mengenai ayat, ‘ Hai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu; tiadalah orang yang sesat itu akan memberi mudarat kepadamu apabila kamu telah mendapat petunjuk. Hanya kepada Allah kamu kembali semuanya, maka Dia akan menerangkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan..’ (Al-Ma’idah: 105)” He said, ” Aku bersumpah dengan Allah, Aku bertanyakan seseorang yang mengetahui tentangnya; Saya bertanya Rasulullah(SAW) mengenainya. Baginda bersabda:
‘Suruhlah antara satu sama lain untuk buat yang baik dan cegahlah antara satu sama lain daripada melakukan perkara yang jahat. Tetapi jika kamu lihat kezaliman ditaati, nafsu diikuti, kepentingan dunia diutamakan, setiap orang terpesona dengan pendapatnya sendiri, maka jagalah diri kamu , dan tinggalkan sendirian perkara yang kebanyakan manusia sedang membuat selepas daripada kamu ialah hari-hari yang akan memerlukan kesabaran, yang mana menunjukan kesabaran akan seperti mengenggam bara. Sesiapa yang berbuat yang benar pada zaman itu akan di beri pahala seperti lima puluh orang daripada kalangan kamu [13]
Syarat Keempat: tidak menyebabkan Munkar lebih besar
Seseorang yang berniat untuk mengubah sebarang Munkar dengan kuasa mesti memastikan yang perubahannya tidak akan mendorong kepada Munkar yang lebih besar , maknanya, perubahannya mesti tidak menyebabkan fitnah yang mendorong kepada pertumpahan darah sebahagian manusia yang tidak berdosa atau mencabul hak atau harta mereka. Maka, ulama bersepakat atas boleh kekal diam akan sesuatu Munkar jika takut untuk melakukan Munkar yang lebih besar; memilih kejahatan kecil daripada dua kejahatan.
Dalam hal ini, Kami ingin memetik hadith sahih yang Rasulullah (SAW) bersabda kepada `Aa’ishah, “Kalaulah tidak kerana kaum kamu masih dekat dengan kekufuran, maka aku telah membina semuala ka’bah mengikut binaan asas Nabi Ibrahim. ” [14]
Al-Qur’an al-karim menegaskan hal ini dalam kisah Nabi Musa (SAW) dengan Bani Israel. Apabila Nabi Musa (SAW) pergi menunaikan pertemuan dengan Tuhan nya di Bukit Sinai, As-Samiri – seorang lelaki yang cenderung kearah kejahatan – membuat anak lembu emas dan mampu menyebabkan manusia menyembahnnya selain daripada Allah SWT. Adik Nabi Musa, Harun (SAW), yang bertindak sebagai pemimpin mereka semasa ketiadaan Nabi Musa, telah sedih dan berkata :
“Hai kaumku, sesungguhnya kamu hanya diberi cubaan dengan anak lembu itu dan sesungguhnya Tuhanmu ialah (Tuhan) Yang Maha Pemurah, maka ikutilah aku dan taatilah perintahku.” [15]
Namun, mereka tidak mendengar nasihat baginda, dan berkata :
“Kami akan tetap menyembah patung anak lembu ini, hingga Musa kembali kepada kami.” [16]
Setelah kembali, Nabi Musa (SAW) melihat kaumnya melakukan penyembahan patung anak lembu itu. Bengang akan upacara musyrik mereka, baginda melemparkan Kepingan Taurat yang baginda bawa untuk mereka. Kemudian baginda menarik janggut Nabi Harun dan rambutnya, sambil menjerit,
“Hai Harun, apa yang menghalangi kamu ketika kamu melihat mereka telah sesat, (sehingga kamu tidak mengikuti aku? Maka apakah kamu telah (sengaja) mendurhakai perintahku?” [17]
Maka, si adik berkata, ” Hai putera ibuku janganlah kamu pegang janggutku dan jangan (pula) kepalaku; sesungguhnya aku bimbang bahawa kamu akan berkata (kepadaku): “Kamu telah memecah antara Bani Israel dan kamu tidak memelihara amanatku!” [18]
Ini bermakna yang Nabi Harun memilih untuk mengekalkan perpaduan kaumnya semasa ketiadaan abangnya dan mengambil keputusan untuk berunding dengan Nabi Musa mengenai hal itu yang memerlukan kecekalan dan kepandaian selepas kepulangan Nabi Musa.
Maka, inilah empat syarat yang mesti ada kepada individu atau kumpulan yang mahu yang mahu mengubah sebarang Munkar dengan kuasa.
Mengubah mana-mana sebahagian Munkar bukanlah penyelesaian
Sekarang, Saya ingin menarik perhatian mereka yang memegang tanggung-jawab untuk mengubah status Muslim kepada satu isu yang sangat penting: kemunduran umat, yang mempengaruhi umat kita semasa zaman kemerosotan, penjajahan Barat dan zaman pemerintahan kejam dan sekular, yang tua dan berakar-umbi. Maka, untuk mengubah dan membuang kemunduran ini, tidaklah cukup untuk mengubah mana-mana sebahagian Munkar, seperti parti muzik, perempuan menunjukkan aurat di jalanan atau menjual video atau pita kaset mengandungi perkara buruk atau haram. Perubahan mestilah lebih besar, mendalam dan lebih menyeluruh daripada itu; ini mestilah termasuk idea, konsep, nilai, peraturan, moral, perbuatan, budaya, sistem dan perundangan. Namun, apa yang lebih penting ialah manusia mesti diubah melalui panduan, pendidikan dan tauladan berterusan; sesungguhnya, Allah SWT tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum itu selagi mereka tidak mengubah tahap kemunduran mengikut dengan Sunnah yang kekal..
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.…” [19]
Kelembutan Apabila Mengubah Munkar
Terdapat satu lagi hal yang mesti tidak dilupakan di sini: kelembutan apabila mengubah sebarang Munkar; kerana Rasulullah (SAW) menasihatkan kita untuk berlembut.
Baginda (SAW) bersabda, “Sesungguhnya Allah itu lembut dan suka kepada kelembutan dalam semua hal.” [20]
Lagi pun,baginda (SAW)bersabda,Apabila kelembutan ditambah kepada sesuatu, ia mencantikkan nya dan apabila ia di kurangi daripada sesuatu, ia mencacatkannya.” [21]
Di dalam kitabnya Al-Ihya’, Sheikh Al-Ghazali menukilkan kisah seorang lelaki yang datang berjumpa Al-Ma’mun, Khalifah `Abbasiyah yang terkenal, dan mula menasihati baginda mengenai kebaikan dan kejahatan dalam keadaan kasar dan biadab, tanpa memikirkan status baginda . Al-Ma’mun, yang mempunyai pengetahuan Fiqh yang mendalam, tidak menghukumnya, seperti kebanyakan raja-raja mungkin lakukan; bahkan, baginda menasihati lelaki itu dengan bertitah, “Berbicaralah dengan sopan. Ingatlah yang Allah SWT menghantar seseorang lebih baik daripada kamu kepada seorang raja yang lebih teruk daripada aku, dan mengarahkannya supaya bercakap dengan sopan; Allah SWT mengutuskan Musa dan Harun, yang lebih baik daripada kamu, kepada Firaun, yang lebih teruk daripada aku, dan memerintahkan mereka,
“ Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas; maka berbicara lah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut [akan Allah]’.” [22]
Tambahan pula, ayat-ayat al-Quran tadi menyeru orang yang berdakwah kepada AllahSWT tidak sepatutnya putus harapan, walaupun dia berdakwah kepada orang yang melampaui semua batas (seperti Firaun), selagi dia menyeru mereka dengan sopan dan lembut.
Wallahualam!
P/S : ARTIKEL INI ADALAH TERJEMAHAN DENGAN SEDIKIT UBAH SUAI DAN TAKHRIJ HADIS OLEH PENULIS DAN AL-FADHIL USTAZ IZRAIL (PANEL FEQH AL-AHKAM.NET) DARIPADA JAWAPAN ASY-SYAIKH DR. YUSOF AL-QARADHAWI TENTANG PERSOALAN BAGAIMANAKAH CARA DAN KAEDAH ISLAM DALAM MENYURUH KEPADA YANG MA’RUF DAN MENCEGAH MUNGKAR.
ARTIKEL DALAM TEKS BAHASA ARAB BOLEH DIRUJUK DILINK DI SINI
[1] Diriwayatkan oleh Muslim dari Abu Sa`id Al-Khudri , no : 70 , Ahmad dalam Musnadnya no: 11034
[2] Ali `Imran 3: 110
[3] Maksudnya : Melawat untuk mencari ilmu pengetahuan atau berjihad.Ada sebahagian ulama menafsirkannya sebagai ‘orang yang berpuasa’
[4] At-Taubah 9: 112
[5] Al-Ma’idah 5: 78-79
[6] Al-`Asr 103
[7] Sila rujuk nota kaki no: 1
[8] An-Nisaa’ 4: 31
[9] HR Muslim dalam kitab Taharah no : 233 , Kitab Riyadhus Solihin no : 130
[10] Hadis Riwayat Imam Bukhari no : 1981 , 6956
[11] HR Bukhari bab Wajib zakat 3 / 210 , Muslim Bab Iman yang memasukkan ke dalam syurga : 14 , Kitab Riyadhus Solihin
no : 1213
[12] HR Bukhari no : 5608 , Muslim no : 5306
[13] Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud , Ibnu Majah dan Tirmizi dengan kata Tirmizi , hadis ini “Hasan Gharib” tetapi dinilai sebagai “dhaif” oleh Albani dalam “Dhoif Sunan Tirmizi” no : 581 , Begitu juga dalam “Silsilah al-Dho’ifah” no : 1025.Albani mengatakan bahwa hadis ini sebahagian dhoif dan sebahagian lain sahih.(Lihat sahih Tirmizi no : 2361 dan Sahih Abu Daud no : 1844 , 2375)
[14] Hadis ini tidak dijumpai dalam mana-mana kitab hadis.Ia hanya dijumpai dalam “Mausu’ah al-Buhuth wa al-Maqalat al-‘Ilmiah” yang mana terdapat lebih kurang 5900 artikel-artikel Ilmiah dan perbahasan.Dikumpulkan oleh Ali bin Nayif Asy-Syahud.Hadis tersebut terdapat dalam salah satu dari artikel yang bertajuk تقدير ظروف الناس وأعذارهم oleh As-Syaikh Dr. Muhammad Ratib An-Nabilusi
[15] Al-Quran :Taha 20: 90
[16] Al-Quran :Taha 20: 91
[17] Al-Quran :Taha 20: 92 , 93
[18] Al-Quran :Taha 20: 94
[19] Al-Quran Ar-Ra`d 13: 11
[20] Hadis Riwayat Imam Bukhari no : 5678 dan Imam Muslim no : 2593
[21] Hadis Riwayat Imam Bukhari no : 5678
[22] Al-Quran Taha 20: 43-44
Leave a Reply